Surat Kepada Trump: Simbol Politik Tanpa Maruah
Tindakan Perdana Menteri Malaysia menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat untuk memohon agar satu sidang kemuncak ASEAN-AS diadakan memperlihatkan realiti menyedihkan dunia Islam hari ini. Ia mencerminkan suatu bentuk kebergantungan politik dan ekonomi kepada kuasa asing yang telah sekian lama menindas serta mencampuri urusan negara-negara umat Islam. Meskipun ia dibungkus atas nama diplomasi dan kepentingan serantau, hakikatnya ia adalah cerminan ketundukan terhadap sistem dan kuasa yang mendominasi umat secara global.
Amerika Syarikat merupakan negara penjajah yang secara konsisten menjalankan dasar luar yang zalim terhadap dunia Islam – dari Timur Tengah ke Asia Tenggara. Ia menekan negara-negara lain melalui tarif, sekatan, dan perjanjian perdagangan yang berat sebelah. Menjadikan Amerika sebagai pihak yang dirayu untuk berdialog dan mengharapkan Amerika berlaku adil, adalah satu bentuk ilusi yang merendahkan martabat negara dan umat Islam. Negara yang benar-benar merdeka dan bermaruah tidak akan sekali-kali mengemis perhatian atau belas ihsan daripada kuasa penjajah, tetapi akan berdiri sebagai pihak yang dihormati, disegani, dan mempunyai kedudukan yang bebas dalam percaturan politik dunia.
Realiti seperti ini menunjukkan bahawa negara-negara umat Islam hari ini tidak memiliki kedaulatan hakiki. Mereka sekadar bertindak sebagai satelit kepada kuasa besar, dan dasar-dasar luar mereka digerakkan bukan atas dasar Islam, tetapi kerana tekanan dan kepentingan geopolitik sempit. Lebih buruk lagi, kerjasama serantau seperti ASEAN pula hanya berfungsi dalam batasan sistem sekular yang tidak mengambil kira identiti dan maslahat sebenar umat Islam.
Jalan penyelesaian terhadap kehinaan ini bukanlah dengan memperkuat lagi kerjasama dengan kuasa penjajah, atau mengemis kepada mereka, atau memujuk mereka agar berlaku adil. Penyelesaian hakiki ialah dengan mewujudkan sebuah entiti kuasa yang bebas daripada dominasi sistem kapitalis dan kuasa kuffar – iaitu sebuah Negara Islam yang memimpin dengan syariat, memelihara kehormatan umat, dan berdiri dengan kekuatan sendiri di pentas antarabangsa.
Hanya dengan wujudnya Khilafah Islamiyyah yang tegak atas manhaj kenabian, barulah umat Islam akan memiliki kuasa sebenar untuk menetapkan dasar luar secara mandiri dan Islami, mengatur hubungan antarabangsa berlandaskan hukum syarak, serta melindungi kehormatan dan kepentingan umat dengan kekuatan negara yang merdeka dari penjajahan.
Khilafah adalah satu-satunya jalan keluar bagi umat Islam daripada cengkaman hegemoni Barat. Ia bukan sahaja akan menghapuskan kebergantungan kepada kuasa asing, malah akan mengembalikan semula kedudukan umat Islam sebagai umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, sekali gus menjadikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam, yang memimpin dunia dengan penuh kekuatan, keadilan, kesejahteraan dan kebenaran.
Selagi umat ini terus dipimpin oleh mereka yang tunduk kepada kuasa penjajah, maka selagi itulah kehinaan akan terus menimpa umat Islam. Sudah tiba masanya umat ini bangkit untuk melakukan perubahan menyeluruh dengan kembali kepada sistem Islam yang haq – sistem Khilafah yang akan mengangkat semula izzul Islam wa Muslimin.
Wallahu a’lam.