SN566 – Pembohongan Terbesar Demokrasi Di Malaysia

SN566

21 Februari 2020 M / 27 Jamadil Akhir 1441 H

Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih teraju pemerintahan negara sehinggalah ke hari ini, isu peralihan kuasa daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah habis diperkatakan. Setiap kali isu ini reda, akan ada sahaja pihak-pihak yang memanaskannya semula, khususnya pihak pembangkang. Sebagai seteru politik, isu ini dijadikan modal oleh pihak pembangkang dalam rangka melaga-laga dan memecahbelahkan PH. Terbaru, isu ‘undi percaya’ kepada Perdana Menteri dimainkan dan kelihatan berjaya menarik perhatian, di samping mengucar-ngacirkan pihak lawan. Apa yang pasti, isu-isu tersebut diputar ulang bukan untuk kebaikan rakyat pun, sebaliknya hanya untuk meraih political mileage mereka yang memutarkannya. Dalam masa yang sama, dua kem besar dalam PH, khususnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat sedang berebut kerusi nombor satu negara turut berperanan dalam memanaskan isu ini bagi memastikan kerusi tersebut milik kem mereka. Inilah hidangan politik yang tidak putus-putus disajikan kepada rakyat sejak lebih setahun lepas, sebuah hidangan yang cukup memualkan!

Isu peralihan kuasa ini telah berjaya mengalih bukan sahaja tumpuan, malah pemikiran rakyat, kepada persoalan pergantian Perdana Menteri semata-mata, sehingga rakyat berjaya dikaburkan dengan isu sebenar yang lebih besar, yang seharusnya menjadi persoalan. Dari segi sejarah, Malaysia telah mencatat peristiwa penyerahan kuasa secara langsung daripada seorang Perdana Menteri kepada Perdana Menteri selepasnya sebanyak dua kali. Kali pertama berlaku pada 31 Oktober 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Perdana Menteri kelima, setelah diserah kuasa oleh Dr. Mahathir, yang merupakan Perdana Menteri sebelumnya. Kemudian, pada 3 April 2009, Datuk Seri Najib Razak pula dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri keenam setelah diserah kuasa oleh Pak Lah. Jika penyerahan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar berlaku, maka Malaysia akan menyaksikan upacara penyerahan kuasa Perdana Menteri untuk kali yang ketiga. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa masalahnya jika ini terjadi?

Pembohongan Demokrasi

Demokrasi mengajarkan kepada penganutnya satu falsafah penting yang menjadi pegangan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi akidah ajarannya iaitu sebuah pemerintahan yang berasal dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Penganut demokrasi juga sering berhujah bahawa demokrasi adalah sebuah sistem pemerintahan yang mana pemimpin dilantik dengan suara majoriti. Bahkan demokrasi sememangnya terkenal dengan ajaran majoriti dalam segala perkara, dan hal ini menjadi kebanggaan para penganutnya.

Dalam isu penyerahan kuasa Perdana Menteri sebagaimana yang telah berlaku, dan yang mungkin berlaku di antara Mahathir dan Anwar, atau kepada sesiapa sahaja selepas ini, di manakah letaknya suara majoriti untuk melantik pemimpin sebagaimana yang didewa-dewakan oleh sistem demokrasi? Bayangkan jika jawatan nombor satu negara pun boleh ‘dipindah milik’ dengan begitu mudah dari seorang individu kepada individu lain, maka apatah lagi dengan jawatan-jawatan lain. Kononnya di bawah demokrasi, seseorang pemimpin itu dipilih secara majoriti, tetapi hakikatnya ia hanyalah satu ilusi dan pembohongan yang cukup besar! Sama juga dengan pelantikan kesemua jemaah menteri, jika Perdana Menteri tidak bersetuju dengan seseorang calon, walaupun majoriti bersetuju, maka sudah pasti calon tersebut tidak akan dapat memegang apa-apa jawatan! Realitinya begitu jelas dan begitu banyak berlaku di depan mata, sejak dulu hingga kini.

Menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Dengan kata lain, pelantikan Perdana Menteri hendaklah berdasarkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Realitinya, penyerahan kuasa oleh Mahathir kepada Pak Lah dan daripada Pak Lah kepada Najib bukan sahaja tidak mengambil kira suara majoriti ahli Dewan Rakyat, malah satu pun suara ahli Dewan tidak diambil kira. Apa yang diambil kira hanyalah ‘kepercayaan’ Perdana Menteri kepada siapa yang ingin beliau lantik sebagai Perdana Menteri bagi menggantikannya. Samalah seperti isu Mahathir dan Anwar sekarang, yang langsung tidak dirujuk kepada Dewan Rakyat untuk sekurang-kurangnya mengetahui siapakah calon pilihan majoriti ahli Dewan. Inilah hakikat yang perlu disedari oleh umat Islam mengenai pembohongan demokrasi.

Isu peralihan kuasa ini sentiasa dilagukan oleh para politikus dan media saban hari sehingga akhirnya kebanyakan rakyat gagal menyedari hakikat di sebalik permainan ini. Lagu ini diputar-putar tanpa henti sehingga rakyat yang sudah terbuai, sudah tidak lagi nampak bahawa mereka sedang dipermainkan. Inilah yang perlu disedari oleh rakyat, khususnya umat Islam, tentang bagaimana para politikus dalam sistem demokrasi ini telah mempermainkan mereka. Para politikus ini bercakap atas nama demokrasi, seolah-olah peralihan kuasa yang mereka bincangkan itu selaras dengan proses demokrasi, padahal hakikatnya mereka sendiri telah mencabul peruntukan perlembagaan dan prinsip suara majoriti dalam demokrasi yang mereka julang selama ini. Di mana letaknya suara majoriti untuk memilih pemimpin yang diagung-agungkan dalam demokrasi apabila kuasa untuk memilih Perdana Menteri ternyata hanya terletak pada seorang individu sahaja?

Proses Melantik Ketua Negara Menurut Islam

Dalam Islam, ketua negara ialah Khalifah dan pada asasnya siapa sahaja layak menjadi Khalifah apabila memenuhi tujuh syarat in’iqad (pelantikan) iaitu Muslim, lelaki, baligh, berakal, merdeka, adil dan mampu. Adapun syarat-syarat lain seperti keturunan Quraisy, mujtahid, pemberani, politikus yang hebat, mahir dalam ketenteraan dan sebagainya, itu semua adalah syarat-syarat afdhaliyyah (keutamaan).

Namun, perlu difahami bahawa Islam telah menetapkan thariqah (jalan) untuk seseorang itu sah menjadi Khalifah iaitu melalui baiah. Baiah merupakan akad yang berlaku di antara kaum Muslimin dengan orang yang ingin dilantik sebagai Khalifah, dan tidak sah siapa pun diangkat sebagai Khalifah jika tidak dibaiah dengan cara yang syarie atau menyalahi syarat-syarat sah baiah menurut Islam.

Akad Khalifah perlu diperhati dan dilakukan dengan sempurna kerana ia merupakan sebahagian daripada hukum Islam yang akan memastikan orang yang dilantik itu menjadi Ulil Amri yang sah di sisi syarak. Akad baiah hendaklah dilakukan secara ridha wa ikhtiar (redha dan bebas memilih), yakni orang yang ingin dibaiah sebagai Khalifah tidak boleh dipaksa untuk menerima jawatan, dan umat Islam juga diberi hak pilih dan tidak boleh dipaksa untuk memberikan baiah.

Akad Khalifah, sebagaimana akad nikah dan akad muamalat lainnya, tidak sah jika tidak memenuhi syarat ridha wa ikhtiar. Oleh yang demikian, Jika seseorang mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah walhal tidak berlaku akad, atau akadnya tidak sempurna, maka kekhalifahannya tidak sah, sebagaimana tidak sah orang yang merampas kuasa mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah, kecuali akad baiahnya telah dipenuhi secara syarie.

