SN437 – Malaysia Di Hujung Tanduk, Siapa Yang Layak Memerintah?

PDF

SN Keluaran 11 September 2015

banner_sn

MALAYSIA DI HUJUNG TANDUK, SIAPA YANG LAYAK MEMERINTAH?

[SN437] Satu demi satu krisis serius melanda negara sehingga masyarakat umumnya sudah mula membuka mata. Krisis kepimpinan negara, kebodohan pemimpin dan pergolakan parti politik menjadi perbualan hangat. Malah, ramai yang selama ini hanya menjadi pemerhati kerana tidak sukaberbicara atau terlibat dengan politik, kini sudah mula memperkatakannya. Bukan itu sahaja, masalah ekonomi yang berlanjutan sejak sekian lama seperti kos sara hidup, pengenaan GST, kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ketidakstabilan harga minyak, kejatuhan ringgit dan banyak lagi, menyebabkan masyarakat tidak lagi berdiam diri, manakala meningkatnya masalah jenayah yang berlaku di persekitaran yang semakin menakutkan tidak pernah reda dari benak masyarakat sedikit pun. Dengan adanya pelbagai aplikasi di telefon pintar yang menyebabkan banyak maklumat tersebar dengan begitu pantas dan di luar kawalan, semua ini telah mendekatkan krisis ke mata dan telinga rakyat.

Kerajaan dilihat sudah tidak lagi dapat menangani segala masalah dan krisis yang melanda negara. Parti pemerintah dilanda masalah yang cukup kritikal, apatah lagi dengan skandal derma RM2.6 billion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri sehingga menyaksikan pemecatan Timbalannya sendiri dan beberapa orang pemimpin kanan yang lain. Manakala parti pembangkang pula terus berpecah dan semakin lemah dengan kemelut dalaman masing-masing. Pendek kata, kebanyakan pemimpin dan parti politik yang bergelumang dengan demokrasi sudah hilang punca dan dilihat oleh rakyat hilang kelayakan untuk memimpin negara. Perhimpunan Bersih 4 oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 29 dan 30 Ogos lalu boleh dikatakan menjadi kemuncak kepada ketidakpuasan hati dan protes rakyat ke atas krisis yang sedang melanda negara sekarang. Perhimpunan kali ini walaupun kurang mendapat penyertaan kaum Melayu, tetapi menarik perhatian antaranya kerana kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamadyang lantang mengkritik Najib dan mendesak Perdana Menteri keenam itu meletak jawatan.

Ganti Pemerintah Tanpa Ganti Sistem?

Melihat kepada kemelut politik tanah air sekarang, tiada apa yang dapat diperkatakan melainkan Malaysia berada dalam masalah yang serius yang meletakkannya di hujung tanduk. Keadaan tidak stabil ini bukan sahaja berlaku dalam kerajaan, bahkan dalam hampir semua parti yang terlibat dalam politik demokrasi, baik dari komponen Barisan Nasional mahupun pakatan pembangkang. Walaupun kerajaan pimpinan UMNO/BN masih cuba menafikan yang Malaysia ini dilanda masalah besar, hakikatnya rakyat tidak lagi boleh ditipu atau diperbodohkan semudah itu!

Kerajaan sepatutnya sedar bahawa rakyat sudah menyaksikan enam Perdana Menteri dan ratusan menteri kabinet bersilih ganti dan rakyat sentiasa melakukan penilaian apakah selama itu, secara dasarnya kehidupan rakyat telah berubah menjadi lebih baik.Meskipun tidak dinafikan memang telah berlaku banyak perubahan secara material, namun hakikatnya, kehidupan rakyat secara dasarnya tidak banyak berubah! Ternyata rakyat semakin tidak puas hati dan semakin memberontak dari semasa ke semasa. Congaknya, jika rakyat berpuas hati dengan kerajaan dan pemerintahan yang dijalankan, kenapakah sudah empat kali demonstrasi besar-besaran Bersih diadakan? Itu belum lagi mengambil kira pelbagai protes yang lain, baik di jalan raya, ceramah, forum, diskusi sama ada terbuka mahupun tertutup, apatah lagi kritikan di alam maya yang sudah tidak terhitung banyaknya.Kekalahan besar UMNO/BN dalam pilihan raya umum lepassepatutnya membuka mata mereka dan mereka tidak perlu lagi menipu diri sendiri dalam hal ini!

