SN412 – Banjir: Antara Musibah Dan Buruknya Ri’ayah

PDF

SN keluaran 26 Disember 2014

[SN412] Banjir besar yang melanda Kelantan sekarang dikatakan yang terburuk sepanjang sejarah, setidaknya di beberapa daerah tertentu. Jumlah yang dipindahkan setakat ini mencecah lebih 30,000 orang. Paras air di beberapa tempat telah melebihi paras bahaya, malah air sungai Kelantan dilapor telah melimpah memasuki bandar Kota Bharu. Semua jalan perhubungan darat ke Kelantan telah terputus dan Kelantan dikatakan hampir lumpuh. Manakala negeri lain yang turut dilanda musibah sama ialah Terengganu,Pahang,Perak dan Perlis di mana jumlah mangsa yang dipindahkan di seluruh negara setakat ini dilaporkan lebih 90,000 orang.

Mesej dan gambar tidak putus-putus dihantar oleh mangsa dan juga orang ramai sehingga ada mangsa yang merintih meminta tolong, semuanya tersebar dengan pantas melalui aplikasi telefon pintar. Anehnya, dengan banjir sebesar dan seserius itu, pihak berkuasa tetap lambat bertindak. Beberapa pusat pemindahan dilapor turut dinaiki air hingga memaksa ramai mangsa berpindah ke tempat lain dan ada yang terpaksa ke bukit-bukit bagi menyelamatkan diri. Di saat segenting ini, orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang lebih cepat menghulurkan bantuan, walaupun dalam keadaan serba kekurangan, berbanding pihak berkuasa! Walhal di Kelantan dan Terengganu baru sahaja pada September lepas, tentera Malaysia melakukan kerjasama haram dengan tentera Amerika Syarikat yang diberi nama Keris Strike 2014 bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan bencana. Entah ke mana perginya semua itu!? Lebih malang, Perdana Menteri Malaysia ketika ini sedang bercuti dan bermain golf di Hawaii dengan pengganas nombor 1 dunia, Presiden Barack Obama!!!

Qadha’ Allah Dan Hikmah Di Sebalik Musibah

Sebelum menulis lanjut, Hizbut Tahrir Malaysia dengan ini merakamkan takziah dan simpati kepada seluruh mangsa yang terlibat dalam musibah banjir kali ini. Dalam kesedihan ini, kami tetap mengingatkan umat Islam bahawa setiap musibah itu merupakan ketetapan (qadha’) daripada Allah SWT, yang bukan sahaja wajib diimani, malah diterima dengan redha. Firman Allah SWT,

“Katakanlah, ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal” [TMQal-Taubah (9):51].

Sesungguhnya sikap redha dan berlapang dada dengan qadha’ Allah itu akan mendatangkan kekuatan ruhiyah yang luar biasa dalam menghadapi setiap musibah, di samping memberikan kekuatan psikologi yang akan menyebabkan dampak musibah terasa ringan dan seterusnya sangat membantu dalam usaha menghadapi dan menyelesaikannya dengan hati yang tenang.

Sebagai qadha’ Allah, sesungguhnya setiap musibah itu tak dapat dihindari oleh manusia. Apa yang penting ialah kita mesti menghadapinya dengan cara yang diajarkan oleh Islam. Sesungguhnya Allah SWT sedang menguji hamba-hambaNya dan bagi orang yang sabar menghadapinya,Dia memberikan khabar gembira untuknya,

“Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (yakni) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk” [TMQ al-Baqarah (2):155-157].

Rasulullah SAW mengajarkan agar kita banyak istirja’ (mengembalikan segalanya kepada Allah) dan berdoa, apabila kita dilanda musibah. Rasul SAW bersabda,

“Tidaklah seorang hamba ditimpa musibah lalu ia mengatakan, ‘Inna lillahi wa innailaihiraji’un (seraya berdoa) Ya Allah! berilah pahala kepadaku dalam musibahku ini dan berilah ganti bagiku yang lebih baik daripadanya’, kecuali Allah memberinya pahala dalam musibahnya dan menggantinya dengan yang lebih baik untuknya” [HR Muslim, Ahmad dan Ibn Majah].

