Ramadan: Turunnya Wahyu, Terbentuknya Iman dan Ilmu, Bermulanya Peradaban – Siri 1

Tamadun Islam tidak bermula dengan bunyi pedang atau gegaran tentera. Ia tidak bermula dengan peluasan wilayah atau pengisytiharan kuasa. Ia bermula dalam kesunyian – di sebuah gua kecil di Jabal Nur – ketika Rasulullah SAW yang sering menyendiri untuk bertafakkur didatangi oleh perintah yang akan mengubah sejarah manusia:

“ Iqra’ ” – Bacalah.

Perjalanan peradaban Islam hakikatnya memang melibatkan pembinaan negara, pengurusan kuasa dan jihad yang teratur. Namun struktur itu tidak lahir dalam kekosongan. Ia bertitik tolak daripada wahyu yang diturunkan dalam bulan Ramadhan yang mulia – wahyu yang meletakkan iman dan ilmu sebagai asas segala tindakan.

Allah SWT berfirman:

Bulan Ramadan yang diturunkan dalamnya al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan tentang petunjuk serta pembeza (antara yang benar dan salah).” (TMQ al-Baqarah: 185)

Ramadhan dimuliakan bukan kerana dikaitkan dengan lapar dan dahaga, tetapi kerana ia merupakan bulan turunnya petunjuk. Wahyu bukan hanya rangkaian ayat untuk diamalkan secara peribadi; ia adalah sumber pandangan hidup yang menstruktur kefahaman manusia tentang ketuhanan, kemanusiaan dan hubungan antara manusia, sehingga daripadanya lahir susunan sosial dan terbentuk arus peradaban.

Perintah pertama bukan “berperang”, bukan “memerintah”, bukan “menakluk”, tetapi “membaca”. Ini memberi isyarat yang jelas;  perubahan dalam Islam bermula dengan ilmu. Namun ilmu yang dimaksudkan bukan ilmu yang terpisah daripada iman. Ilmu dalam Islam dipandu oleh wahyu, dan wahyu membentuk keimanan.

Di sinilah terletaknya permulaan yang hakiki: Ramadhan menyaksikan turunnya wahyu yang bukan sahaja mengakar iman dalam jiwa, tetapi pada masa yang sama membentuk kerangka ilmu dalam akal, dan integrasi keduanya membentuk peradaban Islam yang agung.

Wahyu yang Membentuk Hati dan Akal

Dalam sebuah hadis sahih disebut bahawa Jibril AS menemui Rasulullah SAW setiap malam Ramadhan untuk bertadarrus al-Qur’an bersamanya. Tradisi ini menunjukkan bahawa wahyu bukan sekadar diturunkan lalu dibiarkan. Ia dibaca, diulang, disemak dan difahami. Tadarrus itu bukan sekadar bacaan ritual. Ia adalah latihan berterusan dalam memahami dan menghayati. Bulan Ramadhan yang mulia disifatkan sebagai musim memperbaharui hubungan antara manusia dan wahyu.

Sejak awal lagi, Islam menyatukan hati dan akal di atas satu asas tunggal, iaitu iman – atau aqidah – sebagai keyakinan yang pasti kepada Allah SWT dan hari akhirat. Wahyu meneguhkan asas ini dalam jiwa dan pada masa yang sama menstruktur pemikiran serta arah kecenderungan manusia di atasnya, sehingga daripadanya tertegak neraca kebenaran, terimbang prinsip keadilan, dan tersusun tatanan kehidupan yang membentuk sebuah peradaban.

Tiga belas tahun pertama di Makkah tidak menyaksikan pembentukan negara. Tetapi dalam tempoh itu terbina sesuatu yang jauh lebih penting: generasi yang beriman dan berilmu. Mereka tidak tergesa-gesa. Mereka tidak membina kekuatan luar sebelum membina kekuatan dalam. Mereka belajar sedikit demi sedikit. Mereka memahami sebelum bertindak. Ilmu dalam Islam sejak awal tidak dipisahkan daripada amal.

Apabila iman kukuh, ilmu menjadi cahaya yang menerangi arah.
Apabila ilmu sahih, iman menjadi semakin teguh dan terarah.
Dan apabila kedua-duanya bersatu, lahirlah amal yang lurus, terukur dan membina kehidupan.

