SN594 – “Perempuan Itu” vs “Sistem Itu”

SN594

25 Mac 2022 M / 22 Sya’ban 1443 H

 

Lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk menyambut Ramadhan, negara ini telah “dicemari” dengan keluarnya sebuah video klip yang memaparkan aksi jelik dua orang pelakon. Drama yang bertajuk “Perempuan Itu” telah menjadi perdebatan hangat sehingga memaksa menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersuara. Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengambil perhatian serius isu sedutan video drama yang tular di media sosial itu.. “Berdasarkan penelitian, Jabatan ini menentang keras penyiaran program seumpama ini yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, salah seorang pelakonnya dilaporkan telah dipanggil dan sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dilaporkan berkata, pelakon tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana “posting” YouTube yang menyalahi undang-undang.

Umum mengetahui bahawa baik di dunia nyata mahu pun dunia lakonan, artis merupakan golongan yang terkenal dengan gaya hidup hedonistik. Justeru, lahirnya drama seperti “Perempuan Itu” sebenarnya bukanlah suatu yang mengejutkan dilihat daripada gaya hidup artis itu sendiri. Penerimaan dan kegilaan masyarakat terhadap dunia artis memburukkan lagi keadaan tersebut. Berapa banyak pihak yang “mendewa-dewakan” artis dan menjadikan artis sebagai idola hidup mereka. Hal inilah yang menyebabkan golongan artis ini terus aktif dan semakin menjadi-jadi “kegilaan” mereka dalam dunia seni. Jika mereka gagal mengejar populariti dengan cara yang “baik”, maka mereka beralih ke cara yang “buruk” di mana mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar populariti. Inilah lumrah dan kitaran hidup mereka, yang sudah mendarah daging sejak mereka mula menceburi dunia seni.

Berapa banyak artis yang telah melakukan perkara-perkara jelik, yang bukannya mereka tidak tahu bahawa hal itu akan mengundang kemarahan masyarakat, namun sengaja dilakukan untuk meraih populariti. Setelah nama mereka “naik”, maka untuk meredakan kemarahan, mereka memohon maaf secara terbuka. Hal seperti ini sudah terjadi berulang-ulang pada ramai artis, dan ternyata menjadi sebuah strategi yang berkesan untuk mereka menjadi lebih popular.

Hukum Berlakon

Sungguh menyakitkan apabila muncul video tidak senonoh di saat persiapan kita menyambut Ramadhan dan di kala kita berdoa kepada Allah agar menyampaikan kita ke bulan yang penuh kemuliaan. Jika ahli politik sudah terkenal dengan sikap mereka yang tidak bermaruah dan tidak tahu malu dengan melakukan segala keburukan tanpa mengambil kira hukum syarak, begitulah juga dengan sebahagian artis yang tidak sedikit daripada mereka memiliki sikap yang sama – betul-betul tidak bermaruah dan tidak tahu malu dalam melakukan dosa dan kemaksiatan!

Di saat banyak pihak membicarakan mengenai adegan yang menjolok mata dalam drama “Perempuan Itu” yang dilihat bertentangan dengan syarak itu, kami ingin memaparkan di sini jawapan Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah mengenai hukum berlakon dalam sesebuah filem atau drama. Ia merupakan jawapan kepada dua soalan yang hampir sama yang ditujukan kepada beliau, yang telah kami olah dan rangkumkan seperti berikut:-

{Filem dan drama dilihat daripada realitinya sekarang, secara syarienya tidak diperbolehkan, kerana ia mengandungi unsur-unsur penipuan, ikhtilath (percampuran antara lelaki-perempuan), pendedahan aurat khususnya dalam situasi seorang lelaki dan wanita berlakon sebagai suami-isteri atau adik-beradik atau saudara-mara, sedangkan mereka hakikatnya bukan mahram. Aurat wanita terdedah begitu sahaja dalam situasi (lakonan) ini. Pelanggaran terhadap hukum syarak banyak sekali terjadi dalam setiap filem atau babak. Atas dasar itu, secara syarienya, filem dan drama tidak diperbolehkan menurut Islam. Apa yang lebih buruk dan lebih dahsyat lagi dari sudut pelanggaran syarak ialah apabila adanya orang yang melakonkan watak para Nabi dan juga Sahabat. Sungguh, mereka sudah tidak mempunyai rasa takut dan malu kepada Allah (swt).

