SN149 – TIDAK ADA YANG TINGGAL PADA ISLAM KECUALI NAMA….

PDF

SN Keluaran 23 November 2007

                         Logo SN

[SN149] Sudah lama dan sering kali kita mendengar Islam dimomok-momokkan dengan ‘label Islam’. Ada Sistem Perbankan Islam, Insurans Islam (Takaful), Pajak Gadai Islam, Pusat Rawatan Islam dan lain-lain produk yang diidhafahkan dengan ‘Islam’ atau diarabkan untuk menta’kid lagi barangan tersebut adalah dari Islam. Ternyata, produk-produk yang dilabel ‘Islam’ ini sememangnya berjaya menarik perhatian dan emosi sebahagian besar umat Islam sehingga ada yang marah dan naik berang jika kita berhujah bahawa ‘produk Islam’ yang ada sekarang hanyalah ciplak dari produk konvensional/kufur dengan diletakkan nama ‘Islam’ di belakangnya. Walhal kalau dikaji dengan jernih dan teliti, kita akan dapati bahawa cap ‘Islam’ atau nama Arab tadi hanyalah satu umpan yang digunakan untuk memancing umat Islam bagi melanggan perkhidmatan tadi. Bagi pencinta produk-produk yang dilabel ‘Islam’ ini, pendedahan yang dibuat oleh Presiden Majlis Am Bagi Bank dan Institusi kewangan Islam, Sheikh Saleh A Kamel baru-baru ini agak mengejutkan di mana hasil pemantauan pihak beliau mendapati kira-kira 350 bank yang menawarkan perkhidmatan skim perbankan Islam di 75 negara di seluruh dunia menggunakan kaedah kerja (prosedur) yang tidak berlandaskan hukum syara’. Lebih membimbangkan lagi, daripada 350 bank ini, 120 daripadanya beroperasi di negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) [BH 23/10/07]. Untuk kebaikan umat Islam, sepatutnya nama-nama Bank itu didedahkan kepada umum kerana mereka telah mengaut banyak keuntungan menggunakan nama ‘Islam’ walhal menyediakan produk yang haram.

Bagi pencinta Islam yang telah lama sedar akan perniagaan ‘penjenamaan semula’ ini, pendedahan ini bukanlah suatu yang mengejutkan. Dalam keghairahan para pemilik modal (kapitalis) menjenamakan ‘Islam’ kepada produk-produk mereka sebagai tarikan untuk umat Islam dan mengaut keuntungan dari sentimen umat terhadap label ‘Islam’ yang diberi, mereka nampaknya semakin hanyut dan gelap mata dengan keuntungan yang telah diperolehi. Mereka tidak lagi memandang sama ada produk itu benar-benar dari Islam atau tidak, yang penting, berapa banyakkah keuntungan atau manfaat yang dapat diraih darinya. Justeru brand Islam ini lama-kelamaan telah semakin diminati untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan oleh para pemilik modal (kapitalis). Mutakhir ini kita dikejutkan dengan satu lagi jenama baru Islam iaitu ‘Kereta Islam’ (Islamic Car). Malaysia bersama dengan Iran dan Turki merancang mengeluarkan kereta yang bercirikan Islam untuk pasaran global, kata Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Kereta yang dicadangkan itu akan bercirikan Islam seperti mempunyai kompas, petunjuk arah kiblat serta ruang penyimpanan Al-Quran dan tudung. “Iran mahu memanggilnya ‘kereta Islam’,” kata beliau [BH 11/11/07].

