Seminar “Peranan Muslimah Dalam Membawa Perubahan Dunia”
Keberanian para Muslimah dalam arus revolusi di Timur Tengah hari ini adalah sesuatu yang cukup positif untuk kita menilai betapa besarnya sumbangan mereka dalam membantu membawa perubahan kepada dunia Islam. Dunia yang di dominasi oleh sistem kapitalisme hari ini telah menyaksikan betapa sengsaranya manusia tidak terkecuali para Muslimah. Seminar dipengerusikan oleh Ustazah Asma’ serta telah mendatangkan 2 orang ahli panel, iaitu Ustazah Ummu Hajar dan Ustazah Aisyah yang juga merupakan Ketua Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia.
Dalam pembentangan ahli panel pertama Ummu Hajar telah menjelaskan fakta dan realiti yang berlaku kepada wanita hari ini. Ternyata kapitalisme tidak mampu untuk membawa kehidupan yang sejahtera kepada para wanita. Ini berbeza dengan zaman Rasulullah SAW yang mana kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita jahiliyyah kepada golongan yang dijaga kehormatannya dan diberikan hak-haknya. Malangnya kini martabat golongan wanita telah kembali semula kepada zaman dan era jahiliiyah. Mereka dieksploitasi dari segenap sudut.
Aisyah selaku ahli panel terakhir, telah menghuraikan dan menjelaskan bagaimana peranan yang boleh dimainkan oleh para Muslimah dalam membawa perubahan sebenar sebagaimana yang pernah dilakukan oleh para Muslimah unggul di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu. Tiga peranan besar Muslimah untuk memastikan perubahan daripada dunia kapitalisme kepada Islam yang kaffah tersebut adalah – menjadi ibu yang berideologi, menjadi pendakwah serta ahli politik yang hebat. Formula ini telah terbukti berjaya dilaksanakan beberapa Muslimah unggul seperti ibu Imam As-Syafie dan Muhammad Al-Fateh, Asma’ bt Abu Bakar dan Fatimah bt Yazid.
Sebelum mengakhiri seminar, sesi soal jawab selama hampir 50 minit membuka ruang seluasnya kepada semua yang hadir mengajukan soalan kepada ahli panel. Di antaranya adalah mengenai persoalan seputar taklid kepada sesuatu mazhab serta aktiviti dakwah dan cabarannya. Sebagai penutup seminar kali ini, para tetamu turut tersentuh dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Ustazah Husna dan Ummu Hakimi.
Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia mengucapkan setinggi terima kasih terutamanya kepada jawatankuasa yang melaksanakan tugas dakwah ini dengan sebaiknya serta semua tetamu jemputan yang sama-sama melapangkan masa datang ke seminar kali ini.