Sekilas Mengenai Polisi Pendidikan Islam
Bagi yang telah lama mengikuti kes Cikgu Fadli di media sosial, sudah pasti mengetahui isu-isu pendidikan yang dibangkitkan oleh beliau. Isu beg berat, silibus pendidikan yang syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas, subjek pembelajaran yang banyak, masa pembelajaran subjek teras yang tak mencukupi dan pelbagai lagi. Isu-isu sebegini dialami saban hari oleh para guru, ibubapa dan murid-murid itu sendiri. Secara tidak langsung, isu-isu yang berbangkit banyak merencatkan pembentukan keperibadian murid-murid sehingga mengakibatkan kerosakan sistem sosial sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini.
Pendidikan merupakan salah satu aspek yang penting dalam kehidupan. Malah boleh dikatakan dari sinilah bermulanya satu cara hidup (the way of life) yang akan memandu kehidupan setiap individu. Dari sini jugalah, akidah dan pemikiran seseorang itu dibentuk. Jika sistem yang membentuknya itu datangnya dari mabda’ (ideologi) Islam, maka akidah dan sistem Islamlah yang akan menjadi panduan hidup seseorang dan jika sistem yang membentuk itu berasal dari ideologi Kapitalis atau Sosialis, maka sistem kufurlah yang akan menjadi panduan hidup seseorang itu.
Siyasah Ta’lim (Polisi Pendidikan) Dalam Islam
Islam mewajibkan penganutnya untuk menuntut ilmu, dan proses belajar itu akan diganjari oleh Allah (swt) dengan pahala yang besar. Oleh itu, pendidikan memiliki posisi yang penting dalam masyarakat dan negara. Pendidikanlah yang akan memastikan pemikiran dan tsaqafah Islam masuk dan terjaga di tengah-tengah kaum Muslimin dari generasi ke generasi dan ia merupakan aset yang menjadi sumber ketamadunan Islam.
Objektif pendidikan Islam adalah untuk membentuk syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam) serta penguasaan atas ilmu-ilmu kehidupan seperti matematik, sains, teknologi dan rekacipta. Hasil (output) pendidikan Islam akan menghasilkan pelajar yang memiliki akidah (keimanan) yang kukuh serta pemikiran Islam yang teguh. Hal ini akan membentuk keterikatan individu terhadap hukum syarak atau dengan kata lain membentuk ketakwaan mereka. Natijahnya adalah tertegaknya amar makruf nahi mungkar di tengah-tengah masyarakat, tersebarnya dakwah dan jihad ke seluruh penjuru dunia.
Aspek fikrah dalam pendidikan Islam ini tidak boleh lari daripada metodologi (thariqah) penerapannya, iaitu negara itu sendiri (Khilafah). Perlu diingat bahawa pendidikan merupakan salah satu polisi dalam negara Khilafah, di samping sistem-sistem lain yang menjadi pilar pemerintahan. Khalifah sebagai ketua negara, wajib menetapkan polisi dan silibus pendidikan serta menjamin objektifnya terpenuhi. Rasulullah (saw) bersabda,
“Imam (Khalifah) adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyat dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas urusan rakyatnya” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Negara merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam mengatur polisi pendidikan bagi memenuhi objektif dengan merangka strategi, kurikulum, rancangan pengajaran harian, ijazah dan persijilan, penetapan waktu dan tahap persekolahan, silibus pendidikan, kalender pendidikan, penyelarasan guru dan staf akademik, sarana dan prasarana, lembaga akreditasi, penelitian dan pengembangan ilmu pengetahuan, kerjasama di peringkat internasional, pembiayaan pendidikan dan lain-lain. Polisi-polisi ini ditetapkan agar warganegara, baik Muslim atau kafir dzimmiy mendapat akses kepada pendidikan secara mudah, bahkan percuma serta berkesan.
Polisi pendidikan Negara Khilafah diatur berdasarkan hukum syarak dan berbagai peraturan administrasi yang berkaitan. Tujuan umum pendidikan dalam Islam ialah:
1. Membangun syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam) setiap pelajar;
2. Memastikan tersedianya para ulama/mujtahid dan para ahli dalam berbagai disiplin ilmu yang menjadikan Negara Khilafah sebagai pemimpin dunia.
Untuk mewujudkan tujuan ini, kurikulum pendidikan dirangka berlandaskan akidah Islam. Kurikulum yang diguna pakai hanya satu, iaitu kurikulum yang ditetapkan oleh negara. Kewujudan sekolah dan institusi pendidikan tinggi swasta tidak dilarang selama mana mengikuti polisi pendidikan negara.
Kurikulum diterapkan dengan memperhatikan kadar pertumbuhan para pelajar. Pelajar yang sudah akil baligh diasingkan daripada pelajar yang belum baligh. Pembelajaran pelajar lelaki terpisah dengan pelajar perempuan. Kurikulum ini berlangsung tanpa membezakan agama, mazhab, kelompok ataupun ras, kerana hak untuk mendapat pendidikan merupakan hak setiap warganegara.
