SN434 – Rombakan Kabinet Tidak Akan Menjadikan Umat Dan Negara Lebih Baik

PDF

SN Keluaran 7 Ogos 2015

ROMBAKAN KABINET TIDAK AKAN MENJADIKAN UMAT DAN NEGARA LEBIH BAIK

[SN434] Krisis politik mutakhir ini menjadi semakin meruncing dengan rombakan kabinet yang menyaksikan pemecatanTimbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri MuhyiddinYassin serta beberapa orang Menteri daripada kabinet Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri NajibTun Razak pada 28 Julai lalu. Di samping Muhyiddin, dua lagi menteri termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri ShafieApdal dan Datuk Seri Hasan Malek turut digugurkan. Rombakan kabinet kali ini juga menyaksikan dua lagi menteri daripada parti komponen Barisan Nasional digugurkan iaitu Datuk Seri G. Palanivel dan Senator Datuk Seri Idris Jala selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Peguam Negara, Tan Sri Abdul GaniPatail turut dipecat.

Lebih mengejutkan, beberapa orang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengendalikan siasatan berhubung skandal syarikat milik negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) turut diburu dan ditahan untuk soalsiasat. Rombakan yang dilakukan Najib ini serta penangkapan para pegawai kanan SPRM mendapat kritikan hebat sekaligus mengundang kemarahan rakyat Malaysia kerana dilihat sebagai usaha untuk mengekalkan kelangsungan politikNajibyang dibayangi oleh skandal terbesar tersebut. Banyak pihak sudah melihat tindakan Najib ini sebagai satu tindakan yang amat terdesak untuk menutup skandal 1MDB, khususnya berhubung ‘derma’ sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya.

Sedikit Ibrah Atas ‘Tragedi’

Dari kenyataan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO dan negara, Muyhiddin dan Shafie yang sudah ‘dibuang’ oleh Najib, mereka menerima keputusan ketua mereka dengan redha dan akan tetap setia dengan kepimpinan. Kini, Muyhiddin, Shafie, GaniPatail dan lain-lain pemimpin yang dipecat sudah sedar bahawa kuasa yang ada pada mereka sebenarnya bersifat sementara sahaja. Walaupun Muhyiddin hanya tinggal selangkah sahaja untuk naik ke kerusi Perdana Menteri, sebagaimana Anwar Ibrahim dahulu, namun tidak ada jaminan sedikitpun yang impian itu boleh menjadi kenyataan.

Sekarang Muhyiddin dan Shafie hanya menjadi ‘orang biasa’ dalam kerajaan walaupun masih menjadi pemimpin tertinggi UMNO yang tidak tahu berapa lama dapat bertahan. Justeru, mereka yang dipecat ini sepatutnya mengambil ibrah (pengajaran) bahawa setinggi mana pun tupai melompat, namun ke tanah jua akhirnya. Apa yang lebih penting untuk mereka fikirkan bukanlah jasa mereka terhadap UMNO dan negara di sepanjang kekuasaan mereka, tetapi apakah ‘jasa’ mereka kepada Allah dan RasulNya di sepanjang kekuasaan mereka. Apakah di sepanjang memegang jawatan tertinggi dalam negara itu, mereka sudah berusaha untuk menegakkan agama Allah atau hanya sekadar menjadi pengampu kepada ketua mereka yang akhirnya menyingkirkan mereka setelah khidmat mereka tidak diperlukan lagi?

Untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru menaiki kerusi empuk Timbalan Perdana Menteri dengan senyuman sampai ke telinga yang dilontarkan kepada rakyat yang terkenal dengan ‘style’ pemerintahannya yang suka mengugut rakyat itu, ingatlah bahawa kerusi anda itu tidak kekal lama. Ingatlah bahawa di sepanjang sejarah pemerintahan Malaysia, sudah empat orang TPM yang dilucutkan dari jawatan. Pertimbangan politik PM mudah sahaja dan seluruh ahli UMNO serta rakyat jelata tahu, selagi mana PM merasakan yang timbalannya masih setia, pandai membodek, tidak melawan, pak sanggup dan pak turut serta masih berguna dan boleh dipergunakan, maka selamatlah kedudukannya untuk sementara dan apabila ciri-ciri tersebut sudah tidak ada, maka semua orang tahu apa kesudahannya! Zahid perlu mengambil ibrah ini dan perlu ingat bahawa kekuasaan itu adalah amanah, yang datangnya dari Allah, untuk menerapkan hukum Allah. Maka, jika Zahid gagal menunaikan amanah ini, akibatnya bukan sahaja dapat dirasakannya di dunia, nun di akhirat sana, akibat yang amat berat sedang menanti!

