SN592 – Pilihan Raya Demokrasi: Menguntungkan Siapa?

SN592

11 Mac 2022 M / 08 Sya’ban 1443 H

 

Setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kini giliran Johor pula mengadakan PRN sebagai kesinambungan kepada pesta demokrasi yang bakal menghanguskan jutaan ringgit, wang yang seharusnya diguna untuk kemaslahatan rakyat. Isu aktiviti umum yang dulunya dikatakan membahayakan nyawa rakyat kini sudah tidak timbul. Pelbagai fatwa yang sebelum ini dikeluarkan melarang aktiviti berkumpul atas alasan membahayakan nyawa juga sudah tidak lagi relevan. Wabak Covid-19 yang masih belum berakhir ini telah menjadi soal kedua dan sudah tidak lagi sebahaya mana. Kepentingan politik dan ketamakan kuasa mengatasi segala-galanya, sehingga mereka yang positif Covid sekali pun kali ini dibenarkan untuk keluar mengundi. Pelanggaran Standard Operating Procedure (SOP) semasa kempen usah cerita. Inilah realiti politik Malaysia, sebuah politik yang dikawal oleh golongan kayangan untuk kepentingan mereka, politik yang sangat jauh daripada Islam, penuh kepentingan, double standard dan berasaskan manfaat sebagaimana ajaran penjajah yang ditanam di Tanah Melayu bekas jajahan mereka ini.

Persoalannya, apakah PRN Johor ini dibuat demi kepentingan rakyat, atau hanya untuk kepentingan golongan elit yang berkuasa? Apakah faedah atau manfaat yang bakal diperolehi oleh rakyat dengan PRN ini? Telah berlalu tiga PRN dalam tempoh terdekat iaitu PRN Sabah, Melaka dan Sarawak, sejauh manakah rakyat telah menikmati manfaat hasil kesemua PRN tersebut? Adakah nasib rakyat Sabah, Melaka dan Sarawak telah berubah dan terbela? Apa yang jelas dan pasti, setiap pilihan raya hanya akan memberi faedah kepada parti dan calon yang menang. Kedudukan rakyat tetap sama, tetap tidak berubah – yang miskin tetap miskin dan yang susah tetap susah. Namun parti dan calon yang menang semakin kaya, semakin berkuasa, semakin angkuh dan sombong. Inilah realiti pilihan raya di Malaysia sejak dulu hingga kini.

Sedikit Realiti Pilihan Raya Demokrasi

Apa yang sangat ketara mengenai pilihan raya dalam sistem demokrasi ialah ia dipenuhi dengan segala bentuk kecurangan, rasuah, penipuan, fitnah-memfitnah, caci-maki, permusuhan, perbalahan dan sebagainya hatta ada yang membawa kepada pembunuhan. Pendek kata, tidak pernah ada pilihan raya yang bersih dalam sistem demokrasi. Malaysia menyaksikan himpunan “Bersih” secara besar-besaran yang terjadi selama beberapa tahun lepas dalam rangka membersihkan pilihan raya, namun akhirnya ia tetap kotor dan orang-orang yang cuba membersihkannya terus “kalah” dalam keletihan.

Oleh kerana biaya yang begitu besar dalam pilihan raya, maka realitinya hanya orang-orang kaya atau yang dibiayai oleh taikun-taikun sahaja yang mampu bertanding. Mustahil dijumpai orang-orang miskin yang menjadi calon, walaupun orang miskin tersebut adalah seorang yang dihormati, dikenali ramai, memiliki ciri-ciri dan keperibadian kepimpinan yang melayakkannya untuk menjadi calon. Jika wang pertaruhan sahaja sudah tidak mampu dibayar, bagaimana mungkin untuk ia membayar biaya kempen dan lain-lain?

Memandangkan kos pilihan raya yang begitu besar yang terpaksa ditanggung oleh parti dan calon yang bertanding, maka sudah menjadi rahsia umum dalam sistem kapitalisme pada hari ini, baik di negara Barat mahu pun di negara kaum Muslimin, terdapat sejumlah kapitalis yang mendanai parti-parti yang bertanding. Atas dasar itu, apabila parti-parti yang didanai oleh kapitalis ini menang, maka segala undang-undang, peraturan dan polisi yang digubal oleh mereka, akan sentiasa memihak serta menjaga kepentingan para kapitalis ini.

Begitu juga dengan segala projek dan kekayaan negara, akan “dialirkan” kepada kapitalis ini sebagai “membalas budi” atas dana yang telah dikeluarkan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa keseluruhan pemerintahan dan polisi negara sebenarnya dipengaruhi oleh golongan kapitalis, yang telah “memegang” parti-parti yang memerintah. Para kapitalis inilah sebenarnya yang paling banyak menikmati keuntungan dalam setiap pilihan raya. Manakala rakyat, khususnya para penyokong ibarat ayam menang kampung tergadai.

