SN009 – ISLAM HADHARI…..ISLAM KAFFAH?
SN Keluaran 2005
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu” [Maksud Terjemahan Al-Baqarah: 208]
[SN009] Wacana Islam Hadhari yang diumumkan pada bulan September 2003 di peringkat nasional oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri (NST, Jun 26, 2004: 11) sekarang ini hangat dibualkan di dada-dada akhbar arus perdana, juga majalah bersifat Islam, tidak ketinggalan di Parlimen. Konsep Islam Hadhari juga disampaikan oleh Perdana Menteri di dalam ucapannya di Oxford Centre of Islamic Studies Magdallen College, University of Oxford, England (UM 2 Oktober, 2004: 6), kemudian disampaikan di Jamiah Milliah Islamiyyah di New Delhi (NST, 22 Disember, 2004: 6). Artikel atau bahan yang memuatkan konsep yang sama telah dikarang oleh Nakhaie Haji Ahmad atas judul `Masyarakat Islam Hadhari` telah diterbitkan oleh YADIM pada tahun 2004 dan terbaru, Ashaari Muhammad, bekas pemimpin gerakan Al-Arqam merasakan Islam Hadhari amat sesuai dengan citarasa dan seleranya dan beliau turut mengarang dan mengeluarkan buku berjudul “Islam Hadhari Menurut Ustaz Hj. Ashaari Muhammad” yang diterbitkan oleh Rufaqa` Corporation dalam tahun 2004. Dalam sibuk memperkatakan Islam Hadhari adalah satu alat untuk mentamadunkan umat Islam, muncul suara-suara kritikan dari pihak lain tentang penggunaan istilah ‘Hadhari’ itu samada ia sesuai atau tidak dinisbahkan (sifat-mausuf) kepada Islam.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengkritik dengan hebat, yang mana menurutnya, istilah Islam Hadhari tidak wujud tetapi yang sebenarnya adalah Hadharah Islamiyyah. Kemudian datang pula Saudara Astora Jabat menyelar pendapat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang berkata istilah Islam Hadhari ini betul dari segi konteks bahasa Arabnya dan digunakan dalam Majalah Arab. Pada tanggal 30 Januari 2005 bertempat di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak, Selangor, buku “Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari” karangan Presiden Pas, Yang Berhormat Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang telah dilancarkan. Penyelewengan penterjemahan Judul Buku Manhaj Hadharah Insaniah fil Al-Quran, oleh Yayasan Islam Hadhari kepada Islam Hadhari Dalam Pembangunan Insan didedahkan oleh Harakah yang mana terjemahan yang sepatutnya adalah Tamadun Kemanusian di dalam Al-Quran. (Harakah 1-15 Mac 2005 : 1).
Sautun Nahdah pada kali ini ingin mengajak pembaca kepada Islam itu sendiri, bukannya untuk berpolemik istilah Hadhari. Kami merasa adalah amat penting untuk kita membekalkan pengetahuan yang benar tentang Islam supaya umat tidak terkeliru berkenaan dengan apakah yang sebenarnya Ajaran Islam itu. Ini penting terutamanya bila negara Barat sibuk melancarkan serangan kepada Islam dengan berbagai-bagai label, sedangkan umat Islam pula berusaha melakukan pembelaan terhadap Islam dengan menyesuaikan Islam sebagaimana yang yang diingini oleh Barat.
Islam Sebagai Sebuah Cara Hidup
Memperkatakan Islam sebagai cara hidup mestilah memenuhi tuntutan sebagaiman yang terdapat di dalam ajaran Islam itu sendiri. Jadi Islam ditakrifkan sebagaimana di bawah;
Islam adalah Agama yang diturunkan Allah kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Khaliq-nya, dengan dirinya dan dengan manusia sesamanya. Hubungan manusia dengan Khaliq-nya mencakup peraturan-peraturan yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Hubungan manusia dengan dirinya mencakup peraturan-peraturan yang berkaitan dengan akhlak, makanan, dan pakaian. Hubungan manusia dengan sesama manusia mencakupi peraturan-peraturan yang berkaitan dengan mu’amalah dan uqubat. [ Taqiuddin An-Nabhani, Sistem Islam, ms 69]
Dari definisi ini, ia menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhamad SAW yang mana ia adalah agama samawi yang mengatur;
i) Hubungan Allah dengan hambanya, meliputi aspek akidah dan ibadah mahdah (solat, puasa, zakat, Haji dll)
ii) Hubungan individu dengan dirinya sendiri iaitu menyangkut apa yang perlu dia lakukan untuk keperluan dirinya seperti aspek makanan, pakaian dan akhlak.
iii) Hubungan individu dengan individu lain iaitu meliputi aspek mu’amalah dan uqubat.
Hubungan tiga dimensi ini terkandung di dalam ajaran Islam yang melayakkannya untuk dijadikan cara hidup sempurna kepada manusia yang menganutnya, yang menerbitkan lima sistem asas bernegara, iaitu sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, polisi luar negara dan polisi pendidikan negara. Islam sebagai sebuah cara hidup yang sempurna dan tidak memerlukan ideologi atau sistem lain dari luar sistem Islam, kerana ideologi Islam itu telah sempurna sebagai sebuah cara hidup yang diredhai oleh Allah SWT
Firman Allah Ta’ala;
“Sesungguhnya agama yang diterima Allah adalah Islam” [TMQ Ali-Imran (3):18].
Dalam ayat ini, ia menerangkan bahawa cara hidup yang diredhai oleh Allah hanyalah Islam, bukan cara hidup lain seperti kapitalisme, komunisme, Darwinisme, Socialisme dan bermacam-macam isme-isme rekaan atau buatan manusia. Ini adalah kerana semestinya sebuah ideologi yang lengkap sebagaimana Firman Allah;
“Hari ini telah Aku sempurnakan bagimu Deen kamu dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, serta Aku redhai Islam sebagai Deen bagimu.” [Maksud Terjemahan Al-Maidah: 3]
Pada masa kini, ada di kalangan umat Islam yang menganggap Islam itu tidak lebih dari akidah ruhiyyah (kerohanian) yang hanya membicarakan masalah ibadat sahaja. Nabi Muhammad SAW dan para sahabat telah menunjukkan kepada kita bahwa mereka bukan hanya ahli ibadat tetapi juga adalah negarawan, pakar ekonomi, mujahidin dan pentadbir yang cekap. Pendekatan mereka memenuhi tuntutan Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu” [Maksud Terjemahan Al-Baqarah: 208]
Islam sebagai sebuah cara hidup ini meliputi dua doktrin asas;
i) Akidah ruhiyyah iaitu meliputi perkara ibadah dan akidah (hubungan langsung dengan Allah).
ii) Akidah siyasiyah iaitu meliputi perkara yang mengatur urusan hidup seperti makanan, pakaian, akhlak dan perkara yang meliputi 90% urusan hidup kita iaitu mu’amalat dan ‘uqubat. (Sila lihat Carta Definisi Islam)
*** CARTA BOLEH DIDAPATI DARI FAIL PDF ***
Perlu difahami dengan jelas bahawa perkara mu’malah dan uqubat (sistem penghakiman) ini adalah sebahagian dari ajaran Islam yang banyak diselewengkan dan ditukar dengan sistem ciptaan manusia.
Mana-mana ajaran yang bersifat ideologi memiliki method khusus supaya ideologinya tetap dominan dan wujud dalam aspek kehidupan. Islam datang dengan sejumlah hukum yang mengawal ajarannya dan ia merupakan sebahagian ajaran itu sendiri.
Mabda’ Islam juga mencakupi tariqah (method) untuk merealisasikan perkara di bawah:
(1) Penguatkuasaan Hukum Syarak; sebagai contoh Islam melarang seseorang melakukan zina. Maka sekiranya ada individu yang berzina akan dikenakan hukuman 100 kali sebatan untuk yang belum berkahwin. Hukuman sebatan ini menjadi aspek utama untuk penguatkuasaan hukum zina. Islam juga membenarkan pemilikan peribadi, tetapi tanpa penguatkuasaan, ianya tinggal sebagai sebuah ajaran yang tidak ada method/kaedah. Maka, Islam menguatkuasakannya dengan hukuman pemotongan tangan kepada pencuri.
(2) Memelihara akidah Islam agar bertahan dalam arena kehidupan, Islam amat serius dalam menjaga akidah penganutnya yang mana method menjaganya adalah dengan dilaksanakan hukuman bunuh kepada golongan murtad.
(3) Membawa akidah Islam kepada mereka yang belum meyakininya dengan method jihad sebagai penghilang halangan fizikal dari pihak negara kepada negara yang lain.
Tatacara untuk melaksanakan mabda’ ini ialah dengan menerapkannya di dalam wadah Negara Islam (Khilafah). Dalam melaksanakan mabda’ tersebut, Negara berpegang kepada 3 prinsip:
(1) Ketaqwaan seorang muslim memegang ajaran Islam
(2) Masyarakat yang sentiasa prihatin dengan amalan Amar Makruf Nahi Mungkar
(3) Penguatkuasaan undang-undang Islam dan seluruh hukumannya.
Tatacara untuk mengembang dan menyebarkan mabda’ pada bangsa-bangsa lain yang belum mengimaninya adalah melalui jihad oleh Daulah. Jihad bertujuan untuk mengatasi berbagai halangan dan rintangan bersifat fizikal, yang menghalang bangsa tersebut dari memahami hakikat Islam. Di atas kefahaman inilah, Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah SAW berhasil menyaingi dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi hanya dalam masa 13 tahun setelah ia didirikan. Melalui jihad, Khilafah pernah memerintah Sepanyol (800 tahun), Portugal (600 tahun), Greece (500 tahun) dan Bulgaria (500 tahun). Semasa pemerintahan tersebut, penduduk Daulah hidup dalam suasana yang aman, damai dan dinamik – dan ini menjana minda rakyat Daulah Khilafah untuk maju dan muncul sebagai tamadun dunia yang hebat.
Kekuatan dan pengaruh tamadun yang lahir dari akidah Islam ini turut dikagumi oleh pengamat barat. Carly Fiorina, Ketua Pegawai Esekutif dari syarikat Hewlett-Packard pernah berucap pada 26hb September 2001 di Minnesota, Amerika Syarikat, katanya : “Pada suatu ketika dahulu wujud satu peradaban yang terhebat di dunia. Ia mampu mencipta sebuah Negara perkasa antara benua yang melingkari satu lautan ke lautan yang lain, dari iklim dingin ke iklim tropika dan padang pasir. Dalam wilayahnya tinggal beratus juta orang, yang berbilang kepercayaan dan bangsa. Salah satu bahasanya (Bahasa Arab) menjadi bahasa universal di kebanyakan tempat di dunia, yang menghubungkan antara orang-orang dari beratus wilayah. Tenteranya terdiri dari berbagai bangsa dan perlindungan ketenteraannya telah mewujudkan tahap ketenteraman dan kemakmuran yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Pencapaian perdagangannya tersebar dari Latin Amerika hingga China dan wilayah yang berada di antara kedua-dua Negara itu. Peradaban ini dipicu oleh berbagai rekacipta. Para arkiteknya merekacipta bangunan-bangunan yang melawan graviti. Ahli matematiknya merekacipta algebra dan algoritma yang membolehkan pembinaan komputer dan penciptaan ‘encryption’. Para doktornya mengkaji tubuh manusia dan menemui rawatan baru untuk pelbagai penyakit. Ahli astronominya mengkaji langit, memberi nama kepada bintang-bintang dan membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Ketika bangsa-bangsa lain takut mengeluarkan idea, peradaban ini memperkukuhkannya dan mempertahankannya. Apabila peradaban silam mengancam untuk menghapuskan ilmu, peradaban ini menghidupkan ilmu dan memindahkannya kepada yang lain. Peradaban yang saya maksudkan adalah dunia Islam dari tahun 800 hingga 1600, yang termasuk Khilafah Utsmaniyah dan kota Baghdad, Damsyiq dan Kaherah, dan para Khalifah yang cemerlang seperti Sultan Sulaiman (Khilafah Utsmaniyah). Secara tidak sedar kita telah terhutang budi kepada peradaban ini, sumbangannya merupakan sebahagian daripada warisan kita. Industri teknologi tidak akan wujud tanpa sumbangan ahli matematik Arab. Pemimpin seperti Sultan Sulaiman menyumbangkan konsep toleransi dan kepimpinan. Dan kita juga boleh mempelajari dari contoh ini: Ia (Khilafah) adalah kepimpinan berasaskan meritokrasi, bukannya warisan. Ia adalah kepimpinan yang mengembangkan sepenuhnya kemampuan yang dimiliki oleh masyarakatnya yang majmuk yang merangkumi tradisi Islam, Kristian dan Yahudi. Kepimpinan yang cemerlang ini adalah kepimpinan yang memupuk budaya, keutuhan, kepelbagaian dan keberanian yang merakamkan sejarah 800 tahun yang penuh dengan rekacipta dan kemakmuran.”
Kesimpulan
‘Islam kiri’, ‘Islam kultural’, ‘Islam modernis’, ‘Islam tradisional’ atau ‘Islam liberal’. ‘Islam fundamentalis’ atau ‘Islam politik’ semuanya nama yang diberikan oleh Barat untuk menyerang Islam. Malangnya, umat Islam mengambil tempat sebagai pihak tertuduh, sehingga membela Islam dengan cara yang tidak betul, dengan memberi label baru sesuai dengan kehendak barat. Tidakkah kita ini umat terbaik yang tidak memerlukan sikap defensif terhadap dakyah Barat, yang memang mencari-cari ruang untuk memesongkan ajaran Islam? Ingatlah firman Allah swt:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan berpuas hati dengan kamu selagi kamu tidak mengikut akidah mereka…..” [Maksud Terjemahan Al-Baqarah : 120]
Tidakkah cukup dengan namanya Islam sahaja sebagaimana diabadikan dalam Al-Quran;
“Dia (Allah SWT) telah menamakan kamu sebagai orang Islam sejak dulu” [TMQ 22:78]
Wahai Kaum Muslimin yang dimuliakan!
Musuh-musuh Islam seperti Amerika memahami bahawa Islam adalah mabda’ yang sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan kebiadaban kapitalisme. Secara fitrah, Islam dan umat Islam tidak akan membenarkan pihak Kuffar berkuasa keatas kaum muslimin. Kita wajib yakin bahawa hanya dengan berpegang teguh kepada Islam sebagai mabda’ yang lengkap sahajalah kita akan mencapai kemuliaan dan mendapat keredhaan Allah SWT. Tiada siapa yang dapat menafikan, hatta musuh-musuh Islam sekali pun bahawa umat Islam adalah umat yang disegani ketika Daulah Islam tertegak sejak Nabi Muhammad SAW mendirikannya di Madinah sehinggalah kejatuhan Daulah Khilafah Usmaniyah pada 3hb Mac 1924. Insya Allah, Khilafah ‘Ala MinHaj an Nubuwwah akan kembali berdiri membawa ajaran Islam dalam arena kehidupan ini, bukan sebagai catatan dalam Kitab Fiqh yang kaku. Malahan ia akan memberikan sinar kepada seluruh penduduk Dunia. Sayugia itu, amatlah perlu bagi kita mengorak langkah yang jitu ke arah menegakkan kembali sistem Khilafah ini.
Wallahua’lam