Pelanggaran terhadap hukum syarak dalam sesebuah filem atau drama boleh diperincikan seperti berikut:

(1) Penipuan – Penipuan berlaku di mana seseorang berlakon menjadi orang lain dan bercakap dengan ucapan orang lain tersebut (orang yang dia lakonkan) seolah-olah dialah orang itu. Hatta jika dia perlu melafazkan sumpah begitu dan begini dalam menjayakan wataknya, maka dia akan bersumpah. Bahkan lebih daripada itu, dia akan melafazkan talak melalui lisannya, jika lakonannya memerlukan sedemikian. Padahal dari segi hukum, seseorang akan dipertanggungjawabkan (dihisab) oleh Allah (swt) dengan apa jua perkataan yang keluar daripada mulutnya, apatah lagi jika ucapan yang menipu, meskipun apa yang diucapkannya itu hanyalah sebuah gurauan. Firman-Nya: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas (Raqib Atid) yang selalu hadir” [TMQ Qaf (50): 18].

(2) Ikhtilath – Dalam sesebuah filem atau drama, berlakunya ikhtilath antara lelaki dan wanita tanpa ada keperluan yang dibenarkan oleh syarak. Keharaman akan hal ini amat jelas sehingga tidak memerlukan pembahasan lagi.

(3) Pendedahan aurat – Hal ini terjadi dengan sangat nyata tatkala seorang lelaki ajnabi (asing) melakonkan watak sebagai seorang suami atau mahram kepada seorang wanita, atau sebaliknya seorang wanita ajnabi melakonkan watak sebagai seorang isteri atau mahram kepada seorang lelaki. Mereka mendedahkan aurat (di dalam filem atau drama) sebagaimana watak yang mereka lakonkan, padahal mereka hakikatnya bukan mahram, dan wajib menutup aurat di hadapan satu sama lain. Lebih buruk lagi apabila terjadinya hal yang bukan sahaja mendedahkan aurat bahkan berpegangan tangan, bersentuhan, berpelukan, berciuman atau adegan ranjang.

Sangat jelas bahawa berlakunya pelanggaran syarak yang nyata dalam hal ini, dan lebih besar serta lebih berat lagi tatkala adanya filem atau drama yang melakonkan watak Nabi. Sesungguhnya Nabi itu telah dipilih oleh Allah (swt) dengan anugerah kenabian dan kerasulan. Itu merupakan keistimewaan khusus bagi mereka sahaja, dan tidak untuk manusia lain. Maka siapa pun daripada kalangan manusia biasa yang melakonkan watak Nabi atau Rasul yang diberi wahyu, hal itu merupakan pelanggaran terhadap sebuah pengutusan, dan tidak meletakkan kenabian pada haknya, serta tidak meletakkan pengutusan di tempatnya. Ini merupakan kezaliman besar terhadap Rasul berikut pengutusannya. Ini belum mengambil kira adegan-adegan lain yang bertentangan dengan syarak yang terdapat di dalamnya seperti ikhtilath dan sebagainya seperti mana yang dinyatakan.

Atas dasar itu, filem dan drama yang mengandungi unsur-unsur tersebut tidak diperbolehkan.

Adapun mengenai persoalan bagaimanakah sikap Daulah al-Khilafah dalam hal ini ketika ia telah tegak nanti dengan izin Allah, maka kami katakan bahawa Daulah al-Khilafah tidak akan mengizinkan apa jua filem dan drama yang menyimpang daripada hukum syarak. Adapun rincian mengenai hal ini, dan bagaimana hal ini diuruskan pada waktu tersebut, maka kami akan merincinya apabila tiba waktunya, Insya Allah. Saya berharap jawapan ini mencukupi.

Nota: Kepada saudara-saudara yang memberikan komen ke atas Soaljawab mengenai hukum menonton di mana mereka mengatakan bahawa jawapan ini adalah tentang hukum terkait filem dan drama, dan bukannya terkait hukum menonton, maka saya katakan: Saya mencukupkan diri dengan jawapan mengenai keharaman filem dan drama yang disebutkan dalam pertanyaan, yakni realiti seseorang yang melakonkan para Nabi dan Sahabat, dan saya katakan sesungguhnya ini tidak boleh dan bahawa Daulah al-Khilafah pada saat berdirinya nanti akan melarangnya.

Di situ saya tidak menjawab mengenai hukum menonton (filem Nabi dan Sahabat), tetapi saya serahkan masalah ini kepada para penanya agar berijtihad di dalamnya atau bertaklid kepada seorang Mujtahid muktabar yang ijtihadnya menenteramkan si penanya. Dengan kata lain, saya tidak merajihkan satu pendapat dalam topik tersebut. Saya berharap hal ini jelas. [Tamat – 25/12/2019].

