SN658 – Sandiwara Serangan Iran Terhadap Entiti Haram Yahudi

Bil: SN658 (PDF/Print) – 14 Rabi’ al-thani 1446 / 17 Oktober 2024

Entiti haram Yahudi terus melancarkan serangan tanpa henti terhadap Palestin, mengakibatkan kemusnahan besar dan penderitaan rakyat Palestin. Serangan terbaru yang dilancarkan terhadap Hizbullah di selatan Lebanon, serta pembunuhan Hassan Nasrallah dan beberapa pemimpin lain, didorong oleh tuduhan serangan Hamas ke atas entiti haram Yahudi pada 7 Oktober 2023. Nasrallah, yang selama ini menyokong Hamas, dibunuh sebagai usaha untuk melemahkan Hizbullah dan menghantar mesej keras kepada kumpulan-kumpulan lain yang disokong Iran. Tindakan ini juga bertujuan merosakkan struktur kepimpinan Hizbullah di utara Palestin. Sebagai tindak balas, Iran melancarkan sekitar 200 roket balistik ke arah kawasan strategik entiti haram Yahudi, namun tiada kematian dilaporkan dan kebanyakan roket dipintas, hanya menyebabkan kerosakan kecil [CNN, 02/10/2024].

Siapakah Hizbullah

            Hizbullah merupakan parti politik Syiah yang dibentuk pada 1982 semasa perang saudara Lebanon, sebagai tindak balas terhadap pencerobohan entiti haram Yahudi. Gerakan ini terkenal dengan pendirian tegas menentang entiti haram Yahudi dan pengaruh Barat di Timur Tengah. Hizbullah, yang memiliki sayap ketenteraan yang kukuh, dianggap sebagai kuasa militer utama di Lebanon. Ia juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi politik dan keselamatan di negara tersebut. Hizbullah mempunyai hubungan rapat dengan rejim Bashar al-Assad di Syria, terutamanya semasa perang saudara Syria, dan menerima sokongan kewangan serta ketenteraan daripada Iran. Hubungan antara Hizbullah dan Iran boleh digambarkan sebagai hubungan proksi yang amat penting dalam usaha Iran untuk meluaskan pengaruhnya di rantau ini, memberikan tekanan ke atas kepentingan Israel dan Amerika dan menyokong komitmen ideologi Iran [cfr.org].

Tindakbalas Iran: Simbolisme atau Realiti?

            Serangan balas Iran terhadap entiti haram Yahudi disambut dengan rasa lega oleh sebahagian umat Islam yang prihatin terhadap Palestin. Serangan itu dilihat sebagai usaha mempertahankan kepentingan sekutu-sekutunya di Lebanon dan Palestin. Namun, meskipun ratusan roket balistik dilancarkan oleh Iran, impaknya tidak signifikan. Kebanyakan kerosakan yang dilaporkan hanya bersifat kecil, tidak merosakkan infrastruktur ketenteraan utama entiti haram Yahudi. Ibu pejabat Mossad diserang, tetapi hanya mengalami kerosakan ringan [BBC, 02/10/2024].

            Sebaliknya, serangan entiti haram Yahudi ke atas Gaza jauh lebih merosakkan, dengan lebih 42,000 nyawa terkorban, termasuk 16,765 kanak-kanak, dan mencederakan hampir 100,000 orang. Gaza kini berada dalam keadaan yang tidak dapat dipulihkan akibat serangan entiti haram Yahudi, dengan rumah-rumah musnah dan banyak infrastruktur hancur [Al Jazeera, 09/10/2024]. Perbandingan ini menunjukkan ketidakseimbangan antara serangan Iran dan tindak balas entiti haram Yahudi. Walaupun Iran cuba menonjolkan dirinya sebagai pembela utama Palestin dan Hizbullah, tindakannya tidak berjaya menimbulkan ancaman besar terhadap entiti haram Yahudi.