Malangnya ada rakyat yang masih belum nampak, termasuk peserta Bersih sendiri, bahawa jika tuntutan mereka berjaya sekalipun, sehingga Najib dapat diturunkan, penggantian Perdana Menteri yang baru tidak akan menjamin apa-apa. Mahathir yang dulunya tidak disukai rakyat semasa pemerintahannya, ditekan hebat oleh pembangkang supaya berundur dan Perdana Menteri keempat itu berundur. Kemudian diganti dengan Pak Lah yang gagal membawa apa-apa perubahan dan seterusnya ditekan hebat untuk meletak jawatan, yang akhirnya menyaksikan Perdana Menteri kelima itu melepaskan jawatannya.

Najib kemudian mengambil alih pemerintahan dan rakyat sudah melihat sendiri apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri keenam ini. Segala skandal, krisis, pembaziran, jenayah, rasuah, penyelewengan, kematian dan ‘kehilangan’ orang-orang tertentu dan banyak lagi keburukan lainnya berlaku pada zaman pemerintahan Najib. Kini rakyat, khususnya peserta dan penyokong Bersih menuntut untuk Najib berundur dan secara hierarkinya jika Najib berundur, maka Timbalan Perdana Menteri yang ada sekarang akan mengambil alih tempatnya. Persoalannya, adakah Malaysia dan rakyatnya akan menjadi lebih baik dengan naiknya seorang lagi Perdana Menteri dari UMNO? Sampai bilakah rakyat akan sedar bahawa perubahan ‘wajah’ pemimpin tanpa perubahan ‘sistem’ sesungguhnya tidak akan membawa apa-apa makna!!!

Harapan Kepada Pembangkang?

Alternatif yang sering bermain di minda rakyat, khususnya mereka yang menentang kerajaan ialah, jika berjaya menumbangkan kerajaan sedia ada, maka pemerintahan negara ini akan diserahkan kepada pembangkang. Inilah yang mereka fikirkan. Namun jika mereka, khususnya dari kalangan umat Islam, fikirkan secara lebih mendalam, benar dan jernih, nescaya mereka tidak akan berpendapat sedemikian. Ini kerana, jika mereka melihat realiti yang terpampang di depan mata, parti pembangkang sebenarnya tidak kalah dalam mengalami krisis yang serius sebagaimana parti pemerintah.

Parti Islam yang selama ini memperjuangkan demokrasi telah pun berpecah dan mengalami masalah yang paling kritikal sepanjang sejarahnya. Ia bukan sahaja mengalami krisis kepimpinan dan perpecahan, tetapi lebih jauh dari itu ditimpa dengan masalah dalaman yang amat parah sehingga terpaksa disibukkan untuk menyelesaikan kemelut dalaman berbanding menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai parti politik Islam. Itu belum lagi mengambil kira pendiriannya yang berbolak-balik dalam banyak isu, yang telah menghilangkan kepercayaan bukan sahaja rakyat, malah para anggotanya sendiri. Manakala parti pembangkang yang berfikiran sekular pula seperti singa yang telah kehilangan taring. Bukan itu sahaja, ia juga seperti sudah kehilangan semangat dan hala tujunya setelah pemimpin utamanya berada di sebalik tirai besi. Satu-satunya parti pembangkang yang dikatakan masih solid sekarang ialah parti dominasi kaum Cina yang telah mula diintai oleh sebahagian kaum lain untuk menyertainya. Malah, kejayaan perhimpunan Bersih 4 dikatakan hasil gerakan dan usahaparti ini dan sokongan padu ke atasnya.

Itu dari satu sudut, dari sudut yang lain, jika dilihat daripada track recordkesemua parti pembangkang, nescaya umat Islam di Malaysia akan mendapati bahawa tidak ada perubahan ketara yang dibawa oleh mereka walaupun mereka telah berjaya memerintah beberapa negeri. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada negeri di bawah pembangkang yang dilanda masalah yang lebih banyak dan lebih besar. Justeru, bagaimanakah harapan ingin disandarkan kepada pembangkang? Atas dasar inilah, ada pula suara yang mencadangkan agar Malaysia diperintah oleh seorang Mufti yang berkaliber, malah ada yang mencadangkan agar Tun Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri!

Namun demikian, apa yang lebih penting daripada persoalan kemelut dan track record ialah, persoalan tentang kelayakan ‘pemimpin’ dan ‘kepimpinan’ seseorang individu itu mahupun partiyang akan memerintah, dilihat dari sudut hukum-hakam Islam. Dengan kata lain, adakah kriteria ‘individu’(pemimpin)tersebut dan ‘sistem’ yang akan diterapkan sesuai dengan kehendak Islam atau tidak? Inilah persoalan mendasar yang perlu dilihat secara benar, mendalam dan jernih oleh setiap Muslim, jauh dari sikap kefanatikan terhadap pemimpin atau parti. Setiap Muslim wajib melihatnya dari kaca mata Islam semata-mata.

Masih Berharap Pada Demokrasi?

Perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini menuntut lima perkara iaitu pilihan raya yang bebas dan adil, ketelusan kerajaan, hak berhimpun, memperkukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara. Kita tidak mempertikaikan perhimpunan tersebut dari segi usaha memuhasabah kerajaan kerana ia wajar sahaja dilakukan. Namun sebagai Muslim, kita perlu melihat kepada tuntutannya sama ada selari dengan Islam atau tidak. Dari segi tuntutan pilihan raya bebas dan adil, bagaimana mungkin mengharapkan sebuah kerajaan yang sudah hilang amanahnya untuk berbuat demikian dan yang lebih penting, pilihan raya bukanlah cara untuk menegakkan pemerintahan Islam, kecuali merupakan cara untuk memilih pemimpin. Dalam demokrasi, pilihan raya menjadi mekanisme untuk memilih pemimpin yang akan berhukum dengan hukum buatan manusia, bukannya hukum Allah!

Menuntut untuk memperkukuhkan demokrasi berparlimen bererti menuntut untuk memperkukuhkan sistem sekular yang bertentangan dengan Islam. Demokrasi merupakan sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat di mana kedaulatannya diletak di tangan manusia. Manusia diberi hak untuk membuat undang-undang dan peraturan, menentukan halal dan haram serta baik dan buruk mengikut suara majoriti. Inilah hakikat demokrasi yang tidak perlu ditakwil lagi. Sistem inilah yang telah dipaksakan oleh Barat ke atas umat Islam setelah Barat berjaya meruntuhkan Khilafah Islamiyyah dan mencerai-beraikan negara umat Islam. Sudah 58 tahun Malaysia diperintah dengan sistem demokrasi, apakah para pencinta demokrasi memerlukan 58 tahun lagi untuk sedar betapa rosaknya sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat ini? Bukti apa lagi yang diperlukan untuk menunjukkan bahawa sistem demokrasi ini sudah gagal sejak dulu hingga kini? Bukti apa lagi yang diperlukan untuk menunjukkan betapa rosaknya demokrasi dan bagaimana ia telah membawa malapetaka kepada umat Islam khasnya dan manusia amnya?

Sudah ramai pemimpin yang bersilih ganti dan menerapkan sistem yang sama namun sudah wujudkah perubahan atau kebaikan mendasar kepada umat ini? Sudah puluhan tahun sistem demokrasi diterapkan oleh pemerintah, malah diperjuangkan oleh gerakan Islam atas alasan dan harapan boleh menerapkan Islam dengannya, namun sudah tertegakkah agama Allah dengannya? Sudah terbelakah Islam dengannya? Sudah menangkah Islam dengannya? Sudah muliakah umat Islam dengannya? Sudah zahirkah agama Allah di atas agama lain, dengannya? Sudah tersebarkah rahmat Allah ke seluruh alam dengannya?

