Seminar Khilafah di Ipoh, Perak

28 Mac – Ipoh, Hizbut Tahrir hari ini mengadakan seminar Islam sempena memperingati keruntuhan Khilafah Islam Uthmaniyyah pada tanggal 3 Mac 1924 di Istanbul,Turki. Majlis diadakan di Dewan Taming Sari, Silveritage Medan Gopeng. Pada asalnya majlis ini dirancang untuk diadakan di dewan Kuliyyah Masjid Negeri, Ipoh, namun begitu, oleh kerana pihak pentadbir masjid telah membatalkannya di saat akhir, ia dipindahkan ke Silveritage Medan Gopeng. Bagaimanapun majlis berjaya diteruskan  dengan kehadiran yang menggalakkan.

Majlis bermula pada jam 9.30 pagi dengan tayangan video bertemakan Jejak Khilafah di Nusantara. Ia kemudian disusuli dengan bacaan Al-Quran oleh saudara Arif. Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Ahmad Roni diteruskan dengan pembentangan panel pertama, Ustaz Abu Aiman yang menyentuh mengenai matlamat dan perjuangan Nabi Muhammad SAW. Beliau menekankan perlunya umat manusia terutama umat Islam untuk meneladani seluruh kehidupan Rasulullah sepanjang beliau menjadi Rasul Allah yang terakhir.

Ahli panel kedua, Ustaz Khairul @ Ridhuan Hakim pula menyampaikan pembentangannya yang berkisar tentang tema majlis iaitu ‘Menuju Kemuliaan Dengan Khilafah’. Beliau memberikan penerangan berkaitan kewajipan umat Islam hidup dalam kehidupan Islam sebagaimana yang Rasulullah SAW contohkan. Kehidupan Islam tidak mungkin terlaksana dalam tanpa tertegaknya institusi Khilafah. Di akhir pembentangan, beliau menekankan bahawa usaha untuk mengembalikan semula Khilafah perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam ketika ini memandangkan itulah satu -satunya institusi pemerintahan Islam yang mampu menyelesaikan segala permasalahan manusia serta membawa kemuliaan dalam hidup mereka.

Dalam perkembangan yang sama, pada sebelah malamnya, Hizbut Tahrir Malaysia cawangan Perlis turut mengadakan majlis yang sama di Kuala Perlis. Seminar dibentangkan oleh dua orang ahli panel, Ustaz Saad Abdullah dan Ustaz Umar Hussein.

 

Hizbut Tahrir, sebuah parti politik yang bergerak di seluruh dunia di lebih 40 buah negara bekerja keras untuk mengembalikan kehidupan Islam melalui penubuhan sebuah institusi politik umat Islam – Daulah Khilafah. Dengan penganjuran seminar-seminar seperti ini, Hizbut Tahrir Malaysia berharap semoga suatu kesedaran dapat dibentuk dalam pemikiran umat Islam khususnya di Malaysia tentang kewajipan untuk hidup di bawah Islam.