SN123 – HUKUM ALLAH BUKAN BAHAN JUSTIFIKASI

SN Keluaran 1 Jun 2007
 
 
Logo SN
 
[SN123] 13 Mei 1969 merupakan satu tarikh yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Malaysia. “Seramai 196 orang terkorban dan 439 yang lain tercedera. Rusuhan kaum terburuk yang berlaku pada tarikh tersebut menyebabkan kira-kira 6,000 orang hilang tempat tinggal manakala 211 kenderaan dan 753 bangunan rosak atau musnah. Peristiwa ini telah melakar titik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di negara ini hingga negara terpaksa diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) manakala Parlimen digantung buat beberapa ketika. Jika diselidiki, penyebab utama tercetusnya tragedi ini ialah perasaan prejudis dan tidak puas hati yang membuak-buak di antara kaum lantaran ketidakseimbangan ketara dalam ekonomi dan status sosial” [Utusan Malaysia 13/05/07 – rencana oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Penolong Profesor Jabatan Ekonomi, Kulliyah Ekonomi dan Pengurusan Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)]. Walaupun angka-angka yang disebut hanyalah berdasarkan jumlah yang dilaporkan (maksudnya mungkin angka sebenar berbeza), namun yang pasti dari segi fakta, tidak ada siapa pun boleh mempersoalkan peristiwa berdarah yang telah terjadi. Suatu yang pasti juga adalah, sejarah yang berlaku ini tidak akan memberikan apa-apa makna jika ia hanya disimpan sebagai lembaran-lembaran tersurat tanpa dilihat, dikaji dan diperhalusi oleh semua pihak. Justeru, usaha untuk menoleh semula ke belakang bagi mendalami isu ini dari masa ke semasa memang patut dilakukan agar generasi seterusnya akan dapat memahami dan mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku.

Menurut Dr. Asyraf lagi, “perasaan prejudis yang masih terbekam dan menebal lantas merobek struktur kesatuan kaum hingga memaksa rakyat terjebak dalam kancah pergolakan berdarah yang membinasakan. Justeru selepas peristiwa berdarah 13 Mei, Majlis Perundingan Negara dibentuk yang mewakili semua parti di Malaysia, kecuali DAP. Majlis itu menyepakati bahawa satu dasar yang lebih serius dan tegas harus diperkenalkan bagi mengatasi ketidakstabilan dalam pelbagai bidang terutama ekonomi. Hasil perundingan dan kebijaksanaan semua pihak muncullah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan pendekatan afirmatif kerajaan bagi menzahirkan perpaduan negara yang sejati.”

Dari banyak kajian yang dilakukan ke atas tragedi 13 Mei, sebahagian besar hanya menjurus kepada masalah ekonomi. Walaupun ada kajian yang menyebut terdapat faktor sosial atau lebih tepatnya status sosial, jika diteliti, faktor status sosial itupun sebenarnya tidak boleh lari dari hakikat bahawa ia muncul kerana kedudukan ekonomi yang berbeza. Ringkasnya, orang yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik (baca: orang kaya) tentunya mempunyai status sosial yang tinggi dan begitulah sebaliknya. Jadi, kita tidak perlu berselindung dan terkeliru dengan istilah ‘status sosial’ yang kononnya terasing dari perbincangan ekonomi. Inilah hakikat Ideologi Kapitalis yang ditanam oleh penjajah ke atas kita di mana pemilik modal @ kapitalis (orang kaya) adalah golongan yang mesti dihormati dan mereka inilah sebenarnya yang memegang kekuasaan. Pendek kata, dalam kehidupan atau negara yang bertunjangkan Ideologi Kapitalis ini, jangan haraplah seseorang itu akan memegang kekuasaan jika dia bukan seorang yang kaya. Seperkara lagi yang tidak biasa disentuh dalam isu 13 Mei ialah aspek politik. Tidakkah kita tertanya-tanya kenapakah tidak ada rusuhan kaum sepertimana 13 Mei di sepanjang pemerintahan British di Tanah Melayu, tetapi apabila ‘pemerintahan sendiri’ telah dikecapi, rusuhan terburuk terus meledak? Apakah yang tidak kena dengan sistem pemerintahan yang dijalankan setelah hampir 12 tahun mencapai kemerdekaan?

