Tragedi Banjir Lumpur Cameron Highlands: Antara Bencana Alam Dan Kerakusan Manusia

cameronTragedi banjir lumpur dan tanah runtuh yang meragut lima nyawa serta menjejaskan sejumlah lebih dua puluh buah rumah di Lembah Bertam, Cameron Highlands pada 5 November lalu telah membuka mata rakyat negara ini terhadap tahap keselamatan kawasan tersebut. Hujan lebat dan pembangunan yang tidak terkawal di kawasan cerun bukit dilihat sebagai antara faktor yang menyebabkan paras air di Sungai Ringlet meningkat secara mendadak, sehingga mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa membuka salah satu pintu Empangan Sultan Abu Bakar setelah mencapai paras kritikal. Setakat penulisan artikel ini, pihak berkuasa telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tersebut, namun masih membuka pusat operasi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.[1]
Tragedi ini bukanlah yang pertama dan mungkin juga bukan yang terakhir sekiranya tiada tindakan tegas dilakukan bagi menghalangnya daripada berulang. Pada Oktober 2013, peristiwa banjir lumpur yang mengorbankan empat orang serta menjejaskan lebih 80 buah rumah dan infrastruktur telah berlaku kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian mutakhir.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) Ramakrishnan Ramasamy memberi amaran tidak mustahil korban nyawa akibat banjir dan tanah runtuh akan meningkat gara-gara sikap pihak berkuasa yang menutup mata dan memekakkan telinga terhadap aktiviti penerokaan haram ini. Menurutnya lagi, aktiviti penerokaan yang berterusan khususnya di tanah rizab sungai menyumbang peningkatan sampah ke Empangan Sultan Abu Bakar.[2]

Pada bulan Ogos 2014, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel telah mengumumkan penubuhan pusat arahan mini bagi memantau kegiatan penerokaan haram di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya. Pihak kementerian itu juga telah mengeluarkan lesen menduduki sementara (TOL) kepada pengusaha-pengusaha ladang pertanian bagi mengawal kegiatan penerokaan secara haram.[3]

Namun persoalan timbul apabila tiada penguatkuasaan tegas dilakukan terhadap kerakusan para pengusaha ladang yang menceroboh ke dalam kawasan tanah rizab sungai. Perkara sebegini tidak sewajarnya dipandang ringan kerana penerokaan haram yang berterusan boleh mengundang bencana yang mengancam nyawa jika tidak dibendung. Sejauh manakah kesungguhan pihak kementerian, jabatan-jabatan serta agensi-agensi di bawahnya dalam melakukan pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan? Adakah ia sekadar satu tindakan ibarat melepaskan batuk di tangga atau adakah ia disebabkan oleh berlakunya ketirisan dan kecuaian daripada pihak berwajib dalam menjalankan penguatkuasaan sehingga mengakibatkan insiden sebegini sering berulang saban tahun?

Di samping itu, ketamakan sebilangan pengusaha ladang pertanian dalam mengaut keuntungan di luar batasan juga seharusnya dihentikan dan pihak yang bertanggungjawab wajar dikenakan hukuman setimpal atas perbuatan mereka. Bencana dahsyat sebegini berlaku antara lain berpunca daripada kerakusan tangan-tangan manusia yang tamak. Firman Allah SWT;

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan-perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

[TMQ al-Ruum (30): 41].

Tidak dinafikan lagi bahawa penerapan sistem kapitalis pada hari ini yang meletakkan manfaat sebagai tolok ukur perbuatan telah membuka ruang yang luas kepada manusia yang rakus untuk mengaut keuntungan tanpa langsung memikirkan faktor keselamatan, apatah lagi ketetapan syarak berkenaan isu ini. Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk menerima musibah yang menimpa dengan sabar dan redha. Namun ini tidak bererti bahawa kita akan terus berdiam diri membiarkan kegilaan yang membinasakan ini terus berleluasa. Semoga Allah menyegerakan kembalinya Khilafah atas manhaj kenabian yang akan menerapkan syariah sekaligus membendung perbuatan yang tidak bertanggungjawab sedemikian kembali berulang. Allahumma amiin.

Sumber:
[1] Banjir lumpur: Dua lagi mayat ditemui, angka korban meningkat lima orang, Astro Awani

[2] Tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian

[3] Pusat arahan mini tangani penerokaan haram di Cameron Highlands