Siapa Clooney untuk campur tangan dalam urusan umat Islam?
Pelakon George Clooney dengan angkuhnya mendakwa kempen boikot terhadap hotel milik Sultan Brunei telah berjaya mendesak penangguhan perlaksanaan hukuman hudud bagi kesalahan hubungan sejenis. Terdahulu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah melanjutkan moratorium hukuman mati di bawah hudud bagi kesalahan seks sejenis setelah berhadapan dengan tekanan daripada banyak pihak terutamanya Barat.
Dalam sebuah rancangan temubual, Clooney turut memberikan amaran kepada negara-negara seperti Indonesia dan Malaysia yang dikatakan sedang mempertimbangkan undang-undang tersebut. [Sumber: Astro Awani, 15 Mei 2019]
Kebiadapan Clooney yang cuba masuk campur dalam urusan negara-negara umat Islam ini merupakan antara bukti keangkuhan golongan kuffar seolah-olah mereka berhak untuk menentukan segala sesuatu aturan di dunia ini. Selain daripada kempen tersebut, Brunei turut berhadapan dengan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta ahli politik beberapa buah negara yang menganggap perlaksanaan hukuman tersebut kononnya mencabuli hak asasi manusia buat golongan LGBT.
Hukuman hudud merupakan sebahagian daripada syariat Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilaksanakan meskipun mendapat tentangan hebat dari segenap penjuru. Allah SWT selaku Pencipta manusia dan sekalian alam pastinya Maha Mengetahui baik buruk bagi makhluk ciptaan-Nya. Tidak seperti manusia yang bersifat terbatas dan jangkauan akalnya yang terhad serta dipengaruhi persekitaran di sekelilingnya.
Jika diperhatikan hukum dan pandangan hidup yang lahir daripada akal manusia sentiasa berubah-ubah selaras dengan pengaruh suasa di sekeliling mereka. Sesuatu yang bertentangan dengan norma satu ketika dahulu, mungkin sahaja diterimapakai dalam masyarakat pada hari ini sedangkan mungkin sahaja memberikan kesan buruk kepada masyarakat tersebut. Hal sebaliknya juga boleh terjadi, sebagaimana yang kita saksikan dalam masyarakat yang diatur dengan sistem buatan manusia pada hari ini.
Tanpa bimbingan wahyu, manusia terdedah kepada melakukan perbuatan yang akhirnya boleh mendatangkan mudarat serta kebinasaan atas diri mereka sendiri. Firman Allah SWT,
وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“…boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [TMQ al-Baqarah (2): 216].
Dalam menanggapi isu ini, umat Islam tidak sewajarnya akur kepada desakan dan tekanan golongan kuffar sehingga mengetepikan kewajipan menerapkan syariah Islam secara kaffah. Malangnya, para penguasa umat Islam hari ini rata-rata enggan melaksanakannya kerana bimbang kedudukan dan kekayaan mereka tergugat. Bahkan sebahagiannya pula langsung tidak mempertimbangkannya, manakala sebahagian lain pula ada yang bahkan menentang penerapannya. Sedangkan umat yang berjumlah lebih daripada 1.6 bilion ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk menghadapi tentangan dan sekatan daripada musuh-musuh Islam seandainya digembleng di bawah sebuah kepimpinan yang ikhlas untuk menerapkan syariah Islam dalam bingkai Khilafah. Malangnya, umat Islam berada dalam keadaan berpecah-belah serta dicengkam sistem kapitalisme yang mendominasi tatacara dunia pada hari ini.