SN252 – ARAB SAUDI DAN PENGKHIANATAN KELUARGA SAUD
SN Keluaran 11 Mac 2011
ARAB SAUDI DAN PENGKHIANATAN KELUARGA SAUD
Arab Saudi merupakan salah sebuah negara di dunia Islam yang sangat strategik, terutama sekali kerana di negara tersebut terdapat Baitullah di Makkah yang menjadi pusat ibadah haji kaum Muslimin di seluruh dunia. Malah sejarah dan perjalanan Islam itu sendiri sememangnya tidak boleh dipisahkan dari wilayah Hijjaz itu kerana di sanalah Rasulullah SAW dilahirkan dan di sanalah Islam bermula sehingga menjadi peradaban besar dunia. Arab Saudi juga sering menjadi rujukan dalam bidang pendidikan Islam kerana di negara tersebut terdapat beberapa pusat pendidikan ulung seperti Universiti Raja Abdul Aziz di Jeddah dan Ummul Qura di Makkah yang menjadi tempat belajar ramai pelajar Islam dari seluruh dunia. Dari negara ini jugalah, munculnya gerakan Wahabi yang banyak membawa pengaruh dalam dunia Islam. Lebih jauh lagi, Saudi sering dianggap sebagai representasi model negara Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Itu dari satu sisi. Namun di sisi yang lain, Saudi juga merupakan negara yang paling banyak dikritik oleh dunia Islam. Sejak dari awal pembentukannya, negara ini dianggap sebagai pemberontak terhadap Khilafah Utsmaniyah. Sejarahnya juga penuh dengan pertumpahan darah terhadap lawan-lawan politiknya. Banyak pihak menjadi saksi terhadap tindakan keras yang dilakukan oleh rejim ini terhadap pihak-pihak yang menentang kekuasaan keluarga Saud. Bukan itu sahaja, Saudi juga dikecam kerana menyediakan negaranya untuk menjadi pangkalan militer AS. Kehidupan keluarga kerajaan Saud yang penuh dengan kemewahan yang melampau juga banyak menjadi perbincangan. Secara ekonominya, Saudi juga menjadi dambaan negara-negara kuasa besar dunia disebabkan faktor kekayaan minyaknya yang luar biasa.
Memberontak Terhadap Khilafah, Bersekutu Dengan British
Secara rasmi, Arab Saudi meraikan kemerdekaannya pada tanggal 23 September setiap tahun. Pada tarikh tersebut pada tahun 1932, Abdul Aziz (yang terkenal dengan gelaran Ibnu Saud) telah mengisytiharkan berdirinya Kerajaan Saudi Arabia (al-Mamlakah al-‘Arabiyah as-Su‘udiyah), sekaligus menghapuskan nama tanah ‘Hijjaz’ yang dikenali umat Islam selama ini. Abdul Aziz pada waktu itu berhasil menyatukan daerah-daerah kekuasaannya iaitu Riyadh, Najd, Ha-a, Asir dan Hijaz. Dia juga berjaya memanfaatkan fahaman Wahabi untuk mendukung kekuatan politiknya. Sejak awal lagi, dinasti Saud secara terbuka telah mengumumkan dukungannya dan menerima pakai sepenuhnya pemikiran Wahabi yang dicetuskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang kemudiannya dikenali dengan gerakan Wahabi. Dukungan ini kemudian menjadi kekuatan baru bagi dinasti Saud untuk melakukan penentangan terhadap Daulah Khilafah.
Gerakan Wahabi dan penguasa Saudi muncul pertama kali pada abad ke-18 di tengah-tengah keadaan yang kurang menguntungkan bagi Khilafah Utsmaniyah, baik secara internal mahupun eksternal. Secara internal, kelemahan Khilafah mulai membesar pada abad ke-18 disebabkan oleh buruknya penerapan hukum-hakam Islam, wujudnya pemikiran-pemikiran asing (seperti nasionalisme dan demokrasi) yang berjaya mengaburkan ajaran Islam dalam benak umat Islam dan lemahnya kefahaman Islam yang sangat ketara dengan adanya vakum ijtihad [Taqiyuddin An-Nabhani, Ad-Daulah Al-Islamiyyah, hal. 177].
