Sistem kapitalisme semakin menakutkan rakyat
Fenomena di mana kira-kira 40 peniaga di Kawasan Perindustrian Taman City, Segambut, yang terpaksa menjalankan perniagaan melalui celah-celah jeriji pagar kedai masing-masing demi keselamatan nyawa mereka memberikan gambaran bahawa betapa semakin kroniknya masalah masyarakat pada hari ini. Keadaan ini sudah cukup membuktikan bahawa sistem kapitalis yang begitu ditaati oleh para pemimpin sekular pada hari ini merupakan sistem yang rosak dan melahirkan masyarakat yang penuh bermasalah. Tidak ada pihak yang dapat menafikan apatah lagi menyembunyikan realiti ini. Keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, tetapi juga di seluruh dunia di mana sistem hidup dikuasai oleh nuansa jahiliyyah, bermula daripada akarnya yang buruk sehinggalah ke buahnya yang busuk. Justeru, adakah kita akan terus membiarkan keadaan ini terus berpanjangan padahal Islam telah lama memberikan jawapan dan penyelesaian kepada segala permasalahan ini? Apakah Najib dan barisan kabinetnya tidak pernah membaca firman Allah SWT:
“Apakah hukum/sistem jahiliyyah yang mereka kehendaki? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum/sistem bagi orang-orang yang yakin?
[TMQ al-Maa’idah (5) : 50].
Atau firman Allah:
“Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20) : 124].
Bukankah Islam itu suatu rahmat bagi sekalian alam, baik ke atas umat Islam ataupun bukan Islam. Sebaliknya, apa sahaja ideologi dan sistem kehidupan yang selain daripada Islam adalah batil dan ia pastinya tidak akan membawa sebarang kesejahteraan kepada umat manusia. Firman Allah SWT:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al-Anbiyaa’ (21) : 107].
Hanya orang-orang yang beriman dan yakin sahaja yang akan tunduk kepada ketentuan Allah SWT dengan sepenuh hati tanpa sebarang keraguan. Bagaimana pula dengan para pemimpin negara yang ada pada hari ini?
Sumber:kosmo.com.my