Ramadhan: Bulan Ibadah Dan Bulan Jihad
Dalam bulan Ramadhan, seluruh umat Islam berlumba-lumba dan berusaha untuk mencapai keredhaan Allah SWT dengan mengerahkan segala kudrat yang ada walaupun tubuh badan keletihan, perut kelaparan, tekak kekeringan untuk melakukan pelbagai jenis amalan ibadah terutamanya yang bersifat sunat. Semua itu dilakukan dalam usaha untuk memanifestasikan hubungan langsung antara seorang hamba dengan Penciptanya.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 183]
Bagi umat Islam yang berakal dan sudah mencapai baligh, diwajibkan ke atas mereka untuk melaksanakan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kelebihan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain banyak dinukilkan dalam beberapa hadis. Antaranya, berkata Ibnu Abbas ra. :
“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika sekiranya umatku mengetahui segala (kebaikan) di bulan Ramadhan, nescaya mereka menginginkan supaya sepanjang tahun itu menjadi Ramadhan, kerana semua kebaikan berkumpul di bulan Ramadhan, ketaatan mudah diterima, semua doa dikabulkan, semua dosa diampuni dan syurga rindu kepada mereka'”.
Bulan yang mulia ini seharusnya direbut sepenuhnya oleh setiap kaum Muslimin agar beroleh kebaikan yang ada padanya. Bulan suci ini harus diisi dengan segala amalan-amalan soleh dengan niat lillahi ta’ala semata-mata. Dengan jaminan ganjaran pahala berlipat kali ganda untuk setiap amalan soleh yang dilakukan, ia sepatutnya memberi motivasi yang lebih kuat kepada umat Islam untuk terus konsisten mengerjakan ibadah serta amalan-amalan sunat tersebut.
Dalam penghulu bagi segala bulan ini, kita dapat melihat ramai umat Islam tidak kira tua dan muda meluangkan banyak masa untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT. Mereka berbondong-bondong pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat terawih sehinggakan memadati ruang yang biasanya lengang di waktu lain. Mereka membanyakkan bacaan Al-Quran dan berusaha untuk mengkhatamkannya serta memperbanyakkan bacaan zikir kepada Allah SWT. Mereka bersusah payah bangun sebelum subuh untuk bersahur dan sentiasa bermurah hati bersedekah untuk membantu saudara-saudara kita yang sengsara dihimpit oleh keadaan hidup yang serba kekurangan. Di bulan Ramadhan ini, kita sentiasa berlumba-lumba untuk memperbaiki dan menambahkan ibadah kepada Allah SWT. Sebagaimana para sahabat di masa lalu, ada di antara mereka yang berpuasa 3 bulan berturut-turut (Rejab, Sya’ban dan Ramadhan) dan beristiqamah dalam berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis sehingga ke akhir hayat.
Ini adalah segi ibadah khusus (solat, puasa dan bacaan Quran). Dari sudut yang lain, kita dapati bahawa para sahabat yang sedang berlapar ini juga berjuang untuk meninggikan deen Islam. Ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT di bulan Ramadhan ini bukan sahaja dihabiskan di masjid-masjid tetapi juga di medan perang. Dengan berbekalkan senjata kemenangan yang paling ampuh yang dimiliki iaitu keimanan kepada Allah SWT disertai dengan janji Allah SWT untuk memberikan pertolongan kepada kaum Muslimin, mereka berjaya mengalahkan musuh-musuh Islam dalam setiap peperangan walaupun dengan kekuatan ketenteraan yang jauh lebih kecil berbanding musuh. Dengan ketakwaan yang tinggi kepada Allah, mereka mengorak langkah dan memacu kuda ke medan jihad dengan penuh keberanian. Kesemua bukti ini dapat dilihat daripada beberapa peristiwa yang terjadi dalam bulan Ramadhan yang merupakan antara catatan gemilang yang pernah dicapai dalam sejarah umat Islam. Bulan Ramadhan bukan sahaja bulan kemuliaan yang penuh dengan ketaatan dan kebaikan tetapi juga adalah bulan kemenangan bagi kaum Muslimin. Kemenangan yang dimaksudkan bukan dalam erti kata menang dalam melawan hawa nafsu dalam berpuasa selama sebulan semata-mata, tetapi juga menang dalam peperangan jihad mengalahkan musuh, membuka kawasan/wilayah baru dan menyebarkan dakwah.