Dalam perkembangan yang berkaitan, semasa berucap di Majlis Jamuan Malam Amal Festival Fesyen Islam KL-Jakarta (IFF 2007) di Kuala Lumpur baru-baru ini, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pereka fesyen Islam lebih agresif dalam memasar dan memberi penjenamaan kepada rekaan mereka bagi menarik minat masyarakat Islam dan dunia luar terhadap fesyen Islam. Rosmah seterusnya berkata, ketika ini fesyen Islam sering dilihat sebagai tidak menarik, ketinggalan dan hanya dalam satu dimensi. Katanya, dua sebab perkara itu berlaku iaitu “pengguna Islam tidak sedar tentang kepelbagaian gaya fesyen Islam terkini di pasaran dan kebimbangan vendor fesyen Islam dalam membuat pelaburan pada aspek penjenamaan dan pemasaran.” [UM 18/11/07]. Tidak lama sebelum ini telah pun ada pereka fesyen yang merekacipta ‘pakaian sukan Islam’ untuk atlet wanita dan selepas itu dicipta pula ‘pakaian mandi Islam’ untuk wanita. Emosi umat Islam terus terpaut dengan brand ‘Islam’ yang ditempelkan pada barangan tersebut, sehingga ada ulama yang menyetujuinya, walhal semua pakaian tersebut langsung berlawanan dengan nas al-Quran yang qat’i tentang pakaian wanita Islam (lihat Surah Al-Ahzab (33):59 dan Surah An-Nur (24):31). Inilah akibatnya apabila Islam yang ingin ditonjolkan hanyalah pada kulitnya atau pun dari segi kemajuan kebendaan semata-mata.

Dalam kita menempuh kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari menggunakan bahan yang dihasilkan dari pengetahuan sains dan teknologi, termasuklah yang berasal dari Barat. Fenomena ini telah menimbulkan satu anggapan bahawa, tidak semua yang berasal dari Barat itu tidak baik atau perlu ditolak, malah ada yang mengatakan ia mesti di ambil jika sesuai dengan Islam. Akhirnya umat Islam bukan setakat mengambil kemajuan kebendaan dari Barat, malah telah banyak mengambil cara hidup, budaya, sistem pemerintahan demokrasi dan undang-undang dari Barat dan ada yang tanpa mengkaji terlebih dahulu, terus mengatakan ia sesuai dengan Islam atau berasal dari Islam. Sebelum berbincang lebih lanjut, secara ringkasnya, dalam menghadapi kemajuan dari Barat ini, umat Islam telah terpisah kepada tiga golongan:-

Golongan pertama, adalah golongan yang terbius dengan pendidikan Barat dan cara hidup Barat, mereka menerima apa sahaja kemajuan dan cara hidup Barat. Golongan ini adalah golongan liberal dan banyak terdapat di negara umat Islam seperti Jaringan Islam Liberal (Indonesia) dan Sisters In Islam di Malaysia. Kerajaan pula, melalui media massa selalu ‘menyokong’ golongan ini. Kita boleh lihat melalui kaca TV berapa banyak program yang memberi publisiti dan mendukung golongan ini seperti rancangan 3R, Akademi Fantasia dan lain-lain rancangan hiburan serta iklan yang menonjol dan membenarkan pergaulan bebas tanpa batas di kalangan umat Islam. Golongan ini sering memesongkan pemikiran Islam agar sesuai dengan pemikiran Barat. Golongan kedua, golongan yang menerima kemajuan sains dan teknologi Barat, tetapi masih lagi berpegang dengan gaya hidup Timur, sama ada dari budaya setempat atau adat resam. Apa sahaja cara hidup Barat, akan disaring dan ditapis berasaskan budaya setempat. Golongan ketiga, adalah golongan yang jumud yang menolak serba-serbi dari Barat termasuk sains dan teknologi, bahkan ada yang mengharamkan TV, mikrofon, kamera dan sebagainya, kerana didakwa menyerupai orang-orang kafir (kerana berasal dari Barat). Golongan ini dilanda kejumudan kerana tidak dapat membezakan mana yang boleh diambil dari Barat dan yang mana perlu ditolak.

