PRU Musim Tengkujuh: Apa Kebaikannya Untuk Umat Islam?
Keputusan pimpinan tertinggi UMNO untuk membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan PRU-15 pada musim tengkujuh tidaklah mengejutkan, dan pada masa yang sama menunjukkan kepada kita beberapa perkara mengenai UMNO. Secara logiknya UMNO tidak akan sanggup untuk membubarkan Parlimen sekiranya mereka tidak yakin akan memenangi PRU. Sudah pasti UMNO telah menilai dari segala sudut dan melihat bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka sekiranya PRU diadakan pada musim tengkujuh. Atas dasar itu, pimpinan tertinggi UMNO sangat beria untuk mengadakannya pada tahun ini juga.
UMNO tidak perlu peduli akan kritikan atau kesusahan rakyat, kerana selama ini pun UMNO bukanlah peduli dengan kesusahan rakyat. Malah jika ditanya siapakah yang telah menyengsarakan kehidupan rakyat selama puluhan tahun, tentu jawapannya akan kembali kepada UMNO. Apa yang penting bagi UMNO hanyalah undi daripada rakyat. UMNO sudah pasti mencongak bahawa jika rakyat tidak keluar mengundi atau memboikot PRU sekalipun pada musim tengkujuh ini, hal ini bukan sahaja tidak menjadi masalah bagi UMNO, malah sebaliknya akan menjadi kelebihan bagi UMNO untuk meraih kemenangan yang lebih besar. Sejarah telah membuktikan bahawa jika peratusan keluar mengundi rendah, maka UMNO akan mencapai kemenangan. PRN Johor dan Melaka menjadi bukti terbaru akan hal ini.
Mengundi di musim tengkujuh juga boleh menjadi modal kepada calon-calon UMNO untuk turun “membantu” rakyat di kawasan yang terjejas banjir. Lagi lama banjir dan lagi banyak tempat yang terjejas, maka lagi lamalah UMNO boleh memainkan propaganda bahawa mereka adalah penyelamat rakyat. Dengan wang yang tidak terbatas, kawalan penuh ke atas agensi-agensi kerajaan dan media arus perdana, maka sangat mudah bagi UMNO untuk memperlihatkan kepada rakyat betapa prihatinnya mereka terhadap nasib rakyat dan seterusnya mengharap undi daripada golongan yang “tertipu” dengan propaganda mereka. Jadi, di samping dapat berseronok “bermain air” menggunakan segala aset kerajaan bersama sekumpulan pengikut dan wartawan, dalam masa yang sama UMNO dapat mencapai matlamat untuk meraih undi.
Selain itu, semua orang tahu bahawa PRU segera yang diinginkan UMNO ini adalah untuk menyelamatkan kluster mahkamah, yang sangat ditakuti oleh kluster tersebut sekiranya UMNO kecundang dalam PRU-15 nanti jika silap perhitungan. Manakala keadaan pembangkang yang sehingga kini masih belum stabil sudah pasti dinilai oleh UMNO akan memberi banyak kelebihan kepada mereka berbanding pembangkang. Atas pertimbangan semua ini, dan sudah pasti banyak lagi pertimbangan lainnya, maka memang wajarlah bagi pimpinan tertinggi UMNO untuk mengadakan pilihan raya segera, walaupun terdapat bantahan daripada banyak pihak.
Apa pun keputusan UMNO, persoalan yang perlu difikir oleh rakyat, khususnya umat Islam ialah, apakah kebaikannya jika diadakan PRU dalam musim tengkujuh? Jika ada kebaikannya, mungkin ada sebabnya untuk rakyat turun mengundi beramai-ramai. Namun jika ternyata tidak ada kebaikannya, apakah yang perlu rakyat lakukan? Lebih daripada itu, persoalan yang jauh lebih penting ialah, apakah pilihan raya itu sendiri mendatangkan kebaikan buat umat Islam?
Tujuan Pilihan Raya
Dalam sistem demokrasi, tujuan pilihanraya diadakan ialah untuk memilih wakil ke Parlimen bagi membawa suara dan kehendak rakyat (kononnya). Walaupun demikian, hal ini tidak pernah berlaku kerana sejak awal, calon-calon yang bertanding hakikatnya bukanlah mewakili rakyat, tetapi mewakili parti politik masing-masing. Jika ada pun, sangat sedikit calon yang boleh dikatakan mewakili rakyat, sekiranya mereka adalah calon bebas yang tidak dibiayai oleh sesiapa.
Realiti Parlimen dalam sistem demokrasi ialah sebagai tempat pembuatan undang-undang (Majlis Tasyri’) di samping sebagai tempat melakukan semak dan imbang (check and balance). Manakala parti yang menang dalam pilihan raya akan memilih pemimpin daripada kalangan mereka untuk membentuk kerajaan. Setelah kerajaan terbentuk, maka mereka akan memerintah dengan undang-undang yang sedia ada, dan akan membuat undang-undang baru mengikut kehendak dan kepentingan mereka (bukannya menurut kehendak dan kepentingan rakyat). Di samping itu, mereka juga akan meminda dan menghapuskan undang-undang yang sedia ada mengikut kehendak dan kepentingan mereka. Inilah fungsi Parlimen dalam sistem demokrasi.
Jadi, tujuan pilihan raya dalam sistem demokrasi ialah untuk memilih kerajaan untuk memerintah dengan sistem dan undang-undang yang dibuat oleh manusia. Inilah realiti yang tidak pernah berubah sejak dulu hingga kini dan selamanya selagi sistem ini mendominasi umat Islam. Sistem demokrasi merupakan sistem yang berasal dari Barat, yang dipaksakan oleh kafir penjajah ke atas umat Islam di tanah jajahannya, termasuk Malaysia. Pilihan raya dalam sistem demokrasi sudah menjadi thariqah (jalan) yang baku untuk mempertahankan sistem kufur ciptaan mereka. Atas dasar ini umat Islam perlu faham dan sedar bahawa sistem demokrasi tidak pernah dicipta oleh Barat untuk menerapkan Islam, sebaliknya ia menjadi penghalang kepada penerapan Islam itu sendiri.
Lihat sahaja kepada undang-undang hudud yang cuba diterapkan oleh parti Islam melalui jalan demokrasi. Selain dijadikan modal politik oleh parti Islam berkenaan, realitinya undang-undang hudud tidak pernah dapat diterapkan dan hanya menjadi “bola” di gelanggang demokrasi. Jika berjaya diterapkan sekali pun, realitinya ia bukanlah undang-undang hudud yang diterapkan hasil daripada hukum syarak yang berasaskan akidah Islam, tetapi ia adalah undang-undang yang terhasil daripada undi majoriti manusia, yang tidak sah di sisi syarak.
Hukum Mengundi Menurut Islam
Dengan mengkaji manath (fakta) dan waqi’ (realiti) pilihan raya dalam sistem demokrasi, dari sini hukum mengundi dapat diistinbat (digali) untuk kemudian ditetapkan. Berdasarkan manath dan waqi’, ternyata pilihan raya dalam sistem demokrasi merupakan satu thariqah (jalan) yang baku sekali gus proses untuk memilih wakil yang akan pergi ke Parlimen (sebagai sebuah Majlis Tasyri’) untuk membuat undang-undang (hukum). Persoalannya, bolehkah hal ini dilakukan dalam Islam?
Sedangkan di dalam Islam hak untuk membuat hukum itu hanya ada pada Allah (swt), kerana Allah (swt) adalah Satu-satunya Musyari’ (Pembuat Hukum). Tidak ada manusia yang boleh mewakilkan kepada manusia lain untuk membuat hukum, kerana hak untuk membuat hukum itu tidak ada pada manusia. Jadi, seseorang tidak boleh mewakilkan sesuatu yang dia tidak mempunyai hak untuk mewakilkannya. Atas dasar itu, tidak sah akad wakalah yang diberi oleh seseorang yang tidak mempunyai hak tersebut. Dengan demikian, orang yang menerima wakalah juga tidak sah bertindak bagi pihak pemberi wakalah. Firman Allah (swt):
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ
“Sesungguhnya hak menetapkan hukum itu hanya milik Allah” [Al-An’am (6): 57].
وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ
“Tentang sesuatu apa pun kamu berselisih, maka keputusannya (kembali) kepada Allah” [As-Syura (42): 10].
Lebih buruk daripada itu, seseorang tidak boleh mewakilkan kepada orang lain untuk melakukan sesuatu yang haram. Jika hal ini berlaku, selain akadnya tidak sah, orang mewakilkan (Muwakkil) dan orang yang diwakilkan (Wakil) kedua-duanya adalah berdosa kerana telah melakukan keharaman. Di sinilah letaknya keharaman pilihan raya dalam sistem demokrasi iaitu apabila fungsi dan tujuannya serta segala proses yang berkaitan dengannya adalah bertentangan dengan syarak, iaitu keharaman membuat undang-undang.
