SN066 – OMBUDSMAN VS SISTEM MAHKAMAH DAULAH ISLAM

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN


[SN066] Malaysia telah dikejutkan dengan penyebaran imej wanita bogel dalam tahanan polis pada tahun lalu. Isu yang didedahkan oleh Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) pada 24 November 2005 lalu menyebabkan banyak perbincangan telah diutarakan di peringkat atasan sehingga ke kedai-kedai kopi. Antara penyelesaian yang hangat diperkatakan adalah rancangan untuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Ia mendapat tentangan banyak pihak termasuk Ahli Parlimen sendiri. Menurut mereka penubuhan suruhanjaya itu hanya akan menjadikan pasukan polis `lembut’ dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) `mandul’. [UM 21 Mac 2006]. Implikasi penubuhan suruhanjaya ini sangat berat kerana jika diteruskan, ia akan menganak tirikan polis kerana realitinya, salah laku bukan hanya terjadi di dalam pasukan polis tetapi malah ia juga berlaku di banyak institusi kerajaan yang lain. Sekiranya setiap salahlaku di setiap institusi diambil kira, negara akan dibanjiri dengan banyak suruhanjaya-suruhanjaya yang akan menyiasat salah laku di institusi masing-masing.

Terbaru, kerajaan mengumumkan rancangan penubuhan sebuah badan bebas atau ombudsman bagi menangani dan menyiasat segala tuduhan membabitkan semua perkhidmatan awam termasuk menteri, tanpa dihadkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata. Ia diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini. Penubuhan badan bebas itu yang dikatakan akan membolehkan kerajaan bersikap adil terhadap rakyat sedang dikaji supaya sistem pentadbiran kerajaan lebih cekap. Menurut Nazri lagi, “Kewujudan badan bebas ini kelak akan mengimbangkan laporan penyiasatan dan mengelak polis dituduh tidak telus atau berat sebelah apabila menyiasat aduan membabitkan anggota mereka.” Bukan itu sahaja, tegas Nazri lagi, “Badan ini akan menyiasat tuduhan terhadap semua agensi penguat kuasa kerajaan termasuk sektor awam sama ada polis, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan, Badan Pencegah Rasuah, Pejabat Tanah dan Galian atau menteri sekalipun” [UM 10 April 06].

Jika diteliti, banyak badan-badan aduan telahpun wujud di negara kita samada di dalam agensi kerajaan mahupun parti politik. Malaysian Chinese Association (MCA) umpamanya telah menubuhkan ‘Unit Pengaduan’ untuk menerima aduan orang ramai. Oleh kerana pertambahan aduan yang drastik selepas pilihanraya tahun 1990 unit tersebut telah diperbesarkan menjadi “Biro Perkhidmatan & Pengaduan Pusat MCA” dengan Datuk Tan Chai Ho sebagai pengerusi. Di bawahnya diwujudkan “Unit Pengaduan Awam” dan “Unit Hal Ehwal Kerajaan”. Salahlaku yang berleluasa juga telah memaksa pemuda UMNO mewujudkan ‘Biro Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat’ yang dipengerusikan sekarang ini oleh Dato’ Subhan Kamal.
Kredibiliti mahkamah yang banyak dipertikaikan oleh rakyat juga telah menyebabkan Badan Kehakiman mewujudkan perkara yang sama. Mengikut Laporan Tahunan Mahkamah Atasan dan Rendah di Malaysia 2004/2005, Badan Kehakiman akan mempertingkatkan tindakan untuk ketelusan dalam pelaksanaan keadilan di Malaysia. Ini dibuat dengan penubuhan ’Unit Pengaduan Awam (UPA)’ yang diselia oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia yang bertanggungjawab terus kepada YAA Ketua Hakim Negara. Bidangkuasa UPA ini adalah menerima segala aduan mengenai pentadbiran keadilan Badan Kehakiman di seluruh negara. Objektif UPA adalah untuk menangani segala pengaduan dari orang awam dengan cara yang cepat dan berkesan.

Yang pasti, idea tentang mewujudkan sistem ombudsman ini muncul setelah imej perkhidmatan awam yang dilihat semakin hari semakin tercalar dengan salahlaku anggota-anggotanya terutama imej pasukan polis yang tak putus-putus menjadi ‘pisang goreng panas’ dalam isu-isu yang melibatkan salahlaku. Oleh itu, ombudsman diperkenalkan dengan harapan ia dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan sistem yang sedia ada, yang mana perlaksanaannya bukan hanya melibatkan PDRM tetapi semua perkhidmatan awam.

