Suburnya Perkauman di bawah Demokrasi yang Menipu
Rakaman tular insiden kematian seorang lelaki berkulit hitam ketika ditahan polis di Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mencetuskan siri bantahan dan rusuhan di beberapa buah negeri di negara Uncle Sam tersebut. Mangsa, George Floyd, 46, sempat merayu dan mengadu tidak dapat bernafas ketika lehernya ditindih oleh salah seorang anggota polis dengan menggunakan lututnya selama hampir 9 minit.
Ekoran insiden tersebut, keempat-empat anggota polis yang terlibat telah dipecat dan berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah. Namun, tindakan tersebut tidak meredakan kemarahan ramai warga AS yang melihat insiden tersebut sebagai satu lagi episod tragik dalam sejarah kelam yang panjang berhubung keganasan polis serta isu perkauman di negara itu.
Demikianlah realiti negara yang berbangga kononnya merekalah pendukung dan pejuang hak asasi manusia dan kebebasan di bawah demokrasi. Malah mereka bersungguh-sungguh ‘mengeksport’ idea dan sistem tersebut ke seluruh penjuru dunia. Hakikatnya, meskipun sistem perhambaan telah dihapuskan, dan gerakan sivil masyarakat kulit hitam telah berpuluh-puluh tahun digerakkan, namun perkauman sistemik dan berinstitusi masih berleluasa di negara tersebut.
Jurang antara kaum dari aspek sosio-ekonomi juga begitu ketara dan semakin melebar, termasuklah dari sudut kesihatan. Sebagai contoh, amalan ‘redlining’ dalam perancangan perumahan yang berlaku di kediaman-kediaman di AS telah menyebabkan kesan pengasingan antara kaum dan memberikan kesan buruk terhadap kualiti hidup masyarakat minoriti kulit hitam dan Hispanic.
Amalan tersebut berlaku lebih 50 tahun dahulu, namun kesannya masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Melalui amalan ‘redlining’ ini, kawasan perumahan tertentu ditandakan di atas peta sebagai kawasan yang “ideal” (ditandakan sebagai kawasan biru) untuk bank-bank melabur dan menjual gadai janji (mortgage). Amalan ini menyebabkan bangsa selain kulit putih menghadapi kesukaran untuk membeli kediaman di ‘kawasan biru’ kerana bank menyekat pinjaman kepada mereka di kawasan tersebut.
Meskipun amalan ini dimansuhkan di AS pada 1968 melalui penggubalan Akta Perumahan Saksama (Fair Housing Act), namun kesannya masih ketara sehingga ke hari ini. Kawasan-kawasan merah (yang mempunyai majoriti penduduk kulit berwarna, people of colors) kekurangan sumber dan akses kepada infrastruktur dan fasiliti kesihatan, sekali gus menyebabkan kualiti hidup mereka terjejas. Sementara itu, proses gentrifikasi (gentrification) yang bertujuan untuk menaiktaraf kawasan-kawasan perumahan pula menyebabkan harga rumah dan sewa melonjak.
Ini menyebabkan golongan miskin yang majoritinya merupakan bangsa selain kulit putih tidak berkemampuan untuk terus menetap di sana dan terpaksa berpindah ke kawasan lain, sekali gus memburukkan lagi situasi pengasingan antara kaum. Secara tidak langsung, semua ini melebarkan lagi jurang sosio-ekonomi kerana ia menggugat peluang bagi bangsa minoriti bukan berkulit putih untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Keadaan diparahkan lagi dengan wujudnya sentimen ketuanan kulit putih (white supremacy) yang semakin menjadi-jadi sewaktu pentadbiran Donald Trump. Sikap bongkak dan acuh tidak acuh Trump dalam menangani isu ini menyebabkan situasi semakin buruk, tambahan lagi di saat pandemik COVID-19 sedang melanda dunia. Bahkan, komuniti Muslim di AS turut berhadapan dengan diskriminasi ekoran sentimen Islamofobia yang masih menghantui semenjak insiden 9/11 pada 2001.
Semua ini merupakan sebahagian daripada realiti yang mewarnai kehidupan warga AS. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada realiti fabrik masyarakat negara kuasa besar itu yang begitu rapuh akibat sistem yang mengatur kehidupan di bawah ideologi kapitalisme yang mengejar keuntungan maksimum dan kemewahan materialistik. Pastinya nasib golongan marhaen tidak diberikan keutamaan dalam polisi memandangkan wujudnya hubungan erat antara pemerintah dengan golongan pemodal, seperti mana yang disaksikan dalam mana-mana negara kapitalis di dunia ini.
Dalam pada itu, demokrasi yang dijunjung oleh negara tersebut ternyata tidak memberikan jaminan kesejahteraan kepada warganya terutamanya golongan minoriti. Hakikatnya begitu jelas, meskipun AS telah mempunyai presiden kulit hitam pertama dalam sejarahnya, Barack Obama, namun ternyata ia tidak mengubah realiti hodoh perkauman dan kepincangan sistem demokrasi kapitalis yang mengatur kehidupan masyarakat di negara tersebut.
