SN613 – Kewajipan Parti Politik Mendirikan Negara Islam
SN613
19 Ogos 2022 M / 21 Muharam 1444 H
Pada waktu runtuhnya Khilafah di Turki pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), umat Islam di beberapa belahan dunia ternyata tidak tinggal diam, walaupun kondisi mereka saat itu sudah sangat lemah dan terpecah-belah. Terdapat gerakan Khilafat di India yang bersungguh-sungguh menyeru dan menggerakkan kaum Muslimin agar bangkit untuk mengembalikan institusi politik agung umat Islam yang baru sahaja runtuh itu. Nun jauh di Indonesia lebih banyak lagi gerakan Islam yang bangkit dan menyeru umat Islam ke arah mengembalikan Khilafah sehingga memunculkan Kongres Umat Islam yang menggabungkan usaha yang serius ke arah tersebut.
Malangnya kesemua usaha gerakan Islam menemui kegagalan kerana kedudukan umat Islam sendiri yang sudah terpukul dengan cukup parah hasil penjajahan fizikal dan minda oleh Barat. Namun umat ini tidak pernah putus asa dalam perjuangannya sehingga tertubuhlah Ikhwanul Muslimin di Mesir yang berusaha membangkitkan kembali umat Islam. Melalui perjuangannya yang panjang dan penuh liku, mereka akhirnya mencapai kemenangan di era Arab Spring setelah tumbangnya diktator Husni Mubarak. Malangnya Ikhwanul Muslimin tidak mengisytiharkan pendirian sebuah Negara Islam (Khilafah), sebaliknya hanya mengekalkan pemerintahan sekular Mesir, dan akhirnya pemerintahan mereka digulingkan oleh Fatah al-Sisi dengan dukungan Amerika.
Sebelum kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Islamic Salvation Front (FIS) telah berjaya dalam pilihan raya demokrasi di Aljazair. Namun sebelum sempat bernafas, FIS terus “dihabisi” dengan kejam oleh Perancis. Hamas juga berjaya mencapai kemenangan dalam pilihan raya di Palestin, namun kemudian tidak diiktiraf oleh Barat dan akhirnya tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku ke atas umat Islam. Seketika munculnya Al-Qaeda yang berjuang melawan penjajahan Barat, namun gerakan bersenjata tersebut seolah-olah hilang daripada radar setelah kontroversi kematian pemimpinnya Osama bin Laden di tangan Amerika.
Kemunculan gerakan-gerakan tersebut, tanpa mengira sama ada mereka bergerak di bidang politik, ketenteraan atau kedua-duanya, setidaknya telah meletakkan satu harapan kepada umat Islam untuk melihat berlakunya perubahan melalui perjuangan mereka, apatah lagi di saat mereka mencapai kemenangan. Malah umat Islam pernah meletakkan harapan kepada ISIS setelah ISIS mengisytiharkan kemenangan dan berdirinya Khilafah, sehinggalah umat Islam mengenali siapakah ISIS.
Terbaru, setelah 20 tahun perjuangan, umat Islam mendapat berita gembira bahawa Taliban telah berjaya mengalahkan Amerika di bumi Afghanistan, sehingga negara Uncle Sam tersebut terpaksa keluar daripada Afghanistan dengan cukup memalukan. Umat Islam menaruh harapan yang lebih besar melalui Taliban, dan ia memang wajar kerana Taliban bukan sahaja terkenal dengan identiti Islam, malah telah berjaya mengalahkan super power dunia. Taliban juga sebelumnya telah berjaya mengalahkan Rusia, dan sebelumnya lagi berjaya mengalahkan Britain yang kedua-duanya merupakan kuasa besar dunia. Maka sangat wajar untuk umat Islam menaruh harapan yang tinggi pada Taliban, untuk melihat kebangkitan semula Islam di akhir zaman ini. Sayangnya Taliban mengisytiharkan pemerintahan Emiriah, dan menolak pemerintahan Khilafah, sebuah pemerintahan Islam yang seharusnya diisytiharkan oleh Taliban!
Manakala di Malaysia pula, ada parti Islam yang berjaya naik ke pemerintahan walaupun melalui jalan yang kontroversi, yang mana umat Islam juga menaruh sedikit harapan untuk melihat adanya kebangkitan Islam. Malangnya ia terus larut dalam pemerintahan sekular bersama sekutu-sekutunya. Setelah melihat satu per satu gerakan Islam yang telah diberi peluang oleh Allah dengan kemenangan, tetapi akhirnya gagal memartabatkan Islam, maka harapan umat Islam hanya tinggal harapan!
