SN543 – Derita Muslim Uighur di Xinjiang

Bil: SN543 – 24 Safar 1440 / 02 November 2018

SN543 - Derita Muslim Uighur di Xinjiang

Dianggarkan terdapat kira-kira 1 juta orang etnik Muslim Uighur dilaporkan sedang berada dalam kem-kem tahanan di China menurut Jawatankuasa Bagi Diskriminasi Kaum (Committee of Racial Discrimination, CERD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Laporan tersebut turut menyatakan bahawa terdapat tahanan yang diseksa sehingga meninggal dunia.  Beberapa media antarabangsa turut melaporkan bahawa tahanan dipaksa makan babi dan minum arak. Setelah sekian lama menafikan, Kerajaan China akhirnya mengakui keberadaan kem-kem tersebut yang kononnya diwujudkan bagi melaksanakan proses ‘pendidikan semula’ kepada Muslim Uighur. Istilah tersebut tidak lain merupakan cubaan untuk menyembunyikan hakikat kezaliman terhadap saudara seakidah kita demi mengekalkan cengkaman rejim China ke atas wilayah tersebut yang mempunyai kepentingan strategik dalam percaturan geopolitik negara tersebut di rantau Asia Tengah. Isu Muslim Uighur ini kembali mendapat perhatian di negara ini apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini memutuskan untuk membebaskan sebelas orang Muslim Uighur yang ditahan di Malaysia dan enggan memenuhi tuntutan ekstradisi oleh China. Tindakan tersebut telah menyelamatkan nyawa mereka daripada  kezaliman rejim China. Namun begitu, bagaimana pula dengan rintihan umat Islam Uighur yang berhadapan dengan penindasan secara sistematik oleh rejim China berdekad lamanya?

Sejarah Turkistan Timur

Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang terletak di Barat Laut China dengan keluasan 1.6 juta kilometer persegi. Penduduknya berjumlah 21 juta orang dengan 46% daripadanya adalah orang Islam Uighur. Etnik Uighur merupakan susur galur bangsa Turki yang mendiami rantau Asia Tengah. Xinjiang dalam sejarahnya merupakan sebahagian daripada Wilayah Turkistan. Ia dikenali sebagai Turkistan Timur sebelum ditukar kepada nama Xinjiang (Wilayah Baru) setelah dikuasai oleh Kerajaan Komunis China pada tahun 1949. Di samping Xinjiang, Wilayah Turkistan pada hari ini juga telah terpecah kepada negara-negara seperti Uzbekistyan, Kyrgistan, Turkmenistan, Kazakhstan dan Tajikistan.

Dalam sejarahnya yang panjang, Turkistan Timur pernah menjadi hab ekonomi dan budaya yang menghubungkan Timur dan Barat sesuai dengan kedudukannya yang strategik di Laluan Sutera. Perkembangan imperialisme Eropah menyaksikan  Rusia dan Empayar British meluaskan jajahannya ke Asia Tengah pada pada kurun ke-19M. Rusia turut melebarkan pengaruhnya di sepanjang perbatasan dengan China, justeru menyebabkan Dinasti Qing berusaha untuk menguasai Turkistan Timur pada tahun 1884 bagi mengekangnya. Walau bagaimanapun, umat Islam yang telah sekian lama menetap di situ memberikan penentangan yang berterusan terhadap penguasaan Qing, sehinggalah dinasti tersebut runtuh pada 1911. Turkistan Timur kemudiannya menjadi wilayah yang merdeka sehingga Parti Komunis China menakluk dan menjadikannya sebahagian daripada Republik Rakyat China pada 1949. Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan Komunis China untuk meminggirkan umat Islam. Menurut laporan daripada Uyghur Human Right Project (UHRP), Kerajaan China telah menubuhkan syarikat pembinaan separa tentera bagi menguasai sektor pembinaan dan infrastuktur di Xinjiang, selain turut berperanan memindahkan etnik Han secara besar-besaran untuk mengatasi jumlah populasi Uighur, membina penjara dan menubuhkan pasukan polis separa tentera.  Penindasan dan diskriminasi terhadap umat Islam di sana berterusan tanpa mendapat liputan meluas oleh media setelah sekian lama. Antara kemuncak penindasan tersebut adalah tragedi pem­bunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan di Ghumja pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, denyut nadi perjuangan umat Islam di Xinjiang tidak pernah reda sehingga hari ini.