Dalam konteks ini juga, perlu difahami bahawa tidak sah bagi seseorang Khalifah menyerahkan jawatannya kepada orang lain dengan begitu sahaja. Ini kerana akad Khalifah itu berlaku di antara umat Islam dengan orang yang ingin dilantik sebagai Khalifah, dan ia bukannya akad atau penyerahan kuasa di antara seorang individu dengan individu yang lain. “Umat Islam” yang dimaksudkan di sini ialah ahlu halli wal aqdi (sekumpulan orang yang mewakili umat Islam), jika sebelumnya sudah ada Khalifah, atau wakil penduduk suatu negara, dalam keadaan tidak ada Khalifah seperti sekarang. Hal ini seperti mana wakil Aus dan Khazraj, yang mewakili penduduk Madinah, yang memberikan baiah mereka kepada Rasulullah (saw) untuk menjadi ketua negara yang baru di Madinah ketika itu.

Seseorang Khalifah tidak boleh menyerahkan kuasa atau jawatannya kepada orang lain, tidak kira samada kerana ia ingin meletak jawatan, sakit atau secara suka-suka. Penyerahan kuasa seperti ini tidak sah, kerana “kuasa” untuk melantik dan membaiah seorang Khalifah itu ada pada umat Islam, bukan berada di tangan Khalifah sebelumnya. Ramai yang terkeliru dengan “pelantikan” yang dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq (ra) terhadap Umar al-Khattab (ra) dengan menganggap bahawa Khalifah yang sedia ada boleh melantik Khalifah selepasnya. Sedangkan apa yang dilakukan oleh Abu Bakar bukanlah “pelantikan”, tetapi hanya “pencalonan”. Abu Bakar telah mencalonkan Umar sebagai Khalifah semasa beliau sedang sakit, dan hal itu tidak dibantah oleh para sahabat, dan kaum Muslimin umumnya, kerana mereka bersetuju dengan pencalonan tersebut. Setelah kewafatan Abu Bakar, Umar lalu dibaiah oleh kaum Muslimin. Baiah daripada kaum Muslimin inilah yang menjadikan Umar sah sebagai Khalifah, bukan kerana pencalonan oleh Abu Bakar.

Inilah cara pelantikan ketua negara (Khalifah) yang diajar oleh Islam, yang sama sekali berbeza dengan ajaran demokrasi dalam melantik ketua negara. Cara ini tidak boleh diambil mudah, apatah lagi disisihkan begitu sahaja kerana ia merupakan hukum syarak yang memberi kesan kepada keabsahan satu jawatan pemerintahan yang paling tinggi dan sangat penting dalam Islam, selain membawa akibat dosa dan pahala di dunia serta nikmat dan azab di akhirat. Dalam praktis demokrasi di Malaysia, nampaknya jawatan pemerintahan yang paling tinggi pun boleh diserahkan begitu sahaja, tanpa peduli kepada ‘majority rule’ yang mereka sendiri tetapkan dan laungkan selama ini, tanpa peduli kepada suara rakyat yang mereka dakwa sebagai suara keramat, tanpa peduli kepada dosa dan pahala, dan tanpa peduli kepada hukum syarak!

Khatimah

Isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar ini tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam, bukan sahaja kerana ia terkait dengan hukum syarak, tetapi ia melibatkan masa depan umat Islam dan negara ini. Umat Islam wajib memahami bahawa seseorang ketua negara itu dilantik bukan atas dasar ia mendapat sokongan majoriti semata-mata, bukan juga kerana kehebatan atau karismanya sebagai pemimpin, dan bukan kerana kesepakatan yang telah dipersetujui oleh mana-mana pihak untuk melantiknya, tetapi ketua negara tu dilantik untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.

Dalam sebuah Negara Islam, Khalifah itu dibaiah untuk tujuan tersebut, yakni untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Maka siapa sahaja yang mengangkat pemimpin selain daripada tujuan tersebut, apatah lagi dalam keadaan ia tahu bahawa pemimpin yang diangkat itu tidak akan menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah, maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw). Kami berlepas diri daripada pemimpin seperti ini dan mereka yang bersekongkol untuk mengangkat pemimpin seperti ini. Kami menyeru dan terus menyeru umat Islam agar berjuang untuk mendirikan semula Daulah Khilafah al-Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah, yang insya Allah akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya (saw) secara kaffah.

Muat turun salinan cetakan