Kepada Datuk Seri Najib Razak yang masih bergelar Perdana Menteri dan memiliki sebesar-besar kuasa di Malaysia, memang tidak salah untuk anda memecat dan melantik siapa sahaja yang anda suka dan anda boleh melakukan sapa sahaja dengan takhta dan kuasa yang ada sehingga merasakan yang dunia ini anda yang punya. Namun, ingatlah bahawa ada yang lebih besar, Yang Maha Besar dan Maha Kuat lagi Perkasa dan Maha melakukan apa sahaja. Ingatlah bahawa Dia Maha Berkuasa untuk merentap pemerintahan anda dalam sekelip mata, sebagaimana Dia telah merentap kekuasaan Firaun dan para pemerintah yang zalim sejak dulu hingga kini. Firman Allah SWT,

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [TMQ Ali Imran (3):26].

Ingatlah bahawa kekuasaan yang ada pada anda hanyalah amanah dariNya untuk anda menerapkan hukum-hakamNya secara kaffah. Apabila anda tidak berbuat demikian, malah anda lupa kepadaNya dalam setiap perbuatan dan pemerintahan anda, maka tunggulah akibat dariNya. Inilah ibrah terpenting untuk anda wahai Perdana Menteri!!!

Kepada pasukan polis, tentera dan lain-lain pasukan penguatkuasa yang selama ini hanya bergerak atas arahan ketua kalian walaupun kalian tahu bahawa arahan itu menyalahi arahan Allah, berhentilah dan bertaubatlah dari melakukan semua itu. Ingatlah pesanan Rasul kalian,

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam (perkara) memaksiati Allah” [HR Ahmad].

Ingatlah dan takutlah kepada perintah Tuhan kalian ketika Dia berfirman,

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113].

Ingatlah hadis dari Nabi kalian ini betul-betul

“Akan datang para penguasa, lalu kalian akan mengetahui kemakrufan dan kemungkarannya. Siapa saja yang membenci (kemungkaran yang dilakukan)nya akan bebas (dari dosa). Siapa saja yang mengingkari (kemungkaran tersebut) akan selamat (dari dosa). Siapa saja yang rela dan mengikutinya (akan celaka)”. Para sahabat bertanya, ‘Tidakkah kita perangi saja mereka?’ Baginda bersabda, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam)” [HR Muslim].

Inilah ibrah untuk kalian, ingatlahibrah ini ketika hayat masih dikandung badan, kerana kalian tidak tahu entah esok atau lusa kalian akan menghadap Rabb kalian dan pada waktu itu segala taubat dan penyesalan sudah tidak berguna!

Rombak Sistem, Bukan Sekadar Kabinet

Kepada umat Islam yang dikasihi, kalian sesungguhnya telah tahu dan menyaksikan keburukan yang terhasil dari pemerintahan demokrasi yang bertentangan dengan hukum Allah ini. Sudah enam orang Perdana Menteri Malaysia dan ratusan menteri kabinet datang dan pergi, namun kita melihat kerosakan demi kerosakan terhasil dari segenap sudut baik politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Kalian sudah menyaksikan wajah-wajah Perdana Menteri dan menteri kabinet yang bersilih ganti, namun masalah jenayah, rasuah, korupsi dan segala macam keburukan malah semakin bertambah, bukannya berkurang. Apakah kalian masih tidak nampak bahawa pertukaran berapa ramai pemimpin sekalipun tidak akan menjadikan kita dan negara kita lebih baik?