Hadharah dan Madaniyyah

Dalam membincangkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh diambil dari Barat (atau orang-orang kafir), umat Islam perlu memahami dan membezakan dua konsep penting iaitu hadharah dan madaniyyah yang secara umumnya membawa maksud/perbincangan tentang kebudayaan. Umat Islam haruslah membezakan dengan jelas, budaya dan produk dari budaya. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘kebudayaan’ bermaksud “keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan, dan berfikir) serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat; tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi)”. Dalam konteks ini, Islam telah memperincikan perbincangan tentang hadharah dan madaniyyah, yang dapat membezakan antara budaya dan produk dari budaya. Hadharah bermaksud majmu’ al-mafahim ‘an al-hayah (sekumpulan konsep/pemahaman tentang kehidupan), sementara madaniyyah bermaksud al-asykal al-maadiyah li asy-ya’ al-mahsusah allati tusta’mal fi syu’un al-hayah (peralatan fizikal berupa benda hasil ciptaan manusia yang digunakan dalam aspek kehidupan) [Nizhamul Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani]. Berdasarkan pengertian ini, apa-apa idea, gagasan, nilai, norma adat-istiadat, hukum serta konsep pemerintahan, sebagai contoh, adalah termasuk dalam kategori hadharah. Manakala madaniyyah pula adalah seluruh peralatan fizikal atau teknologi yang dapat dilihat, dirasai, disentuh dan digunakan seperti kereta, kapalterbang, komputer, bangunan pencakar langit, kilang, candi, masjid, gereja, lukisan, lambang salib, buku, telefon bimbit dan sebagainya (benda-benda hasil ciptaan manusia) yang wujud dan berkembang menempati ruang dan masa.

Hadharah adalah berbeza-beza sesuai dengan aqidah dan hukum yang melahirkannya. Bila aqidah dan hukum yang melahirkan hadharah tersebut adalah Islam, maka hadharah tersebut merupakan hadharah Islam. Sebaliknya, bila hadharah itu lahir dari selain Islam maka hadharahnya menjadi hadharah kufur, dan sudah semestinya bertentangan dengan hadharah Islam. Idea/gagasan tentang freedom (kebebasan), liberalisme, feminisme, nasionalisme (kebangsaan), patriotisme, sekularisme dan pluralisme adalah contoh-contoh hadharah kufur yang bertentangan sama sekali dengan hadharah Islam. Dalam aspek kepercayaan dan keyakinan pula, misalnya, pemahaman bahawa Allah adalah Zat yang Maha Memberi Rezeki yang dimanifestasikan dengan senantiasa memohon rezeki kepada-Nya dan berlindung kepada-Nya sahaja, merupakan hadharah Islam. Sementara, keyakinan bahawa ada kekuatan lain seperti penunggu laut sehingga perlu mengadakan pesta puja pantai supaya nelayan memperoleh rezeki atau pesta menuai untuk memuja semangat padi, semuanya adalah hadharah kufur yang terkandung dalam budaya Timur.

Begitu juga sekumpulan konsep tentang kehidupan sosial masyarakat, antaranya manusia perlu menutup aurat merupakan hadharah Islam. Sementara, pemikiran bahawa manusia itu bebas bertingkah laku, berkhalwat, berzina dan melakukan apa sahaja sekehendak hatinya hingga wanita boleh tidak bertudung, berpakaian singkat dan seksi dalam kehidupan umum di tengah-tengah masyarakat, berlenggang-lenggok semasa bernyanyi, semuanya adalah hadharah kufur/Barat yang timbul dari majmu’ al-mafahim (sekumpulan konsep/pemahaman) mereka tentang kehidupan, yakni ‘kebebasan’. Wanita pada pandangan mereka hanyalah alat pemuasan nafsu seks lelaki dan pelaris jualan, bahkan berkeadaan telanjang bagi mereka adalah satu seni. Ini bercanggah sama sekali dengan hadharah Islam, yang mana dalam Islam langsung tidak ada konsep ‘kebebasan’ dan Islam memandang wanita sebagai aurat yang perlu dijaga. Setiap Muslim adalah orang yang ‘terikat’ dengan hukum syara’ dan tidak boleh keluar dari batas yang Allah telah tetapkan. Hadharah Islam menyatakan bahawa Muslim tidak bebas, tetapi terikat dengan hukum Allah.

