“Sembang Kencang” Hizbut Tahrir ialah untuk sedarkan umat

Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, semasa menjawab salah satu soalan dalam forum “Kegagalan Penguasa dan Sistem: Realiti dan Solusi” yang diadakan semalam (08/08/2021), menjelaskan yang kerajaan hari ini telah gagal menunaikan amanah kekuasaan yang terletak di bahu mereka. Sedangkan Allah meletakkan amanah tersebut semata-mata untuk menegakkan agama-Nya. Hasil dari kegagalan menerapkan Islam inilah, lahirnya segala kegagalan lain yang lebih banyak lagi termasuklah dalam menangani pandemik. Hal inilah yang telah memunculkan hashtag #kerajaangagal di negara ini.

Menjawab kepada satu soalan lain apabila Hizbut Tahrir dituduh gagal dalam mendirikan Khilafah, Abdul Hakim menyatakan,

“Isunya sekarang ialah gagal menerapkan Islam. Hal ini terletak di bahu pemerintah, sedangkan Hizbut Tahrir bukan pemerintah. Jadi, Hizbut Tahrir tidak boleh dikatakan gagal, cumanya ia belum berjaya menegakkan Khilafah. ‘Gagal’ dan ‘belum berjaya’ merupakan dua hal yang berbeza. Manakala dari aspek usaha untuk menegakkan Khilafah, usaha Hizbut Tahrir telah menampakkan kejayaan di seluruh dunia, kerana ternyata umat Islam semakin sedar bahawa Khilafah itu merupakan suatu kewajipan dan ingin bersatu di bawahnya. Umat Islam juga semakin sedar bahawa sistem demokrasi merupakan sistem yang rosak dan gagal, dan semua ini berpunca daripada sistem itu sendiri dan penguasa yang menerapkannya.”

Jelas beliau lagi, indikasi lain yang menunjukkan kejayaan dakwah Hizbut Tahrir ialah apabila Barat dan para penguasa yang merupakan boneka mereka merasa terancam dan melakukan pelbagai kejahatan ke atas Hizbut Tahrir dalam menghalang berdirinya Khilafah.

Menjawab soalan bahawa Hizbut Tahrir hanya tahu sembang kencang pasal semua perkara, Jurucakap HTM itu menjawab sambil tersenyum bahawa ya Hizbut Tahrir sembang kencang dalam rangka memberi kesedaran kepada umat, dan ini merupakan sebahagian tanggungjawab dakwah yang dijalankan oleh Hizbut Tahrir.

Hizbut Tahrir di seluruh dunia mempunyai misi yang satu untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah melalui jalan menegakkan Khilafah dan Jurucakap HTM itu menyeru sokongan daripada seluruh umat Islam dalam usaha ini agar kejayaan dan kemenangan umat Islam akan segera terealisasi.

Dalam sesi kedua forum, Ustaz Hakim berkongsi keunikan Hizbut Tahrir sebagai satu-satunya gerakan Islam yang benar-benar bersedia untuk menegakkan Khilafah dengan tersedianya perlembagaan dan kitab-kitab kajian mengenai sistem-sistem Islam yang meliputi aspek pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, pendidikan dan sebagainya, yang kesemuanya itu bersandarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Hizbut Tahrir telah lengkap dengan semua ini dan bersedia untuk memerintah, malah telah pun mempersiapkan ahli-ahlinya ke arah tersebut, ujar beliau.

Forum tersebut merupakan penutup kepada kempen #KerajaanGagalTerapIslam anjuran HTM yang bertujuan menyedarkan umat mengenai kegagalan hakiki kerajaan pada hari ini. Di samping Abdul Hakim, forum ini turut membariskan pimpinan pusat HTM, Ustaz Muhammad Amin dan Ustaz Ismail Yusanto selaku panelis undangan dari Indonesia, manakala seorang lagi pimpinan pusat HTM, Ustaz Umar Hussein bertindak selaku moderator.