SN669 – Penghinaan dan Pengabaian Al-Quran: Sampai Bila?
Bil: SN669 (PDF/Print) – 16 Ramadan 1446 / 16 Mac 2025
Al-Quran, diturunkan sebagai manhaj al-hayah (sistem kehidupan) yang mencakupi seluruh aspek manusia—akidah, politik, pendidikan, ekonomi, dan sosial—merupakan panduan menyeluruh untuk membentuk masyarakat sejahtera berlandaskan syariat. Namun, dalam era sekular moden, penghinaan terhadapnya semakin meluas, baik secara fizikal (seperti pembakaran dan pemijakan) mahupun simbolik (melalui karikatur menghina atau parodi ayat suci). Pengabaian (hajrul Qur’an) turut berlaku apabila umat Islam tidak lagi menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam membangun sistem kehidupan, sebaliknya tunduk kepada tafsiran hawa nafsu yang menyimpang.
Fenomena ini mencerminkan peralihan komitmen umat Islam daripada prinsip Islam murni kepada ideologi sekular-kapitalis yang memisahkan agama dari kehidupan. Ketidakpedulian terhadap petunjuk Al-Quran bukan sekadar kelemahan pegangan agama, tetapi juga membuka ruang dominasi nilai materialistik dan liberal. Akibatnya, masyarakat Islam semakin jauh dari konsep pemerintahan berteraskan wahyu, digantikan dengan sistem sekular yang mengabaikan integrasi syariat dalam pemerintahan dan pentadbiran.
Lebih membimbangkan, tiada satu pun kekuasaan umat Islam yang benar-benar mampu menghentikan gelombang penghinaan dan pengabaian terhadap Al-Quran daripada terus berleluasa. Peristiwa-peristiwa yang berlaku ini menjadi bukti bagaimana Al-Quran diperlakukan dengan hina dalam masyarakat sekular hari ini, tanpa sebarang tindakan tegas untuk membela kesuciannya. Keadaan ini menuntut umat Islam untuk kembali kepada Al-Quran, bukan sekadar sebagai bacaan semata-mata, tetapi sebagai sumber petunjuk yang diamalkan dalam setiap aspek kehidupan.
Pengabaian Terhadap Al-Quran dalam Konteks Malaysia
Di Malaysia, terdapat pelbagai insiden yang mencerminkan pengabaian terhadap Al-Quran, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antara yang paling ketara ialah penggunaan Al-Quran sebagai alat politik demi kepentingan pihak tertentu, bukannya sebagai panduan utama dalam membentuk dasar negara. Ayat-ayat suci sering dijadikan bahan retorik semasa pilihan raya—seperti isu kalimah Allah dan pelaksanaan hudud—namun, ia jarang sekali diterjemahkan ke dalam dasar yang benar-benar berlandaskan ajaran Islam.
Selain itu, sistem pendidikan turut mencerminkan ketidakseimbangan dalam penerapan ilmu Islam. Kurikulum Pendidikan Islam di sekolah menengah hanya diperuntukkan sekitar 3-4 jam seminggu, jauh lebih rendah berbanding 10-12 jam bagi subjek STEM. Akibatnya, pelajar lebih fasih dalam menghuraikan teori sains berbanding memahami konsep maqasid syariah, yang sepatutnya menjadi asas dalam membentuk pemikiran dan keperibadian Muslim yang sejati.
Lebih membimbangkan, kewujudan kelompok-kelompok liberal yang memperjuangkan liberalisasi nilai Islam telah menimbulkan pelbagai kontroversi. Mereka mempersoalkan hukum-hukum Islam yang jelas, seperti pelaksanaan hudud dan kewajipan menutup aurat, yang bertentangan dengan prinsip Al-Quran dan Sunnah. Kecenderungan ini bukan sahaja mengaburkan kefahaman umat Islam terhadap ajaran sebenar, malah membuka ruang kepada penyimpangan pemikiran yang semakin jauh daripada tuntutan Islam yang sebenar.
Punca: Dominasi Sistem Sekular
Punca utama penghinaan dan pengabaian Al-Quran berakar pada dominasi sistem sekular global yang memisahkan agama dari urusan negara. Konsep separation of church and state menjadi asas pemerintahan moden, di mana undang-undang sivil diutamakan berbanding syariah. Di Malaysia, misalnya, Perkara 4(1) Perlembagaan menetapkan konstitusi sebagai hukum tertinggi, bukan Al-Quran—walaupun Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan (Perkara 3(1)). Hal ini menyebabkan isu keluarga dan pusaka, yang sepatutnya diatur syariah, tetap tunduk kepada undang-undang sekular.
