SN625 – Kemelesetan Ekonomi Britain: Malaysia Terpalit

Bil: SN625 – 2 Sya’ban 1444 / 22 Februari 2023

Download PDF

Suatu ketika dulu, Britain pernah menjadi sebuah kuasa besar dunia sehingga digelar empayar yang mana matahari tidak pernah terbenam. Dari timur sehingga ke barat dunia, Empayar Britain wujud di mana-mana sehingga meliputi satu perlima dunia. Satu perempat daripada penduduk dunia pada ketika itu adalah sebahagian daripada empayar tersebut. Empayar itu juga adalah empayar yang paling kaya pernah dicatatkan di dalam sejarah peradaban manusia suatu ketika dulu. Semasa menjajah Malaya dan Utara Borneo, Empayar Britain telah mengaut begitu banyak hasil bumi di wilayah-wilayah tersebut. Di samping mereka merompak kekayaan penduduk pribumi,  Britain juga telah mengajar penduduk tanah jajahan mereka bagaimana untuk memerintah negara dan menguruskan ekonomi menurut cara Britain.

        Namun pada hari ini, hal yang sebaliknya pula berlaku. Selepas Brexit dan pandemik Covid-19, United Kingdom yang dahulunya dikenali sebagai Great Britain sedang mengalami masalah ekonomi yang serius. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, situasi menjadi semakin parah apabila berlakunya Perang Russia-Ukraine pada 2022 sehingga menyebabkan harga makanan dan harga bekalan tenaga iaitu petroleum dan gas asli naik mendadak. Inflasi meningkat begitu drastik sehingga 10.1% dan pengangguran terus meningkat. Ramai kanak-kanak mengalami kebuluran kerana ibu bapa mereka tidak mampu membeli makanan. Ketua Eksekutif Chef-Chef di sekolah-sekolah di UK, Naomi Duncan mengatakan, “Ada di kalangan kanak-kanak sangat lapar sehingga mereka terpaksa memakan getah pemadam di sekolah. Ada juga kanak-kanak yang hadir ke sekolah tanpa makan apa-apa sejak waktu makan tengah hari semalam.” (https://www.theguardian.com/business/2022/sep/25/schools-in-england-warn-of-crisis-of-heartbreaking-rise-in-hungry-children). Menurut kumpulan pengguna yang dikenali sebagai ‘Which’, berjuta-juta rakyat Britain telah mengabaikan waktu makan, ini berdasarkan tinjauan pendapat yang melibatkan seramai 3,000 orang dan didedahkan kepada umum pada Oktober lalu [Sinar Harian: 02 November 2022].

        Situasi ekonomi Britain pada ketika ini sangat buruk dengan merujuk kepada nilai pound sterling yang jatuh merudum sehingga menyebabkan kos barang-barang import semakin mahal. Begitu banyak demonstrasi jalanan telah diadakan oleh para pekerja kerajaan hampir setiap hari pada ketika ini yang melibatkan pekerja-pekerja keretapi, guru-guru sekolah sehinggalah kepada para doktor dan jururawat di hospital. Mereka menuntut agar kerajaan Britain menaikkan gaji mereka kerana kos sara hidup yang begitu tinggi.  Inilah situasi Britain pada hari ini,  yang suatu ketika dahulu pernah menjadi sebuah empayar yang terkaya tetapi sekarang rakyatnya sedang berada di dalam kebuluran dan sedang mengalami kesempitan hidup kerana tidak mampu menanggung kos sara hidup yang terlalu tinggi.

Asas Ekonomi Kapitalisme

        Kegawatan ekonomi yang sedang dialami oleh Britain pada ketika ini adalah hasil dari perlaksanaan sistem ekonomi kapitalis yang dijadikan tunjang kepada ekonomi dunia. Asasnya, tujuan sistem ekonomi kapitalis adalah untuk meningkatkan kekayaan negara secara keseluruhan melalui peningkatan KDNK, iaitu dengan cara meningkatkan kadar pengeluaran barangan pengguna sehingga ke tahap yang paling tinggi. Setelah itu, adalah diharapkan bahawa kemakmuran dan kekayaan masyarakat juga akan meningkat (KDNK per kapita) dan meningkatnya taraf pengeluaran serta pendapatan mereka. Menurut teori asas kapitalis, masalah ekonomi akan dapat diselesaikan apabila semua orang boleh mendapatkan barangan keperluan secara keseluruhannya. Ini adalah pandangan yang sesat kerana secara realitinya, tidak pernah terjadi kenaikan taraf hidup masyarakat keseluruhannya yang menghasilkan kemakmuran secara individu. Malah meningkatkan pengeluaran pun tidak akan dapat menjamin masalah ekonomi individu.

