SOSMA hanyalah simptom, sekularisme adalah akar permasalahannya

Baru-baru ini, dua ahli parlimen DAP — RSN Rayer dan Ramkarpal Singh — mendesak kerajaan memansuhkan SOSMA atas alasan ia zalim, menindas serta bercanggah dengan janji reformasi. Mereka menegaskan bahawa akta ini telah digunakan untuk menahan individu tanpa bicara, menafikan ikat jamin, dan merosakkan kehidupan ramai rakyat. Seruan ini bukan baharu, tetapi ia kembali mengingatkan betapa negara masih bergantung kepada undang-undang warisan kolonial yang tidak pernah menjunjung keadilan [Malaysiakini, 7/12/2025].

Namun, realiti yang lebih keras perlu diakui: masalah utama kepada wujudnya kezaliman dan penindasan bukanlah SOSMA. Akta ini hanyalah simptom kepada penyakit asas iaitu sistem pemerintahan sekular yang menempatkan manusia sebagai pembuat hukum, menggantikan wahyu Allah. Selagi asas ini dikekalkan, undang-undang zalim akan terus lahir, tidak kira SOSMA dimansuhkan, dipinda atau ditukar nama.

Sistem sekular yang diwarisi daripada kolonial British sejak merdeka meletakkan “keselamatan negara” sebagai penjagaan tertinggi. ISA dahulu digunakan dengan justifikasi sama iaitu untuk menjaga keselamatan negara. Setelah akta zalim itu dimansuhkan, maka lahir pula SOSMA yang diberi wajah baru kononnya lebih terhad. Hakikatnya mengekalkan falsafah yang sama – kuasa luar biasa diberi kepada kerajaan untuk menahan rakyat tanpa proses keadilan yang sah.

Justeru, seandainya SOSMA dibuang, sejarah kemungkinan besar berulang untuk ia diganti dengan akta lain yang sama sifatnya. Inilah hakikat sistem sekular – undang-undang zalim seperti itu bukannya digubal untuk keselamatan negara, tetapi sebenarnya untuk melindungi hegemoni kuasa.

Ketika kerajaan hari ini berstatus pembangkang dahulu, ia bersumpah untuk memansuhkan SOSMA, tetapi setelah berkuasa, ternyata janji itu hanya “dicapati”. Inilah tabiat parti politik dalam sistem sekular-demokrasi – prinsip berubah apabila kepentingan berubah. Hukum tidak pernah berpijak pada wahyu, tetapi pada “kelangsungan politik”. Slogan hak asasi hanya dilaungkan apabila ia menguntungkan, dan dilupakan apabila ia mengancam struktur kuasa.

Dari perspektif Islam, kezaliman SOSMA tidak sekadar terletak pada kandungan akta tersebut, tetapi pada asas kewujudannya. Sistem sekular-demokrasi itu sendiri merupakan sebuah kezaliman apabila manusia membuat hukum bertentangan dengan apa yang Allah turunkan.

Undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara adalah jelas haram. Islam tidak membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa dakwaan atau dibawa ke pengadilan. Bahkan Khalifah sendiri boleh dihukum oleh Mahkamah Madzalim jika menzalimi rakyat. Namun, sistem sekular meletakkan pemerintah pada kedudukan istimewa dengan kebolehan membuat undang-undang, yang memberi imuniti tersurat dan tersirat kepada penyalahgunaan kuasa.

Pelaksanaan SOSMA membuktikan betapa undang-undang sekular sangat mudah menjadi alat membungkam suara kritikal pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan. Pembangkang, aktivis sosial, pendakwah, pekerja migran, rakyat biasa, malah sesiapa sahaja boleh dijerat dengan tuduhan longgar “mengancam keselamatan.”

Selagi sistem sekular diteruskan, rakyat akan sentiasa berada dalam ancaman undang-undang yang boleh digunakan menurut selera politik pemerintah. SOSMA tidak wujud secara kebetulan; ia wujud kerana sistem yang membenarkan kewujudannya, dan sistem seperti ini pasti akan terus melahirkan undang-undang seumpamanya.

Maka, memansuhkan SOSMA hanyalah merawat simptom, bukan punca. Selagi sistem pemerintahan dan perundangan negara ini kekal sekular dan pemerintah tidak menjadikan syariat sebagai sumber hukum, selagi itulah undang-undang menindas akan terus muncul.

Penyelesaiannya bukan bersifat kosmetik, tetapi mesti pergi kepada asas: menggantikan sistem sekular dengan sistem pemerintahan Islam yang kaffah melalui penegakan negara Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah. Dalam Khilafah, undang-undang adalah bersumberkan wahyu, bukan hawa nafsu. Tidak akan ada tahanan tanpa bicara. Khalifah tiada kuasa luar biasa atau istimewa untuk menahan rakyat sesuka hati.

Inilah hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam. SOSMA hanyalah bayang-bayang kepada raksasa sebenar – sistem sekular. Jika benar mahu menghapuskan kezaliman, bukan SOSMA yang perlu ditumbangkan dahulu, tetapi sistem yang melahirkannya. Tanpa perubahan struktur kepada pemerintahan Islam, rakyat akan terus dihimpit oleh undang-undang yang berlegitimasi tetapi zalim.

Maka pertanyaannya bukan lagi “bilakah SOSMA akan dimansuhkan?”, tetapi “bilakah umat akan bangkit menuntut sistem Islam yang menghapuskan kezaliman dari akarnya?”. Jawapannya ada di tangan rakyat – sama ada untuk terus memilih pemimpin yang akan mengekalkan sistem sekular, atau memilih untuk berjuang menegakkan Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah.