Propaganda calon PM

Kini telah semakin meluas tersebar berita, komen, analisis dan termasuklah poster bergambar mengenai calon-calon Perdana Menteri (PM) Malaysia yang ke 10 selepas PRU15 nanti.

Ini semua propaganda besar dan penting bagi parti-parti politik utama yang bakal bertanding dalam pesta demokrasi lima tahun sekali ini.

Walaupun partinya atau calonnya belum tentu menang, tetapi sudah namanya propaganda, maka ia perlu dibuat oleh parti tersebut atau para pemikir (think tank) mereka dalam rangka mempengaruhi minda rakyat.

Tidak kiralah muka baru atau muka lama yang diletakkan sebagai calon PM ke-10, realitinya kesemua muka-muka tersebut adalah muka yang sudah sebati dengan politik ala Machiavelli di Malaysia ini.

Kesemua muka tersebut adalah muka-muka yang telah terkenal sebagai pejuang tegar demokrasi yang selama ini berjuang mempertahankan sistem pemerintahan peninggalan penjajah itu di Tanah Melayu ini.

Tidak ada satu pun daripada muka-muka tersebut yang merupakan muka yang dikenali sebagai sosok yang berjuang untuk menegakkan Islam secara kaffah di Malaysia.

Tidak ada satu pun di antara muka-muka tersebut, muka yang berjuang atau setidaknya yang menginginkan sistem pemerintahan Islam (Khilafah) agar kembali tegak di muka bumi ini.

Padahal dalam Islam, sangat jelas berdasarkan dalil bahawa Ketua Negara bagi sebuah Negara Islam ialah Khalifah, dan sistem pemerintahannya ialah Khilafah.

Bahkan tinta emas sejarah Islam telah mencatat bahawa selama lebih 1300 tahun, dunia Islam telah dipimpin oleh para Khalifah yang telah membawa kesejahteraan dan ketamadunan yang luar biasa untuk umat manusia.

Di sebalik propaganda siapakah calon PM ke-10, semoga umat Islam tidak lupa bahawa pemimpin tertinggi umat Islam ialah Khalifah, dan sistemnya ialah Khilafah, bukannya Perdana Menteri atau Presiden dengan sistem demokrasi.

Wallahu a’lam.