SN581 – Musibah, Buruknya Ri’ayah Dan Suatu Muhasabah

SN581

24 Disember 2021 M / 20 Jamadil Awal 1443 H

 

“Satu teguran dari Allah” – Inilah yang diperkatakan oleh ramai orang dengan bencana banjir mengejut yang melanda beberapa negeri di Malaysia, khususnya di Selangor, negeri yang paling teruk terjejas. Banyak harta benda yang gagal diselamatkan kerana kejadian berlaku dengan agak pantas, dan ramai yang terkandas selama berbelas-belas jam di jalan raya akibat terperangkap dengan kenaikan air di kesemua laluan. Ada juga yang terperangkap di rumah selama dua-tiga hari tanpa bantuan. Setakat ini 34 orang dilaporkan menjadi korban di seluruh negara. Rakyat, khususnya mangsa banjir cukup ‘bengang’ dengan kegagalan kerajaan menguruskan kejadian banjir kali ini. Luahan kekecewaan, makian, kemarahan, perli, sinis dan pelbagai kecaman terhadap kerajaan terus tersebar di media sosial kerana buruknya ri’ayah (pengurusan). Malangnya kerajaan masih tetap cuba menunjukkan yang pengurusan mereka adalah baik. Kerajaan seolah-olah buta yang rakyat mengikuti setiap perkembangan banjir dari dekat. Kerajaan lupa bahawa rakyat mempunyai Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Telegram dan sebagainya, yang mana semua tragedi banjir dikongsi dengan begitu banyak dan pantas. Setiap jeritan, rayuan dan keluhan mangsa yang sedang menunggu bantuan daripada pihak berwajib tetapi tidak tidak kunjung tiba, semua ini diketahui oleh rakyat. Malangnya kerajaan masih tidak mahu mengaku salah dan masih cuba menyembunyikan fakta serta memperbodohkan rakyat!

Banjir atau perubahan cuaca mendadak kali ini bukanlah suatu yang di luar ramalan, kerana ternyata telah ada pihak yang memberikan peringatan beberapa bulan sebelum ini. Malangnya hal ini langsung tidak diendahkan oleh kerajaan. Kerajaan hari ini tidak pernah belajar daripada kesalahannya yang lalu. Banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 misalnya, dengan jelas menunjukkan kegagalan kerajaan menanganinya, dan mereka tetap tidak mengambil iktibar. Banjir kilat juga sering berlaku di Kuala Lumpur dan sekitar Selangor setiap kali hujan lebat, yang menunjukkan betapa kerajaan tidak pernah mengambil langkah serius untuk mengatasi masalah banjir. Sejak sekian lama, sudah berapa banyak janji ditabur oleh kerajaan, dan peruntukan juga sudah berapa banyak diluluskan, tetapi masalah banjir tetap tidak selesai. Kerajaan juga sering “cakap besar” bahawa mereka sentiasa bersedia menghadapi banjir, tidak kiralah banjir kilat, banjir musim tengkujuh dan lain-lain, namun realitinya jauh panggang dari api. Apa yang rakyat saksikan daripada semasa ke semasa ialah rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam setiap projek. Berapa banyak projek yang tidak penting lebih didahulukan berbanding projek penting seperti mencegah banjir. Banjir besar mahu pun banjir kilat bukanlah baru setahun dua terjadi kat Malaysia ini, tetapi oleh kerana wang, pangkat dan harta yang lebih diminati dan dikejar oleh ahli-ahli politik, maka inilah padahnya, yang sentiasa ditanggung oleh rakyat.

Kelalaian Pemerintah Dan Korupnya Birokrasi

Bencana alam memang datangnya dari Allah (swt), tetapi Dia telah menjelaskan bahawa berapa banyak kerosakan yang terjadi di daratan dan lautan adalah akibat tangan-tangan manusia. Maksudnya hasil tangan-tangan manusia itulah yang menyebabkan Allah (swt) menimpakan bencana ke atas mereka, yang terkena ke atas siapa sahaja . Banjir merupakan salah satu bencana yang tidak dapat dipisahkan daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang melakukan kerosakan di muka bumi. Apa yang menambah malang ialah apabila kerosakan itu dilakukan oleh pemerintah sendiri, kerana kesannya sangat besar dan menyeluruh.