Xinjiang Dalam Perspektif Geopolitik Asia Tengah

Permasalahan di Xinjiang sangat berkait rapat dengan perkembangan yang berlaku di Asia Tengah dan Kaukasus. Sejak keruntuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, muncul lima buah negara republik yang majoriti penduduknya beragama Islam di Asia Tengah iaitu Uzbekistan, Turkmenistan, Kyrgistan dan Kazakhstan. Kelima-lima buah negara ini mempunyai kaitan secara geografi dan demografi, serta terletak berhampiran dengan Xinjiang. Hal ini membuat­kan  China berasa amat bimbang dengan potensi kebangkitan di Xinjiang. Selain China dan Rusia, Amerika Syarikat turut meletakkan kepentingan ketenteraannya di kawasan Asia Tengah ini. Sentimen Islam di Asia Tengah masih utuh walau­pun dicengkam oleh komunisme sejak berdekad lamanya. Umat Islam di rantau tersebut menuntut kembalinya pemerintahan Islam dengan kesungguhan yang luar biasa, sekali gus menyebabkan pemerintah-pemerintah di negara-negara tersebut mengenakan tekanan yang sangat keras seperti yang terjadi di Uzbekistan dan Xinjiang.

Berhubung perkara ini, Hizbut Tahrir di dalam kitabnya Mafahim Siyasiyah li Hizbit Tahrir menjelaskan bahawa;

“Islam yang ada dalam jiwa umat Islam di kawasan ini (Asia Tengah) telah tertancap mantap. Keteguhan mereka ber­tambah hari demi hari. Segala cara (penyeksaan) ala syaitan tersebut tidak dapat menyimpangkan umat Islam dari keislaman dan keimanan mereka. Barat telah memahami fakta mantapnya Islam dalam jiwa bangsa-bangsa ini dan bahawa keislaman mereka telah berubah menjadi bara api yang bergejolak. Robert D. Caplan, pakar AS tentang Dunia Ketiga, mengatakan, ‘Di Asia Tengah, di bahagian bumi ini, Islam akan menjadi daya tarik yang terbesar, kerana dokongan mutlak daripada orang-orang yang tertindas dan yang dizalimi. Agama yang banyak tersebar luas di per­mukaan dunia ini adalah satu-satunya agama yang siap ber­tempur dan berjuang’. Sungguh, kawasan Asia Tengah ini telah menjadi salah satu benteng penting dan kawasan harapan Islam yang merangkumi Indonesia dan Malaysia di Asia Tenggara, hingga menjangkau ke Timur Tengah serta dapat di­hubungkan dengan Pakistan dan Iran secara geografi, yang akan mengirimkan peringatan bahaya kepada Rusia dan AS bahawa sebuah Negara Islam yang besar dan memiliki kekuatan nuklear akan dapat berdiri di kawasan yang luas dan bersempadan dengan banyak negara”.

Kepentingan Xinjiang Kepada China

1) Xinjiang merupakan salah satu wilayah penampan bagi China dalam kepentingan strategik ketenteraan China selain daripada Tibet, Mongolia Dalam dan Manchuria. 2) Xinjiang mempunyai lebih 20% daripada rizab sumber arang batu, gas asli dan minyak China. Ia juga kaya dengan sumber alam seperti emas, perak, kuprum, plumbum, nitrat dan zink. 3) Kedudukan Xinjiang sebagai laluan penghubung China dengan negara-negara Asia Tengah, Eurasia dan Timur Tengah yang turut penting dalam menjayakan inisiatif One Belt One Road (OBOR) China. OBOR mempunyai peranan besar dalam menentukan hubungan dagangan dan pengaruh China di peringkat antarabangsa.

Xinjiang Adalah Isu Umat Islam

Xinjiang, sepertimana Palestin, Selatan Thai, Kashmir, Arakan, dan Selatan Filipina adalah tanah umat Islam yang terjajah.  Dunia melalui melalui PBB telah mengiktiraf penjajahan ini. Walhal, menurut hukum syarak, kesemua wilayah tersebut adalah wilayah umat Islam yang wajib dibebaskan. Sehingga ke hari ini tiada negara umat Islam yang mampu untuk mem­bebaskan wilayah-wilayah tersebut melalui tindakan diplomatik walaupun telah banyak persidangan diadakan. Dalam situasi sebegini, tidak akan ada tentera umat Islam yang akan dihantar bagi membebaskan wilayah-wilayah tersebut. Hal ini berpunca daripada kewujudan konsep ‘negara bangsa’ yang terikat dengan aturan PBB. Sesungguhnya PBB merupa­kan alat penerus status quo kuasa-kuasa besar dunia, ter­masuklah China selaku salah sebuah negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB serta mempunyai kuasa veto.

Sinar penyelesaian terhadap permasalahan ini akan hanya muncul apabila umat Islam menyedari potensi kekuatan yang ada padanya. Umat Islam hanya akan mencapai kekuatan ter­sebut apabila kita bersatu. Sesungguhnya penyatuan secara kerohanian (ruhiyah) dan politik (siyasiah) akan hanya dapat direalisasikan dengan kembalinya institusi kenegaraan Islam, iaitu Khilafah Islam. Kembalinya Khilafah juga bukan sekadar membebaskan umat Islam daripada belenggu sempadan negara bangsa yang memisahkan kita, bahkan dengan kewujudan institusi ini umat Islam tidak akan lagi menjadi mangsa yang boleh diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya oleh kuasa-kuasa besar dunia dalam percaturan politik dunia. Di bawah sebuah kepimpinan yang menyatukan seluruh umat Islam, sang Khalifah berupaya mengerah segenap potensi kekuatan untuk membebaskan tanah-tanah umat Islam yang terjajah, serta menyebar luaskan risalah Islam di segenap penjuru dunia melalui dakwah dan jihad.

Sesungguhnya, kemelut yang melanda umat Islam di Xinjiang, sepertimana di wilayah-wilayah lain yang terjajah, tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas seandainya kita masih ber­gantung harap kepada institusi yang mencorak aturan dunia pada hari ini. Wahai umat Islam, ingatlah bahawa masalah di Xinjiang adalah sebahagian daripada masalah kita dan seharusnya kita menyedari bahawa umat Islam keseluruhannya mempunyai tanggungjawab dalam usaha membela umat Islam Uighur.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Perang Arab-Israel 1973

Perang Arab-Israel merupakan peperangan yang tercetus antara entiti haram Israel dan negara-negara Arab yang diterajui oleh Mesir dan Syria. Peperangan ini turut dikenali sebagai Perang Yom Kippur kerana tercetus pada sambutan keagamaan penganut Yahudi, manakala dalam dunia Arab ia dikenali sebagai Perang Oktober. Perang tersebut berpunca daripada dendam yang terpendam akibat kekalahan tentera negara-negara Arab enam tahun sebelumnya, iaitu pada tahun 1967 yang menyaksikan Israel berjaya menawan Semenanjung Sinai dari Mesir dan Dataran Tinggi Golan milik Syria.

Di bawah kepimpinan Presiden Mesir dan Syria iaitu Anwar Sadat dan Hafez al-Assad, kedua-dua negara tersebut membuat perjanjian rahsia pada Januari 1973 untuk bersekutu memerangi Israel. Namun mereka memiliki tujuan yang berbeza dan  sesungguhnya langsung tiada sangkut-paut untuk  membebaskan Palestin. Tujuan utama perang bagi Mesir adalah untuk membawa Israel ke meja rundingan bagi memeterai perjanjian damai, manakala Syria pula ingin menawan semula Dataran Tinggi Golan miliknya. Kedua-dua mereka adalah pemimpin yang baru berkuasa dan dengan tercetusnya peperangan ini, mereka melihat ia mampu melonjakkan posisi masing-masing di mata rakyat.

Pada Sabtu, 6 Oktober 1973, berbekalkan senjata Soviet yang maju, tentera Mesir dan Syria melancarkan serangan dua penjuru ke atas Israel, iaitu dari utara dan selatan. Dalam tempoh 24 jam pertama peperangan, Mesir berjaya menyeberangi Terusan Suez dan menawan Garisan Bar Lev sementara Syria berjaya menawan kembali Dataran Tinggi Golan serta mengjangkaui lebih daripada itu. Perang tersebut berlarutan sehingga melibatkan campur tangan negara-negara Arab lain termasuk  Iraq, Arab Saudi dan Jordan. Dalam kekecamukan perang,  pada Selasa, 6 November,  Setiausaha Negara AS, Henry Kissinger terbang ke Kaherah untuk bertemu Sadat dalam usaha mewujudkan perjanjian damai. Lawatan tersebut merupakan permulaan kepada siri kunjungan Kissinger yang dikenali sebagai ‘Shuttle Diplomacy‘ selaku perantara ke negara-negara yang terbabit dalam peperangan tersebut. Empat hari kemudian, satu perjanjian awal ditandatangani dan berlaku pertukaran tahanan perang dari kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Israel masih menguasai kedudukan yang jauh ke wilayah Syria, tidak jauh dari ibu kota Damsyik. Keadaan ini memberikan ruang kepada Israel untuk mengheret Syria ke meja rundingan. Pada Mei 1974, Kissinger melancarkan kunjungan diplomasi pusingan kedua, kali ini  antara Damsyik dan Tel Aviv.

Kemudian satu perjanjian damai  ditandatangani di Geneva pada 5 Jun, dan peperangan secara rasminya berakhir pada 25 Oktober 1974. Kedua-dua belah pihak mendakwa sebagai pihak yang memenangi peperangan tersebut. Mesir dan Syria memperoleh semula sebahagian wilayah mereka dan zon penyangga PBB ditubuhkan di antara mereka dan Israel.

Download PDF