Pembuatan undang-undang merupakan intipati daripada demokrasi iaitu sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat yang meletakkan kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li sya’bi) atau dengan kata lain rakyat berkuasa membuat hukum, melalui wakil mereka. Sedangkan di dalam Islam, kedaulatan itu ada di tangan syarak (as-siyadah li syara’) atau dengan kata lain hanya Allah-lah Satu-satunya Dzat yang berkuasa membuat hukum.
Kerana itulah, manath dan waqi’ pilihan raya di dalam Islam adalah berbeza dengan manath dan waqi’ pilihan raya di dalam demokrasi, yang membezakan antara hukum keduanya. Dalam Islam, pilihan raya di adakan untuk memilih anggota Majlis Umat (Majlis Syura) yang berfungsi sebagai majlis memberi input atau muhasabah kepada Khalifah, dan bukannya sebagai sebuah Majlis Tasyri’. Majlis Umat yang diwakili oleh Ahlu Halli Wal Aqdi juga bertanggungjawab untuk memilih Khalifah di saat berlakunya kekosongan jawatan keKhalifahan, dan perlu diingat bahawa di dalam Islam, Khalifah itu dilantik untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, bukannya dilantik untuk memerintah berdasarkan hukum yang dibuat oleh manusia sebagaimana dalam demokrasi.
Oleh yang demikian, isu yang perlu difahami oleh umat Islam di sini bukanlah isu pilihan raya di musim tengkujuh yang bakal menyusahkan rakyat dalam banyak aspek, tetapi isunya adalah hukum pilihan raya itu sendiri, baik di buat di musim tengkujuh, musim panas, musim cuti sekolah, musim durian, musim rambutan dan sebagainya. Apa yang wajib dilihat ialah hukumnya, bukannya musimnya. Setelah jelas hukumnya, maka musim apa sekalipun pilihan raya itu dibuat, hukumnya tetap haram selagi manath dan waqi’nya menyalahi syarak.
Apabila hukum sesuatu perkara atau perbuatan itu sudah jelas haram, maka ia tidak akan bermanfaat kepada umat Islam sedikit pun, atau dengan kata ia tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan untuk umat Islam. Jika pun ada orang yang mendapat manfaat duniawi dengannya, maka yang pasti tidak ada keberkatan sama sekali di dalamnya. Sama sebagaimana seseorang yang memiliki harta curi atau rompakan yang jumlahnya berbilion ringgit, yang sudah pasti begitu banyak manfaat duniawi yang boleh dinikmatinya, tetapi keberkatannya tidak ada sedikit pun, dan apa yang diperolehinya itu hanyalah dosa semata-mata. Manakala di akhirat, azab yang pedih akan menantinya. Na’zubillah min zalik.
Jika ada pihak yang meraih untung dengan pilihan raya, ia hanyalah pihak yang menang. Mereka yang menang bukan sahaja dapat menikmati kuasa, bahkan dengan kuasa yang ada di tangan, maka segala hasil-mahsul negara dapat dikautnya. Segala projek, pangkat, jawatan dan kemewahan dunia akan ikut serta dikautnya, dan diberikan kepada kroni-kroni mereka khususnya dalam kalangan para kapitalis yang telah mendanai pilihan raya mereka. Manakala rakyat yang mengundi mereka terus kena “game” dan hidup dalam pelbagai kesusahan. Inilah hakikat demokrasi sejak dulu, kini dan selamanya.
Apa yang lebih memburukkan keadaan ialah adanya parti Islam dalam demokrasi yang telah menjadi talian hayat kepada parti sekular untuk terus memerintah. Jika dahulu, parti Islam sangat lantang memuhasabah parti sekular yang tidak menerapkan Islam, namun kemudian parti Islam yang telah terjebak dalam demokrasi ini turut bergabung dalam sebuah pemerintahan sekular yang dimurkai oleh Allah (swt). Akhirnya umat Islam sudah tidak dapat melihat dan membezakan mana satu parti Islam dan mana satu parti sekular.