Kewajipan Menegakkan Khilafah
Sejak runtuhnya Khilafah, ternyata wujud banyak gerakan Islam yang cuba merubah nasib umat Islam, dan berusaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam, walaupun dengan cara masing-masing yang berbeza antara satu sama lainnya. Namun realitinya, masalah umat Islam tidak juga selesai hingga kini. Puncanya antara lain ialah kerana gerakan-gerakan Islam tersebut pada hakikatnya tidak mengerti cara membangkitkan umat dengan benar, malah ada yang tidak tahu apakah tugas dan peranan mereka yang sebenar sebagaimana digariskan oleh Islam.
Sesungguhnya peranan parti politik sangat besar dalam Islam. Malah, perintah mengenai kewujudan dan fungsinya diterangkan di dalam Al-Quran itu sendiri. Firman Allah (swt):
“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada kemakrufan serta mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali Imran (3): 104].
Berdasarkan ayat ini, sangat jelas bahawa apa yang dituntut oleh syariat itu bukan semata-mata kewajipan adanya (sekurang-kurangnya) sebuah parti Islam di tengah-tengah kaum Muslimin, tetapi lebih daripada itu adalah adanya parti yang mampu melaksanakan tugasnya.
Melalui ayat di atas juga kita dapat memahami bahawa dalam usaha untuk menjalankan kewajipan menyeru kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar, sesebuah parti Islam itu sendiri hendaklah terlebih dahulu memiliki sejumlah pemikiran dan hukum-hukum syariat yang diperlukan bagi menjalankan fungsinya di tengah-tengah umat untuk mendakwahkan Islam. Lebih daripada itu, parti Islam tersebut hendaklah menjadi ejen perubah masyarakat, berusaha merubah sistem dan undang-undang yang rosak, dan seterusnya melakukan istikhlaf (transformasi kekuasaan) dalam rangka mencapai tujuannya.
Kita semua tahu bahawa Allah (swt) telah membebankan banyak kewajipan ke atas umat Islam. Ada di antara kewajipan-kewajipan tersebut yang terbeban di atas bahu setiap individu, ada yang terbeban di atas bahu sesebuah kelompok, dan ada yang terbeban di atas bahu pemerintah (negara). Bagi kewajipan yang terbeban di atas bahu setiap individu seperti solat, puasa, zakat, haji, menuntut ilmu, berbuat baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan sebagainya, maka hal ini dapat dilakukan dengan mudah.
Namun terdapat kewajipan ke atas individu yang lebih sukar untuk dilakukan, tetapi tetap mampu dilakukan, dan pahalanya sudah pasti lebih besar, iaitu kewajipan yang terbeban di atas bahu seorang Khalifah (Ketua Negara Islam). Di atas bahunya terletak taklif (bebanan) untuk menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah dalam pemerintahannya.
Dalam konteks ini, apa yang sangat penting untuk difahami oleh setiap Muslim ialah, dalam keadaan tiadanya Khalifah dan tiadanya Negara Islam, maka kewajipan akan terbeban ke atas pundak setiap individu Muslim untuk mewujudkannya, agar hukum Allah (swt) secara kaffah tadi dapat dilaksanakan.
Manakala usaha untuk menegakkan Negara Islam tidak mungkin dapat dilakukan oleh seorang atau dua orang atau 10 orang Muslim, tetapi memerlukan penglibatan seramai mungkin Muslim yang bersatu dalam sebuah gerakan (parti politik) bagi merealisasikan kewajipan tersebut. Nah, di sinilah munculnya satu lagi kewajipan ke atas parti politik Islam (selain yang termaktub dalam ayat di atas), iaitu kewajipan untuk menegakkan Negara Islam (Khilafah).
Kewajipan untuk menegakkan Negara Islam oleh sesebuah parti politik juga terhasil daripada kaedah syarak ma la yatimmu al-wajib illa bihi fa hua wajib (“selama suatu kewajipan tidak dapat terlaksana kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya wajib”). Berdasarkan kaedah ini, kewajipan mendirikan Negara Islam tidak akan dapat terlaksana tanpa adanya sebuah parti politik, maka kewujudan sebuah parti politik untuk menegakkannya adalah wajib.
Rentetannya, menjadi kewajipan pula bagi setiap individu Muslim untuk bersama-sama dengan sebuah parti politik yang berjuang untuk menegakkan Khilafah, kerana selagi kewajipan untuk mengangkat seorang Khilafah dan mendirikan Negara Islam tidak terlaksana, taklifnya tetap berada di bahu setiap individu Muslim. Dengan kata lain, selagi Khilafah belum berdiri, menjadi fardhu ain bagi setiap Muslim untuk berusaha mendirikannya, dan untuk mendirikannya pula, setiap Muslim hendaklah bergerak di dalam sebuah parti yang berusaha untuk mendirikannya.
