Sambut tahun baru: sedarlah wahai umat Muhammad
Umum mengetahui bahawa jutaan wang dibazirkan untuk meraikan kedatangan tahun baru. Di Kuala Lumpur sahaja, RM15 juta dibakar untuk pesta maksiat ini, sebagaimana diakui oleh Datuk Bandarnya sendiri. Ironisnya ramai Muslim yang tidak peduli semua itu dan tetap memilih untuk berpesta. Bahkan, masih ramai di kalangan umat ini yang terjerumus dalam budaya hedonisme yang melalikan dan langsung tidak memikirkan nasib yang menimpa saudara seagamanya di tempat lain.
Kalau pun mereka terbaca berita di dada-dada akhbar, ia sekadar dibaca sebagai bentuk informasi dan bukannya atas kesedaran yang benar. Walhal, Nabi SAW telah menegaskan bahawa umat Islam ini adalah umat yang satu dan bagaikan satu tubuh yang saling merasakan kesakitan di antara satu anggota dengan anggota lainnya.
Oleh itu, keadaan ini sungguh memilukan. Tatkala Muslim Rohingya dibunuh dan diseksa dan Muslimahnya diperkosa; tatkala Palestin masih bermandi darah; tatkala Mesir terus bergolak, tatkala Syria terus menjerit; namun sebahagian umat Islam masih berpesta menyambut tahun baru, meniru apa yang dilakukan oleh kaum kafir.
Sungguh dunia ini telah memukau sebahagian Muslim. Padahal hidup ini hanyalah singkat, yang kelak akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat tentang amalan-amalan yang kita lakukan di dunia. Melalaikan tanggungjawab untuk membela nasib umat Islam dan melalaikan usaha untuk menegakkan agama Allah, ini semua adalah suatu kemaksiatan. Rasul SAW bersabda,
“Siapa sahaja yang bangun di pagi hari, sementara ia hanya memikirkan masalah dunianya, maka ia tidak berguna apa-apa di sisi Allah. Siapa saja yang tidak mempedulikan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka (kaum Muslimin)” [HR Ath-Thabrani dari Abu Dzar Al-Ghifari].
Oleh yang demikian, sedarlah wahai umat Muhammad. Tinggalkanlah amalan-amalan yang sia-sia, apatah lagi yang ditiru dari puak kuffar. Mulakan langkah perjuangan. Kaum Muslimin di Syria sedang berjuang habis-habisan untuk menegakkan Khilafah demi menerapkan hukum Allah dan membawa kesejahteraan kepada kita semua. Malah, ramai lagi kaum Muslimin lainnya sedang melakukan perkara yang sama di seluruh dunia. Justeru, marilah berjuang, agar Negara Islam yang bernama Khilafah itu tegak dan menaungi kita semua. Dengannya, Islam serta penganutnya akan mulia dan kekufuran serta penganutnya akan hina. Dengan laungan jihad dari Khalifah, negeri-negeri Muslim yang terjajah akan terbebas dan kaum Muslimin yang tertindas akan terbebas dari segala penindasan, Insya Allah.