Sejarah Kemunculan Dan Intipati Demokrasi Serta Pertentangannya Dengan Islam (Siri 4)
- Ukuran Kebenaran
Demokrasi dapat dianggap sebagai pemerintahan majoriti dan hukum majoriti. Oleh sebab itulah pemilihan para penguasa, anggota dewan perwakilan serta anggota pelbagai badan lainnya, pihak berkuasa mahupun organisasi, semuanya didasarkan kepada pertimbangan suara ramai (majoriti). Demikian juga pembuatan hukum (undang-undang) di dewan perwakilan, pengambilan keputusan di pelbagai dewan, pihak berkuasa, badan dan organisasi, seluruhnya dilaksana berasaskan pendapat majoriti.
Oleh kerana itu, dalam sistem demokrasi, pendapat majoriti bersifat mengikat bagi semua pihak, baik penguasa mahupun bukan. Sebab pendapat majoriti merupakan sesuatu yang mengungkapkan kehendak rakyat. Jadi pihak minoriti tidak mempunyai pilihan kecuali tunduk dan mengikuti pendapat majoriti.
Sedangkan dalam Islam, permasalahannya sangatlah berbeza. Dalam masalah penentuan hukum, kriterianya tidak tergantung pada pendapat majoriti atau minoriti, melainkan pada nas-nas syarak. Sebab, yang menjadi Musyarri’ (Pembuat hukum / Legislator) hanyalah Allah SWT, bukannya rakyat (manusia).
Adapun pihak yang mempunyai autoriti untuk mentabanni (menerima pakai dan menerapkan / adoption) hukum-hukum syarak yang menjadi kewajipan untuk memelihara urusan umat dan menjalankan roda pemerintahan, hanyalah Khalifah (selaku ketua negara). Khalifah mengambil hukum syarak daripada nas-nas dalam Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya, berdasarkan kriteria kekuatan dalil melalui proses ijtihad yang benar. Dalam hal ini, Khalifah tidak wajib meminta pendapat Majlis Umat (badan syura) mengenai hukum-hukum yang akan ditabanninya, meskipun hal itu boleh sahaja dilakukannya. Para Khulafa’ Rasyidin dahulu telah meminta pendapat para sahabat ketika mereka hendak mentabanni suatu hukum syarak. Umar bin Khaththab misalnya pernah meminta pendapat kaum Muslimin tatkala beliau hendak mentabanni hukum syarak mengenai masalah tanah-tanah futuhat di Syam, Mesir dan Iraq.
Jika Khalifah meminta pendapat Majlis Umat mengenai hukum-hukum syarak yang hendak ditabanninya, maka pendapat Majlis Umat ini tidak mengikat Khalifah, meskipun pendapat itu diputuskan berdasarkan suara majoriti atau sebulat suara sekalipun. Ini kerana Rasulullah SAW pernah mengetepikan pendapat kaum Muslimin yang menolak penetapan Perjanjian Hudaibiyah, padahal pendapat kaum Muslimin pada waktu itu merupakan pendapat majoriti. Namun Rasulullah SAW tetap menolak pendapat mereka, dan tetap bersetuju dengan Perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka:
إِنِّي عَبْدَ اللهِ وَ رَسُوْلَهُ وَ لَنْ أُخَالِفَ أَمْرَهُ
“Sesungguhnya aku ini adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dan aku sekali-kali tidak akan menyalahi perintah-Nya.”
Selain itu, para sahabat yang mulia telah pun ijma’ (sepakat) bahawa seorang Imam (Khalifah) memang berhak untuk mentabanni hukum-hukum syarak tertentu, serta berhak memerintahkan rakyat untuk mengamalkannya. Kaum Muslimin wajib mentaati hukum syarak yang ditabanni oleh Khalifah tadi dan mesti meninggalkan pendapat mereka. Daripada Ijma’ Sahabat inilah diistinbat (digali) kaedah-kaedah syarak yang terkenal:
أَمْرُ الإِمَامِ يَرْفَعُ الخِلاَفَ
“Perintah (keputusan) Imam (Khalifah) itu menghilangkan perbezaan pendapat.”
أَمْرُ الإِمَامِ نَافِذٌ ظَاهِرًا وَ بَاطِنًا
“Perintah (keputusan) Imam wajib dilaksanakan, baik secara lahir mahupun batin.”
لِلسُّلْطَانِ أَنْ يُحْدِثَ مِنَ الأَقْضِيَةِ بِقَدْرِ مَا يَحْدُثُ مِنْ مُشْكِلاَتٍ
“Penguasa (Khalifah) berhak mengeluarkan keputusan-keputusan (hukum mengenai sesuatu perkara) baru, sesuai dengan perkembangan masalah yang terjadi.”
Di samping itu, Allah SWT telah memerintahkan kita untuk mentaati Ulil Amri, sebagaimana firman-Nya:
أَطِيْعُوا اللهَ وَ أَطِيْعُوا الرَّسُولَ وَ أولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya) dan Ulil Amri di antara kamu” [An-Nisa’ (4):60]
Yang dimaksud dengan أولِي الأَمْر dalam ayat di atas adalah pemerintah Muslim yang menerapkan hukum Islam.
Adapun masalah yang berhubung dengan aspek-aspek kepakaran dan idea yang memerlukan keahlian, pemikiran dan pertimbangan yang mendalam, maka yang dijadikan tolok ukur adalah ketepatan atau kebenarannya, bukan berdasarkan suara majoriti atau minoriti. Jadi masalah yang ada mesti dikembalikan kepada para ahlinya. Merekalah yang dapat memahami permasalahan yang ada dengan tepat. Masalah-masalah ketenteraan dikembalikan kepada para pakar ketenteraan. Masalah-masalah fiqh dikembalikan kepada para fuqaha’ dan mujtahidin. Masalah-masalah dalam bidang perubatan/kesihatan dikembalikan kepada para doktor yang pakar. Masalah-masalah yang bersifat teknikal dikembalikan kepada jurutera atau juruteknik dalam bidang masing-masing Masalah-masalah idea/gagasan dikembalikan kepada para pemikir yang cerdas. Demikianlah seterusnya.
Oleh yang demikian, apa yang menjadi ukuran dalam masalah-masalah seperti ini adalah ketepatan, bukan suara majoriti. Manakala pendapat yang tepat diambil daripada pihak yang mempunyai kelayakan, iaitu para ahlinya, bukan berdasarkan suara majoriti.
Penting untuk dicatat bahawa para anggota majlis perwakilan rakyat (Parlimen) baik yang ada di negeri-negeri Islam mahupun di Barat saat ini, sebahagian besar mereka bukanlah orang yang berkeahlian, dan bukan pula orang yang mampu memahami setiap permasalahan secara benar. Ini membawa maksud bahawa suara majoriti anggota lembaga perwakilan yang ada sebenarnya tidak ada faedahnya, bahkan tidak ada nilainya sama sekali. Persetujuan atau bantahan mereka di dalam pembahasan dewan hanyalah formaliti belaka, tidak didasarkan pada kefahaman, kesedaran atau pengetahuan yang benar.
Oleh kerana itulah, dalam Islam, dalam masalah-masalah yang memerlukan keahlian seperti tersebut di atas, suara majoriti tidak bersifat mengikat, kerana yang diambil kira ialah suara mereka yang pakar atau berkeahlian, bukannya suara majoriti.
Dalil untuk ketentuan ini adalah peristiwa ketika Rasulullah SAW mengikuti pendapat al-Hubab bin al-Mundzir dalam Perang Badar – Hubab merupakan pakar dalam hal kawasan-kawasan strategis di Badar – yang mengusulkan kepada Nabi SAW agar meninggalkan tempat yang dipilih oleh Nabi, kalau sekiranya ketentuan tempat itu bukan daripada wahyu. Hubab berpendapat bahawa tempat tersebut tidak sesuai untuk kepentingan pertempuran. Maka Rasulullah SAW mengikuti pendapat Hubab dan berpindah ke kawasan lain yang ditunjukkan oleh Hubab. Jadi Rasulullah SAW telah meninggalkan pendapatnya sendiri dan tidak pun meminta pertimbangan kepada para sahabat lainnya dalam masalah tersebut.
Adapun masalah-masalah yang langsung menuju kepada amal/praktis (dan tidak melibatkan hukum syarak), yang tidak memerlukan pemikiran dan pertimbangan mendalam, maka barulah suara majoriti boleh menjadi ukuran di sini, sebab majoriti orang dapat memahaminya dan dapat memberikan pendapatnya dengan mudah menurut pertimbangan kemaslahatan yang ada. Masalah-masalah seperti ini contohnya, apakah kita akan memilih si A atau si B (sebagai ketua negara atau ketua organisasi), apakah kita akan keluar kota atau tidak, apakah kita akan menempuh perjalanan pada pagi hari atau malam hari, apakah kita akan naik kapal terbang, kapal laut atau kereta api dan seumpamanya. Masalah-masalah seperti ini dapat dimengerti oleh setiap orang sehingga mereka dapat memberikan pendapatnya. Oleh kerana itu, dalam masalah-masalah seperti ini suara majoriti dapat dijadikan pedoman dan bersifat mengikat.
Dalil untuk ketentuan tersebut adalah peristiwa yang terjadi pada Rasulullah SAW ketika Perang Uhud. Rasulullah SAW dan para sahabat senior berpendapat bahawa kaum Muslimin tidak perlu keluar dari kota Madinah. Sedangkan majoriti sahabat – khususnya para pemudanya – berpendapat bahawa kaum Muslimin hendaklah keluar dari kota Madinah bagi menghadapi kaum Quraisy di luar kota Madinah. Jadi pendapat yang ada berkisar di antara dua pilihan, keluar kota Madinah atau tidak. Oleh kerana majoriti sahabat berpendapat untuk keluar kota Madinah, maka Nabi SAW mengikuti pendapat mereka dan mengabaikan pendapat para sahabat senior, lalu berangkat menuju Uhud di luar kota Madinah untuk menghadapi pasukan Quraisy.
Bersambung..