        Langkah-langkah yang diambil sistem kapitalisme untuk mengatasi krisis ekonomi seperti mengurangkan cukai demi menaikkan kuasa beli rakyat sebenarnya bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan lagi jurang kekayaan di antara rakyat. Menurut data Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), rakyat Britain yang paling kaya telah berjaya meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah mereka dengan lebih daripada £1,000 pada tahun lepas, manakala yang termiskin secara purata £600 dan ini lebih teruk. (https://www.cityam.com/uks-wealth-gap-cost-of-living-crisis-boosts-income-of-richest-brits-by-1k-but-leaves-poorest-600-a-year-worse-off/)

Bengkok Batang, Bengkoklah Bayangnya

        Britain telah menerapkan sistem ekonomi Kapitalisme sejak mereka menguasai Tanah Melayu. Kemudian mereka mengajar penduduk di tanah jajahan, pelaksanaan ekonomi menurut Kapitalisme dengan dalih ia merupakan suatu kemajuan dan modenisasi dalam ekonomi. Umat Islam yang dijajah tidak lagi menjunjung hukum syarak dalam melakukan transaksi ekonomi sebaliknya menjulang pemikiran Kapitalisme sebagai satu-satunya cara berekonomi. Walaupun setelah penjajahnya pulang, para pemerintah negara dan pembuat polisi ekonomi tetap meneruskan warisan Kapitalisme yang telah ditinggalkan penjajah sebagai tunjang ekonomi negara.

        Oleh kerana itu, keadaan ekonomi Malaysia secara umumnya tiadalah berbeza sangat berbanding ekonomi Britain kerana ia mewarisi sistem yang ditinggalkan oleh gurunya. Bak kata pepatah, bengkok batang, bengkoklah bayangnya. Secara faktanya Malaysia tidak terlepas dari masalah lumrah ekonomi kapitalis iaitu inflasi, hutang negara yang meningkat setiap tahun, kos sara hidup yang masih lagi menghimpit rakyat terbanyak, gaji rendah bagi golongan bawahan dan pengangguran yang tidak kunjung berhenti.

              Sehingga kini hutang Malaysia telah pun mencecah RM1.5 trillion yang mana ia sukar diuruskan lagi. Hutang sebesar ini dan defisit yang membesar akan membawa ekonomi semakin buruk dan generasi akan datang menderita. [Berita Harian, 17 Januari 2023. https://berita.rtm.gov.my/~berita/index.php/nasional/55438-hutang-negara-cecah-rm1-5-trilion-pm]

        Ditambah lagi dengan kadar pengangguran yang terus meningkat berikutan kekurangan pekerjaan di sektor swasta berbanding bilangan siswazah baharu setiap tahun. Ramai siswazah melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan, atau di sektor tidak formal termasuk bekerja dalam segmen p-hailing atau gerai makanan. Ini dibuktikan dengan pengangguran meningkat daripada 1.3 juta pada 2018 kepada 1.8 juta pada 2022 dan dua juta lagi dalam sektor tidak formal. Keadaan ini terus akan menambah masalah, dan sistem ini tidak pernah menyelesaikan masalah ini dengan penyelesaian yang sebenar-benarnya. Jika masalah ekonomi ini berterusan, tidak mustahil jika Malaysia juga menghadapi apa yang dialami oleh Britain pada hari ini.

Tinggalkanlah Warisan Kapitalisme Penjajah

        Oleh itu, Kerajaan Malaysia wajib melaksanakan sistem ekonomi berasaskan kepada syariat Islam dan bukan mengekalkan sistem ekonomi kapitalis yang diwarisi sejak kemerdekaan lagi.  Asas yang paling penting di dalam sistem ekonomi Islam adalah jaminan pemenuhan keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) bagi setiap individu dan menyediakan peluang untuk memenuhi keperluan sekunder dan tertier sesuai dengan kemampuan dalam masyarakat yang memiliki gaya hidup melalui mekanisme agihan strategik dan berkesan. Masalah utama ekonomi bagi Islam ialah masalah agihan kekayaan, bukannya masalah kekurangan produk yang perlu diatasi dengan meningkatkan pengeluaran yang diukur dengan KDNK.

        Program-program pembasmian kemiskinan wajib diperbanyakkan secara per individu. Pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab wajib turun padang dan mencari mereka yang layak dibantu sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Khalifah Umar dan Khalifah Umar Abdul Aziz semasa pemerintahan mereka. Khalifah Umar dan bekas hambanya bernama Aslam mengedarkan seguni gandum dan sebekas lemak kepada seorang ibu dan anak-anaknya yang sedang kelaparan selepas beliau sendiri datang memerhatikan keadaan mereka.  Sementara itu,  Khalifah Umar Abdul Aziz telah memerintahkan para pegawai khalifah untuk mencari mereka yang memerlukan bantuan ketika duit zakat tidak dapat diagihkan kerana tidak ditemui mereka yang fakir miskin.

        Adalah perkara yang baik apabila kerajaan hari ini memperkenalkan menu Rahmah. Namun, menu Rahmah hanyalah penyelesaian jangka pendek yang memberikan peluang kepada golongan yang terkesan masalah ekonomi mendapatkan makanan murah. Ini kerana, program sebegini hakikatnya hanya menyelesaikan masalah secara purata tetapi tidak secara per individu. Dalam masa yang sama harga bahan mentah untuk makanan masih tinggi dan kos sara hidup akhirnya terus meningkat kerana inflasi masih terus berlaku.

Khatimah

        Sistem ekonomi Islam sangat berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi Islam sahaja yang mampu membebaskan ekonomi Malaysia dari kesan langsung dan tidak langsung kemelesetan ekonomi global. Ekonomi Islam didirikan dengan berpijak pada asas pemenuhan keperluan setiap orang secara individu serta kewajipan bekerja untuk mendapatkan kekayaan. Ekonomi Islam juga berdiri atas prinsip perjalanan ekonomi yang wajib diatur menurut hukum syarak, berbeza dengan ekonomi kapitalis yang ditegakkan dengan hukum buatan manusia berlandaskan kebebasan.

“Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam” [Surah al-Anbiya: ayat 107].

        Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW diutuskan untuk melaksanakan hukum Islam dalam setiap aspek kehidupan termasuklah ekonomi yang akhirnya Allah SWT akan mengurniakan manusia dengan rahmatNya.


KOLUM SIYASAH

Ibrah Daripada Bencana Gempa Bumi Turki-Syria

        Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turki dan utara Syria pada 6 February lalu telah memusnahkan lebih 50,000 bangunan dan sehingga kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya lebih 40,000 nyawa. Gegaran yang berlaku di sepanjang garisan Anatolia Timur pada kali ini disifatkan sebagai bencana dan gempa bumi terburuk yang melanda negara itu sejak 1939 yang telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa.

        Musibah sebegini boleh menghapuskan dosa mangsa, mengangkat mereka ke darjat syahid dan boleh memberi pengajaran kepada kita semua tentang ketundukan dan ketaatan kepada Allah (SWT) Pencipta alam semesta. Bencana alam seperti gempa bumi merupakan manifestasi jelas kelemahan dan ketidakupayaan manusia dalam dua aspek.

        Pertama, kita mempunyai sedikit pengetahuan yang terhad, kurang ilmu ghaib yang di luar jangkauan manusia. Tiada yang tahu kecuali Pencipta manusia dan alam semesta. Allah (swt) berfirman, “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.[Surah Al-An’am: 59]

        Kedua, manusia tidak boleh menghentikan atau mengawal kejadian tersebut sekiranya Pencipta menghendakinya. Dialah Pemilik dan Pengawal semua makhluk dan segala-galanya adalah milik-Nya termasuk langit, bumi dan manusia. Allah (swt) berfirman, “Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak daripada peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.[Surah Fatir:41]

        Musibah gempa ini mendedahkan kekuatan ikatan persaudaraan akidah berada dalam lubuk hati umat ini. Tanpa mengira bangsa dan bahasa mereka bersungguh-sungguh menghulurkan bantuan bagi meringankan beban saudara mereka di Turki dan Syria. Rasulullah (SAW) pernah bersabda, “Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik dan itu tidak untuk seseorang kecuali orang mukmin. Jika dia mendapat kebaikan dia bersyukur dan itu baik untuknya. Jika ditimpa kemudharatan dia bersabar dan itu baik baginya.” [HR Muslim].

        Sekalipun kita berasa amat sedih dengan apa yang berlaku, ini tidak menghalang kita daripada menilai rentetan tragedi dan malapetaka yang menimpa negeri-negeri umat Islam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, peperangan, kemiskinan dan kebuluran. Walaupun kedudukan geografi sebahagian wilayah telah diketahui sebagai kawasan berisiko tinggi terdedah kepada bencana, namun negara bertanggungjawab mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya secara holistik bagi mengelakkan korban nyawa seperti menetapkan spesifikasi dan syarat untuk membina bangunan di kawasan berisiko tanpa adanya kelalaian. Seandainya negeri-negeri umat Islam bersatu di bawah naungan Khilafah, ia sudah pasti mempunyai keupayaan yang luas daripada aspek dana, kepakaran, teknologi dan tenaga kerja yang memadai bagi pengurusan bencana. Bahkan umat Islam di Syria tidak akan dibiarkan dalam keadaan yang sungguh menyedihkan seperti saat ini apabila diabaikan pemimpin dunia Islam. Sungguh, amat berat tugas dan tanggungjawab para pemimpin umat Islam untuk memelihara harta dan nyawa umat ini dan mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak.