Refleksi Nafsiyah: ‘Tiket Emas’ Meraih Cinta dan Redha Allah

Apa yang menghalang kita daripada beramal? Kehidupan? Dunia ini?

Ya, pada saat ini dunia berada dalam keadaan huru-hara. Teramat huru-hara. Huru-hara yang luar biasa. Bagaimana manusia dapat menyelesaikan semua huru-hara ini selain Allah (swt)? Bagaimanakah seseorang boleh melakukan sesuatu secara manusiawi untuk membaikinya? Di manakah kita akan bermula? Di mana kita bermula?! Ia seperti mustahil. Kita adalah manusia yang lemah. Kita berada dalam keadaan hidup yang rosak. Kita berada dalam keadaan terpecah-belah. Adakah kita merasa kata-kata kita ini akan memberikan kesan?

Marilah kita melakukan introspeksi dan tanyakan persoalan ini kepada diri sendiri:

Bukankah Al-Quran itu merupakan kata-kata dari Dzat Yang Maha Tinggi? Siapakah yang menciptakan umat ini? 1400 tahun yang lalu…seorang sosok lelaki telah diberikan seruan melalui kata-kata. Seruan yang indah, mulia, tidak pernah ada seruan seperti itu. Malangnya, kita hanya menilainya sebagai seruan biasa. Kita tidak seharusnya begitu! Kerana ia adalah seruan yang diberkati, dan ia menggerakkan segalanya dalam diri kita. Seruan yang mulia itu, akan membawa kita keluar daripada kegelapan menuju cahaya.

Jadi, mengapa kita beranggapan bahawa seruan itu tidak memberikan kesan sekarang? Tidak membangkitkan para tentera? Ketika Muhammad (saw), seorang lelaki yang diberkati, menyampaikan seruan yang sama kepada mereka yang berkuasa dan berpengaruh pada 1400 tahun yang lalu, setelah bersabar, dan dengan kehendak Allah (swt), Aus dan Khazraj pun menjawab seruan tersebut! Lihat, inilah masa keemasan! Inilah masa di mana para Sahabat berusaha siang dan malam. Berusaha bersama Nabi (saw), melalui pembinaan, memberikan kesedaran, berusaha mengubah masyarakat yang korup, hingga akhirnya nusrah (pertolongan) pun datang. Hanya atas kehendak Allah (swt).

Kita sekarang berada dalam fasa itu. Fasa menubuhkan sebuah negara. Kitalah yang seharusnya berusaha untuk menegakkannya! Seperti Ali (ra), Umar (ra), Aisyah (ra), Hamzah (ra)… Tidakkah anda ingin nama anda bersama mereka? Tidakkah anda ingin berdiri di hadapan Allah (swt) kelak sebagai orang-orang yang berusaha seperti yang dilakukan oleh para Sahabat (ra)? Adakah kita berfikir bahawa Allah (swt) tidak akan mengulangi pertolongan-Nya lagi?! Setelah Dia (swt) berjanji yang Dia akan melakukan perkara yang sama? Adakah kita tidak percaya kepada Allah (swt)? Atau adakah kita tidak yakin bahawa Allah (swt) akan menolong kita? Atau adakah kita tidak mahu dicintai oleh Allah (swt) sebagaimana Dia mencintai Sahabat-sahabat kekasih-Nya?!  إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ

Adakah [mengerjakan kewajipan] itu bermaksud dengan duduk bersama rakan-rakan kita sambil meminum kopi sepanjang malam? Atau dengan menonton filem sehingga kita tertidur? Atau bermain permainan video? Atau kita hanya pedulikan apa yang berlaku dalam hidup kita, dan lupa akan tujuan kewujudan kita, dan terus hanyut dalam realiti yang fana ini? Adakah semua ini maksud sebuah kewajipan? Atau adakah kita sekadar menyokong idea (kewajipan) itu?