Sejarah Ombudsman

Apakah sebenarnya ombudsman? Menurut kamus Oxford Ombudsman adalah pegawai yang dilantik secara rasmi untuk menyiasat aduan orang ramai terhadap salah laku dalam pentadbiran terutama pihak berkuasa awam. Ombudsman bermula di Sweden sejak awal 1800an iaitu jawatan yang diwujudkan ‘sebagai penyiasat aduan awam’. Pegawai ini dianggap sebagai orang yang ‘diakui kemampuan perundangan dan integriti yang berwibawa’, dilantik oleh parlimen untuk berkhidmat selama satu penggal (empat tahun). Sekarang ini ombudsman atau juga dikenali sebagai ombudsperson di Amerika, bertindak menangani permasalahan yang melibatkan salah guna kuasa pentadbiran di mana ombudsman ini bertindak sebagai orang tengah kepada dua pihak yang berselisih untuk meredakan persengketaan di antara kedua belah pihak tersebut. Ini menuntut ombudsman untuk mempunyai peribadi yang dipercayai dan neutral tanpa cenderung kepada mana-mana pihak. Dia bertindak membantu komunikasi kedua belah pihak untuk merumuskan penyelesaian supaya masalah yang sama tidak timbul lagi pada masa akan datang.

Pergeseran antara orang awam dan pihak berkuasa boleh berlaku dalam apa jua keadaan, contohnya seorang pegawai polis memasuki tempat kerja suspek untuk memberkasnya dalam keadaan yang memalukan dan menjejaskan pekerjaannya, tetapi kemudian tuduhan ke atasnya digugurkan. Ombudsman akan menyiasat samada dakwaan mangsa atau pengadu berasas atau tidak dengan meneliti tatacara dia diperlakukan. [West’s Encyclopedia of American Law] Menurut ensiklopedia ini lagi, ombudsman tidak mempunyai kuasa membuat atau mengubah undang-undang, menguatkuasa cadangan, meminda tindakan atau keputusan pentadbiran. Peranan ombudsman di dalam pentadbiran AS tidak begitu jelas tetapi pada pertengahan tahun 1990an lebih 200 organisasi swasta telah menggunakan khidmat ombudsman untuk menyelesaikan pertikaian antara majikan dan pekerja.

Adakah umat Islam memerlukan ombudsman?

Sebagai seorang Islam, kita perlu melihat dan menyelesaikan setiap masalah dengan penyelesaian Islam. Dalam isu ini, persoalannya adalah, adakah ombudsman diperlukan oleh umat Islam di dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan penjawat awam dan orang ramai? Adakah agama Allah ini tidak lengkap sehingga umat Islam perlu mengambil sistem dari Barat untuk menyempurnakannya? Adakah Allah menurunkan agama ini tanpa ada mekanisma untuk mengatur persengketaan yang terjadi di antara manusia sesamanya? Firman Allah subhanahu wa ta’ala’

Wahai orang-orang yang beriman, taailah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian sekiranya kamu berbantah-bantah pada tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul(Nya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian...” [TMQ An-Nisa’:59]

Ayat di atas merupakan petunjuk yang jelas kepada kita bahawa Allah telah menurunkan agama ini agar mampu menjawab segala persengketaan yang terjadi di dalam masyarakat. Ayat yang mulia ini juga menjadi peringatan yang jelas kepada kita bahawa sekiranya ada apa-apa persengketaan yang terjadi di antara rakyat dan pemerintah (termasuk orang bawahannya), maka peneyelesaiannya haruslah dikembalikan kepada Allah dan RasulNya (bukannya dikembalikan kepada Barat). Apabila Allah memerintahkan untuk kita kembali kepadaNya dan RasulNya, maka kita sebagai umat Islam yakin bahawa pasti ada jalan penyelesaian yang telah Allah dan RasulNya tunjukkan. Ingatlah wahai kaum Muslimin, bahawa Allah telah menyempurnakan agama ini dan umat Islam tidak memerlukan apa-apa dari Barat yang kuffar untuk menyelesaikan segala ketidakadilan. Allah berfirman,

….pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu (Islam)..…” [TMQ Al-Mai’dah:3]

Lengkap dan sempurnanya Islam itu adalah dengan diamalkan Islam itu secara kaffah. Setiap orang yang mengucap ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ adalah berkewajipan untuk melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Taklif atau bebanan tanggungjawab yang paling berat yang dibebankan oleh Allah adalah ke atas para pemerintah kerana di bahu merekalah terpikulnya amanat Allah, yakni sebagai khalifah di muka bumi yang akan menerapkan syariatNya. Bagi pemerintah, mereka berkewajipan untuk menerapkan hukum Islam secara keseluruhan, tanpa apa-apa lagi alasan untuk tidak menerapkannya. Allah tidak pernah memberi mereka (pemerintah) pilihan untuk menerapkan hukum selain dari apa yang diturunkan olehNya.

