Simpanan Emas Untuk Kalis Inflasi Merupakan Natijah Kepada Kerosakan Sistem

Mutakhir ini muncul fenomena “gold rush” dan selari dengan itu banyak persoalan timbul sekitar hukum syarak mengenai transaksi jual-beli emas mahupun perak dalam kalangan umat Islam. Selain itu, terlalu banyak syarikat dan individu yang bertopengkan pelaburan emas telah wujud yang tidak lebih sekadar skim ponzi dan penipuan. Dengan kemajuan teknologi di era maklumat serta transaksi di hujung jari serta perkembangan mengenai pembelian dalam talian (online), pastinya urusan jual beli barang ribawi ini tidak akan terkecuali dan akan termasuk dalam perbincangan mengenainya.

Islam merupakan satu-satunya agama yang mengatur hukum jual-beli mengenai kedua-dua logam berharga ini, sama ada emas mahupun perak. Tiada agama lain selain Islam yang membahaskan secara khusus mengenai akad serta syarat terkait dengan muamalah ke atas logam ini, termasuklah hukum mengenai zakat emas dan perak. Emas dan perak merupakan logam yang memiliki nilai dan posisinya yang istimewa di hati setiap manusia merupakan suatu fitrah. Sebagai manusia yang waras, pastinya tidak akan menolak sekiranya diberikan emas secara percuma tanpa sebarang imbalan. Malahan, penerimaan manusia terhadap emas ini akan tetap bersifat “evergreen” hinggakan ia dijadikan hiasan para penghuni syurga di akhirat kelak sebagaimana firman Allah (swt) dalam Surah Al Kahfi;

أُولٰئِكَ لَهُم جَنّٰتُ عَدنٍ تَجري مِن تَحتِهِمُ الأَنهٰرُ يُحَلَّونَ فيها مِن أَساوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلبَسونَ ثِيابًا خُضرًا مِّن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ ۚ نِعمَ الثَّوابُ وَحَسُنَت مُرتَفَقًا

“Mereka itu disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah syurga tempat berehat yang sebaiknya” [Al-Kahfi (18):31].

Antara penyebab sesetengah individu memilih untuk membuat simpanan berbentuk emas sebagai simpanan jangka masa panjang berbanding dengan wang tunai adalah disebabkan sifatnya yang kalis inflasi. Dengan simpanan emas ini, ia mampu untuk menampung peningkatan harga barangan serta penurunan kuasa beli wang tempatan kerana kemerosotan nilainya dengan kadar tukaran matawang utama dunia seperti dolar Amerika yang banyak digunakan dalam perniagaan antarabangsa.

Kuasa beli yang dimiliki oleh emas tetap kekal utuh sejak zaman berzaman sehingga ke hari ini sebagaimana yang dibuktikan hadis daripada sahabat baginda Rasulullah (saw) iaitu Urwah bin Ja’ad yang membeli seekor kambing pada harga 1 dinar (4.25 gram emas). Pada harga yang sama (1 dinar) ketika ini masih mampu untuk membeli seekor kambing bersaiz sederhana meskipun telah berlalu lebih seribu tahun.

Banyaknya tumbuh syarikat menjual emas sebagai simpanan dan pelaburan tidak boleh dipisahkan daripada natijah kerosakan sistemik kerana tidak diterapkan sistem ekonomi dan sistem kewangan sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam.

Jika sistem ekonomi Islam diterapkan, tiada keperluan untuk membuat simpanan emas bertujuan untuk menampung inflasi serta penurunan kuasa beli wang fiat. Ini kerana dalam sistem ekonomi Islam, dinar dan dirham merupakan matawang syarie yang akan digunakan oleh negara. Selain itu, dengan perjalanan ekonomi negara tanpa praktik riba pastinya akan memberikan suatu suasana perekonomian yang mampan serta tidak akan memiskinkan rakyat secara tanpa sedar kerana penurunan nilai matawang.

Oleh itu, untuk memastikan agar kita tidak terjerat dan terjerut dengan sistem yang ada, usaha untuk kembali kepada emas dan perak ini hendaklah berjalan seiring dengan usaha untuk menggantikan sistem ekonomi kapitalisme yang rosak ini secara keseluruhan. Bukanlah suatu kesalahan untuk memiliki simpanan berbentuk emas dan perak sekarang ini, namun apa yang penting ialah kita memastikan segala transaksi atau akad berkaitan barang ribawi ini tidak menjerumuskan kita ke lembah dosa akibat terlibat dengan transaksi atau akad yang menyalahi syarak. Segala transaksi terkait dengan urusan jual-beli emas dan perak haruslah diteliti dengan mendalam dan dipastikan agar tiada keraguan padanya supaya ia memenuhi segala rukun serta syarat jual-belinya. Tiada gunanya kenikmatan dunia yang berjumlah setitis air dihujung jari jika digadaikan dengan kenikmatan syurga Allah yang seluas lautan.

Wallahu a’lam.

Ir. Yusuf Muhammad