Ingatlah bahawa di sebalik setiap musibah sebenarnya terkandung hikmah dan kebaikan sama ada yang kita ketahui atau tidak. Allah SWT juga menjanjikan keampunanNya kepada orang yang ditimpa musibah. Sabda Rasul SAW,

“Tidaklah seorang Mukmin tertimpa musibah (berupa) tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah tinggikan dia satu darjat atau Allah hapuskan darinya satu kesalahan” [HR Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad).

Bahkan di antara musibah itu ada yang Allah sediakan pahala syahid. Sabda Rasul SAW,

“Orang-orang yang syahid itu ada lima golongan, orang yang (mati kerana) wabak taun, penyakit perut, lemas, tertimpa tembok/bangunan dan syahid di jalan Allah” [HR Bukhari dan Muslim].

Melalui bencana yang menimpa juga, sesungguhnya Allah SWT menunjukkan kebesaran dan kekuasaanNya kepada kita semua. Dengannya Allah SWT mengingatkan bahawa manusia adalah makhlukNya yang serba lemah dan sangat bergantung serta memerlukan bantuanNya, sehingga tidak selayaknya manusia mempunyai sifat sombong walau sedikitpun di hadapan Allah. Oleh yang demikian, semua pihak yang terkena musibah mahupun tidak, hendaknya merenung dan mengambil sikap yang benar agar dapat memetik hikmah dan kebaikan yang banyak darinya yang disediakan oleh Allah, melalui musibah yang melanda.

Banjir: Buruknya Ri’ayah

Umum mengetahui bahawa banjir terjadi ketika air, dengan jumlah yang banyak, melangkaui kawasan takungan atau alirannya, tidak kiralah sama ada takungan/aliran semulajadi mahupun buatan. Secara semulajadinya, hujan merupakan faktor utama kepada peningkatan jumlah air yang banyak dalam masa yang singkat yang menyebabkan banjir. Sememangnya turunnya hujan itu tidak boleh dikawal oleh manusia, tetapi manusia boleh mengawal(menjaga) kawasan tadahan, takungan, saliran atau perparitan agar berada dalam keadaan baik dan bersedia menampung jumlah air hujan dalam keadaan yang biasa.

Namun, pembangunan yang tidak seimbang, penggondolan bukit, pembalakan dan eksploitasi hutan yang berlebihan dan lain-lain aktiviti sehingga menyebabkan berubahnya sistem ekologi secara drastik, inilah yang memicu banyak bencana alam, antaranya tanah runtuh dan juga banjir. Jika di kawasan bandar, buruknya sistem saliran dan perparitan selalu mengakibatkan banjir kilat kerana jumlah air yang banyak tidak dapat dialirkan sewajarnya setiap kali hujan. Semua hal itu terjadi kerana buruknya ri’ayah (pengurusan) oleh pemimpin disebabkan kerakusan mereka mengejar duniawi. Di sisi lain, tidak dinafikan bahawa tabiat individu yang buruk, seperti kebiasaan membuang sampah di sungai atau mana-mana saliran, turut menyumbang kepada tersekatnya aliran air, walaupun kesannya tidaklah seberapa.

Kerana itulah, dalam pada kita bersimpati dengan mangsa banjir yang agak besar pada tahun ini, kita turut sedih dengan ri’ayah (pengurusan) dari pihak pemerintah dalam hal ini. Kita faham bahawa banjir di musim tengkujuh ini sukar dicegah, namun potensi bencana yang mengancam sentiasa boleh diagak dan dikurangi dengan persediaan yang rapi dan sungguh-sungguh sejak awal. Dengan fenomena tengkujuh yang merupakan ‘rutin tahunan’ dan kemajuan teknologi yang semakin hebat, sepatutnya banjir besar seperti ini sudah boleh diramalkan dengan mudah bagi tujuan persediaan. Justeru, sejak awal lagi pihak pemerintah perlu menyediakan tempat pemindahan yang mencukupi dan selesa, di samping patuh-syariah (adanya pengasingan antara lelaki dan wanita). Bekalan makanan dan air bersih amat penting dan wajib dipastikan sentiasa mencukupi. Bilangan anggota keselamatan, peralatan kecemasan, ubat-ubatan, pakaian, selimut dan sebagainya hendaklah disediakan dari awal dan sentiasa ada apabila diperlukan. Pendek kata persiapan rapi dan serius wajib diambil oleh pemerintah bagi menghadapi situasi seperti ini.