Ini kerana, walaupun wajah pemimpin berubah, tetapi ‘sistem’ yang diterapkan oleh para pemimpin ini sama sahaja sejak dulu hingga kini yakni sistem demokrasi, sebuah sistem kufur yang diwarisi dari penjajah kuffar British; sebuah sistem yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia bukannya di tangan syarak; sebuah sistem yang mana manusia diberi hak untuk membuat undang-undang, menentukan halal dan haram, baik dan buruk, terpuji dan tercela  – semuanya berada di tangan para pemimpin (sebagai ahli parlimen) yang membuat undang-undang! Sistem inilah yang telah mengundang azab kepada kita semua!

Justeru persoalannya, apakah yang akan menjadikan kehidupan kita, masyarakat dan negara ini lebih baik? Jawapannya, tidak lain tidak bukan ialah perubahan sistem, bukannya perubahan wajah pemimpin atau rombakan kabinet atau yang seumpamanya. Sistem demokrasi kufur ini wajib diganti dengan sistem Islam. Siapa pun, apatah lagi pemimpin yang berada dalam sistem ini akan cenderung untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Ini kerana, sistemlah yang mengatur manusia dan membentuk tingkah laku manusia. Buktinya amat banyak dan berada di depan mata. Di bawah sistem demokrasi sebagai contoh, riba dibenarkan, malah digalakkan. Oleh yang demikian kita melihat berapa ramai dari umat Islam yang terlibat dengan riba bak meminum air, walhal dia mengetahui bahawa riba itu haram dan amat besar dosanya sehingga Allah dan Rasul mengisytiharkan perang ke atas mereka yang terlibat dengannya. Seorang Muslim yang tekun beribadah, tidak pernah tinggal solat atau berjemaah di masjid sekalipun, turut terlibat dengan riba. Kenapa? Kerana ‘sistem’ membenarkan riba dan tidak ada uqubat (hukuman) untuk pemakan, pemberi dan saksi riba!

Inilah sistem demokrasi yang penuh dengan kemaksiatan. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana sistem demokrasi membenarkan siapa sahaja untuk menjadi pemerintah, termasuklah wanita, orang bodoh lagi tidak mampu, orang-orang Yahudi dan Nasrani, orang atheis dan para penyembah berhala yang mensyirikkan Allah, semuanya dibenarkan memerintah dan membuat undang-undang asalkan mereka menang dalam pilihanraya, walhal kesemua golongan tersebut haram menjadi pemimpin umat Islam!!!

Para pemimpin yang ada pada hari ini, semuanya memilih untuk berhukum dengan hukum manusia, bukannya hukum Allah; semuanya memilih untuk mengambil sistem demokrasi, bukannya sistem Islam; semuanya memilih untuk berbaik dengan musuh Islam, semuanya memilih untuk tunduk kepada musuh Islam dan tunduk kepada kehendak orang-orang kafir dan semuanya mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat yang dipimpin. Inilah realiti para pemimpin dan sistem yang diterapkan oleh para pemimpin hari ini, tidak kira siapa pun dia. Jadi, di manakah letaknya kebaikan pada pemimpin dan sistem seperti ini? Justeru, selagi sistem demokrasi kufur ini tidak dirombak dan diganti dengan sistem Islam, berapa ribu kali rombakan kabinet pun, tidak akan menjadikan Malaysia lebih baik!

Sistem Islam Adalah Khilafah

Selain skandal terbesar Perdana Menteri dengan isu 1MDB yang penuh kekusutan, politik Malaysia pada hari ini menyaksikan kemelut, pergaduhan dan perpecahan besar melanda kebanyakan parti utama yang ada, baik parti pemerintah mahupun pembangkang. Masing-masing pemimpin dan ahli parti kini disibukkan dengan masalah dalaman masing-masing sehingga pengurusan negara dan rakyat terabai. Perpecahan dan perbalahan yang berlaku sungguh meruncing sehingga fokus lebih diberikan kepada menyelamatkan kedudukan dan parti masing-masing berbanding menyelesaikan masalah umat dan negara. Hal ini sudah tentu menyebabkan umat semakin marah dan kecewa dan umatlah yang menanggung kesannya.