Menyamakan Perkara Yang Tak Sama

Di dalam penulisannya, Dr. Asyraf memberikan komentar, “Satu pengajaran penting daripada pembentukan dasar-dasar ini ialah keadilan sosioekonomi tidak bermakna semua pihak berhak mendapat agihan secara sama rata. Sebaliknya ketidakadilan pasti wujud apabila mereka yang tidak setanding diperlakukan secara sama. Ini kerana keadilan hanya mampu tercapai apabila sesuatu pengagihan mengambil kira status dan keupayaan sebenar satu-satu pihak. Berasaskan prinsip keadilan inilah maka sebarang masalah yang melibatkan ketidakseimbangan di antara pelbagai kaum perlu ditangani secara bijaksana melalui pendekatan berupa afirmatif dengan menyediakan ruang dan peluang yang lebih utama kepada kelompok yang masih ketinggalan.”

Beliau seterusnya menambah “Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapati bahawa tindakan afirmatif yang menjamin kestabilan dan kerukunan masyarakat berbilang kaum bukanlah asing dalam Islam. Pendekatan afirmatif dalam pengagihan kekayaan turut dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara yang mentadbir pelbagai kelompok di Madinah yang berlainan agama, bangsa, puak dan keturunan. Umpamanya dalam peristiwa pembahagian harta Al-Fai’ iaitu hasil rampasan yang diterima tanpa berperang kepunyaan Bani Nadhir, Rasulullah turut menggunakan pendekatan afirmatif secara bijaksana. Dalam pembahagian tersebut, Rasulullah hanya memperuntukkan harta tersebut kepada puak Muhajirin (para penghijrah dari kota Mekah) tanpa diberikan kepada puak Ansar (penduduk asal Madinah) melainkan kepada dua orang Ansar yang memang miskin. Selaku ketua negara, Rasulullah menggunakan kebijaksanaan politik dalam pembahagian ini dengan mengambil kira kondisi masyarakat Muhajirin yang meninggalkan segala kekayaan dan harta benda mereka di Mekah demi tuntutan hijrah. Sedangkan puak Ansar memiliki limpahan kekayaan di Madinah hingga wujud ketidakseimbangan ekonomi antara Ansar dan Muhajirin. Pendekatan afirmatif ekonomi Rasulullah yang bertujuan mengurangkan jurang kekayaan antara Ansar dan Muhajirin ini turut mendapat restu Allah apabila ayat al-Quran (al-Hasyr:7) khusus diturunkan memperakui tindakan Nabi.”

Penulisan Dr. Asyraf nampaknya cuba menjelaskan, atau lebih tepat, cuba menjustifikasi tindakan kerajaan yang dilakukan lebih kurang 37 tahun yang lalu di dalam memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bahawa ia adalah bertepatan dengan Islam. Dengan beristidlal terhadap apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah di dalam kes Al-Fai’, Dr. Asyraf cuba menggambarkan bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah sama sebagaimana apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Dua konsep yang beliau cuba ketengahkan di dalam istidlal ini ialah konsep keadilan dan pendekatan afirmatif. Agar umat Islam tidak terus tenggelam di dalam kekeliruan dan kesalahfahaman, maka kami merasa perlu menjernihkan beberapa perkara:-

Pertama: DEB telah dirancang dan dilaksanakan sejak lebih 30 tahun yang lalu. Tidak pula kita dengar bahawa Majlis Perundingan Negara (MPN), selaku pembuat dasar, yang bersidang pada waktu itu menggunakan dalil sebagaimana yang digunakan oleh Dr. Asyraf. Di dalam Islam, sebelum melakukan sesuatu perbuatan, maka wajiblah dilihat hukum syara’ terlebih dahulu. Ini diambil dari kaedah usul fiqh bahawa ‘al-aslu fi al-af’al taqayyidu bi hukmillah (asal suatu perbuatan itu adalah terikat dengan hukum Allah)’. Di dalam konteks ini, pihak MPNlah yang sepatutnya (semasa bersidang dahulu) meneliti hukum syara’ ke atas apa yang ingin diterapkan, baru setelah itu dilaksanakan.Yang pasti, semasa melancarkan DEB, MPN sendiri telah menggariskan matlamat dan strategi tersendiri, yang satupun tidak disandarkan kepada dalil yang telah dijelaskan oleh Dr. Asyraf. Tetapi kini, perbuatan yang telah ditetapkan lama dahulu, dijustifikasikan dengan hukum syara’ setelah hampir 40 tahun ianya berlalu. Pendek kata, perbuatan telah dilakukan terlebih dahulu (oleh satu pihak), dalil dicari kemudian (oleh pihak yang lain).

Kedua: Semua pihak mengakui bahawa DEB diperkenalkan setelah tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei. Dengan kata lain, ia muncul setelah terjadinya rusuhan kaum dan hasil dari sikap kompromi antara kaum-kaum yang terlibat. Ia juga bertujuan atau diharapkan agar perkara yang sama tidak berulang. Perbezaan yang amat ketara boleh dilihat di sini di mana apa yang dilakukan oleh Rasulullah ke atas Bani Nadhir bukannya kerana rusuhan kaum atau sikap kompromi terhadap kaum yang berlainan. Ia dilakukan oleh Rasulullah hasil dari proses jihad yang dilancarkan ke atas Bani Nadhir dan ia dilakukan berdasarkan wahyu, bukannya sikap kompromi.

Ketiga: Ayat yang digunakan sebagai dalil ialah Surah al-Hasyr (59):7, yang bermaksud,

“Apa saja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota, maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumanNya.”

Fai’ bermaksud segala sesuatu yang dirampas atau dikuasai oleh kaum Muslimin dari golongan kafir tanpa berlakunya peperangan dan tanpa mengerahkan pasukan perang. Keadaan ini adalah seperti yang terjadi pada Bani Nadhir. Fai’ juga termasuk sesuatu yang dirampas dari orang-orang kafir yang kerana takutkan kaum Muslimin, mereka lari meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka. Juga termasuk keadaan di mana ketakutan mereka kepada kaum Muslimin menyebabkan mereka memberikan sebahagian dari tanah dan harta mereka sebagai pertukaran untuk sebuah keamanan bagi mengelakkan perang; sebagaimana terjadi pada Yahudi Bani Fadak. Inilah maksud Fai’ yang dijelaskan oleh Allah swt di dalam Al-Quran,

“Dan apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada RasulNya dari (harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kudapun dan tidak (pula) seekor untapun, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada RasulNya terhadap siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” [TMQ al-Hasyr (59):6].

[Abdul Qadim Zallum, Al-Amwal Fi ad-Daulah al-Khilafah]

Dari ayat-ayat di atas, beberapa perkara perlu difahami. Ayat ini adalah tentang pembahagian harta rampasan (Fai’) yang muncul dari proses jihad (walaupun tanpa peperangan) yang dilakukan ke atas Darul Kufur, bukannya pembahagian harta yang sedia ada di dalam Negara (Daulah Islam). Sementara DEB adalah dasar yang menggunakan segala ruang dan peluang di dalam Negara untuk membasmi kemiskinan, merapatkan jurang ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada kaum tertentu. Fai’ juga hanyalah untuk mereka yang pergi berperang dan tidak dibahagikan kepada mereka yang tidak ikutserta di dalam jihad. Fai’ wajib dibahagikan kepada kaum Muslimin sahaja dan tidak diberikan kepada orang kafir. Ia adalah pembahagian yang dibuat berdasarkan persamaan akidah, bukannya atas dasar kaum. Dengan kata lain, agihan kekayaan yang diperintahkan Allah di dalam ayat ini adalah agihan sesama Muslim, bukan kerana kaum.

