Rajab al-Khair, bulan futuhat dan kemenangan

Setiap kali tibanya Rajab, umat Islam menyambutnya dengan gembira, kerana ia benar-benar membawa khabar gembira, serta menjadi petanda kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, bulan di mana Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia serta keterangan-keterangan mengenai petunjuk dan pembeza (antara yang hak dan batil).
Pada bulan Rajab ini, berlakunya satu peristiwa agung, di mana Allah (swt) memuliakan Rasul-Nya (saw) dengan memperjalankan baginda dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, setelah baginda dan Sahabat baginda ditindas oleh kafir Quraisy; dan setelah baginda bersedih atas kematian isteri baginda, Khadijah, yang merupakan tiang pendukung bagi suami dan suri teladan bagi wanita yang berjuang untuk menegakkan Islam di muka bumi. Peristiwa agung itu juga juga berlaku setelah baginda bersedih atas kematian bapa saudaranya, Abu Talib, penyokong dan pelindung baginda, seperti mana bapa-bapa saudara yang mulia yang menyokong saudara dan anak-anak mereka yang berjuang untuk mengembalikan semula binaan Islam dan negaranya yang agung.
Maka peristiwa Isra’ itu menjadi satu penghormatan buat Rasul (saw), serta sebagai penghibur duka baginda. Ia juga bertujuan untuk menghubungkan kedua-dua masjid kiblat itu antara satu sama lain. Sebagaimana umat Islam tidak akan merelakan Masjidil Haram dijajah oleh orang kafir, begitu juga umat Islam tidak boleh merelakan Masjidil Aqsa dijajah. Dalam kes ini (Masjidil Aqsa dijajah), wajiblah berjihad dan berkorban untuk membebaskannya. Haram sama sekali untuk berdiam diri terhadap penjajahan tersebut, jika tidak, umat Islam akan berdosa dan ditimpa keaiban serta kehinaan yang mendalam. Kehinaan ini tidak hanya terhenti di sempadan masjid dan sekitarnya sahaja, seperti yang berlaku hari ini. Apabila umat Islam memandang remeh urusan pembebasannya dan berdiam diri atas perampasan serta pencabulan kesuciannya oleh Yahudi, entiti haram itu mula melampaui batas terhadap umat Islam di merata tempat.
Oleh itu, bulan Rajab seharusnya mengingatkan umat Islam tentang kewajipan jihad untuk membebaskan Masjidil Aqsa, memandangkan ia dirampas oleh Yahudi dengan sokongan kuasa Salib dan hasil pakatan sulit para pemerintah kaum Muslimin, khususnya pemerintah Jordan, hamba kepada Yahudi yang menyerahkan Al-Aqsa, Baitul Maqdis, dan Tebing Barat kepada Yahudi di atas dulang emas pada tahun 1967 M.
Pada bulan haram ini juga, berlakunya pertembungan pertama dengan orang kafir, dua tahun setelah berdirinya Daulah Islam yang pertama. Umat Islam di bawah sariyah Abdullah bin Jahsh (ra) telah membunuh seorang kafir Quraisy, menawan dua orang yang lain, dan merampas barangan mereka. Allah (swt) kemudian membenarkan apa yang mereka lakukan dengan menurunkan ayat yang membenarkan perang pada bulan haram kerana tindakan orang kafir yang menghalang manusia dari jalan Allah, kufur kepada-Nya, dan memfitnah manusia dari agama mereka.
Peristiwa ini menjadi pengisytiharan bermulanya jihad dan persiapan umat Islam untuk berperang. Tanpanya (jihad), agama ini tidak akan tinggi, musuh tidak akan gerun untuk menyerang umat Islam dan menyerang kehormatan umat Islam, dan manusia tidak akan melihat cahaya Islam yang membebaskan mereka daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa; daripada kesengsaraan dunia kepada kebahagiaan dunia dan akhirat; serta daripada kezaliman ideologi yang batil dan penindasan agama-agama yang rosak kepada cahaya dan keadilan Islam.
Selepas kejadian tersebut, semangat umat Islam untuk berperang semakin membara. Kemudian berlakulah Perang Badar al-Kubra, diikuti dengan pelbagai pertempuran dan peperangan yang membebaskan Jazirah Arab daripada syirik dan hukum kufur.
Pada bulan Rajab tahun ke-9 H, berlaku Perang Tabuk menentang empayar Rom, kuasa dunia nombor satu dunia ketika itu. Tentera Rom lari lintang-pukang di hadapan kaum Muslimin, begitu juga sekutu mereka daripada kalangan Arab Nasrani. Perang tersebut merupakan sebagai kemenangan yang besar dan langkah penting ke arah menjadikan Daulah Islam sebagai sebuah kuasa besar dunia. Ini kerana negara yang mampu bersaing dan mencabar kuasa nombor satu dunia, sudah pasti bakal menjadi sebuah kuasa besar dunia.
Perang ini juga menjadi langkah penting untuk menjatuhkan dan mengusir Rom dari bumi Syam pada zaman Khalifah pertama, Abu Bakar as-Siddiq (ra), di mana umat Islam berjaya membuka Damsyik pada 16 Rajab 14 H. Rajanya, Heraclius, melarikan diri sambil berkata, “Selamat tinggal wahai Syria”, lalu bersembunyi di Konstantinopel yang kemudiannya menjadi pusat pertembungan seterusnya umat Islam dengan mereka (Rom) untuk pembukaannya.
Umat Islam kemudiannya meneruskan peperangan sehingga berjaya membuka Andalusia dan kejayaan tersebut sampai ke sempadan Paris. Umat Islam juga pernah mengembalikan semula kekuasaan mereka yang hilang di Andalusia dalam Pertempuran Zallaqa pada 12 Rajab 479 H apabila tentera umat Islam bersatu menentang Raja Castile.
