Selangkah Menuju Ke Gerbang Perkahwinan
Oleh: Maryam Binti Ismail
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Wahai para pemuda, sesiapa sahaja di antara kamu yang mampu menanggung nafkah, hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan mampu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluannya. Manakala sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa dapat menjadi perisai terhadap syahwatnya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Islam sangat menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk memenuhi keperluan semulajadi manusia dalam mengekalkan keturunan (gharizatul an-nau’). Terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan sebelum membina sebuah masjid. Salah satunya adalah Rasulullah SAW menggalakkan pemilihan calon isteri yang masih bujang, baik agamanya, dan subur keturunannya. Baginda SAW bersabda, “Kahwinilah wanita yang penyayang dan subur kerana aku akan membanggakan jumlah kamu di hadapan nabi-nabi yang lain di akhirat kelak.” [HR Ahmad].
Jabir meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bertanya kepadanya, “Wahai Jabir, engkau berkahwin dengan gadis atau janda?” Jabir menjawab, “Janda.” Nabi SAW kemudian berkata, “Mengapa engkau tidak berkahwin dengan wanita yang masih gadis supaya engkau dapat bermain-main dengannya dan dia juga dapat bermain-main denganmu?” [Muttafaq ‘alayhi].
Oleh itu, lelaki disunnahkan untuk memilih wanita yang masih gadis dan diketahui subur keturunannya. Kesuburan dapat diketahui melalui silsilah keluarga wanita tersebut. Selain itu, lelaki juga dianjurkan untuk memilih wanita yang baik agamanya berbanding rupa paras, harta, atau sebagainya kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Janganlah kamu berkahwin dengan wanita kerana kecantikannya kerana kecantikannya boleh jadi akan merosakkan mereka. Janganlah kamu berkahwin dengan wanita kerana harta mereka kerana harta mereka boleh jadi akan menyesatkan mereka. Kahwinilah wanita berdasarkan agamanya. Seorang hamba wanita yang berkulit hitam, telinganya koyak, tetapi memiliki agama adalah lebih utama.” [HR Ibnu Majah].
Namun, semua ini bukanlah syarat tetapi hanya anjuran dan keutamaan sehingga tidak menjadi kezaliman atau dosa jika tidak dilakukan. Yang lebih penting adalah mendapatkan reda dari kedua belah pihak terutamanya dari pihak wanita (calon isteri).
Islam memberikan hak kepada wanita untuk menerima atau menolak lamaran yang datang kepadanya. Ini bermakna tidak ada pihak atau walinya yang boleh memaksa atau membuat keputusan terhadap lamaran yang diterima. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Seorang janda lebih berhak atas dirinya daripada walinya, manakala seorang gadis wajib diminta izin tentang dirinya dan izin tersebut adalah dengan diamnya.” [HR Muslim].
Terdapat juga hadis dari Khansa’ binti Khidzam al-Anshariyah yang berkata, “Ayahnya telah mengahwinkannya sedangkan dia seorang janda dan dia tidak sukakan perkahwinan tersebut. Kemudian dia datang kepada Rasulullah SAW, maka beliau membatalkan perkahwinan tersebut.” [HR al-Bukhari].
Kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa jika seorang wanita tidak memberi izin untuk dinikahkan, maka perkahwinannya tidak sempurna. Jika dia menolak perkahwinannya atau dinikahkan secara paksa, maka perkahwinannya dianggap fasakh (batal), kecuali jika wanita tersebut berubah fikiran dan redha terhadap perkahwinan tersebut.
Selain itu, Islam juga melarang wali wanita yang janda daripada menghalang perkahwinan yang diinginkan oleh wanita tersebut. Hal ini ditegaskan dalam al-Quran seperti firman Allah SWT, “Maka janganlah kamu (para wali) menghalang mereka daripada berkahwin lagi dengan bakal suami mereka apabila telah ada persetujuan di antara mereka dengan cara yang baik.” [TMQ al-Baqarah (2): 232].
Perkataan ‘adhl (dalam ayat di atas) bermaksud menghalang seorang wanita daripada berkahwin jika dia menginginkannya. Tindakan ini adalah haram dan orang yang melakukannya dianggap fasik. Ini juga dinyatakan oleh para fuqaha. Ibn Rusydi (Mazhab Maliki) menyatakan, “Seorang wali tidak berhak menghalang anak perempuan yang hendak diwalikannya daripada berkahwin kerana dia menginginkan pasangan yang sekufu. Jika si wali menghalang, wanita tersebut perlu membuat aduan kepada hakim dan perkahwinan tersebut dilakukan oleh wali lain yang berikutnya selain bapa (aqrab).” [Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid].
Bagi wanita yang telah dilamar dan menerima lamaran tersebut, adalah haram bagi lelaki lain untuk melamar wanita tersebut seperti yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah ibn ‘Amir bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Seorang Mukmin adalah saudara bagi Mukmin yang lain. Oleh itu, seorang Mukmin tidak boleh membeli (sesuatu) di atas pembelian saudaranya dan tidak boleh melamar (seorang wanita) jika saudaranya sudah melamarnya sehingga saudaranya itu mengabaikannya (membatalkan atau meninggalkannya).” [HR Muslim].
Namun jika wanita yang dilamar tersebut belum memberikan jawapan atau telah menolak lamaran lelaki yang melamarnya, atau masih sedang mempertimbangkan lelaki yang melamarnya, maka dalam situasi seperti ini, lelaki lain boleh melamarnya. Dalam konteks ini, wanita tersebut tidak dianggap sudah dilamar oleh sesiapa pun. Fathimah binti Qays pernah menceritakan bahawa dia pernah datang kepada Nabi SAW kemudian dia menceritakan bahawa Muawiyah dan Abu Jahm telah melamarnya. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Muawiyah sesungguhnya adalah miskin dan tidak mempunyai harta, manakala Abu Jahm tidak pernah meletakkan tongkatnya dari bahunya (suka memukul). Nikahlah dengan Usamah ibn Zayd sahaja.” [HR Muslim]. Akhirnya dia memilih berkahwin dengan Usamah, dan Allah mengurniakan kebaikan dengan perkawinan tersebut. Dia pun berbahagia dengan perkahwinan tersebut.
Itulah keindahan Islam yang menjaga segala aspek dalam menuju ke gerbang perkahwinan kerana perkahwinan bukan hanya soal hati dan perasaan tetapi juga tuntutan agama dalam melestarikan fitrah ciptaanNya untuk mempertahankan keturunan. Pernikahan juga adalah anugerah bagi umat Islam kerana ia merupakan salah satu cara bagi seorang Muslim untuk menggapai redha Allah SWT menuju ke syurgaNya kelak.