Taat Kepada Amir Adalah Manifestasi Keimanan

abdul-hamid-IITaat merupakan perkara yang paling asas dalam mewujudkan disiplin yang baik dalam diri sendiri, tidak kira sama ada terhadap sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat dan yang paling besar terhadap negara. Dari sisi yang lain, taat merupakan salah suatu perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT di dalam Islam.

“Katakanlah: “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya…” [TMQ Al-Imran (3): 32]

 

Firmannya lagi:

“Segala hukum yang tersebut adalah hudud (batas-batas syariat) Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.” [TMQ An-Nisa’(4): 13]

Apabila seseorang Muslim diperintahkan sesuatu oleh pemimpinnya, maka ia wajib untuk mentaatinya dengan melaksanakan perintah tersebut walaupun bertentangan dengan hawa nafsunya (keinginannya sendiri). Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang tidak menyukai sesuatu daripada (perintah) amirnya, hendaklah ia bersabar.” (HR Bukhari).

Sabdanya lagi, “Mendengar dan taat itu adalah wajib bagi seseorang Muslim, baik sama ada  terhadap perintah yang disukai ataupun yang dibenci, selagimana tidak diperintahkan (untuk melakukan) maksiat. Jika ia diperintahkan untuk (melakukan) kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan mentaati.” (HR Bukhari)

Diriwayatkan daripada Irbadh Bin Sariyah r.a, “Suatu hari Rasulullah SAW solat bersama-sama kami, kemudia beliau menghadap kami dan memberi nasihat kepada kami dengan suatu nasihat yang sangat memberi kesan (meresap ke dalam hati) sehingga menyebabkan air mata kami mengalir dan membuatkan hati kami bergetar. Salah seorang daripada kami berkata: ‘Wahai Rasulullah, nasihat ini seolah-olah merupakan nasihat perpisahan. Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Nabi menjawab: ‘Aku berwasiat kepada kalian agar bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat (kepada amir) walaupun ia adalah seorang hamba daripada keturunan Habsyi. Kalian wajib mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa’ur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham kalian. Jauhilah perkara-perkara baru (yang menyimpang) kerana setiap perkara baru itu adalah bidaah, dan setiap bidaah itu adalah sesat.” (HR Abu Daud dan At-Tirmizi).

Dalam hadis di atas, Rasul menggandingkan antara taqwa kepada Allah bersama-sama dengan perbuatan mendengar dan taat kepada perintah Amir. Ini menunjukkan betapa pentingnya ketaatan tersebut. Kita dapat melihat bagaimana sikap para sahabat ketika menerima wasiat (perintah) daripada Rasulullah SAW, mereka menerima dan melaksanakan wasiat tersebut dengan penuh ketaatan.

Ketaatan Adalah Kunci Kejayaan

Catatan sirah telah merakamkan pelbagai peristiwa tentang kesan dan akibat dalam perkara ketaatan. Di dalam perang Badar misalnya, atas ketaatan pada perintah Rasul, tentera kaum Muslimin telah berjaya mengalahkan tentera kaum Musyrikin Mekah dan sekutunya walaupun bilangan kaum Muslimin jauh lebih rendah berbanding mereka (musuh) pada ketika itu. Pengabaian (ketaatan) perintah Rasulullah bagi pasukan pemanah dalam perang Uhud pula telah menyebabkan ramai tentera kaum Muslimin terkorban dan nyaris-nyaris mengorbankan Rasulullah SAW sendiri. Mujur Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah telah datang menyelamatkan baginda Nabi SAW. Daripada kedua-dua contoh peristiwa perang ini, kita dapat melihat bagaimana ketaatan kepada Rasulullah sebagai Amir adalah merupakan kunci kepada kejayaan mereka untuk mengalahkan tentera musuh, di samping keimanan yang menjadi faktor kepada wujudnya ketaatan itu sendiri di dalam diri kaum Muslimin. Para sahabat dan kaum Muslimin sangat memahami firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada “Ulil-Amri” (amir yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [TMQ Al-Maidah (4): 59]

Ayat di atas menerangkan bahawa mereka tidak akan menimbulkan sikap membantah di dalam diri mereka. Itu adalah salah satu sikap dan akhlak para sahabat sekaligus bagi para pengembang dakwah. Apa yang wujud di dalam diri mereka adalah sikap redha dan taat sepenuhnya terhadap Amir mereka.

“… mereka berkata: Kami dengar dan Kami taat.” [TMQ al-Baqarah(2): 285]

Dilarang Berbantah-bantah Dalam Perkara Mubah

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak (boleh) taat kepada makhluk dalam (perkara) maksiat kepada Allah.” (HR Ahmad).

team-workSeringkali timbul di kalangan kaum Muslimin, ada yang bersikap untuk tidak taat kepada Amir dalam perkara-perkara yang bersifat mubah (yang dibolehkan syara’). Walhal kita hanya diperintahkan untuk melepaskan ketaatan (untuk tidak taat) hanya dalam perkara-perkara yang bersifat maksiat dan bukannya pada perkara yang mubah. Mereka menimbulkan sikap bantah membantah di dalam diri mereka serta mengingkari malah bertindak mengambil langkah-langkah yang lain seperti melakukan mogok untuk tidak mahu melaksanakan perintah Amir mereka. Ini berlaku disebabkan oleh keputusan yang telah dikeluarkan oleh Amir adalah bertentangan dengan pendapat-pendapat mereka dan mereka tidak berpuas hati dengan perintah tersebut. Dalam Islam, kita wajib untuk taat kepada Amir dalam apa jua keadaan (kecuali dalam perkara maksiat) dalam rangka untuk memelihara kutlah (jemaah/gerakan) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk mencurahkan masa, harta, tenaga dan fikirannya untuk melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, khususnya terhadap para pemimpin yang masih menerapkan sistem thagut (hukum-hukum selain daripada hukum Allah SWT) di muka bumi ini.

Secara umumnya, mungkin cadangan dan pendapat kita adalah yang terbaik bagi pandangan kita sendiri, tetapi belum tentu yang terbaik dari segi pandangan orang lain. Kita boleh menyampaikan pendapat, saranan dan cadangan kita kepada Amir, ketua jemaah/gerakan atau kepada pimpinan sesebuah organisasi yang kita sertai. Akan tetapi kita tidak boleh mempertikaikan atau membantah jika sekiranya pendapat kita itu tidak diterima atau ditolak. Perlu difahami bahawa bukan semua cadangan dan pendapat yang diberi oleh orang-orang bawahan Amir atau oleh orang ramai adalah wajib untuk diterapkan oleh Amir. Dalam hal ini, perintah Amir akan menghilangkan segala perbezaan yang ada setelah Amir memilih satu cadangan/pendapat daripada sekian banyak pendapat yang diberi berdasarkan kebijaksanaannya. Boleh jadi juga ketetapan yang dipilih adalah lahir daripada keputusannya sendiri, berlainan daripada pendapat-pendapat yang diberikan oleh orang lain sebelum ini.

Pada suatu hari, satu delegasi dari Kuffah pernah mendatangi Abu Dzar Al-Ghifari yang ketika itu ia sedang mengasingkan diri. Mereka menyarankan kepadanya agar mengangkat panji pembangkangan melawan Khalifah Utsman bin Affan ra. Lalu Abu Dzar menegur mereka dengan kata-kata yang tegas: “Demi Allah, kalaulah Utsman menyalibku pada sebatang kayu yang panjang atau di atas gunung yang tinggi, nescaya aku akan tetap dengar, taat dan bersabar serta tetap memberi nasihat kepadanya. Dan aku memandang hal itu baik bagiku. Dan jika aku diheret dari satu ufuk ke ufuk yang lain, aku juga akan tetap dengar, taat dan bersabar (menanggung risiko) serta tetap menasihatinya. Dan aku berpendapat hal itu baik bagiku.” (Fauzi Sanqarth, Taqarrub Ilallah bab Taat kepada Amir)

imamKetika Abu Hurairah r.a dilantik sebagai wali, ia telah mengumpul banyak harta daripada sumber-sumber yang halal di sepanjang ia memegang jawatan tersebut. Khalifah Umar Bin al-Khattab kemudian mengetahui perkara tersebut lalu memanggilnya ke Madinah (untuk menemuinya). Abu Hurairah menceritakan: Umar bertanya kepadaku, “Wahai musuh Allah dan musuh KitabNya, adakah engkau selalu mencuri harta Allah?”.  Aku menjawab, “Aku bukan musuh Allah dan bukan juga musuh kitabNya. Tetapi aku adalah musuh terhadap sesiapa sahaja yang memusuhi kedua-duanya. Dan aku bukanlah orang yang mencuri harta Allah.” Umar bertanya lagi, “Jadi bagaimanakah engkau dapat mengumpul harta sebanyak 10000 (dinar)?” Aku menjawab, “Daripada sekumpulan unta yang aku ternak dan juga daripada pemberian (daripada ghanimah, fa’i atau pemberian daulah) yang mana aku kumpulkan kesemuanya secara berterusan.” Umar berkata, “Serahkan hartamu itu ke Baitul Mal kaum Muslimin.” Abu Hurairah memberikannya kepada Umar lalu mengangkat kedua-dua tangannya ke langit sambil berdoa, “Ya Allah, ampunilah Amirul Mukminin”.

Wahai kaum Muslimin, lihatlah bagaimana contoh ketaatan yang diberikan oleh para sahabat yang dirahmati oleh Allah. Adakah kita merasa ketaatan sebegitu telah wujud dalam realiti dunia kita pada saat ini? Jika Khalifah sudah wujud kelak pada suatu hari nanti yang dijanjikan oleh Allah SWT, adakah kita semua sudah bersedia untuk memberi baiat dengan sepenuh hati dan seterusnya memberi ketaatan tanpa berbelah bahagi kepadanya walaupun dalam keadaan kita suka ataupun benci?

Atau adakah kita masih sibuk untuk terus bantah membantah, tidak kira sama ada terhadap Amir,  ketua jemaah/gerakan Islam kaum Muslimin atau para pimpinannya dalam perkara-perkara yang bersifat mubah dan remeh-temeh sehingga melalaikan tanggungjawab utama kita sebagai pemikul dakwah di muka bumi ini? Marilah kita bersama-sama memuhasabah diri masing-masing, sudah sejauh manakah amalan dakwah yang telah kita lakukan terhadap manusia di sisi Allah. Atau adakah kita masih hanya sekadar menjadi pemerhati dan menjadi manusia yang hanya tahu melatah dan bersikap cepat kecil hati hanya  kerana pendapat kita tidak diterima oleh sang Amir? Ingatlah, bahawa sesungguhnya ‘penglihatan’ Allah Azza wajalla itu jauh lebih penting daripada penglihatan manusia. Wallahu’alam.