Secara eksternal, negara-negara Eropah seperti British, Perancis dan Itali telah dan sedang berkonspirasi untuk menghancurkan Khilafah Utsmaniyah. Negara-negara Eropah tersebut berkali-kali berkumpul dan bersidang untuk membahaskan persoalan-persoalan yang mereka sebut sebagai Masalah Timur (al-mas’alah al-syarqiyyah). Hal ini dilakukan dengan tujuan untuk memecah dan membahagi-bahagikan tanah wilayah Khilafah mengikut kehendak mereka. Meskipun mereka tidak berhasil mencapai kata sepakat dalam pembahagian tanah tersebut, namun mereka sebulat suara bersetuju dalam satu perkara, iaitu Khilafah mesti dihapuskan. Demi menghancurkan Khilafah, negara-negara Eropah itu melakukan pelbagai bentuk serangan sehingga terpecah-belahlah wilayah-wilayah Khilafah. Selain Rusia yang yang telah menjajah Turkistan tahun 1884 dan berjaya memisahkannya dari wilayah Khilafah, Perancis sebelum itu telah menjajah Syam (Ghaza, Ramalah, dan Yafa) pada tahun 1799. Perancis juga telah merampas Al-Jazair (Algeria) tahun 1830, Tunisia tahun 1881 dan Marakesh (Maghribi) tahun 1912. Itali tidak ketinggalan dalam menduduki Tripoli (Libya) tahun 1911. Sementara British menguasai Mesir tahun 1882 dan Sudan tahun 1898 [Taqiyuddin An-Nabhani, Ad-Daulah Al-Islamiyyah, hal. 206-207].
Demikianlah serangan militer yang telah dilancarkan oleh Eropah untuk menghancurkan Khilafah dengan cara melakukan pemecahan wilayah-wilayahnya satu demi satu. Selain usaha langsung yang dilakukan dari luar, pelbagai cara juga telah ditempuh oleh Eropah untuk menghancurkan Khilafah dari dalam. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam bukunya Kaifa Hudimat al-Khilafah (Bagaimana Khilafah Dihancurkan), terdapat empat cara yang digunakan iaitu: (i) meniupkan fahaman nasionalisme (ii) mendorong gerakan pemisah/separatisme (iii) memprovokasi umat untuk memberontak terhadap Khilafah (iv) memberi dukungan senjata dan dana untuk menentang Khilafah. Keempat-empat cara inilah yang telah digunakan oleh British untuk memukul Khilafah dari dalam melalui ejennya Abdul Aziz bin Muhammad bin Saud (w. 1830), yang mana si ejen ini memanfaatkan pula gerakan Wahabi untuk tujuan menghancurkan Khilafah. Seluruh usaha ini mendapat dukungan dana dan senjata dari British. Adapun dukungan gerakan Wahabi terhadap Abdul Aziz, ia sebenarnya terbentuk jauh sebelum itu iaitu sejak tahun 1744 ketika terjadinya kontrak politik antara ayah Abdul Aziz (Muhammad bin Saud) dengan pelopor gerakan Wahabi, Muhammad bin Abdul Wahhab. Kontrak politik ini berlangsung di kota Dir’iyyah, sehingga sering dikenali sebagai ‘Baiah Dir’iyyah’ [Tarikh Al-Fakhiri, tahqiq Abdullah bin Yusuf Asy-Syibl, hal. 25].
Melalui kontrak politik itu, Muhammad bin Saud mendeklarasikan dukungannya terhadap pemikiran dan gerakan Wahabi dan menerapkannya dalam wilayah-wilayah kekuasaannya. Dengan deklarasi ini, gerakan Wahabi yang sebelum ini hanya dikenali sebagai sebuah kumpulan dakwah telah berubah menjadi gerakan dakwah kekuasaan. Implikasinya, fahaman Wahabi yang sebelum ini hanya disebarkan melalui dakwah yang murni telah bertukar dengan disebarkan secara paksaan menggunakan kekerasan terhadap penganut mazhab-mazhab yang lain, terutamanya penganut mazhab Syafi’i [Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 16]. Ditambah dengan dukungan dana dan senjata dari British, penguasa Saudi dan puak Wahabi bahu-membahu memerangi dan menduduki negeri-negeri Islam yang berada dalam kekuasaan Khilafah. Dengan ungkapan yang lebih tegas, sebenarnya mereka telah memberontak terhadap Khalifah dan memerangi pasukan Amirul Mukminin dengan provokasi dan dukungan dari British [Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 13].
