Sembelih babi mesra pengguna?

YAN 11 Julai – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi jaminan bahawa rumah penyembelihan babi yang bakal dibuka di negeri ini akan berkonsep mesra alam, bagi memastikan keadaan persekitarannya tidak tercemar sehingga menyusahkan penduduk tempatan. Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai tapak cadangan rumah penyembelihan babi di sebuah kawasan di Sungai Toh Pawang di Bedong, yang dicadangkan oleh Persatuan Peniaga dan Penyembelih Babi Kedah.

 

“Saya difahamkan tempat itu adalah tanah persendirian yang terletak di tengah bukit, jauh dari penempatan dan memang sudah ada ternakan babi kecil-kecilan di situ.

 

Akibat menularnya konsep ‘menang-menang’, kerajaan negeri Kedah mungkin ‘terpaksa’ menggadai nilai Islam dan bersyubahat dengan kehendak orang-orang kafir terhadap perkara haram. Satu kaedah usul yang popular mengatakan,

 

Al-wasilah ila haram, haram

Pengantar kepada yang haram, (adalah) haram jua

 

Dan babi haram dimakan berdasarkan tuntutan ayat 3 surah Al-Maidah,

 

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya)..[TMQ Al-Maidah (5): 3]

 

Berdasarkan hal ini, maka segala sesuatu yang membawa kepada terhasilnya (proses) daging babi untuk dijadikan makanan turut menjadi haram. Ini termasuk juga menyediakan pusat penyembelihan, mesra alam atau sebaliknya. Bagi umat Islam, sepatutnya hukum syarak itu yang dijunjung tinggi, bukan konsep ‘menang-menang’ kerana pada dasarnya, Allah hanya menyediakan dua jalan, maaruf dan mungkar. Nah, yang mana satu pilihan terbaik bagi orang-orang yang beriman?