Berikut merupakan ringkasan sebahagian daripada kemenangan dan kegemilangan yang pernah diraih oleh umat Islam di bulan Ramadhan:
17 Ramadhan, tahun ke-2 Hijrah
Perang Badar Al-Kubra
Pasukan tentera Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan kaum Muslimin dalam menghancurkan pasukan kuffar musyrikin.
Ramadhan tahun ke-5 Hijrah
Persiapan Perang Khandaq
Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandaq) di sekeliling kota Madinah. Teknik perang ini tidak pernah digunakan oleh mana-mana bangsa Arab sebelum ini. Cadangan tersebut diusulkan oleh Salman Al-Farisy r.a. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan kaum Muslimin berjaya memecahbelahkan pasukan musuh.
21 Ramadhan, tahun ke-8 Hijrah
Fathul Mekah (Pembukaan Kota Mekah)
Pasukan tentera Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Beliau berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum Muslimin tanpa sebarang pertumpahan darah. Setelah pembukaan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, pembukaan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.
Ramadhan tahun k-9 Hijrah
Perang Tabuk
Pasukan tentera Rasulullah SAW tidak menemui tentera Rom, lalu mereka kembali ke Madinah.
Utusan Thaif
Utusan Thaif datang ke Madinah untuk memeluk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban Islam yang lain dan melaksanakan puasa di sana.
Utusan Raja Himyar
Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk mengisytiharkan keIslaman mereka. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.
Ramadhan tahun ke-10 Hijrah
Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera di bawah pimpinan Saidina Ali karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima dan memeluk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Saidina Ali ra. pada hari tersebut.
Ramadhan tahun ke-53 Hijrah
Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes (berhampiran Greek).
Ramadhan tahun ke-91 Hijrah
Pasukan Islam mendarat di selatan pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus melanacarkan jihad.
Ramadhan tahun ke-92 Hijrah
Panglima Thariq bin Zaid mengalahkan Raja Frederick dalam perang Fashillah.
Ramadhan tahun ke-129 Hijrah
Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan di bawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.
Ramadhan tahun ke-584 Hijrah
Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi bersama-sama kaum Muslimin mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelum ini dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar beliau berehat kerana risau tentang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab, “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”. Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.
Ramadhan tahun ke-658 Hijrah
Kerajaan Tartar hancur dan pasukannya ditahan di pintu gerbang Mesir di kota ‘Ain Jalut. Tentera Tartar sebelum ini telah menguasai sebahagian daripada wilayah Islam dan ini dianggap telah mengancam kekuatan Islam di seluruh dunia.
Catatan di atas membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus semata-mata, tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk meninggikan syiar Islam. Beberapa peristiwa yang tercatit dalam sejarah ini menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang sentiasa bergerak dengan dakwah dan jihad walaupun dalam keadaan lapar dan dahaga. Aktiviti-aktiviti futuhat (pembukaan wilayah) yang dilakukan ini merupakan aktiviti untuk menghapuskan halangan-halangan fizikal yang ada agar dakwah Islam dapat sampai kepada seluruh umat manusia. Dengan futuhat ini juga, ia telah menyatukan umat manusia dan mengangkat mereka ke tempat yang paling mulia, iaitu daripada pengabdian diri kepada sesama manusia kepada pengabdian diri kepada Allah yang Esa. Sebagai Muslim, kita perlu sedar bahawa hidup kita di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan memperjuangkan deen Allah. Kehidupan Islam yang telah lenyap hendaklah dikembalikan semula agar keindahan Islam dapat dirasai dalam kehidupan bermasyarakat serta bernegara dan bukannya sekadar manis dirasai ketika beribadah sahaja.
“Maka berhukumlah perkara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepada kamu.“ [TMQ Al-Maidah (5) : 48]
Sesungguhnya, dalam kita menunaikan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini, kita juga wajib untuk berjuang dalam menegakkan kembali deen Allah dengan menegakkan semula Islam dan Khilafah yang telah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam. Kewajipan perjuangan ini tidak ada bezanya dengan kewajipan-kewajipan dalam menunaikan ibadah puasa serta ibadah-ibadah wajib yang lain. Ini semua hanya dapat dilaksanakan sekiranya kita mengikuti thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan bukannya melalui jalan-jalan yang lain. Mudah-mudahan, Ramadhan pada kali ini menjadi bulan penyatuan kepada seluruh umat Islam, insyaallah.