Dalam penentuan dan penerapan kurikulum pendidikan, ia dibahagi dalam dua marhalah (tahap). Pertama: Pendidikan sekolah. Kedua: Pendidikan tinggi.
Tahap pendidikan sekolah dibahagi kepada 3 tingkat;
1. Ibtida’iyyah(umur 6 hingga 10 tahun)
2. Mutawasithah(umur 11 hingga 14 tahun)
3. Tsanawiyyah(umur 15 tahun hingga tamat pengajian). Di tingkatan ini, silibus pendidikan terbahagi kepada 3 kategori:
(i) Bahasa Arab;
(ii) Tsaqafah Islam – merangkumi al-Quran, al-Hadis, akidah, fiqh, tafsir, sirah, tarikh, dakwah dan lain-lain; dan
(iii) Ilmu dan kemahiran seperti matematik, komputer, sains, teknologi, reka cipta, perindustrian, pertanian, perdagangan, kesenian dan lain-lain. Kemahiran dan kesenian yang bertentangan dengan Islam tidak boleh diajarkan.
Kalender akademik dirangka dengan menggunakan tahun Hijrah. Setiap tahun terbagi kepada 4 semester dan boleh mengambil cuti untuk setiap semester di setiap tahun. Untuk menamatkan tahap pendidikan sekolah, para pelajar diwajibkan untuk menghabiskan 36 semester. Dengan demikian, seorang pelajar mampu menghabiskan tahap pendidikan sekolah pada usia 15 tahun dan kemudian beralih ke tahap pendidikan tinggi.
Tahap pendidikan tinggi pula terbahagi kepada dua jenis:
1. Pendidikan tinggi setaraf diploma serta Ijazah Sarjana Muda;
2. Pendidikan tinggi setaraf Ijazah Sarjana dan PhD.
Pendidikan tinggi dijalankan di pelbagai akademi dan universiti. Dalam pendidikan tinggi, tsaqafah asing seperti kapitalisme, sekularisme, sosialisme, komunisme, materialisme, dan lain-lain boleh diajarkan untuk difahami kecacatan dan kerosakannya.
Negara berkewajipan untuk menyediakan tenaga pengajar dan staf akademik yang berkualiti: amanah, kompeten dan budaya kerja yang sihat serta mampu menjadi teladan bagi para pelajar. Negara wajib menyediakan pendidikan lanjutan bagi meningkatkan kualiti tenaga pengajar berserta bantuan dan jaminan kesejahteraan.
Negara juga berkewajipan membangun segala sarana dan prasarana pembelajaran seperti bangunan, kampus, perpustakaan, makmal, asrama, ruang seminar, pusat kajian dan penelitian, pusat informasi dan penerbitan atau percetakan, pelbagai buku, jurnal, majalah, surat khabar, radio, televisyen dan lain-lain. Hal ini wajib disediakan dalam rangka untuk melahirkan para ulama atau mujtahid dan pakar yang mampu menghasilkan berbagai inovasi baik melalui penemuan (discovery) atau ciptaan (invention).
Produk yang dihasilkan merupakan produk intelektual yang berhak dimanfaatkan oleh setiap warganegara. Para pemikir, ilmuwan atau penemu tidak lagi berhak atas produk intelektualnya setelah ia memberikan penemuannya kepada orang lain dengan cara mengajarkan, menjual melalui pelbagai media, atau dengan cara lainnya yang tidak menyalahi syariah. Syariah tidak meletakkan hak cetak, menyalin, atau melindungi atas produk intelektual selama mana tidak terdapat unsur penipuan/pembohongan. Hal ini akan mewujudkan iklim yang lebih baik untuk belajar dan berinovasi.
Negara menggalakkan warganegaranya untuk menerbitkan buku, surat khabar, majalah, jurnal, serta menyiarkannya di radio, televisyen atau lain-lain saluran. Adapun bagi warganegara asing, negara melarang kesemua aktiviti tersebut kecuali buku/jurnal ilmiah selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam.
Di samping pendidikan formal yang disediakan oleh negara, negara juga membenarkan pelaksanaan pendidikan secara informal atau non-formal oleh keluarga, masyarakat dan parti politik yang dilakukan di rumah, masjid, media massa dan lain-lain platform. Bagaimana pun, negara tetap bertanggungjawab atas pendidikan informal dan non-formal ini agar berbagai pemikiran dan ilmu yang diajar tetap berlandaskan akidah Islam.
[Penulisan ini merupakan ringkasan daripada penjelasan oleh Hizbut Tahrir dalam kitab Muqadimah ad-Dustur dan juga Usus Ta’lim Fi Daulatil Khilafah]
Sumber rujukan: