SN091 – NUZUL AL-QURAN : KITAB ALLAH BUKAN SEKADAR UNTUK DIBACA

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN



[SN091] Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an. Majlis Tilawah Al-Qur’an juga tidak pernah ketinggalan diadakan bersempena meraikan bulan yang penuh keberkatan ini. Ratusan ribu dibelanjakan setiap tahun semata-mata untuk memperdengarkan bacaan Al-Qur’an oleh peserta-peserta yang bersaing merebut gelaran Qari atau Qari’ah. Pendek kata, pelbagai program tak putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Qur’an ini. Bagi kebanyakan individu pula, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman.

Memang benar bahawa setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)”
[TMQ al-Baqarah (2):185].

Seperti penjelasan Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia; menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, berbagai peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Al-Qur’an adalah huda (petunjuk), artinya Al-Qur’anlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia. Al-Qur’an telah menjelaskan perbuatan apa yang wajib dilakukan, mana yang sebaiknya dilakukan, mana yang boleh dilakukan, mana yang sebaiknya ditinggalkan dan mana yang wajib ditinggalkan. Al-Qur’an juga menjelaskan apa yang boleh diambil dan apa yang tidak. Al-Qur’an adalah furqân (pembeza), artinya menjadi piawai yang menentukan mana yang haq dan mana yang batil. Oleh kerana itu, al-haq (kebenaran) adalah apa saja yang dinyatakan benar oleh Al-Qur’an dan al-bâthil (kebatilan) adalah apa saja yang dinyatakan batil oleh Al-Qur’an. Yang dituntut dari kita hanyalah menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan kita; sebagai sumber hukum yang wajib kita ambil dan kita terapkan; juga sebagai sumber penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan kita.

Justeru, umat Islam wajib mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagaimana Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya. Sesiapa sahaja yang tidak mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, maka hendaklah ia takut akan diadukan oleh Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam ke hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan pengaduan seperti dalam firman-Nya,

وَقَالَ الرَّسُولُ يَارَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْءَانَ مَهْجُورًا

Berkatalah Rasul, “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.” [TMQ al-Furqan (25):30].

Maksudnya, mereka menjadikan Al-Qur’an sebagai kitab yang ditinggalkan, diabaikan dan tidak dipedulikan. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya telah merinci hal-hal yang termasuk ke dalam sikap tidak mengacuhkan Al-Qur’an. Di antaranya adalah tidak mengimani dan membenarkannya; tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya; tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya; berpaling darinya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, atau jalan hidup yang diambil dari selain Al-Qur’an; tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Qur’an serta membuat kecoh hingga tidak mendengar Al-Qur’an saat ia dibacakan.

Adakah Al-Qur’an Sekadar Untuk Diperingati dan Dibaca?

Sempena Nuzul Al-Qur’an ini, marilah kita dengan penuh iman dan taqwa memuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari Al-Qur’an atau justru telah mengabaikan Al-Qur’an? Apakah selama ini Al-Qur’an telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum, sekaligus sebagai penyelesai segala masalah kehidupan kita? Ataukah sebaliknya, kita malah meninggalkan dan mencampakkannya?

Kebanyakan kita berusaha menjaga fizik Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak ‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang akan menjaga kemurnian Al-Qur’an dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Namun, kita sering hanya berhenti sebatas ini sahaja. Umat Islam berusaha untuk menjaga fizik Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk memahami isi kandungannya dan menerapkan hukum-hakamnya. Umat Islam marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi mereka sendiri ‘menghina’ Al-Qur’an dengan tidak mengamalkan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya. Umat Islam sakit hati apabila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran Al-Qur’an.

Inilah hakikat umat Islam! Mereka mengambil Al-Qur’an hanya sebagai sebuah kitab yang ‘wajib’ dibaca tetapi melemparkan segala hukum-hakam yang ada di dalamnya. Para pemerintah kaum Muslimin membaca Al-Qur’an tetapi mereka mencampakkan segala perintah dan larangan Allah yang ada di dalamnya. Mereka mengadakan pelbagai program untuk membaca Al-Qur’an tetapi dalam masa yang sama mereka tidak berhukum dengan hukum Al-Qur’an, malah lebih buruk mereka memerangi dan menangkap sesiapa sahaja dari golongan umat Islam yang ikhlas berjuang menegakkan hukum Al-Qur’an. Mereka kononnya menyeru kepada Al-Qur’an tetapi mereka sebenarnya cukup anti dan takut kepada golongan yang yang benar-benar berusaha untuk mengembalikan hukum Al-Qur’an. Bukan setakat itu, mereka malah menganggap bahawa golongan yang ingin menegakkan agama Allah sebagai penjenayah yang mesti dihapuskan. Maha Suci Allah yang memuliakan golongan yang berdakwah ke jalanNya dan semoga Azab Allah menimpa golongan yang menghalang penerapan syariatNya.

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan Al-Qur’an bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca Al-Qur’an adalah ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah berdosa besar dan Allah jualah yang Maha Membalas segala dosanya. Siapa sahaja yang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, maka azab Allah menantinya di akhirat! Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah yang telah diturunkanNya melalui Al-Qur’an, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ
مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”.
[TMQ al-Jumu‘ah (62):5].

Melalui ayat di atas, Allah menghina kaum yang tidak memikul wahyu yang diturunkanNya dengan perumpamaan seperti keldai. Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, “Anda ini seperti keledai!” Apakah perasaan kita? Apalagi yang menyatakan seperti itu bukanlah manusia, melainkan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang kita harapkan keredhaan dan keampunanNya. Orang yang benar-benar beriman, bertakwa dan mengharapkan redha Allah sudah tentu akan merasa takut dan gentar akan perumpamaan yang dibuat olehNya.

Beberapa Kekeliruan Lain Terhadap Al-Quran

Sebagaimana yang telah diterangkan, di antara kesalahfahaman yang ketara tentang Al-Qur’an oleh umat Islam adalah mereka hanya mengambilnya sebagai bahan bacaan semata-mata tanpa difahami dan diamalkan isi kandungannya. Walhal yang dituntut oleh Islam adalah penerapan atas apa yang dibaca. Al-Quran bukan kitab untuk mendapat ilmu pengetahuan semata, tetapi jauh lebih dari itu, ia mengandungi hukum-hakam yang wajib diamalkan oleh manusia. Al-Qur’an merupakan kitab syariat yang tidak hanya sekadar untuk dibaca dan dihafalkan sahaja, melainkan harus difahami dan diamalkan isi kandungannya dalam kehidupan sehari-hari. Al-Qur’an adalah Kalamullah yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai petunjuk untuk umat manusia. Apakah sesuatu itu boleh dikatakan sebagai petunjuk jika kita tidak memahaminya, apatah lagi tidak mengamalkannya ? Petunjuk adalah lawan dari kesesatan, maksudnya jika seseorang itu tidak memahami petunjuk, maka ia termasuk di dalam golongan yang sesat. Dengan kata lain, tidak mengambil Al-Qur’an sebagai petunjuk bermakna seseorang itu berada di dalam kesesatan. Di dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita,

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara; jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya[HR Muslim].

Sebahagian lain kaum Muslimin tidak mengambil A-Qur’an sebagai petunjuk, tetapi menjadikan al-Quran sebagai sebuah ‘kitab mistik’. Al-Quran disimpan baik-baik di rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik misalnya menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Malangnya Al-Quran tidak dijadikan sebagai ’pengusir’ pelbagai macam sistem kufur yang diterapkan di tengah-tengah umat saat ini seperti Sekularisme, Kapitalisme, Liberalisme, Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan lain-lain lagi. Mereka lebih suka mengambil Al-Qur’an sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan pelbagai ‘kepentingan peribadi’ lainnya daripada mengambil A-Qur’an sebagai kitabullah yang mengandungi syariat yang wajib diterapkan ke atas umat manusia keseluruhannya serta membawa rahmat ke seluruh penjuru alam.

Umat Islam senantiasa mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup, tetapi pada masa yang sama mereka tidak menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur kehidupan. Umat Islam hanya memilih hukum-hakam tertentu yang ada di dalam Al-Qur’an untuk diamalkan dan mereka meninggalkan sebahagian besar hukum-hakam yang lain. Mereka mengambil ayat-ayat tentang akhlak tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang mua’malat. Mereka mengambil ayat-ayat tentang wudhu’ tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang hudud. Mereka mengambil ayat-ayat tentang solat tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang jihad. Dan begitulah seterusnya. Mereka hanya memilih hukum-hukum yang mereka suka untuk diamalkan. Mereka berusaha menundukkan Al-Qur’an agar sesuai dengan hawa nafsu mereka. Mereka malah mengambil hukum kufur yang dibuat oleh penjajah dan meninggalkan hukum Allah. Dengan sebab inilah Allah menurunkan kehinaanNya ke atas mereka.

“…..apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang sangat berat…..” [TMQ Al-Baqarah (2):85].

Mereka mengambil hukum Barat dan merasa bangga dengannya, lalu hukum Barat ini dipertahankan oleh mereka sebagaimana mereka mempertahankan aqidah mereka. Apabila ditanya kenapa mereka tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka akan memberi seribu satu alasan. Mereka yakin bahawa hukum kufur Barat adalah lebih baik dari hukum Allah, maka hukum Barat diterapkan, hukum Allah dicampakkan. Allah Azza wa Jalla berfirman di dalam Al-Qur’anul Karim,

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki. Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5):50].

Pada hakikatnya, orang yang menolak aturan-aturan Allah dan menggantinya dengan hukum-hukum buatan Barat adalah orang yang mendustakan dan menyombongkan dirinya di hadapan ayat-ayatNya. Allah Rabbul Izzati mengkhabarkan kepada kita bahawa orang-orang semacam ini mustahil akan masuk syurga Allah, sebagaimana mustahilnya unta masuk ke lubang jarum. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لاَ تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلاَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ
حَتَّى يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit (ampunan) dan mereka tidak pula akan masuk syurga hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kejahatan”.
[TMQ al-A‘raf (7):40].

Kembali Kepada Al-Qur’an Dengan Cara Yang Benar

Wahai kaum Muslimin! Marilah kita akhiri sikap yang tidak sepatutnya terhadap Al-Qur’an. Kuburkanlah segala kesalahfahaman kita tentang Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa memuhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya menerapkan segala isi kandungannya di dalam bentuk per individu, bermasyarakat dan bernegara.

Al-Qur’an adalah Kalamullah yang mengandungi seluruh hukum-hakam bagi kehidupan manusia. Di dalamnya terdapat hukum-hakam yang mengatur seluruh interaksi samada manusia dengan Al-Khaliq, manusia dengan manusia yang lain mahupun manusia dengan dirinya sendiri. Al-Qur’an mengandungi hukum-hakam tentang aqidah dan ibadah; tentang mua’malat dan uqubat; tentang akhlaq, pakaian dan makanan. Al-Qu’ran adalah cahaya, mengambilnya adalah petunjuk, meninggalkannya adalah sesat. Menerapkan hukum di dalam Al-Qur’an adalah wajib, meninggalkannya adalah berdosa. Sedarlah wahai saudaraku, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan kepada kita, siapa saja yang meletakkan Al-Quran sebagai pemimpin di depannya nescaya ia akan memimpinnya ke syurga, sebaliknya, siapa saja yang meletakkan Al-Quran di belakangnya, nescaya ia menjerumuskannya ke dalam neraka. Na‘ûdzu billâh min dzâlik!

Wahai kaum Muslimin! Daulah Khilafah telah dihancurkan pada 3 Mac 1924. Sejak saat itu, hukum Allah tidak lagi diterapkan di muka bumi, sebaliknya diganti dengan hukum kufur penjajah. Sejak saat itulah manusia telah tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, sebaliknya menggantikannya dengan hukum-hakam buatan tangan manusia. Al-Qur’an bukan setakat diambil acuh tak acuh, malah ditinggalkan terus dan lebih buruk, dipertikaikan kesesuaian hukumnya. Hukum Al-Qur’an telah lenyap seiring dengan lenyapnya Daulah Khilafah. Tanpa ada sebuah negara, mustahil semua ayat Al-Qur’an dapat diterapkan. Benarlah kata Imam Al-Ghazali, “Agama adalah asas dan kekuasaan (negara) adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan rapuh; sesuatu yang tidak ada penjaganya, akan hilang.”

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengakhiri Sautun Nahdhah pada kali ini dengan sebuah Hadis yang mulia yang menceritakan kepada kita semua tentang Al-Qur’an. Semoga kita semua mengambil pengajaran dari Hadis ini demi untuk kebaikan kita di dunia dan akhirat:

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَا إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. ( الترمذي والدارمي )

“Dari Ali, radhiaAllahu ‘anhu, katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, bersabda: “Awaslah, sesungguhnya akan berlaku fitnah”. Aku bertanya: “Apakah jalan keluar darinya ya Rasulullah?” Baginda menjawab: Kitabullah. Di dalamnya terdapat kisah-kisah apa yang sebelum kamu dan pengkhabaran apa yang akan datang sesudahmu; dan hukum-hakam di antara kamu; Ia (Al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa sahaja yang meninggalkannya kerana sombong, akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk dari selainnya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran yang bijaksana; Ia adalah As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar atau berputar belit; dan para ulama pula tidak pernah puas darinya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata “Sesungguhnya kami mendengar bacaan Al-Qur’an yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya.”; sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; dan sesiapa sahaja yang beramal dengannya, pahalalah ganjarannya; dan sesiapa sahaja yang berhukum dengannya, adillah ia; dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya ia menunjuk kepada Siratil Mustaqim (jalan yang lurus).” [HR Tirmizi dan Darimi].