Talkshow Muslimah: Momentum Ramadhan – Membentuk Muslimah Cemerlang Bersama Islam
Sebagaimana yang disampaikan oleh Allah SWT dalam Surah al-Mukminun bahawa mukmin cemerlang ialah orang-orang yang berjaya dan memperoleh kemuliaan serta kedudukan di sisi Allah. Talkshow pada kali ini dianjurkan untuk memberi kefahaman tentang makna kecemerlangan tersebut dan menjelaskan cara untuk meraihnya. Ustazah Husna dan Ustazah Zulaikha yang kedua-duanya adalah aktivis MHTM tampil sebagai ahli panel dan dikendalikan oleh Ustazah Khadijah selaku moderator.
Zulaikha selaku panel pertama terlebih dahulu membawa realiti muslimah pada masa kini. Beliau kemudian membandingkan antara standard kecemerlangan yang diukur berdasarkan pemikiran Barat dengan kecemerlangan yang diukur dari perspektif islam.
Husna selaku panel kedua membawakan kisah-kisah muslimah yang cemerlang dalam kalangan para sahabiyah. Kisah-kisah ini membuktikan bahawa para muslimah pernah menjadi cemerlang dan tidak mustahil bagi muslimah kini untuk kembali cemerlang.
Talkshow muslimah pada kali ini turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan Anak-anak Solehah dan dimantapkan lagi dengan bengkel aktiviti yang dikendalikan oleh Dr. Ainul. Dalam slot aktiviti tersebut, Dr. Ainul telah menjemput beberapa orang peserta untuk sama-sama melakukan eksperimen. Beliau menyediakan setiap orang dengan sebiji botol kosong dan meminta mereka mengisinya dengan air dan kemudian menuangkan minyak ke dalamnya. Beliau kemudian menjelaskan pemikiran Islam sekali-kali tidak akan boleh seiring dengan pemikiran kufur sepertimana air tidak akan bercampur dengan minyak. Para peserta turut bersemangat mengikuti program talkshow ini hingga ke akhirnya.
MHTM menyeru para muslimah untuk menjadi cemerlang dengan membebaskan pemikiran dan kehidupan dari cengkaman sistem demokrasi-kapitalisme dan semua sistem buatan manusia. Muslimah juga perlu berjuang untuk melawan penindasandan ketidakadilan; meminta agar para pemerintah supaya bertanggungjawab atas pengabaian mereka terhadap hukum Islam dan menyeru umat Islam untuk kembali kepada kewajipan dan keyakinan Islam mereka. Seterusnya muslimah mestilah memikul dakwah Islam dengan matlamat untuk menghapuskan sistem demokrasi-kapitalis iaitu sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam dalam naungan Daulah Khilafah Islamiyah. Khilafahlah yang akan menciptakan masyarakat yang akan menempatkan martabat dan kesejahteraan perempuan pada skala yang belum pernah disaksikan dunia dalam waktu yang lama.
MHTM menggesa para muslimah untuk mengerahkan segenap usaha dan tenaga dalam perjuangan dakwah untuk menghidupkan kembali al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan ke arah mencapai kecemerlangan. Firman Allah,
فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشْقَى * وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
“Siapa saja yang menuruti petunjukKu itu, nescaya dia tidak akan sesat dan sengsara. Namun, siapa saja yang berpaling dari peringatanKu, dia akan menderita hidup sempit, kemudian Kami akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat dalam keadaan buta“ [TMQ Thaaha (20):123-124]
MHTM merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua yang hadir memeriahkan majlis ini.
Wallahualam .