Isu perkauman ini hanyalah sebahagian daripada natijah penerapan sistem demokrasi yang penuh kerosakan dan penipuan. Demokrasi yang berasal daripada ideologi kapitalisme tidak akan pernah berhenti mewujudkan sifat individualistik kerana asasnya yang menjadikan manfaat sebagai ukuran, yang mengatasi segala-galanya. Slogan hak asasi manusia dan kebebasan yang dilaungkan di bawah demokrasi hanyalah omong kosong yang penuh hipokrasi, kerana realitinya sikap perkauman, diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia, khususnya ke atas warga kulit hitam, boleh disaksikan saban hari di Amerika. Meskipun wujud golongan yang berkesedaran dan ingin melakukan perubahan, namun usaha mereka tidak akan ke mana kerana sistem ini sudah tidak dapat diperbaiki lagi.
Pandangan Islam Terhadap Perkauman
Hal ini jauh berbeza dengan Islam, yang memberikan jaminan kesaksamaan terhadap umat manusia tanpa mengira latar belakang kaum dan kedudukan status sosio-ekonomi mereka. Bahkan Islam dengan tegas telah melarang sebarang bentuk perkauman atau nasionalisme, sebagaimana sabda Rasulullah (saw);
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ ٬ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ ٬وَلَيْسَ مِنَّامَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّة
“Bukan dari golongan kami orang-orang yang menyeru kepada assobiyyah (perkauman), orang yang berperang kerana assobiyyah serta orang-orang yang mati kerana assobiyyah” [HR Abu Daud].
Dalam sabda baginda (saw) yang lain mengenai assobiyah,
“Tinggalkanlah ia tidak berguna” [HR Bukhari dan Muslim].
Islam juga tidak mendiskriminasi manusia berdasarkan warna kulit, sebaliknya meletakkan ketakwaan sebagai pengukur kemuliaan seseorang itu di sisi Allah (swt). Firman-Nya,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya” [Al-Hujurat (49): 13].
Dalam negara Islam, orang-orang kafir yang menjadi warganya (ahlu zimmah) turut diberikan hak dan layanan adil seperti mana umat Islam.
Bagaimana Dengan Perkauman di Malaysia?
Malangnya, pada hari ini Islam telah ‘ditunggang’ oleh segelintir pihak di negara ini untuk menjustifikasi agenda perjuangan assobiyah mereka. Sentimen Islam digandingkan dengan sentimen perkauman dan xenophobia (kebencian terhadap bangsa asing) sedangkan Islam dengan jelas menolak perkauman dan kebencian terhadap bangsa lain. Mengutamakan nasib bangsa sehingga menzalimi dan memupuk kebencian terhadap bangsa lain adalah haram di sisi Islam.
Ada yang cuba mempertahankan agenda tersebut, dengan alasan bahawa ia bertujuan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi antara kaum hasil daripada polisi pecah dan perintah yang dilakukan oleh penjajah British dahulu. Justeru, mereka mewajarkan langkah-langkah afirmatif (affirmative action) yang diterjemahkan kepada beberapa dasar di negara ini.
Sedangkan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Sepatutnya mana-mana pihak sekalipun tanpa mengira latar belakang bangsa mahupun agama, sewajarnya dibantu sehingga mereka mampu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Penyelesaian yang diambil oleh kerajaan selama ini gagal, kerana mereka tidak menangani punca sebenar permasalahan iaitu penerapan sistem kapitalisme itu sendiri. Kapitalisme-lah yang menjadi punca kesenjangan sosio-ekonomi. Selagi sistem busuk ini masih diterapkan, maka selagi itulah kesenjangan ini semakin melebar.
Keadaan ini boleh memburukkan lagi isu perkauman kerana sektor ekonomi di negara ini rata-rata berasaskan kaum meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak sekian lama. Tambahan pula, terdapat parti-parti politik dan NGO di negara ini yang memainkan sentimen perkauman demi meraih kekuasaan. Mereka bersembunyi di sebalik hujah agama yang diselewengkan pemahamannya agar selari dengan agenda yang mereka bawa.
Inilah kesannya apabila Islam tidak lagi diterapkan secara kaffah sebagai sebuah ideologi yang mengatur tatacara segenap aspek kehidupan. Sedangkan sejarah telah membuktikan bagaimana ketika Islam benar-benar diterapkan, tidak timbul isu perkauman. Bahkan kesejahteraan melimpahi umatnya termasuk ke atas ahlu zimmah yang bernaung di bawah institusi Khilafah Islamiyah.
Maka, bagi menangani isu perkauman yang berleluasa di peringkat global ini, kita wajib berusaha untuk menegakkan kembali khilafah, agar melaluinya kesejahteraan, rahmah, dan keadilan dapat disebarluaskan merentasi kaum dan agama di segenap penjuru dunia.
Muhammad Fauzi