Manakala dalam bidang ekonomi, hukum Islam tidak membolehkan riba dan ini merupakan hadharah Islam dan inilah majmu’ al-mafahim umat Islam, bahawa riba itu haram. Hadis Nabi pun turut menjelaskan betapa besarnya dosa pelaku riba seumpama dosa seseorang yang berzina dengan ibu kandungnya sendiri! Tetapi bagi orang kafir, majmu’ al-mafamim mereka tentang riba adalah dibolehkan, malah dipandang perlu bagi tujuan mendapat keuntungan. Jadi, amalan riba yang dibenarkan oleh pemerintah dalam sistem ekonomi sekarang adalah diambil dari hadharah kufur. Riba yang berasal dari hadharah kufur ini nyata-nyata telah menjadi ‘budaya’ dan mendarah-daging dalam kehidupan umat Islam sekarang, sehingga ada yang marahkan kita apabila kita ingin menghapuskan riba, dengan sindiran mereka, ‘bercakap biar logik…dari mana bank nak dapat untung jika nak dihapuskan riba?’. Begitulah betapa teruknya pemikiran umat Islam yang telah terbius dengan hadharah kufur ini, sehingga mereka langsung ‘tidak terasa’ akan keharaman riba, walaupun Rasulullah telah menyamakan (dosa) pelaku riba seumpama berzina dengan ibu sendiri! Dari aspek pemerintahan dan perundangan pula, Islam menjelaskan bahawa hak membuat undang-undang adalah di tangan Allah Subhana wa Ta’ala, manakala mengikut hadharah Barat yang mengamalkan sistem demokrasi, hak membuat undang-undang diletakkan di tangan manusia dengan suara majoriti. Ini amat berlawanan sekali dengan Islam dan merupakan satu dosa besar terhadap Allah di mana manusia telah mengambil hak Allah sebagai Pembuat Hukum (Legislator).

Madaniyyah (Peralatan Fizikal/Teknologi)

Berbeza dengan hadharah, madaniyyah adalah bentuk fizikal ciptaan manusia yang boleh jadi bersifat khas dan boleh pula bersifat umum untuk seluruh umat manusia. Bentuk-bentuk madaniyyah yang dihasilkan dari hadharah tertentu, seperti patung adalah termasuk madaniyah yang bersifat khas. Sedangkan bentuk-bentuk madaniyyah yang dihasilkan oleh kemajuan sains dan perkembangan teknologi/industri (semata-mata) adalah tergolong dalam madaniyyah yang bersifat umum. Bentuk madaniyyah ‘am ini ‘tidak dimiliki’ secara khusus oleh suatu umat/bangsa atau hadharah tertentu, akan tetapi ia bersifat universal seperti halnya sains dan teknologi/industri. Adapun madaniyyah khas yang timbul atau didasarkan pada hadharah kufur seperti lambang salib, pakaian paderi, baju sami Buddha, kopiah Yahudi, patung makhluk bernyawa, simbol zionis, swastika dan juga lukisan makhluk bernyawa, semua ini adalah diharamkan ke atas umat Islam kerana ia, walaupun madaniyyah, tetapi didasarkan atau muncul dari hadharah kufur dan ia bersifat khas untuk mereka sahaja. Maksudnya, semua bentuk madaniyyah tersebut hanya dikenal sebagai ‘kepunyaan’ orang-orang kafir tertentu sahaja. Adapun berkenaan patung dan lukisan, hal ini adalah bentuk madaniyyah yang jelas-jelas haram berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,

Siapa saja yang membuat gambar (manusia atau haiwan) maka Allah akan menyeksanya kerana gambar tersebut di hari kiamat, hingga ia meniupkan roh ke dalamnya, padahal ia sama sekali tidak mampu melakukannya.” [HR Bukhari].

Walaupun keharamannya jelas, namun terdapat sebahagian umat Islam yang memandang ringan perkara ini. Banyak lukisan makhluk bernyawa yang dilukis oleh mereka dan patung-patung yang dibina atas nama simbol negara, tugu pemimpin negara, tugu peringatan negara dan lain-lainnya.