Ramadhan memperteguh iman sebagai asas yang menjadi orientasi seluruh kehidupan. Puasa bukan sekadar latihan menahan diri, tetapi proses pembentukan manusia melalui ketaatan yang disedari; ia menanam kejujuran yang tidak bergantung kepada pengawasan luar, membina kesabaran yang terarah, dan membentuk ketahanan yang berakar pada kesedaran terhadap Allah SWT. Daripada disiplin yang lahir di atas asas ini, terbentuk keupayaan untuk bertindak secara kolektif dan tersusun. Islam sebagai asas kehidupan memberi halatuju; manusialah yang membangun diri dan umat apabila mereka menyelaraskan diri dengan asas tersebut.

Ramadhan dan Pembentukan Generasi

Apabila kita meneliti sejarah awal Islam, kita mendapati bahawa kemenangan politik datang kemudian, yang datang dahulu adalah pembentukan generasi.

Generasi sahabat bukan generasi yang dibina oleh retorik, tetapi oleh proses yang panjang. Mereka mendengar wahyu, menghafalnya, memahaminya dan mengamalkannya. Mereka hidup dalam suasana di mana setiap ayat mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan. Ramadhan setiap tahun memperbaharui pengalaman ini. Ia bukan sekadar ulang tahun sejarah, tetapi pengulangan latihan. Ia mengingatkan umat tentang asas yang sama: iman, ilmu dan amal mesti berjalan bersama.

Di sinilah kita melihat bahawa Ramadhan bukan sekadar bulan ritual; ia adalah bulan pembentukan struktur dalaman umat.

Dari Pembentukan Dalaman ke Perubahan Luaran

Apabila Perang Badar berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua Hijrah, yang berdiri di medan itu bukan sekadar kumpulan manusia yang memiliki maklumat tentang Islam. Mereka adalah generasi yang telah melalui proses pembentukan iman dan ilmu selama lebih satu dekad. Bilangan mereka kecil, persediaan mereka terhad. Namun mereka memiliki kejelasan tujuan dan kesatuan hati. Kemenangan di Badar bukan sekadar peristiwa ketenteraan. Ia adalah manifestasi daripada kekuatan dalaman yang telah dibina. Disiplin Ramadhan memperkukuh kesabaran dan keyakinan kepada Allah SWT memberi ketenangan dalam situasi genting.

Begitu juga ketika pembukaan Makkah dalam bulan Ramadhan beberapa tahun kemudian. Kemenangan itu tidak diterjemahkan dalam bentuk pembalasan, tetapi dimanifestasikan melalui pengampunan. Di sinilah terlihat bahawa kuasa yang terbina di atas aqidah Islam tidak bergerak secara liar, kerana ia dipandu oleh pemikiran dan kecenderungan yang telah distrukturkan oleh wahyu. Apabila aqidah menjadi asas umum bagi cara berfikir dan arah kecenderungan manusia, tindakan yang lahir daripadanya tidak sekadar berkesan, tetapi terarah dan terstruktur.

Sebuah peradaban tidak terbentuk oleh kuasa semata-mata, tetapi oleh manusia yang telah dibina secara menyeluruh. Peradaban Islam dibina atas dasar wahyu yang membentuk iman sebagai asas keyakinan, dan pada masa yang sama menstruktur pemikiran serta kecenderungan di atas asas tersebut. Daripada kesatuan inilah lahir syakhsiyyah yang mampu bertindak secara kolektif dan tersusun. Ramadhan merupakan madrasah tahunan yang menyatukan kembali proses ini – memperkukuh iman, menajamkan pemikiran, dan meluruskan kecenderungan – sehingga daripadanya terbina tindakan yang membentuk tatanan kehidupan dan mengangkat manusia ke tahap yang lebih tinggi.

Iman dan Ilmu sebagai Asas Peradaban

Al-Qur’an menyebut bahawa Allah SWT meninggikan orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu. Susunan ini memberi makna yang mendalam. Kemuliaan dalam Islam tidak bergantung kepada kecerdasan semata-mata. Ia juga tidak bergantung kepada semangat tanpa kefahaman. Ia bergantung kepada keseimbangan. Peradaban Islam pada zaman kemuncaknya berdiri atas keseimbangan ini – hati yang tunduk kepada Allah dan akal yang berfikir secara menyeluruh dan mendalam. Iman memberi arah. Ilmu memberi kaedah.

Ramadhan sentiasa hadir sebagai detik pembaharuan keseimbangan antara iman dan ilmu — bukan hanya pada suatu zaman, tetapi di sepanjang sejarah umat. Generasi awal memahami kehadirannya bukan sekadar sebagai musim ibadah, tetapi sebagai peluang memperteguh asas rohani dan menajamkan pemikiran.

Dan pada tahun ini, Ramadhan kembali hadir dengan makna yang sama. Ibadah memperkukuh kesedaran dan hubungan dengan Allah SWT, manakala bacaan dan tadabbur menstrukturkan pemikiran di atas asas yang seiring. Oleh itu, kemenangan dalam bulan Ramadhan tidak pernah terbatas pada peristiwa di medan, tetapi terletak juga pada kelahiran dan pembaharuan suatu pandangan hidup yang mengintegrasikan iman dan ilmu dalam satu kerangka yang membimbing pembentukan peradaban yang hebat.

Benih kepada Struktur yang Lebih Besar

Daripada generasi yang dibentuk oleh wahyu ini lahir umat yang bukan sahaja beriman, tetapi mampu menyusun struktur kehidupan. Halaqah-halaqah kecil yang berpusat pada pembacaan, pengkajian dan pemahaman wahyu berkembang menjadi institusi ilmu yang tersusun. Budaya hafalan yang menjaga kemurnian teks berkembang menjadi budaya penulisan yang mendokumentasikan, menghuraikan dan memperluaskan ilmu. Daripadanya terbentuk suatu sistem pendidikan yang utuh — bukan sekadar memindahkan maklumat, tetapi membina pemikiran dan kecenderungan di atas asas iman.

Dan apabila sistem pendidikan terbina di atas asas tersebut, ia tidak berhenti pada ruang kelas atau majlis ilmu. Ia meluas menjadi kerangka kehidupan; membentuk cara masyarakat berfikir, mengurus urusan, menegakkan keadilan dan menyusun hubungan sesama manusia. Daripada sistem pendidikan yang berakar pada iman dan ilmu inilah lahir suatu sistem kehidupan yang menyeluruh, dan daripada sistem kehidupan itulah terangkat sebuah peradaban.

Namun pembentukan generasi dan tertegaknya struktur itu tidak berlaku secara spontan atau kebetulan. Ia menuntut penjagaan urusan umat secara menyeluruh — suatu kerangka yang memastikan iman dipelihara, ilmu disampaikan, dan kefahaman diwariskan dari generasi ke generasi. Ia memerlukan sistem yang bukan sahaja melindungi sempadan, tetapi memelihara neraca kebenaran; bukan sekadar mengurus keselamatan, tetapi membina pemikiran dan kecenderungan umat atas asas Islam.

Dalam Islam, penjagaan menyeluruh inilah yang difahami sebagai ri‘ayatu shu’un al-ummah – tanggungjawab mengurus seluruh urusan umat berdasarkan wahyu. Sepanjang sejarah peradaban Islam, tanggungjawab ini terjelma dalam satu sistem kepimpinan yang menyatukan penjagaan iman, penyebaran ilmu dan penyusunan kehidupan di bawah satu kerangka yang bersepadu. Sistem itulah yang dikenali sebagai Khilafah – bukan sekadar entiti politik dalam erti sempit, tetapi cerminan struktur peradaban yang memelihara asas rohani dan intelektual umat.

Apabila sistem ini berfungsi, iman dan ilmu tidak terpisah, pendidikan tidak terputus daripada kehidupan, dan kuasa tidak terlepas daripada neraca wahyu. Daripadanya terangkat suatu peradaban yang agung yang menyatukan manusia, pemikiran dan kehidupan dalam satu arah yang selaras.

*Artikel berikutnya akan menelusuri bagaimana Rasulullah SAW sebagai pembina umat dan peradaban Islam menstruktur iman dan ilmu dalam diri para sahabat, sehingga terbentuk generasi terbaik yang melahirkan tradisi keilmuan berdisiplin dan menjadi asas kepada kebangkitan peradaban Islam.*