Seminar ‘Hubungan Khilafah dan Alam Melayu’ tutup tirai kempen Rajab 1444H

KUALA LUMPUR 19 Februari – Setelah sebulan mengadakan kempen sempena kejatuhan Khilafah pada 28 Rajab 1342H, Hizbut Tahrir Malaysia telah menutup tirai kempen kali ini dengan seminar bertema ‘Hubungkait Khilafah Dengan Alam Melayu Menentang Penjajahan Barat’.

Acara penutup tirai kempen kali ini mendatangkan tetamu istimewa dari tanah seberang iaitu Ustaz Nicko Pandawa, seorang pakar dalam sejarah Nusantara dan hubungannya dengan Khilafah. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk “Khilafah dan Alam Melayu: Relasi Jihad dalam Menentang Penjajahan Barat”.

Ust Nicko merupakan pengarah filem “Jejak Khilafah di Nusantara” (JKDN) yang telah mendapat sambutan hangat di Indonesia, selain merupakan penulis beberapa buku sejarah mengenai hubungan Nusantara dan Khilafah.

Ahli panel lain merangkumi Dr. Tarmizi Salleh, Prof. Dr. Muhammad Abu al-Ain dan Ustaz Abdul Hakim Othman, yang masing-masing membentangkan kertas kerja bertajuk “Sejarah Hubungan Alam Melayu Dengan Khilafah”, “Membongkar Perancangan Barat Menghapuskan Pemikiran Islam di Nusantara” dan “Nusantara & Kewajipan Mengembalikan Khilafah”.

Seminar yang dijalankan secara hybrid itu bermula sekitar jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 1 petang dan Alhamdulillah berjalan dengan lancar.

Antara mesej penting yang disampaikan di dalam seminar ini ialah kesedaran yang perlu ada pada umat Islam di Nusantara bahawa berdasarkan bukti sejarah yang kuat dan autentik, Khilafah dan alam Melayu mempunyai hubungan yang cukup erat dan para penguasa di Nusantara rata-rata mengiktiraf kedudukan dan kekuasaan Khalifah sebagai pemimpin tertinggi umat Islam.

Apa yang paling penting untuk diambil iktibar dan peringatan oleh umat Islam, khususnya sempena bulan kejatuhan Khilafah yang menjadi sejarah hitam umat Islam ini ialah mengenai kewajipan untuk menegakkan kembali institusi politik agung umat Islam ini dengan bersungguh-sungguh.

Hanya dengan cara ini sahajalah kita dapat mengembalikan kegemilangan Islam, mempersatukan umat Islam, mengalahkan musuh-musuh Islam, mengembalikan maruah dan kemuliaan umat ini serta kembali menjadikan Islam sebagai super power dunia. Inilah pesanan setiap ahli panel dalam seminar ini.

Walaupun Rajab telah berakhir, namun usaha dan seruan Hizbut Tahrir untuk mengembalikan semula Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah tidak akan pernah berakhir sehinggalah Allah (swt) menunaikan janji-Nya.