Bayangkan begini, jika saya hendak solat dan mengajak anda untuk solat berjemaah, bolehkah anda bayangkan jawapan anda seperti ini? “Saya tidak solat buat masa ini, tetapi saya menyokong anda bersolat jemaah!” Kita faham ia adalah jawapan yang jujur tetapi apakah jawapannya kepada Allah (swt) pada hari kiamat kelak? “Saya sibuk ya Allah?”Saya menyokong orang-orang yang berusaha untuk mendirikan agama-Mu di muka bumi, secara psikologi?” Atau adakah anda mahu lidah anda berbicara bagi pihak anda dan ia berkata “Sesungguhnya saya boleh berusaha lebih banyak lagi”?

Sedangkan ini adalah ummul faraidh (ibu segala kefardhuan), yakni penubuhan “negara-Nya”. Sebuah negara yang akan memperkenalkan dunia kepada Islam yang sebenarnya, bukan Islam yang korup dan Islam yang diputar-belitkan. Negara inilah yang akan mengajarkan solat, dan mengajarkan semua kewajipan yang lain dan mengajarkan akhlak. Menegakkan “negara-Nya” adalah perintah daripada-Nya, yang nanti kita akan ditanyakan tentangnya. Rasulullah (saw) bersabda,

من خلع يداً من طاعة لقي الله يوم القيامة ولا حجة له ​​، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتة جاهلية

“Barang siapa melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya dia akan menemui Allah di Hari Kiamat dengan tanpa hujah. Dan barang siapa mati sedangkan di pundaknya tidak ada baiat (kepada Khalifah) maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah” [HR Muslim]

Allah tidak mengatakan jalan-Nya itu senang.

كِتَابٌ أُنزِلَ إِلَيْكَ فَلَا يَكُن فِي صَدْرِكَ حَرَجٌ مِّنْهُ لِتُنذِرَ بِهِ وَذِكْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

“Ini adalah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi peringatan dengan kitab itu, dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman” [Al-A’raf (7): 2]

Allah (swt) menguji seseorang berdasarkan kekuatan iman mereka. Sekiranya iman mereka rapuh, Allah (swt) mengujinya dengan ujian yang sedikit, dan jika iman mereka kuat dan kukuh, Allah (swt) akan mengujinya dengan lebih banyak lagi. Dengan cara itulah mereka memperoleh ganjaran mereka. Mereka mendapat kasih sayang-Nya.

أمن هو قانت آناء الليل ساجدا وقائما يحذر الآخرة ويرجو رحمة ربه قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون إنما يتذكر أولو الألباب

“Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” [Az-Zumar (39): 9].

Oleh itu, jika kita berfikir bahawa kita tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang boleh disumbangkan, atau kisah silam yang menghantui kita, atau kita merasa terlalu tua atau terlalu muda, ketahuilah bahawa Allah (swt) adalah Maha Pengampun, dan Dia-lah yang mencipta kita untuk tujuan ini, yakni untuk menyembah-Nya. Oleh itu, jangan merasakan yang kita tidak dapat membawa apa-apa penambahbaikan dalam usaha ini, ketika kita hanya melakukan usaha semata-mata untuk Allah (swt)! Hanya untuk mendapatkan keredhaan-Nya.

Lihatlah, ya benar kita (umat Islam) sedang lemah ketika ini, tetapi kita mempunyai Yang Maha Kuasa untuk membantu kita. Ya benar kita (umat Islam) berada dalam keadaan rosak, tetapi kita sedang membaikinya lebih baik daripada yang lain.

Kita (kaum Muslimin) sedang berpecah, tetapi hati-hati kita selalu bersatu, tidak seperti kaum lain di muka bumi ini, yang tinggal pada mereka hanyalah badan. Kita wajib berusaha untuk bersatu, untuk menjadi umat yang satu. Saya telah banyak mengemukakan persoalan, dan hanya anda sendiri yang mampu menjawabnya, dengan jawapan dari lubuk hati anda yang dalam. Mungkin ini soalan yang paling penting – sekiranya ini adalah tiket emas untuk mendapatkan cinta Allah (swt), sebagaimana Dia mencintai para Sahabat (ra), adakah anda akan membiarkannya terlepas begitu sahaja?

[Diterjemah dan diadaptasi dari: http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/radio-broadcast/radio-broadcast/21075.html]