Bagi madaniyyah am, ia adalah suatu yang lahir dari kebijakan atau kreativiti akal manusia di dalam berfikir dan mencipta benda-benda, atau lebih dikenali sebagai perkembangan sains dan teknologi. Madaniyyah ‘am yang berupa sains dan teknologi ini tidak terkait dengan hadharah, walaupun ia dicipta oleh orang kafir sekalipun, kerana ia muncul dari kreativiti akal, bukannya dari majmu’ al-mafahim mereka tentang kehidupan. Oleh itu, ia bukan ‘kepunyaan’ mana-mana bangsa, dan boleh diambil oleh siapa sahaja dan dari siapa saja tanpa mengira sama ada dari Barat mahupun Timur, penciptanya Muslim atau bukan. Justeru, jika umat Islam memahami dan mendudukkan perkara ini pada tempatnya, tidak akan timbul persoalan bahawa, kereta yang dicipta oleh orang kafir adalah ‘kereta kufur’ manakala kereta yang dicipta oleh orang Islam adalah ‘kereta Islam’ atau handphone yang dicipta oleh orang kafir adalah ‘handphone kufur’, manakala handphone (atau apa sahaja) yang dicipta oleh orang Islam adalah ‘handphone Islam’. Di dalam hal kreativiti berfikir (untuk mencipta benda) dan perkembangan teknologi ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Kalian lebih tahu tentang urusan dunia kalian” [HR Muslim].

Hadis ini memberikan kebebasan bagi manusia untuk mengembangkan ilmu sains, industri dan teknologi moden dan apa saja yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan selama tidak bertentangan dengan syara’. Bahkan Rasulullah sendiri pernah mengirim dua orang sahabat iaitu ‘Urwah Ibnu Mas’ud dan Ghailan Ibnu Maslamah ke kota Jarasy di Yaman untuk mempelajari pembuatan senjata Dabbabah (pemecah pintu kota) dari orang kafir, setelah baginda mendapat tahu bahawa senjata tersebut mampu digunakan untuk memecahkan benteng lawan [Al-Thabari, Tarikhul Umam wal Muluk]. Berdasarkan hal ini, adalah dibolehkan bagi umat Islam menerima-pakai alat/perkembangan teknologi seperti kereta, kereta api, VCD, radio, TV, komputer, telefon, pakaian, makanan halal, minuman halal dan produk lainnya sekalipun berasal dari orang bukan Islam tanpa memandang agama/ideologi yang mereka anut. Tidak ada di antara produk-produk ini yang statusnya ‘Islam’ (berbeza dengan orang – ada yang Islam ada yang kufur) atau mesti diberi nama ‘Islam’ berdasarkan ciri-ciri ‘keislamannya’. Inilah konsep madaniyyah yang perlu difahami dan dipegang oleh umat Islam.

Aplikasi konsep Hadharah dan Madaniyyah

Disebabkan pemahaman yang tidak jelas tentang konsep hadharah dan madaniyyah ini, menyebabkan ada beberapa insiden dalam sejarah yang merugikan umat Islam. Sebagai contoh semasa zaman kejatuhan Islam, Eropah berjaya mencipta mikrofon, bila alatini ingin dimasukkan ke dalam negara Islam, ulama yang jumud berfatwa tentang haramnya menggunakan mikrofon kerana suara tersebut adalah suara syaitan. Bahkan ada yang menolak teknologi dari Barat kerana alasan ianya buatan orang kafir dan kaum Muslimin dilarang menyerupai orang kafir. Walhal peralatan seperti mikrofon dan mesin percetakan itu adalah merupakan alat teknologi yang diharuskan (mubah) untuk digunakan dalam Islam berdasarkan kaedah usul fiqh, “al-aslu fi al-ashya’ al-ibahah ma lam yarid dalil al-tahrim” (Hukum asal benda-benda (alat/barang/teknologi) adalah mubah, selama mana tidak ada dalil yang mengharamkannya)”. Penggunaan mikrofon adalah uslub (teknik) untuk menguatkan suara dan tidak pernah ada nas yang melarangnya. Begitu juga dengan kereta, ianya merupakan sebuah bentuk teknologi gabungan dari ilmu kepakaran manusia dalam bidang mekatronik. Ianya adalah salah satu bentuk madaniyyah ‘am yang neutral, bernilai sejagat dan boleh digunakan oleh mana-mana manusia, tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam adalah menolak hadharah Barat dan segala madaniyyah khas dari orang-orang kafir, bukannya menolak madaniyyah ‘am yang berupa benda-benda yang mubah. Hadharah Barat berdiri atas dasar pemisahan agama dari kehidupan dan pengingkaran terhadap peranan agama dalam kehidupan, yang berakibat munculnya fahaman sekularisme, iaitu pemisahan agama dari urusan negara. Segala konsep pemerintahan sekular demokrasi yang datangnya dari Barat, undang-undang kufur dari Barat (British) yang ada sekarang, konsep nasionalisme, liberalisme, kebebasan, hak asasi manusia (HAM), nation-state (negara bangsa) dan sebagainya semuanya adalah berasal dari hadharah kufur yang wajib ditolak oleh umat Islam. Penolakan ini bukan kerana hadharah Barat itu bercanggah dengan budaya Timur, tetapi kerana ia bercanggah dengan hadharah Islam. Jika dulu umat Islam terkeliru dengan konsep hadharah dan madaniyyah, menyebabkan mereka mengharamkan perkara yang mubah iaitu produk/alat teknologi dari Barat, sekarang ini umat Islam malah menjadi lebih teruk lagi; objek-objek fizikal yang bersifat universal dan tidak ada kaitan dengan Islam cuba ‘diIslamkan’ (iaitu meletakkan label Islam kepada produk yang neutral) sedangkan hadharah kufur dari Barat yang jelas-jelas haram, diambil dan dipertahankan!