Antara perkara yang tidak kurang penting untuk difahami dari ayat ini adalah bahawa Fai’ itu sendiri merupakan satu istilah khusus yang mempunyai makna yang tersendiri dan tidak boleh dianalogkan kepada perkara-perkara lain. Perbincangan tentang Fai’ adalah perbincangan tentang sebuah Negara yang menerapkan Sistem Islam, bukannya perbincangan sekadar untuk menjustifikasikan perbuatan pemerintah yang menerapkan Sistem Kapitalisme, tetapi cuba dicari dalil yang sesuai untuk ‘mengislamkan’ tindakan yang dilakukan oleh pemerintah. Dengan kata lain, jika tiada Daulah Islam yang menerapkan hukum tentang jihad, maka tiadalah Fai’. Ingatlah! Ayat-ayat Allah adalah merupakan hukum yang wajib diterapkan, bukan untuk digunakan sebagai ‘pembenar’ apa-apa tindakan yang tidak Islami.

Keempat: Memang benar bahawa Rasulullah membahagikan Fai’ kepada Muhajirin dan hanya kepada dua orang miskin dari golongan Ansar. Di sini kita perlu ingat bahawa kaum Muhajirin dan Ansar disatukan oleh Rasulullah di atas kalimah tauhid yang sama, bukannya kerana kaum atau sempadan negara. Jadi, jika dalil pembahagian kekayaan di antara dua kaum ini (Muhajirin dan Ansar) ingin digunakan di dalam konteks sekarang, maka apakah perlu dibezakan di antara Melayu Muslim, India Muslim, Cina Muslim, Indonesia Muslim, Thailand Muslim atau Bangladesh Muslim? Bolehkan rakyat Bangladesh yang beragama Islam yang telah ‘berhijrah’ ke Malaysia menikmati pembahagian kekayaan oleh Negara Malaysia, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah semasa membahagikan kekayaan kepada kaum yang berhijrah (Muhajirin)? Berdasarkan pengagihan ini juga, adakah Malaysia akan membahagikan kekayaan di bawah DEB kepada rakyat Indonesia atau Thailand yang berketurunan Melayu Islam yang senantiasa ‘berhijrah’ ke Malaysia dengan meninggalkan kampung halaman mereka? Kenapa hal ini tidak berlaku? Standard apakah yang digunakan – persamaan kaum, keturunan, sempadan negara atau akidah?

Kelima: Menyamakan DEB dengan konsep keadilan Islam adalah jauh panggang dari api. Walaupun DEB sedikit sebanyak telah membantu kaum tertentu, ia hanya muncul dari fikiran akal manusia yang bermesyuarat untuk mencari penyelesaian kepada rusuhan kaum yang berlaku hasil dari ketidakseimbangan ekonomi. Ia juga dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang sama dari berulang, bukannya dilakukan kerana ingin menerapkan hukum Allah ke atas manusia. Sedangkan Fai’ adalah sebahagian dari hukum Allah berkenaan ekonomi dan pemerintahan yang diterapkan oleh Rasulullah hasil dari wahyu. Adalah terlalu naif menyamakan DEB dengan keadilan Islam kerana DEB terhasil dari akal manusia walhal yang dimaksudkan keadilan di dalam Islam adalah dengan melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukannya mengikut kebijakan akal manusia.

Keenam: Ungkapan bahawa “tindakan Rasulullah telah mendapat restu Allah dengan diturunkan ayat Al-Quran memperakui tindakan Nabi” menggambarkan seolah-olah Rasulullah melakukan perbuatan berdasarkan pendapatnya terlebih dahulu, baru kemudian wahyu diturunkan membenarkan perbuatan baginda. Hal ini adalah bertentangan dengan firman Allah,

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain kecuali wahyu yang diwahyukan (kepadanya) [TMQ An-Najm (53):3-4].