Kembali kepada isu banjir yang baru melanda negara, kita menyaksikan agensi kerajaan bukan sekadar tidak menjalankan tanggungjawab masing-masing, malah saling mempersalahkan satu sama lain. Kita mempunyai banyak agensi dalam hal ini yang nampaknya seperti goyang kaki tatkala banjir sedang melanda. Kita ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang diwujudkan khusus untuk menangani masalah bencana. Selain itu ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mempunyai kuasa tertinggi, adanya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Terdapat juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut memainkan peranan sebagai agensi pemberi bantuan makanan, pakaian, ubat-ubatan dan lain-lain keperluan.

Selain itu, terdapat banyak lagi agensi di peringkat negeri yang sepatutnya berperanan semasa bencana. Kesemua agensi ini, baik di peringkat Pusat mahu pun negeri, seharusnya memainkan peranan sebelum bencana lagi, dan juga sesudah bencana. Dengan kata lain, mereka seharusnya menyediakan payung sebelum hujan, dan menyediakan selimut sesudah hujan. Malangnya, selain kelalaian yang amat jelas dalam hal ini, masalah ko-ordinasi dan karenah birokrasi turut menjadi halangan utama sesama mereka sehingga rakyat terus terbiar kelemasan.

Selain kelewatan menyelamatkan mangsa untuk dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kesesakan turut berlaku di beberapa PPS kerana kurangnya PPS yang disediakan. Lebih buruk apabila terdapat PPS yang tidak diberi bantuan oleh kerajaan gara-gara ia tidak diwartakan, sedangkan mangsa dihantar ke situ tanpa mengetahui yang ia diwartakan atau tidak. Apabila ada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba menghulur bantuan, ada antara mereka yang tidak dibenarkan masuk oleh pihak polis atas alasan yang tidak munasabah kononnya untuk mengelak kesesakan di tempat banjir. Padahal boleh sahaja polis membenarkan NGO tersebut masuk dan dalam masa yang sama mereka menjaga lalulintas supaya tidak berlaku kesesakan.

Perdana Menteri pula mengumumkan peruntukan segera RM100 juta kepada mangsa banjir, dan satu keluarga akan diberi RM1000. Bunyinya memang sedap didengar, tetapi realitinya mangsa memerlukan bantuan segera pada waktu itu, yakni pada waktu air sedang naik. Di mana bantuannya? Di mana bot-bot bantuan yang akan membawa mereka dari atas bumbung ke PPS? Di mana pakaian dan makanan yang mereka perlukan ketika mereka tinggal sehelai sepinggang sementara menunggu air surut? Inilah yang mereka perlukan segera, bukannya menanti pengumuman RM100 juta yang akan diberi selepas banjir, yang entah bila mereka akan dapat, dan entah mereka akan dapat atau tidak.

Di saat rakyat sedang bersabung nyawa, para menteri dan ahli politik pula sibuk mempersiapkan peraturan dan prosedur untuk mengagih bantuan. Mangsa diminta mengambil gambar rumah yang ditenggelami air, salinan kad pengenalan, bil utiliti, dan pengesahan ketua kampung diperlukan terlebih dahulu, barulah dikira layak untuk mendapat bantuan. Tidak cukup dengan prosedur tersebut, bantuan biasanya hanya akan diberikan melalui sebuah majlis rasmi yang penuh protokol yang wajib dihadiri oleh seramai mungkin jurugambar dan wartawan serta banner besar yang memaparkan gambar menteri atau ahli politik yang berkenaan.

Budaya Ikut Arahan

Antara halangan utama kelewatan atau tidak sampainya bantuan ialah kerana prosedur dan budaya “ikut arahan” yang diamalkan di Malaysia selama ini. Orang paling atas yang memberi arahan biasanya ialah orang politik yang penuh kepentingan, selain korup dan tidak tahu buat kerja. Manakala orang bawah pula hanya akan ikut dan taat kepada arahan secara membabi buta, malah tanpa mengira dosa dan pahala pun. Sudah menjadi budaya yang menjengkelkan di Malaysia ini yang orang bawah tidak akan bergerak tanpa arahan, dan mereka akan sanggup melakukan apa jua tugas, walaupun jelas haram apabila diarahkan oleh orang atas.

