SN560 – Bagaimana Islam Mengatasi Masalah Kemiskinan?

Bil: SN560 – 12 Safar 1441 / 11 Oktober 2019

SN560 - Bagaimana Islam Mengatasi Masalah Kemiskinan?

Isu kemiskinan dan jurang pendapatan menjadi antara fokus utama kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2021-2030 yang diperkenal­kan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mei lalu. Wawasan tersebut  dikatakan bertujuan ‘merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar bandar’. Namun, ukuran kemiskinan yang digunapakai di negara ini dipertikaikan dan dilihat sebagai sudah lapuk. Menurut Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi, kemiskinan diukur berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) – isi rumah dikategorikan sebagai miskin apabila mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM980 sebulan di Semenanjung, RM1,180 di Sabah, dan RM 1,020 di Sarawak. Sehubungan itu, terdapat cadangan supaya kerajaan mengubah ukuran kadar kemiskinan kepada ukuran kemiski­nan relatif mengikut indikator-indikator yang digunakan oleh negara-negara maju. Terdahulu, pada penghujung 2017, kerajaan mengatakan, takrif kemiskinan baru akan digunakan berdasarkan Indeks Kemiskinan Pel­bagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index, MPI). Indeks tersebut diperkenalkan oleh Oxford Poverty and Human Development Initiative (OPHI) dengan kerjasama UN Development Programme (UNDP) pada 2010. Sungguhpun demikian, MPI menerima kritikan atas kaedah penilaiannya dan juga pemilihan indikator-indikator yang digunakan ber­sifat subjektif dan berbeza-beza mengikut ketetapan pem­buat polisi. Setakat ini, belum dapat dipastikan indeks apakah yang akan digunapakai dalam menjayakan WKB. Namun, dijangka­kan negara-negara maju akan dijadikan rujukan. Sekiranya benar, penyelesaian tersebut pasti akan terus menemui kegagalan kerana sistem kapitalisme tidak mempunyai penyelesaian tuntas terhadap krisis kemiskinan.

Takrif Kemiskinan Menurut Perspektif Islam

Islam mentakrifkan kemiskinan dengan ukuran yang bersifat objektif dan konsisten. Menurut Islam, kemiskinan adalah keadaan apabila keperluan asas seseorang tidak dipenuhi secara menyeluruh. Syariah menetapkan keperluan asas sebagai makanan, pakaian, dan tempat tinggal [an-Nabhani, Nizhamul Iqtisadi fi al-Islam]. Ketiga-tiga keperluan tersebut merupakan keperluan asas bagi individu yang asalnya merupakan tanggungjawab suami atau bapa terhadap tanggungannya [rujuk TMQ al-Baqarah (2): 233 dan al-Thalaq (65): 6]. Ketidakcukupan dalam tiga keperluan asas ini menjadikan seseorang itu tergolong dalam kategori miskin. Jika diteliti daripada konteks asnaf, paras kemiskinan boleh dikategorikan kepada dua iaitu fakir dan miskin. Golongan fuqara’ (orang fakir) ialah orang yang tidak memperoleh harta yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asasnya, seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Manakala golongan masakin (orang miskin) pula ialah orang yang memiliki pendapatan namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya dan mereka tidak meminta-minta kepada manusia [Zallum, al-Amwal fi Daulah al-Khilafah].

Mana-mana individu yang tergolong dalam kedua-dua kategori tersebut merupakan mereka yang memerlukan bantuan sara hidup, terutama keperluan asas sebagai individu dan hak asas mereka sebagai warganegara. Manakala bagi keperluan-keperluan yang bersifat kepentingan awam seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, bekalan air bersih, elektrik, dan kemudahan awam seperti jalan raya pula akan ditanggung oleh negara, sekaligus mengurangkan bebanan yang perlu ditampung bukan sahaja oleh golongan miskin, bahkan oleh warganegara keseluruhannya. Sebaliknya, penswastaan kepentingan awam dalam sistem kapitalisme hari ini menyebabkan rakyat terpaksa mengeluarkan belanja bagi menampung kosnya. Dengan kata lain, rakyat bukan sahaja terbeban dengan peningkatan kos sara hidup bagi memenuhi keperluan asas, bahkan turut dibebankan dengan kos untuk menampung keperluan awam tersebut.