Justeru, dalam konteks ini, umat Islam perlu sedar dan tidak boleh berdiam diri. Umat Islam perlu bangkit dan melakukan perubahan. Persoalannya, apakah perubahan yang perlu dilakukan oleh umat Islam? Tidak dinamakan perubahan jika umat Islam mahu terus terikat dengan Perlembagaan dan undang-undang yang ada. Tidak dinamakan perubahan sekiranya umat Islam terus bergelumang dengan politik demokrasi dan hanya menanti pilihan raya umum untuk menukar pemimpin yang baru! Tidak juga dinamakan perubahan jika umat Islam terus menyokong dan memperjuangkan sistem demokrasi yang sedia ada. Perubahan hanya akan berlaku apabila umat Islam bangkit dan berjuang dengan jalan yang telah ditunjukkan oleh RasulullahSAW untuk mencampakkan sistem demokrasi kufur ini dan menggantikannya dengan sistem Islam sekaligus menegakkan Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhajnubuwwah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya secara kaffah. Inilah perubahan hakiki yang bukan sahaja perlu, malah wajib dilakukan oleh umat Islam.

Berbeza dengan sistem demokrasi, sistem pemerintahan Islam (Khilafah) memiliki 13 struktur yang diistinbat (digali) dari al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ Sahabat. Di bawah Daulah Khilafah, umat Islam diperintah dan dipimpin oleh seorang Khalifah sebagai Ketua Negara, yang dibantu oleh 2 orang pembantu iaitu Mu’awwinTafwidh (bidang pemerintahan) dan Mu’awwinTanfiz (bidang pentadbiran). Struktur lain di bawahnya ialah al-Wulat (wali), al-Qadha (kehakiman), Amirul Jihad (ketenteraan), Da’irah al-Amni (kemananan – kepolisian), Da’irahal-Sina’ah (perindustrian), Da’irahal-I’lami (media – penerangan), Jihaz al-Idari (jentera pentadbiran), Baitul Mal (kewangan), Da’irah al-Kharajiah (luar negara) dan Majlis al-Ummah.

Sekiranya berlaku pertikaian di antara rakyat dan Khalifah ataupun Khalifah dilihat telah mengabaikan tugasnya atau melakukan kefasikan secara terang-terangan, maka Islam memberi kuasa kepada QadhiMadzalim untuk menyelesaikan persengketaan atau kefasikan tersebut. Khalifah akan dibicarakan di Mahkamah Madzalim dan sekiranya didapati bersalah, maka QadhiMadzalim berhak untuk memecat Khalifah dari jawatannya. Walaupun pada asalnya QadhiMadzalim itu dilantik oleh Khalifah dan berhak diberhentikan oleh Khalifah pada bila-bila masa, namun tatkala Khalifah sedang disiasat atau dibicarakan, Islam mengharamkan Khalifah dari memecat QadhiMadzalim. Ini berbeza dengan sistem demokrasi di mana Perdana Menteri berkuasa memecat Ketua SPRM, Peguam Negara mahupun Ketua Hakim Negara tatkala Perdana Menteri sedang disiasat atau dibicarakan!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa pemimpin yang buruk dan sistem yang buruk ini datangnya dari kalian juga. Ini kerana kuasa untuk melantik pemimpin itu ada di tangan kalian. Kalianlah yang memilih pemimpin dan hasilnya pemimpin ini menerapkan sistem yang batil lagi kufur ke atas kalian dan pemimpin ini tidak pernah mempedulikan kalian sehingga kalian menanggung pelbagai azab akibat ulah pemimpin dan sistem yang mereka terapkan. Saudaraku, sudah banyak keburukan yang kalian hadapi, dengar dan saksikan di depan mata sendiri. Keburukan apakah lagi yang kalian tunggu sebelum kalian mahu bergabung bersama HizbutTahrir untuk kita sama-sama berusaha menegakkan agama Allah secara kaffahmelalui penegakan Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah?