SN655 – Belenggu Penentuan Identiti Negara

Bil: SN654 (PDF/Print) – 9 Rabi’ al-awwal 1446 / 12 September 2024

Kepelbagaian etnik dalam sebuah negara yang aman dan sejahtera merupakan satu rahmat dan tanda kebesaran Allah (swt). Dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, Allah (swt) menyeru umat manusia untuk saling mengenali antara satu sama lain dan menegaskan bahawa kemuliaan terletak pada ketakwaan, bukan berdasarkan keturunan atau bangsa. Sejarah penubuhan negara Islam pertama di Madinah sehinggalah era kekhilafahan membuktikan bagaimana masyarakat majmuk mampu hidup bersama dalam suasana harmoni walaupun berhadapan dengan ancaman musuh yang cuba menggugat kestabilan negara.

              Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 mencatat sejarah unik apabila pelbagai kaum utama dan lebih 80 etnik minoriti hidup aman di bawah satu bumbung berasaskan model negara-bangsa. Kemerdekaan daripada penjajahan fizikal harus disyukuri, namun persoalannya, adakah ini kejayaan yang muktamad? Adakah kita sudah benar-benar merdeka  secara hakiki? Bagaimana pula dengan realiti kehidupan masyarakat berbilang bangsa, agama dan kedudukan sosio-ekonomi hari ini? Apakah ia menggambarkan kemerdekaan yang sejati? Bagaimana pula dengan kedudukan Islam di negara ini? Adakah kita benar-benar telah merdeka secara ideologis dan apa pula peranan seorang Muslim dalam menangani persoalan ini?

              Seperti kebanyakan negara bekas jajahan British, gabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak tidak terlepas daripada percaturan geopolitik di Asia Tenggara. Kejatuhan empayar kolonial British dan kebangkitan Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa dunia baru, di samping sentimen anti-penjajahan, memaksa British memerdekakan wilayah jajahannya termasuk Malaysia. Antara faktor gabungan ini adalah untuk membendung pengaruh komunisme dan menghalang penguasaan kuasa asing di Borneo. Di samping itu, British juga menyokong gabungan ini dalam usaha untuk mengekalkan pengaruh dan hegemoninya di rantau ini.

Cabaran Identiti Negara

              Dalam proses merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Suruhanjaya Reid menetapkan kerangka federalisme yang memperuntukkan pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri, serta meletakkan identiti negara sebagai sekular. Namun, istilah “negara sekular” akhirnya dipadamkan kerana menghadapi tentangan daripada pemimpin Melayu. Suruhanjaya Cobbold pula memainkan peranan dalam memberikan cadangan pindaan kepada Perlembagaan bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak dilindungi dengan diberikan autonomi yang lebih luas dalam pembentukan Malaysia. Walaupun Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, Tunku Abdul Rahman pernah dengan jelas menyatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan. Begitu juga dengan Tun Hussein Onn yang pernah mengeluarkan kenyataan serupa.

              Pada era 1980-an, kebangkitan kesedaran Islam semakin meluas dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim, seiring dengan gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Banyak tuntutan dibuat untuk memperkukuh institusi Islam dan memperkasakan peranan agama dalam pentadbiran negara. Akibatnya, pemimpin negara serta parti-parti politik mula mengubah naratif identiti negara untuk meraih sokongan, sama ada daripada umat Islam mahupun bukan Islam. Tunku Abdul Rahman, sebagai contoh, mengubah pendiriannya pada tahun 1984 dengan menyatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, tetapi juga bukan sekular secara mutlak. Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2001 pula secara terbuka mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Sehingga kini, polemik mengenai identiti negara terus berlarutan dan menjadi alat politik bagi meraih sokongan serta mengekalkan status quo.

              Dalam soal penyatuan kaum pula, isu bahasa dan pendidikan sering menjadi pertikaian, begitu juga dengan pemilihan model asimilasi atau integrasi. Demokrasi pula memburukkan keadaan apabila parti-parti politik berasaskan kaum bersaing untuk mempertahankan kepentingan kaum masing-masing demi meraih undi. Sistem persekutuan (federalisme) menambah kesenjangan apabila berlaku ketidakadilan dan berat sebelah dalam hubungan kerajaan pusat dan negeri, terutama dalam soal ekonomi, pembangunan, dan pembasmian kemiskinan. Semua ini menyemarakkan semangat perkauman dan kenegerian yang menambah bibit perpecahan. Persoalan sama ada Malaysia berteraskan konsep negara bangsa Melayu atau berbilang kaum juga masih belum mencapai kesepakatan sehingga ke hari ini.

              Sebahagian pihak berpendapat bahawa identiti negara dan sistem pemerintahan yang ada kini sudah sempurna dan tidak perlu diubah. Hakikatnya, konsep nasionalisme yang diterima pakai hari merupakan hasil percaturan politik Barat yang bermula dengan Perjanjian Westphalia (1648). Sebelum itu, Eropah terdiri dari kerajaan empayar dan negara kota yang tidak mementingkan identiti bangsa. Nasionalisme pada awalnya dianggap sebagai alat untuk menyatukan rakyat, namun hari ini kita dapat melihat konsep ini memanifestasikan bentuk pemikiran yang sempit dan sering memberi kesan yang negatif. Dunia kini menyaksikan begitu banyak episod rasisme dan fasisme serta ketegangan etnik yang muncul akibat dari konsep nasionalisme. Malah, nasionalisme merupakan senjata utama Barat dalam menghancurkan Khilafah dan akibatnya, hari ini, dunia Islam terpecah menjadi lebih 50 buah negara dek pegangan kepada konsep ini.