Atas nama demokrasi, pergaulan bebas, pakaian mendedahkan aurat,riba, arak dan judi menjadi ‘halal’. Atas nama demokrasi, golongan LGBT bebas beraktiviti, kelab malam, pub dan konsert maksiat boleh dilihat setiap hari manakala aktiviti dakwah disekat dan para pendakwah dipantau, diugut serta ditangkap. Atas nama demokrasi, hukum Allah seperti hudud boleh ditendang ke sana ke mari, dipertikaikan, bahkan boleh dicampak begitu sahaja. Pendek kata atas nama demokrasi, segala kemaksiatan dibenarkan manakala segala usaha untuk menerapkan agama Allah dihalang. Inilah realiti demokrasi yang terpampang di depan mata yang tidak perlu dinafikan lagi! Justeru, masihkahkita berharap pada demokrasi untuk menjadikan Malaysia lebih baik atau berharap agar agama Allah dapat ditegakkan dengannya!?

Siapakah Yang Layak Memerintah?

Untuk menilai ‘siapa’ dan ‘sistem’ apakah yang layak memerintah sesebuah negara, maka kita wajib melihat dahulu apakah kayu ukur untuk menyatakan individu dan sistem yang berkenaan sebagai layak. Sebagai Muslim, sesungguhnya tidak ada kayu ukur lain untuk dijadikan penilaian kecuali Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Kita tidak mengukur kelayakan orang dan sistem pemerintahan berdasarkan undang-undang demokrasi atau perlembagaan ciptaan kuffar. Satu-satunya kayu ukur kita ialah al-Quran dan al-Sunnah. Jika bertepatan dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah, maka layaklah seseorang itu dan sistem itu dipilih dan digunakan. Jika sebaliknya, maka individu dan sistem itu tidak layak dan wajib ditolak.

Berdasarkan ketetapan dari Kitabullah dan Sunnah RasulNya, terdapat tujuh syarat kelayakan seseorang untuk menjadi pemerintah iaitu Muslim, lelaki, baligh, berakal, merdeka, adil dan mampu. Dengan kata lain, orang-orang kafir tidak layak untuk menjadi pemerintah ke atas kaum Muslimin. Hal ini (orang kafir memerintah umat Islam) diharamkan oleh Allah SWT. Jadi, haram ke atas umat Islam mengundi, berkempen, memilih, memberi jalan dan sebagainya atau redha dengan penguasaan orang kafir ke atas orang Islam. Kriteria seseorang pemerintah itu juga wajib adil. Sikap adil berlawanan dengan fasik. Dengan kata lain, haram untuk memilih seseorang yang fasik menjadi pemimpin. Manakala jika dia telah menjadi pemimpin dan menunjukkan kefasikannya, maka ia wajib dihentikan. Fasik yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemerintah ertinya orang yang melakukan dosa dan kemaksiatan kepada Allah secara terang-terangan. Di antara contoh kefasikan yang jelas adalah apabila pemerintah itu tidak berhukum dengan hukum Allah SWT!

Manakala berdasarkan ketetapan dari al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak Sahabat, satu-satunya ‘sistem pemerintahan’ yang wajib ke atas umat Islam ialah Khilafah, bukan sistem demokrasi, teokrasi, autokrasi, republik dan seumpamanya. Dengan kata lain, haram untuk umat Islam mengambil, menerapkan atau menyebarluaskan sistem selain Khilafah Islamiyyah. Wahai kaum Muslimin, yakinlah bahawa tanpa perubahan mendasar daripada sistem sekular kepada sistem Islam, pastinya kitaran masalah dan keburukan akan terus berulang. Lebih dari itu, dosa akan menyelimuti orang yang tidak berusaha untuk merubahnya. Justeru, ayuhlah bersama dengan HizbutTahrir untuk kita sama-sama berganding bahu menggantikan sistem yang buruk lagi haram ini kepada sistem yang benar lagi membawa rahmat kepada seluruh manusia dan alam dengan berusaha menegakkan Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya secara kaffah.

Ya Allah ya Tuhan kami, saksikanlah bahawa sesungguhnya kami telah menyampaikan!!!