Islam Menyelesaikan Masalah Kemiskinan

Islam telah mewajibkan seseorang untuk berusaha memenuhi keperluan asasnya serta membantu mereka yang tidak dapat memenuhinya. Namun jika keperluan asasnya tidak dapat dipenuhi kerana ketiadaan ataupun ketidakcukupan harta, maka syariah telah mewajibkan pihak lain untuk membantu. Mekanisma untuk memenuhi keperluan golongan miskin tersebut adalah seperti berikut:

  1. Bantuan kaum kerabat. Kerabat ini mestilah mereka yang mempunyai hubungan waris kepada individu yang berstatus miskin tersebut. Firman Allah SWT; “Dan kewajiban ayah memberi makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan waris juga berkewajiban demikian[TMQ al-Baqarah (2): 233]. Waris adalah orang yang berhak menuntut atau mendapatkan harta dalam hal faraid sekiranya seseorang meninggal.
  2. Sekiranya tiada kerabat atau waris, ataupun tidak berkemampuan untuk menanggung nafkahnya, maka kewajipan tersebut berpindah kepada Baitul Mal (perbendaharaan negara), melalui bahagian agihan zakat (fakir dan miskin merupakan sebahagian daripada golongan asnaf zakat). Ahlu zimmah yang tergolong sebagai kelompok miskin pula akan diberikan bantuan daripada sumber-sumber selain daripada zakat. Sabda Rasulullah SAW, “Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan kalla’, maka ia menjadi kewajipan kami[HR Muslim]. Kalla‘ adalah orang yang lemah, yang tidak mempunyai anak mahupun orang tua (sebatang kara).
  3. Jika bahagian zakat di Baitul Mal tidak mencukupi, negara perlu menanggung mereka melalui dana yang lain, sehinggalah kehabisan harta Baitul Mal.
  4. Jika Baitul Mal sudah ketiadaan harta sama sekali, maka kewajipan tersebut akan beralih kepada seluruh umat Islam. Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Tidaklah beriman kepada-Ku sesiapa sahaja yang tidur kekenyangan, sedangkan tetangga di sampingnya kelaparan, sementara dia mengetahuinya[HR al-Bazzar]. Bagi melancarkan urusan ini, dharibah (cukai sementara yang dikenakan pada lebihan harta) akan dikutip daripada orang kaya sebagai tanggungjawab terhadap golongan miskin. Islam juga menyuburkan amalan sedekah bagi meringankan beban yang dihadapi oleh golongan fakir dan miskin.

Di samping itu, negara juga berperanan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi bagi membolehkan setiap warganya mencari rezeki. Dalam pada itu, negara juga berhak untuk memberikan harta milik negara untuk dimanfaatkan oleh warganya (iqtha’ al-Daulah), misalnya melalui pemberian tanah untuk dikelolakan bagi menjana pendapatan. Amalan ihya al-mawat (menghidupkan tanah mati) juga mengoptimumkan pemanfaatan tanah sekaligus berupaya menyediakan jalan keluar daripada cengkaman kemiskinan. Dengan kata lain, penyelesaian kemelut kemiskinan bukan hanya dilakukan dengan menyalurkan bantuan semata-mata, bahkan melibat­kan usaha memperkasakan golongan tersebut agar mampu berdikari dan mempunyai sumber pendapatan yang stabil bagi menampung keperluan mereka.

Selain itu, Islam turut mengharamkan amalan riba yang menyebabkan pihak yang berhutang dizalimi serta sukar untuk membebaskan diri daripada belenggu hutang sehingga akhirnya menjadi se­makin miskin akibatnya. Sedangkan sebaliknya dalam kapitalisme, amalan hutang dan riba ini merupakan antara elemen utama dalam menggerakkan sistem perbankan yang menjadi nadi sistem rosak ini. Keadaan menjadi semakin buruk apabila rakyat turut dicengkam dengan pengenalan pelbagai jenis cukai yang merupakan sumber pendapatan utama negara-negara yang mengamalkan sistem kapital­isme. Bagi mengatasi masalah jurang pendapatan, Islam menetapkan hak pemilikan secara adil kepada pemilikan individu, pemilikan umum, dan pemilikan negara. Islam turut melarang amalan monopoli dan penimbunan harta kekayaan kepada kelompok tertentu seperti yang terjadi dalam sistem kapitalisme. Penguasaan individu atau pihak swasta terhadap pemilikan umum seperti sumber galian, serta monopoli sektor ekonomi tertentu oleh golongan pemodal yang mempunyai kepentingan dengan kelompok elit politik pada hari ini merupakan antara punca melebarnya jurang kekayaan antara antara mereka dengan rakyat.

Demikianlah mekanisma pengurusan negara bagi menangani kemiskinan menurut Islam yang berdasarkan keperluan asas sebagai manusia, dan bukannya atas dasar perkauman mahupun indikator indeks acuan kapitalisme. Bahkan ahlu zimmah dalam negara Khilafah juga dijamin haknya berdasarkan ketetapan syarak. Hal ini tidak terlaksana dalam sistem kapitalisme yang didasari sifat individualistik dan materialistik, pengagihan hak pemilikan yang tidak adil, amalan monopoli, serta pemerintah hari ini yang melihat tanggungjawab memelihara kebajikan rakyat sebagai beban. Kemakmuran bersama tidak akan dapat direalisasikan seandainya asas pengelolaan ekonomi masih disandarkan kepada kapitalisme, sebaliknya akan hanya tercapai dengan melaksanakan perubahan sistemik ke arah penerapan sistem Islam secara menyeluruh dalam bingkai Khilafah Rasyidah.


KOLUM TSAQAFAH

INFAK MENURUT SYARIAT

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang memerintahkan kita agar menginfakkan (membelanjakan) harta yang kita miliki. Di antaranya Allah memerintahkan agar  mem­belanjakan harta untuk dirinya sendiri (at-Taghabun: 16); menafkahi isteri dan keluarga menurut ke­mampuannya (ath-Thalaq: 7); dan membelanjakan harta yang baik khususnya dalam menunaikan zakat (al-Baqarah: 267). Bahkan Allah SWT berfirman: “Kalian sekali-kali tidak sampai pada kebajikan (yang sempurna) sebelum kalian menafkahkan sebahagian harta yang kalian cintai. Apa saja yang kalian nafkahkan, sesungguhnya Allah menge­tahuinya[TMQ ali-Imran (3): 92]. Kemudian Allah menjelas­kan bagaimana tatacara mem­belanjakan harta. “Orang-orang yang apabila mem­belanjakan (harta), mereka tidak isrâf (foya-foya) dan tidak (pula) iqtâr (kikir); adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian[TMQ al-Furqan (25): 67].

Ibn Abbas, Mujahid, Qatadah, Ibn al-Juraij dan ke­banyakan mufassir menafsirkan isrâf (foya-foya) sebagai tindakan membelanjakan harta dalam kemaksiatan meski hanya sedikit. Isrâf disamakan dengan tabdzîr (boros). Menurut Ibn Abbas, Ibn Mas‘ud dan jumhur mafassirin, tabdzîr adalah menginfakkan harta tidak pada tempatnya. Ibn al-Jauzi dalamâd al-Masîr, Mujahid berkata, “Andai seseorang menginfakkan seluruh hartanya dalam kebenaran, ia tidak berlaku tabdzîr. Sebaliknya, andai ia menginfakkan satu mud saja di luar kebenaran, maka ia telah berlaku tabdzîr.” Ada­pun iqtâr maknanya adalah menahan diri daripada infak yang diwajibkan atau menahan diri dari infak yang seharusnya. Asy-Syaukani menukilkan ungkapan an-Nihâs yang menyatakan, “Siapa saja yang membelanjakan harta di luar ketaatan kepada Allah maka itu adalah isrâf; siapa yang menahan dari infak di dalam ketaatan kepada Allah maka itu adalah iqtâr (kikir); dan siapa saja yang mem­belanjakan harta dalam ketaatan kepada Allah maka itu­lah infak yang al-qawâm.

Maka yang dilarang adalah isrâf dan tabdzîr, iaitu infak dalam kemaksiatan atau infak yang haram. Infak yang di­perintahkan adalah infak yang qawâm, iaitu infak yang sesuai dengan ketentuan syariah dalam rangka ketaatan kepada Allah. Infak yang demikian terdiri daripada infak fardhu, infak sunnah dan infak mubah. Infak fardhu dapat dibahagi kepada: Pertama, infak atas diri sendiri, keluarga dan orang-orang yang nafkahnya menjadi tanggungan. Kedua, zakat. Ketiga, infak di dalam jihad. Infak sunnah merupakan infak dalam rangka hubungan kekerabatan, membantu teman, memberi makan orang yang lapar, dan semua bentuk sedekah lainnya. Sedekah adalah semua bentuk infak dalam rangka atau dengan niat ber-taqarrub kepada Allah, iaitu semata-mata mengharap pahala dari Allah SWT. Adapun infak mubah adalah semua infak halal yang di dalamnya tidak terdapat maksud mendekatkan diri kepada Allah. Sudah pasti infak fardhu wajib dilaksanakan manakala infak sunnah hendaklah diusahakan sesuai dengan kemampuan. Ada­pun infak mubah sebaiknya dilakukan sebatas keperluan sahaja dan ditujukan pada yang lebih banyak manfaat daripada mudaratnya sebagai bentuk kewarakan.

 

Download PDF