              Realiti hari ini jelas membuktikan bahawa nasionalisme gagal mengembalikan keadilan dan kesejahteraan seperti yang dituntut oleh Islam. Perpecahan dunia Islam, termasuk krisis di Palestin merupakan bukti yang jelas. Sebarang usaha untuk memperbaiki nasionalisme dengan menyuntik elemen Islam hanyalah satu tindakan yang mengelirukan dan tidak akan berhasil. Nasionalisme tidak meletakkan kedaulatan di tangan Islam, sebaliknya meletakkan sekularisme, liberalisme dan kapitalisme (atau sosialisme) sebagai paksi! Lantas bagaimana mungkin konsep nasionalisme layak menjadi asas dalam penentuan identiti negara?

Kesimpulan

              Hanya Islamlah yang mampu menyelesaikan seluruh permasalahan manusia, termasuk isu-isu terkait identiti dan sistem pemerintahan negara. Umat Islam bertanggungjawab untuk bangkit, menggembeleng tenaga dan fikiran serta berusaha mengembalikan institusi Khilafah sebagai penyelamat dunia daripada kezaliman dan kerakusan kuasa Barat. Barat akan terus berusaha mengekalkan model negara bangsa sebagai templat geopolitik dan akan terus menyekat kebangkitan umat Islam dengan melabelkan usaha dakwah sebagai radikal atau ekstremis, walaupun ia dilakukan tanpa kekerasan.

              Ironinya, Baratlah pihak yang menyebarkan keganasan dan sistem Baratlah yang mengekalkan ketidakstabilan yang wujud di muka bumi ini. Lebih menyedihkan, para pemerintah kaum Muslimin sendiri yang sering menjadi ejen kepada kolonial Barat, menakut-nakutkan rakyat dengan naratif polarisasi kaum yang didakwa mampu menggugat keamanan dan terus menerapkan sistem politik dan ekonomi berteraskan ideologi Barat. Padahal, sewaktu keruntuhan Khilafah pada 3 Jun 1924, para pejuang di Alam Melayu menyeru agar umat Islam bersatu untuk mengembalikan Khilafah sebagai institusi penyatuan dan kekuatan yang membawa keadilan dan keamanan sejagat.


PEDULI PALESTIN

Salahuddin Al Ayyubi Membebaskan Al Quds Dengan Tentera

              Entiti haram Yahudi terus meningkatkan serangan ke atas Gaza dengan justifikasi bahawa ia kononnya sebagai usaha untuk membebaskan para tahanan. Walaupun ada beberapa tahanan yang berjaya diselamatkan sebelum ini, namun masih ramai yang tidak diketahui nasib dan keadaan mereka – entah hidup atau mati.

              Rakyat entiti haram  sendiri sudah hilang sabar terhadap kerajaan pimpinan Netanyahu. Puluhan ribu rakyatnya telah turun menyatakan bantahan mereka kerana Netanyahu masih berkeras meneruskan serangan yang dianggap tidak membantu untuk menyelamatkan para tebusan. Bagi mereka, Netanyahu seharusnya menghentikan serangan, melaksanakan genjatan senjata dan seterusnya berunding untuk melakukan pertukaran tahanan.

              Begitulah keadaan umat Islam di Gaza. Di kala Barat mencaturkan suasana politik di Gaza setelah melihat perkembangan dalaman entiti haram Yahudi, para pemimpin umat Islam masih beretorika. Di Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al Aqsa dan Palestin bersempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 pada 25hb Ogos 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan, ucapan dan kata-kata semangat terus dilontarkan demi menunjukkan solidariti kepada umat Islam di Gaza.

              Visual yang memaparkan bagaimana masjid Al Quds dicemari dan dicerobohi oleh penganut Yahudi yang dilindungi oleh tentera entiti haram mereka benar-benar telah mengelar jiwa umat Islam yang ikhlas. Namun, di sebalik semua paparan itu, di manakah seruan kepada penyelesaian hakiki isu Palestin, termasuklah penghinaan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap masjid al Aqsa?

              Semasa ucapan perasmiannya di dalam Muktamar tersebut, Perdana Menteri menyeru agar semua pihak berhenti mempolitikkan isu Palestin and memfokuskan kepada menguatkan kekuatan dalaman umat Islam sebagaimana yang pernah dilakukan Sultan Salahuddin Al Ayyubi. Beliau menerangkan lagi bagaimana Sultan Salahuddin Al Ayyubi berjaya melahirkan tentera yang kuat dari segi aqidah dan iman. Inilah, kata beliau, yang perlu dilakukan oleh umat Islam hari ini di dalam rangka menjadikan Sultan Salahuddin Al Ayyubi sebagai tauladan.

              Ya, ada benarnya kata-kata PMX itu, namun hakikatnya, usaha Sultan Salahuddin menguatkan aqidah dan keimanan tenteranya adalah dalam rangka mengirim tentera ke Al Quds sehingga beliau berjaya membebaskannya dan memberikan keamanan kepada semua penduduk Palestin tanpa mengira agama dan warna kulit. Justeru itu, wahai PMX, hentikanlah retorik anda! Kirimlah tentera segera ke Palestin dan serulah seluruh pemimpin dunia Islam untuk turut serta melakukan perkara yang sama!