            Walaupun Iran mendakwa serangan tersebut merupakan tindakan balas terhadap pembunuhan Hassan Nasrallah, kenyataan daripada jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Nasser Kanani, bahawa Iran tidak akan menghantar pasukan ketenteraan ke Lebanon atau Gaza menimbulkan keraguan terhadap komitmen sebenar Iran. Menurut beliau, pejuang di Lebanon dan Palestin “mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk mempertahankan diri mereka sendiri” [Al Arabiya, 30/09/2024]. Sikap ini memperlihatkan bahawa serangan Iran mungkin hanya bertujuan untuk menjaga imejnya di mata dunia sebagai negara anti-entiti haram Yahudi, tanpa niat sebenar untuk terlibat secara langsung dalam konflik ini.

            Tambahan pula, dalam khutbah yang jarang-jarang dilakukan, Ayatollah Ali Khamenei pemimpin utama Iran cuba menenteramkan golongan Syiah, mengatakan “kita perlu bekerja keras, orang-orang Palestin dan Lebanon perlu mempertahankan dirinya (dengan jihad defensif)”, namun, dalam minit ke-15 khutbahnya, beliau menambah “kita akan bertindak sesuai dengan nasihat secara langsung dari kepimpinan politik dan tentera seperti yang telah berlaku dahulu dan juga akan datang”. [https://www.youtube.com/watch?v=ZF13HQhLUOE]. Jelas bahawa keputusan untuk melakukan operasi ketenteraan mesti mendapat arahan langsung daripada kepimpinan politik dan tentera Iran dan bukan kehendak Islam dan umat Islam.

            Hakikat yang perlu difahami adalah bahawa Republik Islam Iran merupakan sebuah negara sekular dan pemerintahannya adalah sistem republik demokrasi Barat berasaskan kepada pemisahan agama dari politik. Iran adalah negara bangsa berasaskan bangsa dan bahasa Parsi dan bukan negara Islam untuk seluruh kaum Muslimin tanpa mengira bangsa, bahasa dan warna kulit.

            Perlembagaan Iran menyatakan bahawa pemimpin utamanya adalah Ayatollah Ali Khamenei yang mempunyai kekuasaan utama dalam pemerintahan dan juga Komandan Tertinggi Tentera termasuk Kor Pengawal Revolusi Islam yang mengawal segala urusan keselamatan dalam negeri. Ayatollah juga mempunyai kuasa mengisytiharkan perang dan mempunyai hak menentukan apa sahaja hal-hal dalam negara dan polisi luar negerinya termasuklah apa yang berkaitan dengan serangan entiti Yahudi terhadap Palestin dan Lebanon. Namun, Iran masih berpeluk tubuh dan terus menghalang tenteranya dari bangkit membantu Palestin secara langsung apabila Gaza telah diserang habis-habisan oleh entiti haram Yahudi.

            Jelas sekali Iran bukanlah sebuah negara berideologi Islam dan tidak diragukan bahawa Iran sebenarnya berada di bawah pengaruh negara kuasa besar yang memiliki hegemoni ke atas dunia. Bahkan boleh dikatakan bahawa sebarang tindakan yang melibatkan polisi luar Iran harus tunduk kepada pengaruh dan arahan Amerika.

Hubungan Iran-Amerika: Satu Pertalian Kompleks

            Meskipun Iran sering melabelkan dirinya sebagai musuh utama entiti haram Yahudi dan Amerika Syarikat, terdapat bukti bahawa wujud hubungan kerjasama antara Iran dan Amerika dalam beberapa peristiwa penting di Timur Tengah. Semasa pencerobohan Amerika ke atas Iraq, Iran membantu Amerika dalam memudahkan penumbangan rejim Saddam Hussein.

            Bekas Timbalan Presiden Iran, Mohammad Ali Abtahi, mengakui bahawa Amerika tidak mungkin dapat menakluki Iraq tanpa bantuan Iran dan para pemimpin politik serta agama yang menyokong Iran di Iraq [Gulf Future Conference, 2004]. Peranan besar Iran dalam menewaskan Taliban di Afghanistan juga membolehkan Amerika menguasai rantau tersebut [Assharq Al-Awsat, 2004]. Begitu juga kita dapat melihat beberapa gelagat hubungan  Iran dan Amerika yang memanifestasikan bentuk kerjasama seperti di Yemen dan isu nuklear Iran.

            Berbagai kerjasama ini memperlihatkan bahawa Iran sering bertindak selaras dengan kepentingan Amerika di rantau ini, walaupun secara terbuka ia menentang campur tangan Amerika. Peranan Iran dalam pelbagai konflik di Timur Tengah menunjukkan hubungan yang kompleks dan kerapkali harmonis dengan kepentingan Amerika.

Iran dan Entiti Haram Yahudi: Dua Kuasa yang Saling Mengimbangi

            Iran dan entiti haram Yahudi sering dianggap sebagai dua kuasa yang bertentangan di Timur Tengah, namun hakikatnya, kedua-duanya beroperasi dalam lingkungan batas-batas yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat. Iran menggunakan imejnya sebagai kuasa Islam moderat untuk bersaing dengan entiti haram Yahudi dalam merebut pengaruh di rantau ini. Jika Iran benar-benar ikhlas dalam penentangannya terhadap entiti haram Yahudi, negara tersebut sepatutnya sudah lama mengambil tindakan yang lebih tegas, termasuk melaksanakan sistem Islam dalam pemerintahannya dan menghentikan kekejaman entiti haram Yahudi di Palestin. Sebaliknya, Iran bertindak lebih kepada menjaga kedudukan politiknya di mata dunia, tanpa benar-benar mengambil tindakan konkrit untuk menyelesaikan masalah Palestin. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana Iran benar-benar komited dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin atau sekadar memenuhi kepentingan politiknya sendiri.

Kesimpulan: Sandiwara di Tengah-tengah Konflik

            Tindakan Iran dalam serangan terhadap entiti haram Yahudi lebih merupakan satu bentuk sandiwara yang tidak memberi impak signifikan kepada penyelesaian konflik di Palestin. Ia lebih bertujuan untuk menjaga kepentingan politik dan hubungannya dengan kuasa besar seperti Amerika, daripada mengambil langkah-langkah yang benar-benar membantu umat Islam di Lebanon dan Palestin.

            Hakikatnya, Iran, bersama pemimpin-pemimpin lain di Timur Tengah, terus berpeluk tubuh dalam menghadapi kekejaman entiti haram Yahudi. Agen-agen ini tidak berani melangkaui batas kepentingan Amerika dan Yahudi, serta menghalang umat Islam lain daripada bangkit berjihad untuk mempertahankan Palestin.

Penutup

            Para pemimpin umat Islam, termasuk di Iran, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Syria, Turki dan lain-lain tanah kaum Muslimin mesti melepaskan diri daripada pengaruh Amerika dan sekutu-sekutunya. Mereka perlu bersatu dan menggerakkan tentera umat Islam untuk menyelamatkan Palestin serta menghentikan kezaliman entiti haram Yahudi. Hakikatnya, hanya dengan kepimpinan yang ikhlas, umat Islam dapat dibebaskan daripada penindasan ini. Al-Quran telah menjelaskan bahawa musuh-musuh Islam, termasuk Yahudi, bukanlah kaum yang kuat:

“Mereka sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, selain dari gangguan-gangguan celaan sahaja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan”

[Ali Imran (3): 111]

            Samada penyatuan yang diharapkan dari kalangan para pemimpin kaum Muslimin akan berlaku atau tidak, yang jelas, kekuatan umat Islam pasti akan mencetuskan ketakutan di kalangan musuh apabila Khilafah ala minhaj nubuwwah ditegakkan dan dipimpin oleh khalifah yang ikhlas melindungi umat Islam.