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka… [TMQ Al-Ahzab:36]

Peringatan Allah kepada mereka yang tidak menerapkan hukumNya ,

…maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahNya takut akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ An-Nur:63]

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” [TMQ Al-Maidah:45]

Pemerintah yang telah dipilih rakyat untuk menerapkan syariat Islam mempunyai tanggungjawab dua dimensi, iaitu dimensi dunia dan akhirat. Di akhirat, seluruh tindakannya selama memimpin akan disoal atau dipertanggungjawabkan (dihisab) oleh Allah. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda:

Seorang imam adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyatnya, ia akan diminta pertanggungjawaban (dihisab) di atas pemeliharaannya...” [HR Al-Bukhari dan Muslim].

Khalifah Umar bin al-Khatthab pernah menangis kerana sangat bimbang untuk menghadapi ‘Mahkamah Akhirat’ yang mana dia akan ditanya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap segala tindakannya semasa menjadi penguasa, di akhirat kelak. Beliau faham akan sabda Rasulullah yang diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar radhiAllahu ‘anhu.,

Apabila seorang penguasa yang memerintah umat Islam mati dalam keadaan memperdayakan (menganiaya) mereka (rakyatnya), Allah akan mengharamkan syurga untuknya [HR Bukhari-kitab Hukum]

Apa yang jelas wahai saudaraku yang mulia, tanggungjawab pemerintah adalah untuk menerapkan sistem yang berasal dari wahyu dan bukannya sistem yang berasal dari Barat, tidak kira apa namanya, sistem ombudsman, demokrasi, sekularisme, kapitalisme dan sebagainya. Inilah anehnya dengan para pemerintah kaum Muslimin, demi untuk menerapkan sistem Barat, mereka bersungguh-sungguh berusaha melakukan kajian, menghabiskan masa, usaha, wang dan sebagainya demi merealisasikan sistem tersebut. Malangnya perkara yang sama tidak dilakukan demi untuk menerapkan hukum yang datang dari Pencipta dirinya, walhal inilah satu-satunya hukum yang akan mendatangkan keadilan yang hakiki, yang datang dari Zat yang Maha Adil. Inilah satu-satunya sistem yang, apabila diterapkannya di dunia, akan menyelamatkannya dari azab Allah di akhirat.

Sistem Pengqadhian Dalam Islam

Sistem pemerintahan Islam telah datang dengan struktur pengadilan yang sempurna yang mampu menyelesaikan persengketaan yang terjadi di dalam masyarakat. Sejak 13 abad yang lalu umat Islam telah menyelesaikan masalah atau perselisihan yang berlaku di dalam Daulah Islam dengan sistem pengqadhian ini tanpa membuang masa dan tenaga terjebak di dalam polemik berpanjangan. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa sistem inilah yang telah membawa keadilan sejagat kepada hampir 2/3 dunia dan umat manusia telah menikmatinya selama lebih kurang 1300 tahun.

Qadhi/Hakim/Mahkamah di dalam Islam terdiri dari tiga jenis iaitu, pertama, Qadhi Khusumat yang menyelesaikan kes-kes umum melibatkan muamalat dan uqubat. Kedua, Qadhi Muhtasib/Hisbah yang menyelesaikan kes-kes yang mengancam hak jamaah. Ketiga, Qadhi Mazhalim yang menyelesaikan kes-kes yang melibatkan persengketan antara rakyat dan negara/pemerintah. Apa yang pasti, di dalam Islam tidak pernah wujud mahkamah sivil sebagaimana yang ada pada hari ini di negara-negara umat Islam termasuklah negara kita. Sejarah perundangan Malaysia menceritakan dengan jelas kepada kita bahawa sistem mahkamah yang ada sekarang di Malaysia adalah hasil dari ciptaan British yang telah ’dipaksakan’ ke atas kita semenjak mereka datang menjajah kita pada awal tahun 1800. Apakah setelah mereka pergi kita masih dalam keadaan ’terpaksa’ menerapkan sistem ini atau kita telah ’redha’ kepadanya? Na’uzubillah.

Kata mazhalim berasal dari zalim yang terdapat dalam hadis dari Anas yang mengatakan:

Pada masa Rasulullah harga-harga melambung tinggi” lalu orang ramai mencadangkan kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, kenapa tidak harga ini engkau tetapkan saja.”

Kemudian baginda besabda

“Sesunguhnya Allah-lah Yang Maha Mencipta, Maha Menggenggam, Maha Melapangkan, Maha Memberi Rezeki, yang berhak menetapkan harga ini. Dan aku mahu menghadap Allah Azza Wajalla tanpa seorang pun yang menuntut kepadaku kerana kezaliman yang telah aku lakukan terhadap dirinya, baik dalam hal darah atau harta.”

Rasulullah menegaskan bahawa penetapan harga merupakan tindakan kezaliman, kerana kalau baginda menetapkannya maka baginda telah mengambil hak penjual atau pembeli yang mana ia merupakan tindakan kezaliman. Maka jika pertikaian berlaku di antara rakyat dan pemerintah, perlu ada pihak ketiga yang akan mengadili dakwaan kezaliman ini iaitu Qadhi Mazhalim. Dari sinilah para ulama Islam mengambil istilah Qadhi Mazhalim dan seterusnya menetapkan bahawa ini adalah sesuatu yang telah dilakukan (af’al) oleh Nabi dan ianya menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menerapkannya. Pengadilan mazhalim pada masa Rasulullah telah diselesaikan oleh baginda sendiri. Perkara yang sama juga dilakukan oleh khalifah-khalifah selepasnya sehinggalah ke zaman pemerintahan khalifah Abdul Malik bin Marwan. Khalifah Abdul Malik telah menyediakan waktu yang khusus untuk menyelesaikan tuntutan mazhalim sehingga menjadi struktur yang khusus yang kemudian di panggil Darul ‘Adli. Segala masalah yang melibatkan kezaliman akan diuruskan oleh Qadhi Mazhalim yang dilantik pada masa beliau iaitu Abu Idris al-Azdi.

Inilah sistem yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Inilah sistem yang telah dipraktikkan oleh para Khulafa’ ar-Rashidun dan juga khalifah-khalifah setelah mereka. Islam telah menyediakan sebuah mahkamah yang khusus untuk rakyat yang tidak berpuas hati dengan layanan pemimpin mereka, yakni Mahkamah Mazhalim. Mahkamah inilah yang menjadi tempat aduan rakyat dan tempat untuk meluruskan salahlaku pemerintah dan orang-orang di bawahnya. Tidak ada satu sistem pun di dunia ini yang lebih baik dari sistem Islam.

Sistem Barat vs Sistem Allah

Menurut ensiklopedia Wikipedia, penyelesaian pertikaian antara orang ramai dan pemerintah telah berlaku di zaman Saidina Umar iaitu khalifah kedua umat Islam pada tahun (634-644M) dengan mewujudkan qadhi qudhat. Teladan keberkesanan sistem Khilafah Islam telah memberi pengaruh yang kuat kepada Barat sehingga raja Charles XII telah menubuhkan Pejabat Ombudsman Tertinggi di Sweden pada tahun 1713 setelah pulang dari pembuangan di Turki.

Sebenarnya jawatan qadhi qudhat (Ketua Qadhi) belum wujud lagi pada waktu tersebut. Yang ada hanyalah institusi mazhalim yang menangani persengketaan antara orang ramai dan pemerintah. Walaupun demikian, apa yang jelas di sini adalah, akibat dari wujudnya sistem pemerintahan Islam, banyak dari kejayaan sistem yang adil ini telah mempengaruhi Barat dan rentetan dari itu, mereka telah mewujudkan sistem ombudsman di Barat. Yang pasti sistem tersebut diwujudkan setelah mereka melihat keberkesanan perlaksanaan sistem Islam. Inilah yang anehnya dengan umat Islam, mereka ingin menerapkan sistem ombudsman ini setelah melihat Barat yang menerapkannya. Segala sesuatu yang berasal dari Barat dilihat dan dinilai sebagai ’permata’ oleh umat Islam. Fikirkanlah wahai umat Nabi yang mulia, sampai bilakah kita akan mencontohi Barat dengan sistem yang mereka pakai? Dari dahulu sehingga sekarang kita tidak pernah henti-henti mengambil apa yang berasal dari mereka. Adakah kita pada kali ini sekali lagi akan mencontohi Barat dengan ombudsman atau mencontohi Rasulullah dengan institusi mazhalim yang telah baginda tunjukkan? Rasulullah telah mengingatkan kita,

