Seruan Bersempena dengan 88 tahun Kejatuhan Daulah Khilafah di Masjid Negara

KUALA LUMPUR 02 Mac: Selepas selesai solat Jummat, para syabab (pemuda) Hizbut Tahrir telah berkumpul di perkarangan Masjid Negara bagi menyampaikan satu seruan bersempena dengan 88 tahun kejatuhan Daulah Khilafah Islamiyyah di Turki yang berlaku pada tanggal 3 Mac 1924. Seruan dimulakan oleh Ustaz Abu Imtiyaz selaku pembuka bicara  dengan menyeru para jemaah solat Jumaat yang hadir untuk bersama-sama mendengar dengan teliti pembacaan seruan yang akan disampaikan. Beliau menjelaskan secara sepintas lalu bahawa betapa perlunya umat Islam hari ini menyedari tentang kesan dan akibatnya apabila institusi politik Khilafah itu hilang daripada kehidupan umat.

Bacaan seruan kemudiannya telah disampaikan oleh Ustaz Burhanuddin. Beliau memulakan seruan dengan secara ringkas menjelaskan kepada para jemaah tentang realiti keadaan yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia pada hari ini, dengan 1001 jenis masalah dan krisis yang berlaku. “Lihatlah apa yang berlaku di Syria pada saat ini! Bagaimanakah dengan nasib umat Islam di Palestin ketika ini?!”, teriaknya. “Fikirkanlah keadaan saudara Islam kita di Afghanistan, Iraq, Indonesia dan lain-lain lagi”, tegasnya dengan lantang. “Bukankah kesemuanya berpunca daripada tidak diterapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara?”.

“Keadaan umat Islam hari ini jika kita bandingkan dengan zaman keemasan Khilafah yang terdahulu ternyata cukup berbeza, umpama langit dan bumi”, katanya lagi. Catatan emas di era kegemilangan Khilafah di bawah Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan salah satu contoh yang dapat dilihat bagaimana Islam mampu dan berupaya membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh alam, sesuai dengan firman Allah SWT:

“Dan tiadalah Kami mengutuskanmu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”
[TMQ al-Anbiyaa’ (21) : 107]. 

Semasa Khilafah memimpin dan menyatukan dunia dan umat Islam berada di bawah pimpinan seorang Khalifah, ternyata Islam menjadi hebat dan kuat. Wilayah Islam semakin meluas dan umat Islam menjadi umat yang terbaik yang sentiasa memimpin dunia. Kini, realiti dan keadaan tersebut telah menjadi sebaliknya. Inilah kesan dan akibatnya apabila hilangnya kuasa politik Khilafah daripada pentas  dunia dan terpisah daripada batang tubuh umat Islam. Mahu tidak mahu, inilah hakikat pahit yang perlu diakui dan diterima oleh umat Islam.

Di akhir seruan, ustaz Burhanuddin mengajak dan menyeru umat Islam yang mendengar seruan tersebut untuk menyediakan diri dan bersama-sama bergabung dengan Hizbut Tahrir yang sentiasa ada di tengah-tengah mereka bagi memperjuangkan agar tertegaknya Daulah Khilafah Islam. Semoga kegelapan yang meliputi dunia dan umat Islam pada saat ini akan sirna dengan segera dan umat Islam akan dapat meraih semula kemuliaannya sesuai dengan firman Allah SWT:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah daripada yang munkar, dan beriman kepada Allah”
[TMQ Ali ‘Imraan (3) : 110].

{sfx rss=’https://picasaweb.google.com/data/feed/base/user/116661879362415969427/albumid/5717499807348074145?alt=rss&kind=photo&hl=en_US’ display=’album’}