Ketiadaan Khilafah sebagai kiyan-tanfizi-institusi politik pelaksana syariat memperdalam krisis. Tanpa entiti yang bertanggungjawab menerapkan hukum Allah secara menyeluruh, Al-Quran kehilangan kedudukannya sebagai sumber perundangan utama. Parlimen menggubal undang-undang berasaskan akal manusia, seperti pengharaman riba yang diabaikan atau penundaan pelaksanaan hudud, meskipun ia termaktub dalam wahyu. Akibatnya, sistem hidup umat Islam tidak berpaksikan syariat secara holistik.
Pengaruh materialisme dan liberalisme mengikis penghormatan terhadap agama. Kebebasan tanpa batas melahirkan generasi yang menjauhi kefahaman Islam sebenar, lebih terpengaruh naratif Islamofobia dan persepsi agama sebagai “kolot”. Generasi muda kurang mendalami tafsir Al-Quran, sebaliknya mengutamakan nilai kebendaan dan hak individu tanpa batasan syarak.
Kegagalan sebahagian ulama sebagai penjaga agama memburukkan keadaan. Sebahagian mereka tidak menegur pemerintah yang mengabaikan Al-Quran, malah membenarkan sekularisme dengan alasan realpolitik. Sikap ini melemahkan autoriti Al-Quran sebagai sumber hukum dan memperkukuh dominasi ideologi sekular.
Keseluruhannya, sistem sekular yang meminggirkan wahyu, ketiadaan institusi pelaksana syariat, pengaruh nilai anti-agama, dan kelemahan kepimpinan ulama—semuanya menyumbang kepada pengabaian Al-Quran. Umat Islam terus terperangkap dalam paradigma yang memisahkan agama dari kehidupan, menjadikan Al-Quran sekadar simbol ritual, bukan panduan sistemik.
Al-Quran sebagai Panduan Pemerintahan dan Kehidupan
Kembalikan peranan Al-Quran sebagai panduan utama dalam pemerintahan dan pentadbiran negara dan bukan sekadar kitab suci untuk dibaca dan dihafal, tetapi sumber hukum yang komprehensif dan petunjuk bagi umat Islam dalam semua aspek kehidupan.
Allah SWT berfirman:
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”
[Al-Baqarah: 2]
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya”
[Al-Baqarah: 208]
Allah SWT dengan jelas menegaskan kewajipan berhukum dengan wahyu-Nya:
“Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir”
[Al-Maidah: 44]
Ibnu Abbas menjelaskan bahawa kekufuran di sini bukan kufur akidah, tetapi kufur nikmat kerana mengabaikan hukum Allah. Hal ini menunjukkan bahawa meninggalkan syariat Allah dalam pemerintahan adalah satu bentuk kezaliman yang membawa kepada kehancuran masyarakat.
Allah SWT turut menegaskan bahawa dalam Islam, tidak ada pilihan lain bagi orang beriman selain tunduk kepada ketentuan-Nya:
“Tidaklah patut bagi seorang mukmin lelaki atau perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, untuk memilih alternatif lain”
[Al-Ahzab: 36].
Dalil-dalil ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah panduan yang lengkap bagi kehidupan dan wajib dilaksanakan dalam sistem undang-undang dan pentadbiran negara. Pemerintahan berlandaskan Al-Quran akan melahirkan masyarakat yang menikmati keadilan, kesejahteraan, dan keseimbangan yang hakiki. Inilah solusi sebenar untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan menyelamatkan umat daripada terus terperangkap dalam sistem sekular.
Al-Quran juga bukan sekadar kitab suci yang dibaca tanpa memahami maksudnya. Lebih menyedihkan, ia dijadikan bahan pertandingan hafazan dan tilawah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Suara bacaan yang merdu dan hafazan yang lancar diperdengarkan kepada umum, namun ajarannya jarang sekali direalisasikan dalam kehidupan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Hakikatnya, Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita Al-Quran sebagai sumber panduan utama kehidupan. Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya,
“Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat selagi berpegang teguh pada kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku.”