Alternatif Untuk Umat Islam
Antara soalan yang sering bermain di minda umat Islam ialah, jika tidak melalui pilihan raya, maka bagaimanakah caranya untuk kita memenangkan Islam? Sebelum menjawab persoalan yang sangat valid ini, umat Islam perlu melihat terlebih dahulu akan hakikat pilihan raya, sama ada pernahkah ia memberi kemenangan kepada Islam? Realitinya ternyata tidak, walaupun parti Islam berjaya memenangi pilihan raya sekali pun. Contoh sudah terlalu banyak yang dapat dilihat baik di peringkat nasional atau global. Lihat sahaja apa yang berlaku dengan kemenangan parti yang berasaskan Islam di Aljazair, Mesir, Tunisia, Turki dan lain-lain, semuanya gagal memberi kemenangan kepada Islam. Begitu juga dengan “kemenangan” parti Islam di Malaysia, yang akhirnya bukan sahaja gagal memartabatkan Islam, sebaliknya parti Islam bersekongkol dengan pemerintahan sekular bersama parti-parti sekutunya.
Hakikatnya, Islam tidak pernah bangkit melalui pilihan raya, dan Islam tidak akan pernah bangkit melalui pilihanraya. Ini kerana, pilihan raya dalam sistem demokrasi bukannya didesign untuk membangkitkan Islam, sebaliknya ia didesign untuk membantutkan lagi Islam. Kita telah melalui 14 pilihan raya umum di Malaysia dan tidak ada sedikit tanda pun yang Islam telah menang atau akan menang melalui pilihan raya, walaupun hakikatnya parti yang menang merupakan parti yang majoritinya Muslim.
Maka, umat Islam memerlukan jalan atau cara lain untuk bangkit atau untuk memastikan kemenangan Islam. Jalan mana lagi jika bukan jalan yang telah dilalui dan ditunjukkan oleh Rasulullah (saw)? Inilah satu-satunya jalan yang benar yakni jalan yang telah ditempuh oleh Rasulullah (saw) di Mekah sehingga akhirnya baginda berjaya mendirikan sebuah pemerintahan Islam di Madinah, yang dari sinilah Islam akhirnya berkembang ke seluruh dunia menjadi sebuah power power dan membentuk tamadun yang luar biasa, yang bertahan selama lebih 1300 tahun. Bermula dengan pembentukan sebuah kutlah (kelompok), kemudian diikuti dengan aktiviti dakwah dan politik melalui peperangan pemikiran, dan diakhiri dengan proses thalab an-nusrah (mencari perlindungan dan kuasa) daripada Ahlul Quwwah, kemudian terjadilah hijrah hingga berdirinya sebuah Daulah Islam.
Inilah satu-satunya jalan kebangkitan, dan inilah satu-satunya alternatif untuk umat Islam kembali membangkitkan Islam di akhir zaman ini. Kita wajib mengikuti jalan ini – jalan yang diajar oleh Rasulullah (saw), dan bukannya jalan pilihan raya sebagaimana yang diajar oleh penjajah.
Penutup
Di saat pemimpin tertinggi UMNO beria-ria untuk mengadakan PRU di musim tengkujuh kerana kegilaan kuasa yang tidak dapat dibendung oleh mereka, mereka sentiasa lupa bahawa perancangan dan kehendak Allah (swt) itu dapat mengatasi perancangan dan kehendak mereka dengan mudah. UMNO sudah lupa di saat mereka merasa sangat berkuasa sebelum ini dan merasa “mustahil” untuk dikalahkan, namun ternyata Allah (swt) telah menjatuhkan mereka dengan sekelip mata pada PRU-14. Walaupun kelihatan UMNO sudah “bertaubat” sebentar setelah tersungkur dengan dahsyat, tetapi ternyata “taubat” mereka hanya di lisan dan tulisan, bukan di hati. Mereka kembali angkuh dan sombong setelah memenangi beberapa PRK dan PRN, dan akhirnya melalui politik kotor, mereka berjaya meraih kembali kekuasaan. Kini setelah kembali berada di puncak takhta, sekali lagi mereka ingat yang mereka akan berkuasa hingga kiamat, dan mereka lupa akan kuasa Allah (swt) yang boleh membenamkan mereka buat kali kedua dengan cukup mudah, malah tanpa mereka dapat kembali bernafas. Semoga mereka sempat bertaubat sebelum bertemu Allah (swt) di Padang Mahsyar kelak.