Sejarah Kematian Ibnu Nawahah Yang Disembunyikan Oleh Golongan Anti-Hudud Murtad

Sering kali sejarah Ibn Nawahah diambil sekerat-sekerat oleh golongan atau ‘lebai-lebai’ yang menganut aliran liberal yang tidak ingin menjatuhkan hukum bunuh terhadap golongan murtad. Mereka sering menjadikan sirah Rasulullah SAW sebagai senjata mereka untuk mempertahankan pandangan mereka.

Golongan yang mengatakan bahawa antara hujah untuk tidak membunuh orang murtad ialah peristiwa Ibnu Nawahah yang berjumpa Rasulullah SAW dan pada masa itu dia telah murtad. Meskipun Ibnu Nawahah telah murtad, namun hukuman bunuh tidak dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Mereka menarik kesimpulan mudah bahawa sikap Rasulullah SAW ini menunjukkan bahawa hukuman bunuh terhadap orang murtad bukanlah satu tuntutan syarak.

Namun satu perkara yang mereka tidak tekankan bahawa semasa kejadian tersebut Ibnu Nawahah ialah utusan (duta Musailamah al-Kazzab) yang telah mendapat kekebalan politik (diplomatic immunity). Mungkin mereka tidak jelas dalam memahami hadis hukum dan illat daripada hadis tersebut yang menyebabkan mereka keliru. Sebenarnya semasa Ibnu Nawahah murtad kerana menjadi pengikut nabi palsu Musailamah Al-Kazzab, dia menjadi duta daripada Musailamah untuk berjumpa dengan Nabi SAW. Oleh sebab dia memegang jawatan ‘duta’ inilah yang memberikannya kekebalan diplomatik. Hadis ini sendiri menunjukkan dengan jelas mengapa Ibnu Nawahah tidak dibunuh iaitu kerana statusnya sebagai utusan (duta) sebagaimana yang terkandung dalam riwayat tersebut.

Ibnu Nawahah Terselamat Kerana Kekebalan Diplomatik

Untuk mengkaji perjalananan hidup dan kekebalan diplomatik ini, Hizbut Tahrir telah memperincikan perbincangan ini dalam kitab Muqaddimah Dustur, perkara 7(f) diterjemah seperti berikut.

إلاّ أنه يستثنى من ذلك السفراء، ومن هم من قبيلهم، فإنه لا تطبق عليهم أحكام الإسلام، ويعطَوْن ما يسمى بالحصانة الدبلوماسية

Meskipun demikian, perkara ini (perlaksanaan undang-undang Islam) dikecualikan untuk duta serta orang-orang yang mengambil tempatnya kerana tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam ke atas mereka. Mereka diberikan apa yang dinamakan ‘Kekebalan Diplomatik’.

وذلك لِما روى أحمد عن ابن مسعود قال: (جَاءَ ابْنُ النَّوَّاحَةِ وَابْنُ أُثَالٍ رَسُولَا مُسَيْلِمَةَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُمَا: ” أَتَشْهَدَانِ أَنِّي رَسُولُ اللهِ؟ “، قَالَا: نَشْهَدُ أَنَّ مُسَيْلِمَةَ رَسُولُ اللهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” آمنْتُ بِاللهِ وَرُسُلِهِ، لَوْ كُنْتُ قَاتِلًا رَسُولًا لَقَتَلْتُكُمَا ” قَالَ عَبْدُ اللهِ: ” فَمَضَتِ السُّنَّةُ أَنَّ الرُّسُلَ لَا تُقْتَلُ ).

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ibnu Mas’ud ra, “Telah Datang Ibnu Nawahah dan Ibnu Utsal, dua orang utusan Musailamah Al-Kazzab, kepada Nabi SAW, maka Nabi bertanya, “Apakah kamu berdua bersaksi bahawa aku adalah Rasulullah?” Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa Musailamah adalah Rasulullah” Rasulullah SAW berkata lagi, “Aku beriman dengan Allah SWT, kalaulah aku adalah pembunuh kepada pembawa utusan nescaya aku akan membunuh kamu berdua,” Maka Abdullah berkata, “Merupakan suatu ketentuan sunnah bahawa utusan tidak dibunuh”

فهذا الحديث يدل على تحريم قتل الرسل الذين يأتون من الكفار، ومِثلُ القتل سائر الأحكام. إلاّ أن هذا لمن تنطبق عليه صفة الرسول، كالسفير الدائم والقائم بالأعمال ومن على شاكلتهما.

Hadis ini menjadi dalil tentang keharaman membunuh utusan yang dihantar oleh orang kafir, dan pembunuhan ini setara dengan hukum-hakam yang lain. Namun, ia hanya meliputi orang-orang yang disifatkan sebagai utusan, seperti duta yang tetap atau sementara yang melakukan tugas dan sebagainya.

أمّا من لا تنطبق عليه صفة الرسول كالقنصل وكالمعتمد التجاري ونحوهما فإنه لا حصانة لمثلهما، لأنه لا تنطبق عليه صفة الرسول.

Namun begitu, tidak boleh diaplikasikan ciri-ciri utusan tersebut untuk konsulat, ketua rombongan perniagaan dan sebagainya kerana tidak ada kekebalan diplomatik untuk keduanya. Oleh itu, tidak diterapkan sifat-sifat utusan dalam konteks ini.

ويُرجع في ذلك إلى العرف الدولي لأنه لفظ اصطلاحي يُرجع في معرفة واقعه إلى العرف، وهو من باب تحقيق المناط، أي معرفة هل هذا يعتبر من الرسل أم لا.

Perkara ini merujuk kepada tradisi antarabangsa kerana ia (utusan atau duta) ialah lafaz teknikal yang diketahui realitinya berdasarkan ‘uruf. Dengan kata lain, ia termasuk dalam kategori men‘tahqid manath’, iaitu mengenal pasti siapakah yang termasuk dalam sifat-sifat utusan/duta ataupun tidak.

Nasib Ibnu Nawahah Selepas Tidak Lagi menjadi Utusan (Duta)

Ibnu Nawahah telah dibunuh semasa dia tidak lagi menjadi duta. Golongan yang menolak perlaksanaan hukum bunuh terhadap orang murtad dengan mengambil kisah Ibnu Nawahah ini sebenarnya tidak menceritakan kisah Ibnu Nuwahah ini dengan sempurna. Mereka hanya mengambil cerita Ibnu Nawahah tidak dibunuh walaupun murtad. Dalilnya seperti hadis berikut:

وعن حارثة بن مُضَرِّب أنه: “أتى عبد اللَّه -يعني ابن مسعود- فقال: ما بيني وبين أحد من العرب حِنَةٌ، وإني مررتٌ بمسجد لبني حَنيفة، فإذا هم يؤمنون بمسيلمة، فأرسلَ إليهم عبدُ اللَّه، فجيء بهم، فاستتابهم، غير ابنِ النَّوَّاحة، قال له: سمعت رسول اللَّه -صلى اللَّه عليه وسلم- يقول: لولا أنك رسول لضربت عنقك، فأنت اليوم لستَ برسول، فأمر قَرَظة بنَ كعب فَضَرَبَ عنقه في السوق، ثم قال: من أراد أن ينظر إلى ابن النواحة قتيلًا بالسوق؟ “. [حكم الألباني:  صحيح]

رواه أبوداود 2/228

وأخرجه النسائي (8622 – الكبرى).

Imam Abu Daud meriwayatkan daripada jalur Harisah Ibn Mudharib, bahawa dia telah berjumpa dengan Abdullah bin Mas’ud dan mengatakan “Aku tidak pernah menyimpan perasaan terhadap seoarang pun dari orang Arab, dan semasa aku melalui masjid Bani Hanifah dan terbukti mereka beriman kepada Musailamah (sebagai nabi)”. Abdullah bin Mas’ud pun pergi kepada Bani Hanifah dan setelah mereka bersemuka, Abdullah bin Mas’ud menyuruh mereka bertaubat kecuali Ibnu Nawahah. Ibnu Mas’ud berkata kepada Ibnu Nawahah “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda “Jika Engkau bukan utusan, pasti aku akan memenggal lehermu, sedangkan sekarang engkau bukan lagi utusan”. Maka Abdullah bin Mas’ud memerintahkan Qurdhah bin Kaab untuk memenggal kepala Ibnu Nawahah di tengah-tengah pasar. Lalu dia membuat pengumuman, “siapa yang ingin melihat melihat Ibnu Nuwahah dibunuh di pasar?”

Diriwayatkan oleh Imam Abi Daud 2/228, juga oleh Imam Nasa’i dalam Sunan al-Kubra no 8622.

Kesimpulan daripada dua hadis di atas, dapat kita simpulkan bahawa hukuman bunuh terhadap orang murtad itu merupakan hukum syara’ dan termasuk dalam undang-undang hudud. Namun, perkara ini tidak dapat dijalankan kepada pihak yang menikmati kekebalan politik (duta). Apabila kekebalan diplomatik ini sudah tidak ada maka mereka tetap akan dikenakan hukuman bunuh, sebagaimana sejarah hidup Ibnu Nawahah yang terselamat daripada hukuman bunuh murtad di zaman Nabi SAW kerana menjadi duta (utusan). Ibnu Nawahah dibunuh pada zaman selepas itu kerana kekebalan diplomatik telah hilang. Apa yang pasti, dapat dilihat bahawa golongan yang menolak hukum bunuh terhadap orang murtad murtad sengaja menyembunyikan dua perkara iaitu;

  1. Isu kekebalan diplomatik
  2. Tamatnya riwayat Ibnu Nawahah kerana murtad

Semoga golongan ini dapat mengkaji fiqh dan sirah Islam dengan lebih teliti sebelum memetik secara sekerat-sekerat peristiwa sejarah untuk menegakkan pendapat mereka yang salah.

Ahmad Mustafa