Ayat ini menerangkan bahawa setiap perbuatan Nabi adalah berdasarkan wahyu. Maksudnya wahyu datang terlebih dahulu, barulah Rasulullah akan berbicara. Fai’ adalah perkara yang melibatkan hukum dan di dalam setiap perkara yang melibatkan hukum, Rasulullah tidak akan mengeluarkan perintah kecuali setelah diwahyukan terlebih dahulu. Wahyu di sini boleh berupa ayat Al-Quran itu sendiri atau berupa kefahaman yang dimasukkan ke dada Rasulullah. Terdapat banyak asbabun nuzul atau hadis-hadis yang menjelaskan akan hal ini. ‘Hadis’ itu sendiri merupakan wahyu yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasul, yang kefahamannya adalah dari Allah tetapi lafaznya adalah dari Rasulullah. Mustahil bagi Rasulullah mengeluarkan suatu Hadis (berbicara) yang bukan berasal dari wahyu. Memang benar bahawa Rasulullah ada menggunakan pendapatnya sendiri, tetapi ini hanyalah terbatas di dalam aspek administrasi dan uslub (perkara-perkara teknikal) sahaja, tetapi tidak sekali-kali berkenaan hukum Allah.

Sesungguhnya segala masalah ekonomi yang wujud, sama ada sebelum atau selepas 13 Mei 1969 hanya membuktikan fakta bahawa sistem yang diterapkan adalah Sistem Ekonomi Kapitalis. Jika sistem ekonomi yang diterapkan ialah Sistem Islam, maka tidak mungkin ia akan mencapai kegagalan kerana ia berasal dari wahyu. Istilah ‘Dasar Kebangsaan’ itu sendiri menunjukkan bahawa ia bukannya ‘Dasar Islam’. Itu baru dasarnya, belum lagi perlaksanaannya. Jika benarlah istidlal yang dilakukan oleh penulis artikel bahawa kerajaan Malaysia telah melaksanakan apa yang Rasulullah lakukan, apakah mungkin masalah (termasuk kemunduran dan kemiskinan) terus wujud dari dahulu hingga sekarang? Perhatikan sahaja bagaimana Rasulullah membangun Negara Islam Madinah selama 10 tahun, dibandingkan dengan 10 (atau 50) tahun para pemimpin Malaysia membangunkan ‘Negara Islam Malaysia’ setelah berjaya memerintah sendiri. Apakah wujud persamaan, jika benarlah pemerintahan ini mengikut sunnah Rasulullah?

Muamalat Sebagai Aternatif?

Dari aspek muamalat, Dr. Asyraf menjelaskan “Pendekatan afirmatif sekali lagi digunakan dalam menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi di antara penduduk Arab Madinah dengan kaum perantau Yahudi. Nabi turut membina pasar-pasar alternatif yang memberi ruang dan peluang perniagaan bagi umat Islam Madinah yang terlalu bergantung kepada kaum minoriti Yahudi yang menguasai hampir keseluruhan pasar di Madinah sebelum kedatangan Islam.”

Perlu diperjelaskan sekali lagi di sini bahawa apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah adalah berdasarkan wahyu. Oleh itu, jika sirah menyebut bahawa terdapat di kalangan umat Islam mahupun Yahudi di Madinah yang bekerja sebagai peniaga di pasar-pasar, ini adalah kerana Islam membenarkannya. cuma apa yang Islam larang adalah wujudnya keadaan di mana kekayaan itu hanya dimiliki oleh orang-orang tertentu sahaja dari kalangan mereka. Islam datang dan menyelesaikan masalah peredaran kekayaan, tetapi bukannya berdasarkan kaum. Surah 59:7 itu sendiri menyebut ‘minkum’ (di antara kamu), yang bermaksud dari kalangan umat Islam, bukannya kaum. Setelah penerapan hukum Allah berdasarkan ayat ini (dan ayat-ayat lain secara umumnya), ternyata masalah ekonomi berjaya diatasi oleh Rasulullah. Berbeza dengan persoalan ‘ketidakseimbangan ekonomi’ yang berlaku di Malaysia, nas tersebut sememangnya tidak sesuai digunakan. Justeru, kita perlu memahami:-

Pertama: Perbezaan jurang ekonomi di antara kaum bukanlah merupakan suatu kesalahan di dalam Islam sehingga perlu dikurang atau dihapuskan. Apa yang tidak boleh berlaku adalah kekayaan yang hanya berlegar di kalangan orang-orang tertentu sahaja. Islam tidak pernah melarang umatnya atau kaum-kaum lain (samada Yahudi, India, Cina dan sebagainya) dari mencari sebanyak mungkin kekayaan. Tetapi Negara mesti memastikan bahawa kekayaan tidak hanya bertompok kepada individu-individu tertentu sahaja.

Kedua: Kewujudan pasar di Madinah bukanlah sebagai alternatif atau kerana Rasulullah ingin memberi ruang dan peluang perniagaan kepada umat Islam. Rasulullah melakukannya kerana ia dibenarkan oleh syara’. Rasulullah sebagai ketua negara memberikan kebebasan kepada kaum Muslimin (dan juga non-Muslim) untuk mencari pekerjaan yang halal dan baginda akan menyediakan peluang pekerjaan (bukan semestinya berniaga) kepada sesiapa yang tidak memperolehi pekerjaan. Ini adalah satu ketentuan hukum, bukannya soal memberikan alternatif atau peluang perniagaan kepada Muslim untuk bersaing dengan non-Muslim bagi merapatkan jurang ekonomi.

Ketiga: Kewujudan pasar-pasar adalah sebagai perlaksanaan kepada hukum-hukum muamalat Islam yang dipraktikkan sama ada oleh kaum Muslimin mahupun orang kafir. Dari sinilah berkembangnya fiqh muamalat di dalam Islam. Justeru, tidak timbul soal wujudnya pasar adalah untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi. Banyak lagi hukum-hukum tentang ekonomi di dalam Islam yang apabila dilaksanakan tidak akan wujud masalah sepertimana dalam ekonomi kapitalis pada hari ini. Sebagai contoh hukum Islam telah menyatakan bahawa air, api dan padang ragut adalah hak bersama yang tidak boleh dikenakan bayaran oleh sesiapa pun, walhal situasi ini tidak wujud pada hari ini. Begitu juga dengan segala hasil bumi seperti minyak, gas dan segala galian yang ada adalah hakmilik setiap Muslim yang wajib dikelolakan oleh pemerintah dan diagihkan secara per*****a dan saksama kepada semua warganegara. Hukum zakat pula akan memastikan orang fakir dan miskin mendapat pembelaan di dalam Islam. Jadi, persoalan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum sebenarnya hanya muncul hasil dari dasar pecah dan perintah oleh penjajah dan penerapan Ideologi Kapitalis oleh pemerintah ke atas kaum Muslimin.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Janganlah kalian jadikan ayat-ayat Allah sebagai justifikasi ke atas tindakan sesiapa sahaja yang tidak menuruti hukum Allah. Janganlah kalian membenarkan suatu kesalahan yang telah dilakukan oleh golongan pemerintah dengan menyamakan tindakan mereka seperti tindakan yang diambil oleh Rasulullah walhal ia jelas-jelas bertentangan. Sebaliknya, kalian bertanggungjawab memuhasabah dan mengingatkan para pemimpin yang menyimpang ini. Sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, janganlah hendaknya kalian ada sifat ingin mengampu, ingin dipandang oleh manusia apatah lagi mengharapkan para pemimpin agar menyukai apa yang kalian bicarakan. Ingatlah! Setiap patah perkataan yang kita tulis atau apa sahaja yang kita bicarakan, pasti ada yang menghisabnya. Justeru, menulis dan berbicaralah kerana Allah dan takutilah Dia di dalam penulisan dan perbicaraan kalian. Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit. Katakanlah bahawa sistem yang diterapkan ke atas kita sekarang adalah sistem kufur dan bukannya sistem Islam. Katakanlah bahawa hukum-hukum Al-Quran dan Sunnah tidak pernah dijunjung oleh para pemimpin kalian, sebaliknya hukum hawa nafsulah yang mereka sanjung. Berbicaralah kalian dengan benar dan adil. Bersaksilah kalian di atas kebenaran ini dan jangan sekali-kali kalian memutarbalikkan kata-kata kerana maslahat dunia. Sesungguhnya kebenaran itu adalah dari Allah dan Dia akan bersama mereka yang menegakkannya.

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibubapa dan kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan” [TMQ an-Nisa’ (4):135].
 

Wallahu a’lam