Demikian juga, umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayubi berjaya membebaskan al-Quds dan Masjidil Aqsa, kiblat pertama dan tanah suci ketiga, pada 27 Rajab 583 H. Peristiwa ini seharusnya mengingatkan umat Islam pada hari ini agar mencontohi jejak langkah panglima hebat tersebut, agar muncul daripada kalangan tentera umat Islam, seorang pemimpin seperti Salahuddin yang telah menumbangkan pemerintahan Fatimiyyah yang berkonspirasi ke atas umat Islam, sama sebagaimana kelakuan penguasa pada hari ini yang berkonspirasi ke atas umat Islam.
Panglima tentera yang bakal muncul ini mesti mengajar Yahudi dan memporak-perandakan pendukung yang berada di belakangnya daripada kalangan Rom Baru (Barat) yang diketuai oleh Heraclius mereka, Trump; Panglima tentera ini juga mesti memutuskan pengaruh sekutu mereka daripada kalangan pemerintah Muslim serta membinasakan golongan munafik yang cuba menyesatkan umat Islam dan mengalihkan perhatian umat Islam daripada kepentingan kemenangan besar dan peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini, supaya Rajab dapat menjadi insentif bagi umat Islam untuk menghidupkan kembali kegemilangannya sebagaimana dahulu.
Seterusnya pada bulan ini, tepatnya pada 28 Rejab 1342H, berlaku satu peristiwa dahsyat dan tragedi besar yang menggegarkan tiang-tiang umat Islam. Kaum kafir, melalui ejen-ejen mereka, berjaya meruntuhkan Khilafah Uthmaniyyah dan mendirikan sistem kufur sekular demokrasi di atas runtuhannya, yang tunduk kepada mereka, yang menghalalkan perkara haram, mengharamkan hukum Islam, dan memerangi umat Islam yang berusaha untuk mengembalikannya. Kaum kafir berjaya memecahbelahkan negeri umat Islam kepada lebih daripada 50 serpihan yang mereka namakan sebagai tanah air dan negara, melukis sempadan yang memisahkan, mencipta bendera-bendera assabiyyah, dan menjadikan rakyatnya berasa seperti orang asing antara satu sama lain.
Maka, bulan Rajab mengingatkan umat Islam tentang kewajipan untuk berjuang menegakkan semula Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwwah, yang akan kembali, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah (saw) yang mulia. Allah (swt) telah menjanjikan kepada umat Islam akan kekuasaan (istikhlaf) di muka bumi dan keteguhan bagi mereka dan agama mereka, serta menjadikan mereka dalam keadaan aman sentosa menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.
Sebagai penutup yang baik, kami ingin mengingatkan tentang satu lagi peristiwa penting yang berlaku pada bulan Rajab tahun 1372 H, iaitu pengisytiharan penubuhan sebuah parti yang berjuang untuk menegakkan semula Khilafah, selepas 30 tahun keruntuhannya, iaitu Hizbut Tahrir. Parti ini menjadikan isu penegakan Khilafah sebagai isu hidup dan matinya. Ia telah merangka draf perlembagaan dan sistem-sistemnya, khususnya sistem pemerintahan dan pentadbirannya, sistem ekonomi dan polisinya yang ideal, serta menggariskan dasar luarnya, sehingga fikrahnya menjadi jelas bagi sesiapa yang berjuang untuknya (Khilafah) dan bagi sesiapa yang bakal memegang tampuk pemerintahan di dalamnya.
Parti ini telah berjaya menyebarkan fikrah ini dalam kalangan umat Islam walaupun ditentang oleh orang kafir dan pendukung mereka daripada kalangan orang-orang munafik serta mereka yang terpedaya dengan Barat dan tsaqafahnya. Orang-orang kafir telah lama mula memperhitungkan parti ini dan berusaha memburukkan reputasinya dengan menyebarkan pembohongan dan khabar angin yang jahat.
Orang-orang kafir tersebut menentang parti ini di setiap tempat dan dalam setiap perkara – daripada mengharamkannya, mengharamkan buku-buku dan penerbitan-penerbitannya, menyekat sebarang liputan ke atasnya dan aktivitinya, menganiaya para pemudanya, menyempitkan kehidupan mereka dari segenap sudut, serta memenjarakan dan menyeksa sebahagian mereka sehingga meninggal. Namun, parti ini tetap teguh menghadapi semua itu dengan pertolongan dan taufik dari Allah (swt).
Parti ini telah mencapai kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana jemaah lain dalam mengumpulkan para pemuda daripada seluruh komponen umat Islam tanpa mengira keturunan, kaum, mazhab, dan jantina, serta melangkaui segala sempadan yang dilukis oleh orang kafir antara negeri-negeri umat Islam dan rakyatnya. Maka, ia menjadi model bagi penyatuan umat Islam dalam satu negara tidak lama lagi dengan izin Allah.
Oleh itu, siapa pun yang mempunyai rasa cemburu (prihatin) terhadap umatnya, agamanya, kesuciannya, dan Masjidil Aqsa, hendaklah dia menyertai parti yang baik ini, atau sekurang-kurangnya menyokongnya mengikut kemampuan, agar gugur daripadanya dosa meninggalkan kewajipan berjuang untuk menegakkan Khilafah, dan agar dia mempunyai saham dalam penegakannya, serta agar di lehernya terdapat baiah kepada seorang Khalifah yang akan memerintah mereka dengan apa yang diturunkan Allah dan memuliakan mereka dengan kemuliaan Islam, supaya dia tidak meninggal dalam keadaan Jahiliah.
Terjemahan dari sumber asal:
https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/al-raya-newspaper/28837.html