Kita menyaksikan di banyak tempat bagaimana orang bawah sanggup tidak solat Jumaat atas alasan menjalankan tugas dan mematuhi arahan orang atas. Kita menyaksikan di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagaimana orang bawah sanggup menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah, kerana arahan daripada orang atas. Kita menyaksikan bagaimana orang bawah sanggup menangkap para pendakwah, mengheret mereka ke mahkamah, mengenakan pelbagai tuduhan dan fitnah ke atas pendakwah, hanya semata-mata kerana mematuhi arahan orang atas. Pendek kata budaya “ikut arahan” membabi buta ini sudah berkarat dan keterlaluan diamalkan di Malaysia.

Malah, kita menyaksikan bagaimana tentera kaum Muslimin tidak bergerak selangkah pun dan sanggup melihat umat Islam disembelih di Palestin, Myanmar, Xinjiang, Syria, Afrika Tengah dan lain-lain, hanya kerana mentaati arahan orang atas. Sedangkan ini semua adalah keharaman. Apa yang jelas lagi nyata ialah, orang atas yang memberi arahan itu adalah orang politik yang zalim lagi khianat kepada Allah dan Rasul-Nya, yang tidak pernah mempedulikan dosa dan pahala mahu pun nasib umat Islam, yang hidup mereka ialah untuk meraih habuan dunia serta memenuhi tembolok mereka semata-mata.

Apa yang menyedihkan ialah orang bawah ini lupa bahawa ada Dzat yang paling atas, yang wajib dipatuhi melebihi segala-galanya, dan mereka wajib mengingkari arahan orang atas mereka jika arahan tadi menyalahi arahan Dzat yang paling atas tersebut. Sesungguhnya Dzat yang paling atas itu telah pun mengingatkan kita tentang azab yang bakal menimpa orang atas dan orang bawah apabila kedua-duanya menyalahi perintah-Nya. Firman-Nya,

“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah (orang bawah yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong (orang atas yang menjadi pemimpinnya), ‘Sesungguhnya kami dahulu (di dunia) adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindar daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka (pemimpin) menjawab, ‘Kalaulah Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau kita bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri (dari azab Allah)” [TMQ Ibrahim (14):21].

Di dalam ayat lain, Dia (swt) menerangkan,

“…Dan seandainya orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksa-Nya (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu) (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti (ketua-ketua) itu berlepas diri daripada orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri daripada mereka, sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada hari ini)’. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi penyesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari (azab) neraka” [TMQ al-Baqarah (2):165-167].

Inilah balasan untuk orang atas dan orang bawah, jika mereka mahu mengambil pelajaran. Sesungguhnya kerajaan pada hari ini telah gagal dan lalai dalam menjalankan amanah. Jika sebelum ini ada sebuah parti Islam yang begitu lantang memuhasabah pemerintah kerana gagal menguruskan bencana dan gagal menerapkan Islam, pada hari ini parti Islam tersebut telah hanyut bersama dengan pemerintah dan turut sama dalam kezaliman serta kelalaian, yang sudah pasti mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Sesungguhnya tanggungjawab pemerintah adalah untuk menjaga dan memelihara rakyat, dan mereka akan dipersoalkan oleh Allah darihal pemeliharaan tersebut. Kejadian banjir ini telah memperlihatkan kepada kita akan kezaliman dan kelalaian pemerintah secara terang-terangan. Kita harus sedar bahawa hal ini sebenarnya telah lama terjadi, dan ia terjadi secara berulang-ulang di depan mata kita. Maka anggaplah bahawa banjir ini merupakan “teguran” daripada Allah agar kita semua kembali ke jalan yang benar, menolak pemerintah yang zalim, lalai dan gagal, serta berusaha untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam, Khilafah di atas jalan kenabian, yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Khatimah

Sesungguhnya kezaliman dan pengkhianatan terhadap amanah pemerintahan, telah dilakukan oleh pemerintah pada hari ini dalam segenap aspek, dan kezaliman mereka yang paling besar ialah tidak menerapkan hukum Allah. Walaupun mereka mungkin selamat dan hidup mewah dengan segala harta, jawatan dan pangkat yang mereka bolot semasa berkuasa di dunia ini, namun semua itu tidak lama, kerana mereka akan pasti kembali kepada Tuhan mereka, dan Tuhan mereka hanya menyediakan dua tempat kembali sahaja. Firman-Nya,

“Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali” [TMQ asy-Syua’ra’ (26): 227].

Wallahu a’lam.

 

Download PDF