Ada pun pada hukum gambar bergerak (animasi) untuk kanak-kanak, maka pelakon berbicara atas nama mainan (kartun) atau haiwan atau semacamnya, untuk menghibur kanak-kanak. Saya memandang hal ini sebagai hal yang mubah (harus) dan tidak ada dosa atasnya. Ini kerana pelakon itu bukannya berbicara dengan ucapan manusia yang dia watakkan (kerana tidak wujud watak manusia yang sebenar). Akan tetapi ia berbicara atas nama mainan (kartun) untuk tujuan menghibur kanak-kanak. Amat jelas bahawa kartun tersebut (samada ada kartun orang, haiwan, tumbuh-tumbuhan, kenderaan dan sebagainya) itu tidak berbicara, sehingga fakta penipuan tidak berlaku di situ. Semua itu merupakan hiburan untuk kanak-kanak sebagaimana hiburan mereka dengan mainan-mainan mereka seperti anak patung, kenderaan dan sebagainya. [Tamat – 23/07/2013]}.

Sistem Yang Rosak

Fakta yang tidak dapat dinafikan ialah gaya hidup Barat telah menyusup masuk ke dalam tubuh umat Islam dalam segenap aspek termasuklah aspek perfileman. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa gaya hidup artis merupakan “contoh terbaik” untuk kita melihat bagaimana gaya hidup Barat merajalela dalam dunia umat Islam. Hidup mereka hanya untuk meraih keseronokan, populariti dan kebebasan. Atas dasar itu tidak hairanlah jika keluarnya drama seperti “Perempuan Itu” dan banyak lagi filem atau drama lain yang seumpamanya.

Sesungguhnya Industri perfileman yang ada pada hari ini telah lama dan telah banyak merosakkan generasi umat Islam. Hal ini wajar sahaja kerana suatu keharaman itu tidak akan pernah menghasilkan kebaikan. Sungguh malang apabila pihak berkuasa agama hanya mampu melihat bahawa adegan-adegan panas sahaja yang menyalahi hukum syarak, bukannya hukum berlakon itu sendiri, dan bukannya industri perfileman yang sudah terpengaruh dengan Barat itu sendiri.

Industri perfileman yang sudah rosak ini tidak dapat dipisahkan daripada pengaturan negara, kerana realitinya negaralah yang mengatur semua ini. Negaralah pihak yang berkuasa dalam membolehkan atau tidak membolehkan pengeluaran sesebuah filem dan segala adegan yang ada di dalamnya. Negara yang mengamalkan sistem demokrasi membolehkan semua ini kerana terdapat jaminan kebebasan di dalamnya. Di Barat sebagai contoh, umum sudah mengetahui yang mereka boleh menghasilkan apa sahaja filem termasuklah filem yang menghina Islam, menghina Al-Quran, menghina Rasulullah (saw) dan menghina Allah (swt), kerana ia termasuk dalam jaminan kebebasan bersuara (freedom of speech).

Dalam demokrasi juga terdapat kebebasan bertingkah laku (personal freedom), yang membenarkan setiap penganutnya melakukan apa sahaja selama mana ia adalah atas kerelaan sendiri. Atas dasar itu, filem porno tidak menjadi masalah dalam demokrasi kerana para pelakonnya melakukan perzinaan secara suka sama suka. Apalah sangat jika hanya adegan membuka aurat, berpegangan tangan, bercium atau berpelukan antara lelaki dan perempuan, maka hal ini sah-sah sahaja, kerana semua ini termasuk dalam personal freedom yang dijamin oleh demokrasi.

Di sinilah kita perlu faham bahawa “Perempuan Itu” hanyalah salah satu simptom yang lahir daripada sebuah sistem. Itulah sistem yang diwariskan oleh kafir British di negara ini selaku bekas tanah jajahannya. Itulah sistem yang selama ini telah meletakkan martabat manusia lebih rendah daripada haiwan. Itulah sistem yang selama ini telah merosakkan umat Islam.

Khatimah

Satu demi satu musibah yang dahsyat telah menimpa negara ini sejak munculnya wabak Covid-19 kira-kira dua tahun yang lalu. Di bidang politik menyaksikan perebutan dan kegilaan kuasa yang luar biasa oleh para politikus demokrasi; di bidang ekonomi menyaksikan ketidakstabilan dan penderitaan yang amat parah khususnya dalam kalangan rakyat; di bidang pendidikan menyaksikan kecelaruan sistem pembelajaran yang sangat menyulitkan dan meresahkan para pendidik, pelajar dan juga ibu bapa, dan banyak lagi musibah lainnya. Semua musibah ini tidak boleh lepas daripada sistem demokrasi yang diterapkan. Satu-satunya jalan keluar ialah dengan kembali berhukum dengan hukum Allah di bawah naungan negara Khilafah.

Wallahu a’lam.

 

Download PDF