Daripada Abu Said Al-Khudri r.a. berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda,

“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim]

Sedarlah wahai saudaraku, Barat sebenarnya tidak mempunyai dan tidak mampu untuk mewujudkan satu sistem kehidupan yang adil. Mereka telah menolak agama dalam mengatur urusan hidup sehingga peraturan hidup mereka ditentukan oleh aqal semata-mata. Inilah yang dipuja-puja oleh mereka iaitu sekularisme, sistem yang memisahkan agama dari kehidupan. Racun inilah yang telah mereka tanam dalam benak kaum Muslimin dan diberitahu kepada kaum Muslimin bahawa ini adalah madu yang paling lazat. Racun ini telah mendarah daging dalam tubuh umat Islam. Demi Allah wahai saudaraku, kita semua mampu membuangnya. Buanglah ia dari terus merosakkan tubuh umat yang mulia ini. Demi Allah kita semua yakin bahawa keadilan hanya akan dapat dicapai dengan aturan yang datangnya dari wahyu dan bukannya dari aqal manusia. Allah memberikan aqal bagi manusia untuk memahami dan menerapkan apa yang diwahyukan, bukan untuk menolak wahyu dan mengambil sistem yang berasaskan aqal. Wahyu bukan merupakan sesuatu yang boleh dijadikan bahan tawar-menawar.

Teladan agung di sebalik kes mazhalim ini ada tertuang di dalam kisah Amru Al-‘Ash ketika beliau menjadi Wali Mesir di bawah kekhilafahan Saidina Umar Al-Khattab. Suatu ketika telah berlaku pertelingkahan antara beliau dan seorang Yahudi berkenaan sebidang tanah milik Yahudi tersebut. Amru telah menggunakan kuasanya untuk merampas tanah Yahudi untuk pembinaan masjid. Yahudi tersebut telah membuat pengaduan kepada khalifah Umar Al-Khattab yang terkenal dengan ketegasannya. Setelah meneliti laporan, Saidina Umar dengan kuasa Qadhi Mazhalim yang ada padanya telah memerintahkan Yahudi tersebut mengambil sepotong tulang. Umar mengeluarkan perintah dengan membuat garis lurus dan garis pangkah ke atas tulang itu menggunakan pedangnya. Umar memerintahkan Yahudi tersebut untuk menyampaikan tulang itu kepada Amru di Mesir.

Setelah Amru menerima tulang tersebut beliau terus mengeluarkan arahan untuk menghentikan pembinaan masjid dan memulangkan tanah Yahudi tersebut. Si Yahudi yang tidak menyangka sepotong tulang tadi mampu mengembalikan semula haknya yang dirampas oleh pemerintah telah bertanyakan dengan kehairanan kepada Amru, apa sebenarnya disebalik pembatalan tersebut dan kaitannya dengan tulang tersebut. Amru menerangkan, “Tulang itu adalah tulang biasa dan berbau busuk, tetapi kerana ia diberikan oleh seorang khalifah ia sangat bererti. Ketahuilah tulang ini adalah peringatan bahawa betapa tinggi pun kekuasaan seseorang, ia akan menjadi tulang yang busuk. Sedangkan garisan lurus bererti kita harus berlaku adil kepada orang di bawah, lurus seperti garisan. Dan bila aku tidak mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak teragak-agak untuk memenggal kepalaku!” jelas sang wali. “Sungguh agung ajaran agama tuan. Sesungguhnya aku rela menyerahkan tanah dan rumah itu. Dan bimbinglah daku dalam memahami ajaran Islam!” balas Yahudi tersebut dengan terharu.

Wahai kaum Muslimin, ini hanyalah salah satu contoh keadilan sistem Islam, Yahudi yang dilaknati Allah pun mendapatkan haknya sebagai warga Daulah (kafir zhimmi). Peristiwa ini juga menjadi bukti kepada kita bahawa si Yahudi telah mengadu terus (kezaliman yang telah dilakukan Amru ke atasnya) kepada Umar yang bertindak selaku Qadhi Mazhalim. Dan keputusan Umar dibuat dengan segera dan berdasarkan kitabullah dan sunah RasulNya, tanpa menangguh-nangguhkannya lagi dan tidak pula merujuk kepada mana-mana sistem ciptaan manusia.