Penguasa Saudi dan Wahabi telah menyerang dan menduduki Kuwait pada tahun 1788, lalu menuju ke utara sehingga mengepung Baghdad, menguasai Karbala dan perkuburan Hussein (cucu Nabi SAW) di sana untuk menghancurkan kubur tersebut dan melarang orang ramai daripada menziarahinya. Pada tahun 1803, mereka menduduki Makkah dan tahun berikutnya (1804) mereka berjaya menduduki Madinah dan merobohkan kubah-kubah besar yang menaungi kubur Rasulullah SAW. Setelah menguasai Hijjaz, mereka menuju pula ke utara (Syam) dan mendekati Hims. Mereka berhasil menguasai banyak wilayah di Syria sehingga ke Halab (Aleppo) [Muwaffaq Bani Al-Marjih, Shahwah ar-Rajul Al-Maridh, hal. 285]. Menurut Zallum, serangan militer ini sebenarnya adalah tindakan imperialis British, kerana sudah diketahui umum bahawa penguasa Saudi adalah ejen British. Jadi, British telah memanfaatkan penguasa Saudi yang seterusnya memanfaatkan pula gerakan Wahabi untuk memukul Khilafah dari dalam dan mengobarkan perang saudara antara mazhab dalam tubuh Khilafah. Cumanya, seperti yang telah dijelaskan lebih awal, para pengikut gerakan Wahabi tidak begitu menyedari hakikat bahawa penguasa Saudi sebenarnya adalah ejen British. Mengapa? Ini adalah kerana menurut Zallum, hubungan yang terjadi bukanlah antara British dengan Muhammad bin Abdul Wahhab secara langsung, tetapi antara British dengan Abdul Aziz, kemudian antara British dengan anak Abdul Aziz, iaitu Saud bin Abdul Aziz [Kaifa Hudimat Al-Khilafah, hal. 14).
Persahabatan Dengan AS
Persahabatan Saudi dengan Amerika Syarikat (AS) bermula dengan penemuan telaga minyak di negara tersebut. Pada 29 Mei 1933, Standard Oil Company dari California telah diberi konsesi minyak selama 60 tahun oleh penguasa Saudi. Perusahaan ini kemudian berubah nama menjadi Arabian Oil Company pada tahun 1934. Pada mulanya, pemerintah AS tidak begitu peduli dengan Saudi. Namun, setelah melihat potensi minyak yang begitu besar di negara tersebut, AS dengan agresif berusaha untuk merangkul Saudi. Pada tahun 1944, Jabatan Luar Negeri AS menggambarkan Saudi sebagai ‘a stupendous source of strategic power and the greatest material prize in the world’s history’ (sumber yang menakjubkan dari kekuatan strategik dan hadiah material yang terbesar dalam sejarah dunia). Untuk kepentingan minyaknya, wakil khas perusahaan Aramco, James A. Moffet, menemui Presiden Roosevelt (April 1941) untuk mendorong pemerintah AS memberikan pinjaman hutang kepada Saudi. Hutang inilah yang menjerat Saudi menjadi ‘hamba’ kepada AS. Pada tahun 1946, Bank Eksport-Import AS memberikan pinjaman kepada Saudi sebanyak 10 juta dolar. Bukan itu sahaja, AS juga terlibat secara langsung dalam ‘membangunkan’ Saudi menjadi negara moden. Antaranya dengan memberikan pinjaman sebanyak 100 juta dolar untuk pembangunan landasan kereta api yang menghubungkan ibukota dengan pantai timur dan barat. Hutang yang terlalu besar ini kemudiannya semakin menjerat Saudi dengan lebih parah.
Konsesi lain yang diwujudkan melalui persahabatan Saudi-AS ini adalah penggunaan pangkalan udara selama tiga tahun oleh AS pada tahun 1943, yang sehingga kini ia terus dilanjutkan. Pangkalan Udara Dhahran merupakan pangkalan militer AS yang paling besar dan paling lengkap di Timur Tengah. Pangkalan inilah yang menjadi pangkalan strategik AS untuk menyerang negara kaum Muslimin Iraq dalam Perang Teluk II, dan ia terus beroperasi sehingga saat ini. Penguasa dari kalangan keluarga kerajaan Saudi dengan ‘sukarela’ membiarkan wilayahnya dijadikan pangkalan AS untuk membunuh sesama Muslim. Pada tahun 1947, ketika Putera Mahkota Emir Saud berkunjung ke AS, dia menerima penghargaan Legion of Merit atas khidmat jasanya kepada sekutu (AS) di sepanjang tempoh peperangan. Hingga kini, persahabatan Saudi dan AS terus berlangsung di mana Saudi senantiasa menyerahkan sepenuh taat setianya dan juga menyerahkan seluruh nyawa umat Islam kepada AS. Seluruh dunia menjadi saksi akan pengkhianatan penguasa Saudi terhadap umat Islam dan keakrabannya dengan AS yang merupakan musuh kaum Mukminin.