Dalam setiap kali pilihan raya juga, tidak kiralah PRN atau PRU, rakyat sering diperbodohkan, diberi janji-janji palsu mengenai perubahan, dan disogokkan dengan sehelai kain pelikat atau sekampit beras atau sebuah basikal, atau sejumlah kecil wang dan lain-lain, bagi memilih parti dan calon yang bertanding. Sogokan seperti ini biasanya mendatangkan hasil yang lumayan apabila diberlakukan ke atas para pengundi luar bandar. Pendek kata, mata rakyat dikelabui dengan sedikit habuan, manakala habuan yang bakal diperolehi oleh calon yang menang berjuta kali ganda daripada apa yang telah mereka laburkan semasa kempen.

Rakyat juga sering tertipu dengan sistem demokrasi bahawa calon yang mereka pilih itu dikatakan sebagai “wakil rakyat”. Sedangkan hakikatnya calon-calon tersebut hanyalah “wakil parti”. Mereka sebenarnya dilantik oleh parti, dibiayai oleh parti, berkempen untuk parti dan mewakili parti. Atas dasar itu, apabila mereka menang, mereka akan taat dan tunduk kepada parti dalam segala tindak-tanduk mereka. Begitu juga dengan segala pembahasan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, mereka hanya membawa suara parti, mempertahankan parti, membawa keputusan parti dan sebagainya. Pendek kata segala yang mereka lakukan adalah demi kepentingan parti, bukannya demi kepentingan rakyat.

Itu belum mengambil kira “wakil rakyat” yang kaki ponteng, atau yang pergi ke DUN / Parlimen tetapi tidur di dalam dewan, tidak mengambil bahagian dalam pembahasan, bergaduh dalam hal yang remeh-temeh, mempamerkan akhlak buruk serta kebodohan melampau dalam pembahasan. Hal ini bukan lagi satu rahsia kerana semua orang boleh menyaksikan pembahasan dan gelagat wakil mereka yang disiarkan secara langsung mahu pun rakaman. Apa pun yang mereka lakukan (atau tidak lakukan), mereka tetap mendapat gaji yang cukup lumayan setiap bulan, manakala rakyat hanya berputih mata.

Melihat Daripada Perspektif Islam

Tidak ada siapa pun yang dapat menafikan bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi menelan belanja yang sangat tinggi, tidak kiralah pilihan raya di peringkat negeri atau lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan, dan tidak kiralah di Malaysia atau di mana-mana negara yang mengamalkan sistem kufur ini. Untuk PRN Johor kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kosnya sebanyak RM96 juta. Dari mana lagi wang yang digunakan kerajaan untuk kos pilihan raya ini, jika bukan daripada rakyat?

Apa yang pasti, kos yang luar biasa besarnya itu, baik yang datangnya daripada kerajaan mahu pun daripada parti, digunakan untuk tujuan menghantar calon ke DUN / Parlimen, untuk mengambil hak Allah (swt) sebagai al-Musyarri’ (Pembuat hukum). Tugas calon ini ialah membuat undang-undang, yang diharamkan oleh Allah (swt). Inilah realiti dan fungsi pilihan raya dalam sistem demokrasi, di negeri atau negara mana pun ia diadakan. Maka segala wang yang dihamburkan itu amat jelas merupakan sebuah pembaziran.

Selain pembaziran wang, pilihan raya juga melibatkan pembaziran masa, tenaga dan potensi umat Islam, khususnya ahli-ahli parti dan para penyokong mereka yang bertanding. Masa dan keringat umat dikerah dan diperah habis-habisan, bukannya untuk kepentingan Islam, tetapi untuk kepentingan parti atau calon demi merebut sebuah kerusi. Sungguh menyedihkan apabila melihat ahli-ahli dan penyokong parti ini hanya cukup “disuap” dengan sekotak rokok untuk dimanfaatkan masa dan tenaga mereka sehabisnya untuk tujuan yang menyalahi Islam.

Kita menyaksikan juga bagaimana parti Islam kehilangan jati diri akibat terjebak dalam permainan pilihan raya demokrasi ciptaan Barat ini. Parti Islam yang terlibat dalam pilihan raya ternyata telah kehilangan roh serta perjuangan Islam, apatah lagi apabila berjaya berada di kerusi pemerintahan. Kita menyaksikan di banyak negara kaum Muslimin bagaimana parti-parti Islam bersekongkol dengan parti sekular dan akhirnya menggadai Islam yang mereka perjuangkan. Alih-alih ingin mengIslamkan parti sekular, sebaliknya merekalah yang berjaya disekularkan oleh parti sekutu mereka.

Lebih ironi, apabila parti-parti Islam ini berjaya duduk di kerusi pemerintahan, mereka hanya mengekalkan sistem sekular dan bertukar menjadi orang-orang yang hanya mementingkan duniawi. Lihat sahaja di Malaysia apabila parti Islam berjaya menjadi pemerintah, tidak ada satu hukum Islam pun yang mereka usaha untuk terapkan, walaupun sebelumnya mereka begitu lantang melaungkan tentang penerapan syariat Islam.

