Syarikat berbeza dari individu: Kecelaruan undang-undang sekular di Malaysia

Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters in Islam (SIS) bukan sekadar satu pertikaian perundangan antara sebuah NGO dan institusi fatwa. Ia adalah refleksi nyata tentang bagaimana sistem kehakiman di Malaysia dicipta dan berfungsi dalam kerangka sekular yang tidak tunduk kepada hukum Allah.

Ramai yang marah apabila fatwa boleh dicabar, dan lebih ramai lagi kecewa apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak terpakai ke atas SIS sebagai sebuah pertubuhan liberal. Tetapi persoalan sebenar ialah – bagaimana perkara ini boleh berlaku dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam?

Perlu difahami bahawa sistem kehakiman di Malaysia tidak dibina atas asas akidah Islam. Mahkamah sivil berfungsi berdasarkan perlembagaan sekular peninggalan penjajah, yang mengasingkan kuasa agama daripada kuasa negara. Maka, meskipun ada institusi seperti Mahkamah Syariah, Majlis Fatwa dan Jabatan Agama, semua itu hanyalah komponen kecil yang bergerak di bawah payung undang-undang sivil, dan hanya berkuasa ke atas individu Muslim yang tertakluk kepada definisi sempit yang ditentukan oleh perlembagaan.

Keputusan dalam kes SIS ini menjadi contoh paling jelas. Ia semata-mata disebabkan oleh tafsiran perkataan “persons” yang terdapat dalam perlembagaan, yang menurut mahkamah, tidak merangkumi syarikat. Fatwa tetap sah, kata mahkamah, tetapi tidak terpakai ke atas SIS kerana SIS ialah “artificial person” (orang buatan) atau entiti korporat, bukannya “natural person” (orang sebenar). Maka, walaupun SIS menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme yang telah difatwakan sebagai sesat, fatwa tersebut tidak boleh dikuatkuasakan ke atas SIS (sebagai sebuah syarikat) kerana fatwa tidak terpakai ke atas syarikat.

Di sinilah letaknya kecelaruan undang-undang sivil yang ada sekarang, yang membezakan “kapasiti” manusia dan pertubuhan, walaupun hakikatnya pertubuhan tersebut ditubuhkan oleh manusia, dianggotai oleh manusia, digerakkan oleh manusia dan segala-galanya ditentukan oleh manusia. Di bawah undang-undang sivil, sesebuah pertubuhan atau syarikat itu mempunyai legal entity yang tersendiri, sama legal status-nya sebagaimana manusia. Kesannya, pertubuhan adalah berbeza daripada individu, yang sekali gus membawa implikasi undang-undang dan fatwa yang juga berbeza ke atas kedua-dua legal entity tersebut.

Ringkasnya, dengan kedudukan terbaru ini, yang sangat jelas bahawa mahkamah membuat keputusan yang selari dan selaras dengan perlembagaan serta undang-undang sivil yang sedia ada – bahawa fatwa tidak terpakai ke atas pertubuhan/syarikat, tetapi hanya terpakai ke atas individu. Ini sekali gus bermaksud pihak berkuasa agama tidak boleh membuat apa-apa fatwa ke atas pertubuhan/syarikat.

Itu dari satu sisi. Dari sisi lain, keputusan mahkamah itu sudah tentu membuka ruang kepada mana-mana pertubuhan yang difatwakan sesat untuk menggunakan hujah yang sama bagi menyatakan yang fatwa tidak terpakai ke atas mereka. Mereka bukan sahaja boleh mencabar kesahan fatwa terhadap mereka di mahkamah sivil – jika mereka ingin berbuat demikian – malah, mereka boleh terus beraktiviti dan menyebarkan dakyah masing-masing secara terbuka, walaupun dakyah mereka jelas bertentangan dengan Islam.

Bagi mereka yang mencermati isu ini secara perundangan, sebenarnya langsung tidak timbul persoalan bahawa mahkamah sivil masuk campur dalam urusan agama Islam, walau pun secara tak langsung ia kelihatan seperti masuk campur. Isu utama ialah mengenai tafsiran perkataan “persons” yang terdapat dalam perlembagaan.

Biar pun kita mungkin tidak setuju dengan keputusan mahkamah, tetapi kita perlu bersikap adil, dan memahami bahawa hak untuk menafsir perlembagaan ada pada mahkamah sivil, bukan pada mahkamah syariah dan bukan juga pada pihak berkuasa agama. Jadi, dari sudut perundangan, ternyata bahawa mahkamah tidak masuk campur dalam urusan fatwa, dan tidak juga masuk campur dalam urusan agama, tetapi hanya memberikan tafsiran perkataan “persons”, yang mana kesan dari tafsiran inilah yang secara langsung menjadikan fatwa ke atas SIS tidak sah, kerana SIS bukanlah “persons” sebagaimana kehendak perlembagaan.

Di sinilah letaknya kecelaruan dalam undang-undang dan sistem sekular sehingga dilihat tidak berpihak kepada Islam. Hal ini tidak pelik kerana inilah sifat semulajadi sistem dan undang-undang sekular, yang menolak syariat sebagai pengatur kehidupan.

Di dalam Islam, tidak wujud istilah “separate legal entity” di antara syarikat dan orang (individu) yang menjalankan syarikat. Sesebuah syarikat atau pertubuhan dalam Islam itu wujud kerana ia diwujudkan oleh seseorang (individu), atau dengan kata lain, tanpa adanya orang, sudah tentu tidak akan ada syarikat. Jadi, orang dan syarikat yang diwujudkan atau dijalankannya itu tidak boleh dipisahkan, kerana mereka dikira sebagai “satu entiti”.

Setiap apa yang dilakukan oleh syarikat, ia bermaksud dilakukan oleh individu yang menjalankan syarikat tersebut. Jika syarikat melakukan kesalahan seperti contoh pecah kontrak, ini bermaksud individu yang menjalankan syarikat itulah yang pecah kontrak, yang bersalah, dan akan dihukum. Ini berbeza dengan undang-undang sivil yang mana individu tidak bersalah atas kesalahan pecah kontrak yang dilakukan oleh syarikatnya.

Jika sesebuah pertubuhan itu menyebarkan ajaran sesat, hakikatnya ajaran tersebut adalah disebarkan oleh individu dalam pertubuhan tersebut. Maka, individu akan dihukum dan dia tidak boleh berselindung di sebalik nama pertubuhan untuk menyelamatkan diri. Di dalam Islam, pertubuhan seumpama itu tidak akan dibenarkan untuk ditubuhkan atau bergerak sama sekali. Individu yang menubuhkannya atau menggerakkannya akan dihukum.

Kembali kepada kes SIS – siapa pun yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah dalam kes ini, seharusnya tidak bersetuju dengan undang-undang, perlembagaan dan sistem yang mengatur semua perkara ini. Kes SIS ini bukanlah isu keputusan mahkamah semata-mata yang dilihat tidak berpihak kepada Islam, tetapi lebih jauh dari itu, akar permasalahannya terletak pada sistem, perlembagaan dan undang-undang sekular yang mengatur semua itu.

Apa yang lebih menjengkelkan ialah sikap sesetengah ahli politik yang bercakap soal Islam terancam atau kuasa Islam dikatakan semakin terhakis hasil keputusan Mahkamah Persekutuan ini, padahal merekalah yang selama ini mempertahankan sistem, perlembagaan dan undang-undang sekular yang diberikan oleh British kepada Tanah Melayu sejak kemerdekaan dulu lagi.

Semasa berada di kerusi kekuasaan, mereka tidak pernah pun menggubal perlembagaan yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber hukum tertinggi. Mereka juga tidak pernah menghapuskan mahkamah sivil, malah terus mempertahankannya, tidak pernah menghapuskan dualisme perundangan, dan banyak lagi perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan Islam yang tidak mereka hapuskan. Namun, apabila mahkamah sekular memutuskan perkara yang tidak mereka senangi, mereka melaungkan kononnya Islam terancam.

Perlu diingat bahawa isu ini bukanlah isu untuk ditunggang bagi meraih sokongan dan simpati umat demi kepentingan politik sempit; bukan juga isu yang memerlukan reformasi undang-undang atau menambah kuasa mahkamah syariah, Majlis Fatwa dan sebagainya. Ia merupakan isu yang berpunca daripada sistem, perlembagaan dan undang-undang yang datangnya dari kafir penjajah yang telah sekian lama menjerat dan mendominasi kita.

Jadi, penyelesaiannya tidak lain tidak bukan ialah dengan menggantikan keseluruhan sistem, perlembagaan dan undang-undang yang mengatur kita selama ini, dengan sistem, perlembagaan dan undang-undang Islam. Inilah perubahan sebenar dan perubahan mendasar yang perlu kita lakukan, yang tidak ada cara lain lagi untuk merealisasikannya kecuali dengan kita berusaha bersungguh-sungguh dengan jalan yang syarie, mendirikan Negara Khilafah yang berjalan di atas metode kenabian.

Wallahu a’lam.