Masalah timbul apabila pemerintah tidak serius dalam menangani bencana rutin ini dan tidak menjadikan kesalahan dan kelemahan sebelumnya sebagai pengajaran, sebaliknya asyik mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama. Natijahnya, rakyat menjadi mangsa. Lebih buruk, pemerintah malah tidak menganggap bahawa melakukan persediaan rapi dan menangani bencana dengan sungguh-sungguh, sebagai suatu kewajipan yang apabila dilalaikan, akan ditanya oleh Allah dan akan diazab di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW,

“Pemimpin itu pemelihara dan ia akan ditanya (dihisab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HRBukhari].

Sebaliknya kita melihat, ketika banjir melanda, pemerintah sibuk dengan hal-hal dunia lainnya, malah masih menyibukkan diri dengan mengejar keharaman. Di saat penderitaan rakyatnya, pemerintah Malaysia masih tetap dilaporkan akan menganjurkan pesta maksiat sambutan tahun baru di Putrajaya yang bakal membazirkan jutaan ringgit di samping berlakunya ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan) yang diharamkan.Mereka seolah-olah tidak bersimpati atau mempedulikan banjir besar yang melanda. Jika menoleh kepada masalah banjir pun, mereka hanya berminat untuk mendapatkan political mileage dengan masuk kampung, mengharung banjir sambil melawat ke pusat-pusat pemindahan dan menghulurkan bantuan,dengan sekumpulan wartawan yang sudah siap siaga mengambil gambar atau video bagi dimuatkan sebagai berita utama. Itu belum mengambil kira elaun turun padang lagi yang menjadi motivasi. Pendek kata, semua yang dilakukan itu tak terlepas dari target manfaat, baik untuk meraih ufti, populariti mahupun undi.

Oleh itu, meski pun musim tengkujuh sudah diketahui sejak puluhan tahun yang lalu, namun, tetap sahaja berlaku masalah saban tahun dan tidak pernah diperbaiki. Kerana itu, banjir yang selalu berulang dan makin parah ini, menjadi bukti bahawa ia bukan masalah bencana alam semata-mata, tetapi juga persoalan teknik dan sistemik. Semua itu tidak lepas daripada kelalaian penguasa dalam ri’ayah (mengurus) dan melayani kepentingan masyarakat.

Faktor Manusia: Sistem Yang Rosak Dan Kemaksiatan Kepada Allah

Meskipun musibah merupakan qadha’ Allah, namun sebahagian daripada proses terjadinya bencana dan besarnya dampak bencana banyak dipengaruhi atau diakibatkan oleh perbuatan manusia itu sendiri. Firman Allah SWT,

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” [TMQ al-Syura (42):30].

Apa yang dimaksudkan dari ayat ini ialah musibah yang menimpa manusia tiada lain adalah akibat dosa dan kerosakan yang dibuat oleh manusia sendiri. Selain itu, kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia secara umumnya di muka bumi, bukan sahaja akan menimpa dirinya sendiri, malah termasuk orang lain juga. Firman Allah SWT,

“Telah tampak kerosakan di daratan dan di lautan keranaulah (kemaksiatan) manusia supaya Allah menimpakan kepada mereka sebahagian akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ al-Rum (30):41].

Persoalannya, selain kerosakan teknikal buatan manusia yang tidak amanah, apakah kemaksiatan terbesar yang dilakukan oleh manusia jika bukan kesyirikan dan hukum-hukum Allah SWT yang tidak diterapkan oleh manusia? Jika pun sebahagian umat Islam tidak melakukan keharaman seperti berzina, berjudi, tidak menutup aurat, berbohong, mengumpat dan lain-lain, namun apa yang pasti ramai di kalangan umat Islam yang meninggalkan kewajipan amar makruf nahi mungkar khususnya memuhasabah penguasa. Ramai umat Islam yang tidak peduli, malah ada yang menyokong penerapan hukum selain Allah. Ramai yang meninggalkan kewajipan menegakkan agama Allah, menegakkan pemerintahan Islam (Khilafah) dan lain-lain kewajipan. Tatkala manusia berpaling dari peringatan Allah, Allah timpakan kesempitan ke atas mereka, di antaranya pelbagai bentuk bencana, baik kecil mahupun besar.

Di antara kemaksiatan terbesar yang dilakukan manusia ialah mengambil hak Allah dalam membuat hukum. Pembuatan hukum ini dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undang Negeri yang membuat undang-undang (hukum) sendiri berdasarkan suara majoriti dengan membelakangi hukum Allah. Manakala tidak sedikit dari kalangan umat Islam yang melibatkan diri dalam pilihanraya dengan mengundi para pembuat hukum ini sedangkan mereka tahu bahawa orang yang mereka undi akan ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri untuk membuat hukum! Dengan kata lain, mereka mengambil sistem demokrasi yang jelas-jelas meletakkan kedaulatan di tangan manusia, bukannya di tangan syarak. Sesungguhnya sistem demokrasi adalah sistem kufur yang datangnya dari Barat bertujuan antara lain menjauhkan kaum Muslimin dari Islam. Sistem kufur ini telah banyak mendatangkan malapetaka, bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada manusia secara umumnya. Sistem ini juga bukan sahaja membawa kepada kefasikan dan kezaliman, malah boleh membawa kepada kekufuran. Firman Allah SWT,

“dan barang siapa tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka termasuk orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

Karena itu, apabila bencana menimpa, setiap diri hendaklah muhasabah, merenungkan kemaksiatan atau kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia sehingga Allah SWT menurunkan azabNya di dunia lagi. Seterusnya, setiap diri hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha kepada Allah SWT dengan menyesali dan memohon ampunanNya, segera berhenti dari kemaksiatan dan dosa serta bertekad kuat untuk tidak mengulanginya lagi. Di samping itu, wajib melakukan perbaikan bukan sekadar terhadap diri sendiri, malah memperbaiki (memuhasabah) manusia lain khususnya penguasa agar meninggalkan segala kemaksiatan dan menerapkan hukum-hukum Allah.

Jika manusia itu terus-menerus memaksiati Allah, tidak mustahil untuk Allah menurunkan bencana yang lebih besar lagi dan menggantikan kaum yang ada ini dengan kaum lain yang lebih baik. Ambillah iktibar dari kisah banjir besar yang melanda kaum Nabi Nuh atas sebab kesyirikan dan kemaksiatan mereka kepada Allah. Sesungguhnya menurunkan azab itu amatlah mudah bagi Allah. Na’uzubillah min zalik.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa ketakwaan adalah sumber keberkatan. Sebaliknya, kemaksiatan adalah sumber bencana. Dari itu, pelbagai bencana yang datang silih berganti di Malaysia ini khususnya, seharusnya mendorong para penguasa dan rakyat negara ini untuk segera mencampakkan pelbagai kemaksiatan, lalu bersegera menerapkan hukum Allah secara kaffah dalam semua aspek kehidupan. FirmanNya,

“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi” [TMQ al-A’raf (7):96].

Secara praktisnya, untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah di bawah naungan sebuah negeri yang baik, umat Islam wajib berjuang menegakkan Khilafah, satu-satunya negara yang akan merealisasikan penerapan syariatAllah secara kaffah dan membawa kesejahteraan kepada seluruh warganya.

Wallahua’lam.