Tanggungjawab PM menjamin “hari muda” rakyat
Perdana Menteri Malaysia bertegas tidak mahu membenarkan pengeluaran bersasar KWSP sebagaimana desakan sebahagian pencarum dan juga pembangkang. Seperti biasa, pembangkang hanya cuba meneguk di air keruh dengan mengangkat isu ini bagi menunjukkan yang mereka berada di pihak rakyat.
Anwar menegaskan bahawa dia bersedia untuk menghadapi pembangkang yang dakwanya bakal memainkan isu itu dalam PRN di enam negeri akan datang. Dia akan memastikan bahawa KWSP tidak akan lari daripada landasannya sebagai simpanan dan jaminan hari tua pekerja, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara KWSP Kwasa Damansara di Sungai Buloh, semalam (08/052023).
Anwar bukanlah PM pertama yang enggan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan bersasar KWSP, kerana beberapa orang PM sebelumnya pun melakukan hal yang sama. Walaupun rakyat dapat “merasa” sedikit simpanan KWSP masing-masing di bawah pentadbiran PM yang memerintah semasa PKP, namun ia bukanlah jumlah yang dapat membantu rakyat keluar daripada masalah. Atas dasar itulah rakyat tetap menuntut.
Realitinya kini kos sara hidup masih terus meningkat dan kerajaan belum dapat memulihkan ekonomi ke tahap yang memuaskan. Jika kerajaan berjaya sekalipun, hasilnya bukanlah dapat dinikmati oleh setiap rakyat kerana di bawah amalan sistem ekonomi kapitalisme sekarang, rakyat sentiasa merupakan pihak yang tertindas, dan pemilik modal (kapitalis) sentiasa merupakan pihak yang kaya raya.
Di negara maju sekalipun yang ekonomi mereka kononnya kukuh, ternyata jumlah rakyat mereka yang homeless (gelandangan) bukanlah sedikit, satu keadaan yang hampir sama dengan Malaysia di mana gelandangan boleh dijumpai di mana-mana. Ini belum mengambil kira jumlah penduduk yang berada di bawah garis kemiskinan. Inilah realiti ekonomi kapitalisme yang hanya melihat pertumbuhan dan kekuatan ekonomi berdasarkan angka di atas kertas, bukannya dengan melihat kepada setiap individu rakyat di lapangan. Sedangkan dalam Islam, jika ada walau hanya seorang rakyat yang tidak cukup makan, maka pemerintah telah menanggung dosa.
Begitulah hakikat kerajaan yang berpaksikan ekonomi kapitalisme pada hari ini. Mereka bukan sahaja menzalimi rakyat dengan pelbagai cukai (termasuk tol), merampas hak rakyat berupa minyak, gas asli dan pelbagai sumber alam lainnya, mengenakan bayaran kesihatan, pendidikan, keamanan dan bermacam lagi yang seharusnya diberi kepada rakyat secara percuma, malah apabila rakyat menuntut untuk mendapatkan kembali wang caruman mereka atas dasar keperluan yang mendesak, itu pun tidak dibenarkan!
Ironinya, pemerintah menyatakan bahawa apa sahaja kezaliman yang mereka buat ialah demi kebaikan rakyat. Mereka membina lebuh raya atau jalan raya bertol, lalu mereka katakan bahawa ia adalah untuk kemudahan dan keselesaan rakyat. Mereka menaikkan tarif elektrik, memperkenalkan cukai yang baru atau menaikkan cukai yang lama, menaikkan kadar faedah seperti OPR dan sebagainya, semuanya mereka akan katakan bahawa ia demi meningkatkan ekonomi negara dan rakyat.
Realitinya, rakyat semakin sengsara dan tidak pernah dapat keluar daripada beban dan kos sara hidup, tetapi dalam masa yang sama pemerintah dan kroni mereka mengaut berbilion keuntungan daripada semua itu.
Begitulah juga apabila pemerintah tidak membenarkan pengeluaran KWSP yang sah-sah merupakan duit rakyat yang mereka ambil secara paksa, lalu mereka katakan bahawa ia demi kebaikan hari tua rakyat (pencarum). Padahal mereka gunakan wang KWSP tersebut untuk pelbagai jenis pelaburan, untuk mengayakan dan untuk menyelamatkan pemerintahan mereka. Benarlah firman Allah (swt):
كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ ۚ إِنْ يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا
“Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta” [Al-Kahfi (18):5].
Pemerintah mendakwa bahawa pemerintahan mereka ialah demokrasi, yang menjadikan suara rakyat sebagai suara keramat, namun realitinya apabila rakyat bersuara untuk meminta kembali hak mereka, suara rakyat hanya dibakul sampahkan sahaja.
Pemerintah kononnya prihatin tentang hari tua rakyat, sedangkan hakikatnya mereka mengabaikan “hari muda” rakyat. Rakyat memerlukan wang mereka sekarang, di hari muda mereka, untuk menampung kos sara hidup yang mereka sedang bergelut dengannya. Tambahan lagi, rakyat belum tentu hidup sampai ke tua untuk menikmati wang tersebut. Malangnya, pemerintah tidak peduli dengan itu semua kerana apa yang diambil peduli oleh pemerintah ialah memastikan sumber pendapatan dari KWSP sentiasa dapat menstabilkan “poket” mereka.
Sesungguhnya tanggungjawab pemerintah ialah memastikan kesejahteraan hidup rakyat di sepanjang masa, bukan hanya di hari tua rakyat. Sejak dari dalam kandungan hinggalah ke hari kematian, pemerintah bertanggungjawab memastikan setiap orang yang diperintahnya hidup dengan menikmati kesemua keperluan asasnya (basic needs) berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal, serta diberi segala hak asasnya (basic rights) berupa kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan keamanan. Inilah yang diajar oleh Islam kepada kita.
Wallahu a’lam.