Semasa berkempen di Johor baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8, dalam ceramahnya menyatakan secara terus terang bahawa parti Islam yang pernah bersamanya dalam pemerintahan tidak pernah berbicara mengenai soal “potong-potong” (hudud). Tanpa kenyataan daripada bekas Perdana Menteri itu pun, semua orang sudah tahu bahawa perjuangan untuk melaksanakan hudud sebenarnya telah lama ditinggalkan. Akhirnya parti Islam yang memerintah hanya menjadi penerus kepada sistem sekular dan mengukuhkan lagi segala kebatilan yang lahir daripada undang-undang ciptaan penjajah, dalam negara.

Ala kulli hal, apa yang sangat penting untuk difahami oleh setiap Muslim ialah pilihan raya dalam sistem demokrasi tidak akan menghasilkan penerapan Islam. Selain hakikat dan fakta bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi bukanlah “direka” untuk menerapkan Islam atau memartabatkan Islam, sudah terbukti sebanyak 14 kali PRU dalam tempoh lebih 60 tahun bahawa sistem Islam tidak pernah diterapkan oleh parti mana pun yang menang. Malah tidak pernah diusahakan untuk diterapkan oleh parti mana pun yang memerintah! Sejak merdeka hingga kini, realitinya parti yang memerintah hanya mengekalkan status quo sistem kufur penjajah di negara ini.

Apa yang tidak kurang pentingnya untuk diketahui oleh setiap Muslim ialah, pilihan raya di negara ini tidak lepas daripada campur tangan Barat! Hal ini didedahkan dan diakui sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI) yang berpusat di Washington, Daniel Twining bahawa mereka membantu parti pemerintah dan pembangkang di Malaysia sejak tahun 2002 lagi, bagi memperkuatkan kedudukan masing-masing dalam pilihan raya. Kenyataan ini tidak pernah dinafikan oleh mana-mana parti politik di Malaysia. Jika kuffar Amerika telah campur tangan, apa lagi yang dapat kita harapkan daripada pilihan raya di negara ini?

Rakyat Malaysia telah berusaha melakukan perubahan melalui tsunami politik pada PRU14. Namun setelah Barisan Nasional (BN) tumbang dan diganti dengan Pakatan Harapan (PH), ternyata rakyat terus tertipu. Rakyat ditipu dengan manifesto PH yang diakui sendiri oleh PH sebagai sebuah janji politik untuk memenangi hati rakyat untuk memilih mereka sahaja, bukannya sebuah janji untuk dilaksanakan. Rakyat, khususnya para pengundi, kemudian dikhianati dengan “Langkah Sheraton” yang menyaksikan Muhyiddin Yassin naik ke takhta pemerintahan. Muhyiddin kemudian tersungkur dengan penarikan balik sokongan oleh UMNO, tetapi realitinya rakyatlah yang sekali lagi dikhianati oleh “wakil-wakil” mereka.

Kemudian berlaku PRN Sabah kerana perebutan kuasa, yang seterusnya diikuti pula oleh PRN Melaka yang juga berlaku kerana perebutan kuasa. Kini PRN Johor yang juga tidak lari daripada ketamakan kuasa. Melalui pilihan raya, elit-elit politik mendapat kuasa dan jawatan serta mengaut segala hasil-mahsul negeri dan negara, manakala rakyat yang mengundi mereka terus terlopong.

Atas dasar itu, setiap Muslim harus bertanya siapakah yang sebenarnya untung atau mendapat manfaat daripada setiap pilihan raya? Apakah harapan setiap Muslim dalam pilihan raya dan apakah harapan tersebut tercapai? Lebih penting, setiap Muslim harus bertanya apakah pilihan raya dalam sistem demokrasi ini bertepatan dengan Islam atau tidak? Apakah Islam telah dimartabatkan selepas setiap kali pilihan raya? Apakah hukum Allah (swt) telah diterapkan selepas setiap kali pilihan raya? Semua ini merupakan “persoalan syarie” yang perlu dijawab oleh setiap Muslim, di samping memiliki kesedaran bahawa setiap undi akan ditanya dan dihisab oleh Allah (swt) di akhirat.

Khatimah

Selain berfikir mengenai persoalan siapakah yang diuntungkan melalui pilihan raya, umat ini harus berfikir mengenai masa depan mereka dan generasi anak-cucu mereka. Selama manakah mereka sanggup ditipu oleh demokrasi dan pilihan raya? Jika mereka masih mengharapkan perubahan melalui pilihan raya, mereka harus sedar bahawa berdasarkan sejarah dan realiti di depan mata, apa yang didambakan itu hanyalah sebuah ilusi. Satu-satunya jalan perubahan yang syarie lagi terbukti dalam sejarah ialah jalan perjuangan yang telah dirintis oleh Rasulullah (saw), yang wajib kita ikuti.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF