Seruan HTM menjelang 100 Tahun Kejatuhan Khilafah

KUALA LUMPUR 24 Nov – Hari ini genap 100 hari menuju 3 Mac 2024, yang bakal menggenapkan 100 tahun Masihi runtuhnya Daulah Khilafah di Turki, setelah institusi politik agung umat Islam itu menaungi dunia selama lebih 1300 tahun.

3 Mac 1924 merupakan tarikh hitam dalam sejarah umat Islam apabila pengkhianat umat, Mustafa Kamal yang bekerjasama dengan British, berjaya meruntuhkan Daulah Islam, yang penubuhannya dimulakan oleh Rasulullah (saw) sendiri.

Menjelang genapnya 100 tahun kejatuhan Khilafah, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan satu seruan di Masjid Negara, bagi memperingatkan umat Islam, sekali gus menyedarkan mereka mengenai kewajipan untuk menegakkan kembali institusi politik tersebut, yang akan mengembalikan kekuatan dan kemuliaan umat Islam di persada dunia.

HTM mengingatkan antara lain akan pembantaian yang dilakukan oleh Yahudi La’natullah di bumi Palestin sekarang, adalah akibat daripada kejatuhan Khilafah, yang mana British yang berkuasa pada waktu itu telah menyerahkan tanah Palestin kepada Yahudi, dan sejak itu negara-negara Barat menjadi penjaga dan pelindung entiti haram itu hingga kini.

Telah terbukti dari segi sejarah dan realiti bahawa kejatuhan Khilafah menjadi penyebab kepada segala penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam, lebih-lebih lagi apabila penguasa yang diangkat oleh Barat untuk memimpin umat Islam hanyalah merupakan ejen dan boneka mereka semata-mata, walaupun telah bersilih ganti sampai sekarang.

HTM menyeru umat Islam agar berganding bahu untuk menegakkan kembali Khilafah yang bukan sahaja akan menjadi institusi penerap syariah secara kaffah dan pemersatu ummah, malah akan menjadi pembebas bumi Palestin dan lain-lain wilayah umat Islam yang sekarang ini sedang dijajah oleh puak kuffar.

Di akhir seruan, HTM mengambil kesempatan melancarkan kempen “100 Tahun Kejatuhan Khilafah, Ayuh Tegakkannya Kembali” bertujuan memberikan kesedaran berterusan kepada umat Islam akan kewajipan mendirikannya kembali serta mengajak umat Islam agar berganding bahu dengan Hizbut Tahrir bagi merealisasikannya.

 

Tonton video seruan: https://www.facebook.com/HTM1445/videos/873362920860499