[Riwayat Imam al-Hakim]
Kewajipan Menerapkan Al-Quran Menurut Ulama Muktabar
Para ulama sepakat bahawa penerapan Al-Quran secara menyeluruh adalah satu kewajipan mutlak bagi mencapai kejayaan dan kesejahteraan umat serta memperoleh keredaan Allah SWT. Ibnu Katsir (701–774 H) dalam tafsirnya menyatakan:
“Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk mengamalkan seluruh cabang keimanan dan syariat Islam, mengambil seluruh ajaran Islam dan meninggalkan semua jalan yang bertentangan dengannya”
(Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, halaman 566)
Begitu juga, Ibnu Taimiyah menegaskan bahawa hukum Allah mesti menjadi rujukan utama dalam semua aspek kehidupan:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala mewajibkan ketaatan kepada-Nya dan Rasul-Nya atas seluruh makhluk, dan memerintahkan untuk menjadikan kitab-Nya sebagai hukum dalam semua perkara”
(Majmu’ Al-Fatawa, Jilid 19, halaman 99)
Imam al-Mawardi turut menegaskan bahawa menjaga agama adalah tanggungjawab utama pemimpin dalam menguruskan urusan dunia dan akhirat:
“Kewajipan pemimpin dalam urusan agama dan dunia ada sepuluh perkara… yang pertama adalah memelihara agama mengikut prinsip-prinsipnya yang telah ditetapkan”
(Al-Ahkam al-Sultaniyyah, halaman 40)
Kesemua bukti-bukti ini menegaskan bahawa penerapan total Al-Quran tidak pernah menjadi isu yang diperselisihkan dalam kalangan ulama. Mereka sepakat bahawa Al-Quran mesti menjadi asas dalam pemerintahan, perundangan, dan kehidupan umat Islam. Hanya dengan menjadikan wahyu sebagai sumber hukum tertinggi, umat Islam dapat keluar daripada kemelut sekularisme dan kembali kepada kemuliaan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Pelaksanaan Al-Quran: Tanggungjawab Individu, Masyarakat, dan Negara
Pelaksanaan Al-Quran bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi kewajipan negara untuk memastikan ajarannya diterapkan secara menyeluruh dalam pemerintahan, pendidikan, ekonomi, politik, dan sosial. Sebuah negara Islam wajib menjadikan Al-Quran sebagai asas sistem kehidupan agar umat merasai “roh” Islam sebenar—termasuk dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ramadan bukan hanya tempoh peningkatan ibadah ritual, tetapi momentum memperkukuh komitmen terhadap Al-Quran melalui penerapan ajarannya dalam membentuk peribadi bertakwa, memperbaiki hubungan sosial, dan menegakkan keadilan serta bernegara. Hanya dengan integrasi Al-Quran sebagai panduan negara dan kehidupan harian keberkatan dapat dirasai sepanjang hayat, bukan terbatas pada bulan suci semata. Kewujudan kiyan tanfizi iaitu Khilafah menjadi prasyarat untuk merealisasikan visi ini secara holistik.
Khatimah
Khilafah menekankan pelaksanaan Al-Quran secara menyeluruh dalam pentadbiran, pemerintahan, keadilan sosial, ekonomi, pendidikan, dan hubungan antarabangsa, dengan menjadikan undang-undang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sebagai asas untuk mencipta persekitaran harmonis bagi umat Islam menjalani ibadah dengan aman. Sebagai benteng pertahanan, Khilafah melindungi kesucian Al-Quran daripada penghinaan musuh Islam sambil menjamin kesejahteraan umat melalui sistem yang holistik.
Dalam konteks ini, kehidupan berteraskan Al-Quran tidak hanya bersifat individu, tetapi merangkumi seluruh masyarakat dan negara, membolehkan umat menikmati keberkatan sepenuhnya dalam sistem yang selari dengan ajaran Islam secara berterusan, baik di dunia mahupun akhirat. Firman Allah dalam Surah Ibrahim (14:1) memperingatkan kita tentang peranan Al-Quran sebagai cahaya petunjuk:
“Ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya”
[Ibrahim: 1]
Oleh itu, hanya dengan kembali kepada Al-Quran sebagai rujukan hidup dalam segenap aspeknya, umat Islam dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kewujudan Khilafah ala minhaj nubuwwah adalah satu-satunya jalan untuk mengembalikan kemuliaan Islam serta memastikan kesejahteraan umat terpelihara dalam naungan sistem yang berpaksikan wahyu Ilahi.