Dalam satu contoh lain, Yahya al-Ghassani pegawai kepada Khalifah Umar Abdul Aziz melaporkan bahawa beliau telah ditugaskan menjaga Mosul. Beliau mendapati di wilayah tersebut terdapat paling banyak kejadian pencurian dan kejahatan. Beliau mengirim surat kepada Khalifah Umar untuk menanyakan: “Apakah aku harus menjalankan hukuman dengan prasangka dan tuduhan yang tidak berdasar (supaya penjenayah tidak terlepas) atau aku menjalankan hukum dengan fakta-fakta dan keterangan-keterangan yang jelas sebagaimana yang ada di dalam sunnah Rasulullah?”

Khalifah Umar menulis jawapan kepadanya yang berisi perintah agar dia menjalankan proses hukum berdasarkan fakta dan sesuai dengan sunnah Rasulullah. “Jika kebenaran tidak juga memberikan pembaikan kepada mereka, maka jangan harap mereka akan menjadi baik”. Yahya menyambung lagi “Apabila aku melakukan apa yang dia perintahkan, ternyata aku dapati Mosul menjadi satu wilayah yang paling sedikit kes kecurian dan kejahatannya” [Tarikhul Khulafa’ Imam As-Suyuthi].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin, di dalam Islam sebenarnya tidak wujud mahkamah selain dari tiga bentuk mahkamah yang telah dijelaskan tadi. Umat Islam haram mengambil sistem penghukuman selain sistem penghukuman Islam. Dunia telah menjadi aman selama pemerintahan Islam berjalan. Umat manusia telah diadili oleh mahkamah-mahkamah di dalam sistem Islam selama lebih 13 abad. Qadhi Khusumat telah menyelesaikan persengketaan sesama rakyat. Qadhi Muhtasib telah memastikan hak diberikan kepada yang empunyanya. Manakala Qadhi Mazhalim telah mewujudkan hubungan yang baik antara pemerintah dan rakyat, meluruskan pegawai-pegawai yang bengkok dengan syariat Allah. Umat telah mendapat rahmat dengan perlaksanaan tersebut sehingga ditiru oleh Barat. Hari ini, kita melihat Barat ’sedikit berjaya’ tanpa menyedari ia adalah serpihan dari sistem Islam. Wahai saudaraku, bila lagi kita akan tunduk kepada sistem Islam agar Allah mengembalikan keadilan dan kemuliaan kepada kita? Bila lagi hati kita akan tunduk kepada hukum Islam? Tidakkah kita mengambil pengajaran dari peringatan Allah,

Belumkah sampai waktunya bagi orang-orang yang beriman itu, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang sebelumnya telah turun al-kitab kepada mereka, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik [TMQ Al-Hadid:16]

Semoga hati pemerintah kaum Muslimin akan menjadi lembut untuk tunduk kepada hukum Islam, sehingga seluruh kehidupan ini akan diadili dengan institusi Islam seperti yang telah diterapkan bukan sahaja di zaman Umar tetapi sebelum dan selepasnya selama berabad-abad. Sistem itu belumpun terlalu lama meninggalkan kita sejak kejatuhannya pada tahun 1924. Dengan terwujudnya kembali Sistem Khilafah Islamiyyah, ketika itu barulah kita akan mendapatkan keadilan, kemuliaan dan rahmat dengan terlaksananya hukum Islam ke seluruh penjuru alam. Ketika itu juga kita akan dijauhkan oleh Allah dari segala ketakutan, penindasaan dan kezaliman dengan adanya tempat untuk kita mengadu dan berlindung. Ketika itu jugalah Allah akan menghina dan mengalahkan kaum kuffar. Dan ketika itu jugalah Allah akan memberi kemenangan dan mengembalikan kemuliaan kaum Muslimin.

Sedarlah wahai kaum Muslimin sekalian, sekiranya kita tidak menerapkan sistem yang Allah perintahkan, kita akan diadili di ‘Mahkamah Paling Agung’ nanti. Mahkamah yang akan menghukum semua mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah. Mahkamah yang tidak akan ada seorang pun yang akan terlepas darinya. Mahkamah Allah Azza wa Jalla. Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa semoga hukum Allah akan segera tertegak di muka bumi ini, yang dengannya akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Amin ya Rabbal A’lamin.