Dengan demikian, sangat jelas bahawa perintah Allah untuk mewujudkan sebuah parti tidak boleh dipisahkan sama sekali dengan tugas yang wajib dipikul oleh parti tersebut. Parti tersebut bukan sekadar bertugas untuk mengembangkan dakwah Islam atau melakukan tanggungjawab tabligh (menyampaikan) semata-mata, malah berkewajipan untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah di tengah-tengah kaum Muslimin melalui pendirian sebuah Negara Islam. Inilah tugas, fungsi, peranan dan tanggungjawab sesebuah parti politik Islam berdasarkan nas.
Parti Politik Islam Yang Tersasar
Malang menimpa umat ini apabila wujudnya parti-parti politik Islam yang bukan sahaja kabur dalam perjuangan mereka, malah telah jauh tersasar dari jalan yang lurus. Walaupun dengan fikrah dan thariqah yang tidak jelas, pada awalnya mereka kelihatan berkobar-kobar untuk menegakkan Islam atau Negara Islam, tetapi kemudian banyak di antara mereka yang telah tersasar sehingga ada yang menjalin kerjasama dan tahaluf dengan parti-parti sekular. Bahkan lebih buruk ada yang bersekongkol dengan parti sekular dalam sebuah pemerintahan yang tidak menerapkan Islam!
Kita di Malaysia menyaksikan di depan mata kita sendiri bagaimana parti Islam yang dulu begitu lantang menyeru dan berjuang untuk menegakkan Negara Islam, sehingga ramai di antara ahli-ahli mereka yang ditangkap dan dipenjara, tetapi mereka tetap teguh dengan perjuangan, namun kini Negara Islam bukan sahaja sudah hilang daripada kamus perjuangan mereka, sebaliknya mereka telah berganding dengan “musuh-musuh” mereka dalam sebuah pemerintahan sekular dan negara sekular yang dulunya mereka tentang habis-habisan!
Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila parti Islam sudah semakin tenggelam dalam kemewahan dunia dengan segala jawatan, pangkat dan habuan dunia yang mereka kecapi apabila bersama dengan parti sekutu mereka dalam pemerintahan sekular. Mereka juga sudah tidak segan silu menyatakan sokongan dan memuji para pemimpin yang jelas-jelas tidak menerapkan Islam, dan tanpa merasa bersalah mengeluarkan segala dalil melalui lisan-lisan mereka bagi mempertahankan kezaliman parti sekutu mereka.
Begitu juga dengan parti-parti yang berasaskan Islam di negara kaum Muslimin lainnya yang langsung sudah tidak kedengaran suara-suara mereka untuk menegakkan Negara Islam. Malah apa yang kita dengar dan saksikan ialah sebaliknya, yakni mereka sudah semakin lunak dengan pemerintahan sekular dan ada yang sanggup bergabung dengan parti-parti sekular demi habuan dunia yang sedikit.
Tersasarnya parti Islam daripada perjuangan dan daripada jalan yang lurus dan hanyutnya mereka bersama pemerintahan sekular antara lain adalah kerana tertipu dengan demokrasi. Mereka merasakan yang mereka boleh menerapkan Islam melalui jalan demokrasi, walaupun hakikatnya mereka sudah menyaksikan kegagalan demi kegagalan dalam usaha mereka. Demokrasi telah berjaya memukau mereka, dan akhirnya mereka dihinakan oleh demokrasi tanpa mereka sedar.
Atas dasar ini, parti Islam bukan sahaja perlu sedar dan kembali ke landasan yang lurus, malah mereka seharusnya membawa dan memandu umat ke jalan yang sama. Parti Islam wajib kembali berjuang untuk menegakkan Negara Islam kerana hanya ini sahajalah satu-satunya jalan perubahan untuk membangkitkan kembali umat Islam, mengembalikan kemuliaan Islam dan seterusnya meraih redha Allah (swt).
Khatimah
Sejarah emas Islam telah mencatat betapa pentingnya kewujudan Negara Islam (Khilafah) yang telah dipertahankan oleh umat Islam selama lebih 1300 tahun. Selain wajib wujudnya, Khilafah telah terbukti membawa kebangkitan kepada Islam dan umatnya dengan luar biasa. Maka wajarlah di sepanjang kewujudan Khilafah, umat Islam menjadi umat yang kuat, mulia, bersatu, maju dan disegani. Pendek kata segala kebaikan menyelimuti umat Islam tatkala mereka berada di bawah naungan Khilafah. Apa yang penting sekarang ialah untuk parti Islam sedar dan kembali bangkit serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kembali Khilafah – institusi pemersatu ummah dan penegak syariah ini. Wallahu a’lam.