Oleh yang demikian, kereta dan seumpamanya adalah bentuk madaniyyah yang bersifat sejagat, bermula dari segi pembuatan sehinggalah penggunaannya. Bahkan Islam tidak pernah meletakan satu pemikiran yang khusus tentang ‘kereta’, dan ianya bebas diubahsuai mengikut kemajuan teknologi dan kepakaran pembuatnya. Apakah jika diletakkan kompas yang menunjukkan arah kiblat, ada tempat simpanan Al-Quran, sejadah dan tempat menyimpan tudung, maka terus sahaja kereta ini dikatakan ‘kereta Islam’. Sungguh naif sekali pandangan ini, kerana sesiapa pun boleh sahaja membeli kompas yang berharga RM5.00 dan meletakkannya di dalam kereta masing-masing, begitu juga dengan kocek kereta yang sedia ada boleh sahaja diletakkan al-Quran di dalamnya, adakah maka kereta kita akan bertukar status menjadi ‘kereta Islam’? Inilah kesan dari salah memahami ajaran Islam dan menjadikan ‘Islam’ hanya sebagai ‘jenama’, bukannya sebagai Deen Allah yang wajib diterapkan segala hukum-hakamnya. Islam hanya dijadikan bahan dagangan untuk dilabelkan bagi mendapatkan keuntungan bukannya diambil sebagai sebuah mabda’ (cara hidup/ideologi) dalam diri, masyarakat dan negara.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Apalah gunanya sebuah kereta Islam yang mempunyai tempat menyimpan al-Quran, jika kitab suci ini tidak pernah dijaga kesuciannya, hanya dibaca tetapi tidak diamalkan? Apalah gunanya kereta Islam yang mempunyai arah kiblat, jika pemandu dan penumpangnya menjadikan Barat sebagai kiblat? Apalah gunanya tempat letak tudung dalam kereta Islam, jika pemandunya sendiri tidak bertudung atau isteri pemimpin yang menaiki kereta itu sendiri tidak bertudung atau hanya bertudung ala-ala sangkut sahaja? Apalah gunanya ada fesyen Islam jika orang yang bercakap itu sendiri tidak pernah berfesyen (menutup aurat) sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam? Apalah gunanya fesyen Islam yang berkualiti jika si pemakainya langsung tidak ‘berkualiti’ di sisi Allah malah merupakan pelaku maksiat? Semua itu adalah tidak berguna di sisi Allah kerana apa yang Allah lihat adalah pada amal perbuatan seseorang (sama ada mengikut perintah dan larangan Allah atau tidak) dan Allah sekali-kali tidak melihat kepada ‘cap Islam’ yang diguna atau pakai oleh seseorang. Sebagai khatimah, marilah kita mengambil iktibar dari pesanan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang amat berguna kepada umatnya di akhir zaman ini,

Sudah hampir (tiba) suatu masa di mana tidak ada yang tinggal pada Islam itu kecuali namanya sahaja dan tidak tinggal pada al-Quran itu kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong/roboh dari petunjuk. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali [HR Baihaqi].