Salah satu kehebatan Arab Saudi selama ini adalah kejayaannya dalam menipu kaum Muslimin, dengan menonjolkan seolah-olah negaranya merupakan cerminan negara Islam yang menerapkan al-Quran dan Sunnah. Keluarga kerajaan Saud sering menampilkan diri mereka sebagai pelayan umat hanya kerana di negara mereka terdapatnya dua tanah suci, Makkah dan Madinah yang tidak putus-putus dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh dunia. Saudi juga banyak memberikan bantuan kepada kumpulan-kumpulan Islam dan negeri-negeri umat Islam tertentu demi menonjolkan imej baik mereka sebagai ‘pelayan umat’ dan penjaga dua tanah haram (Khadim al-Haramain). Akan tetapi, dia lupa bahawa imej baik itu sesungguhnya semakin pudar hasil persahabatannya dengan AS sehingga sanggup mengorbankan dan mengkhianati kaum Muslimin. Seluruh dunia tahu bahawa Arab Saudi adalah pendukung penuh AS baik secara politik mahupun ekonomi dalam Perang Teluk II. Saudi juga menyokong serangan AS ke atas Afghanistan dan berada di sisi AS untuk memerangi teroris. Sudah terlalu nyata bahawa Saudi sentiasa berganding tangan dengan AS dalam kempen AS memerangi pengganas (baca: umat Islam).
Selain keakrabannya dengan syaitan besar AS, Saudi juga amat terkenal kejamnya terhadap gerakan-gerakan Islam yang mengkritik kekuasaannya. Ramai ulama yang berani dan soleh yang dipenjarakan hanya kerena mengkritik keluarga kerajaan dan pengurusannya terhadap umat. Selain itu, sikap joli keluarga Saud dengan gaya hidup kapitalisme sangat menyakitkan hati umat Islam. Mereka berjoli dengan segala kemewahan yang melimpah ruah, manakala pada saat yang sama mereka membiarkan rakyat mereka, rakyat Iraq, rakyat Palestin dan lain-lain hidup menderita akibat tekanan ekonomi, penindasan dari penguasa sendiri dan juga tekanan dari AS. Kerajaan Saudi tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat yang mengkritiknya, malah kewujudan parti politik juga diharamkan sama sekali sejak dari mula ia memerintah lagi. Dalam masa yang sama, atas alasan menjaga keamanan keluarga dan kerajaan, mereka menghabiskan jutaan dolar dalam melakukan kerjasama militer dengan AS dan menempatkan (ketika ini) lebih daripada 5000 anggota tentera AS di Arab Saudi.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya senarai pengkhianatan keluarga Saud tehadap umat Islam ini amatlah panjang yang tidak akan habis untuk diungkapkan. Begitulah kerajaan Saud…semasa mereka merampas kekuasaan dari Khilafah yang sah dahulu melalui rampasan kuasa secara kekerasan, mereka tidak pernah bertanya sama ada hal itu bertentangan dengan syariat Islam ataupun tidak (walhal hal itu jelas-jelas bertentangan dengan Islam). Lalu kini, mereka mengatakan bahawa sesiapa yang cuba untuk melakukan demonstrasi kerana ingin menggulingkan kerajaan, hal ini adalah tidak sah menurut syarak!!! Justeru, sedarlah wahai kaum Muslimin terhadap pengkhianatan dan putar belit penguasa Saudi dan juga penguasa-penguasa umat Islam yang lain. Mereka telah memerintah umat Islam dengan menggulingkan pemerintahan Khilafah yang sah dahulu, lalu mereka mengatakan bahawa rampasan kuasa, pemerintahan serta sistem kufur yang mereka terapkan selepas itu sebagai ‘sah’!!! Sedarlah wahai kaum Muslimin bahawa kita semua kini perlu dan wajib kembali kepada sistem pemerintahan yang sebenar, dan satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang sah menurut syarak adalah sistem Khilafah. Buanglah kesemua rejim yang menindas kalian selama ini dan InsyaAllah penggantian rejim dan sistem ini (dari sistem kufur kepada sistem Islam) akan berlaku apabila kalian semua menginginkannya. Keputusan adalah di tangan kalian. Walau sehebat dan sekuat mana sekalipun rejim yang memerintah, kalian sesungguhnya berkuasa untuk merobohkannya jika kalian ingin berbuat demikian. Maka marilah kita sama-sama meruntuhkan sistem kufur ini melalui thariqah (jalan) sebagaimana Rasulullah SAW telah meruntuhkannya di Makkah dahulu, sehinggalah Daulah Islam tertegak secara sah di muka bumi ini.