Temasya Olimpik Perangkap Barat

Sukan Olimpik telah pun lama berlalu dan keputusannya sudah pun diketahui umum iaitu kontijen Malaysia berjaya meraih 2 pingat Olimpik dan pada ketika ini ia masih hangat diperkatakan rakyat Malaysia. Di antara yang menerima ganjaran terbesar adalah Datuk Lee Chong Wei iaitu RM100,000 daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) setelah menerima imbuhan setengah juta daripada Perdana Menteri. Terbaru, Datuk Lee Chong Wei, Pandalela dan Datuk Nicol David telah diberi penghormatan sempena perhimpunan Merdeka 55: Janji ditepati di Stadium Bukit Jalil sempena sambutan Kemerdekaan ke-55 pada 31hb Ogos yang lepas.

Kejayaan memenangi satu perak dan satu gangsa adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan jika mengambilkira tahap kemampuan atlet kita berbanding negara-negara besar yang lain. Namun, persoalan yang timbul adalah; adakah semua pemberian imbuhan itu berbaloi dan wajar? Jika mengambilkira jumlah wang yang digunakan di dalam segala pemberian ganjaran dan imbuhan, dari manakah datangnya wang tersebut lagi kalau bukannya daripada wang rakyat?
 
Jika diimbas kembali kepada pelancaran Road To London (RTL) pada tahun 2011 yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM20 juta daripada wang rakyat untuk persediaan kontijen Malaysia termasuk atlit, urusetia, pengurus pasukan, jurulatih, petugas perubatan, pegawai-pegawai Majlis Sukan Negara, Pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), lawatan VIP semasa temasya Olimpik  berlangsung di kota London itu dan lain-lain lagi persiapan Olimpik. Setelah temasya itu berakhir, RTL dianggap gagal (Utusan Malaysia 13/8/2012) kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas yang disasarkan melalui program ini. Itu belum lagi mengambilkira kos persiapan sepanjang empat tahun lepas yang berupa pembinaan dan menaikkan taraf kemudahan sukan yang ada di seluruh Malaysia serta kos membiayai gaji jurulatih luar dan kos latihan di luar negara. Sudah tentu jumlahnya lebih lagi.
 
Merenung kembali realiti dan fakta di atas, seolah-olah temasya Sukan Olimpik ini telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar umat Islam sehingga mereka terikut-ikut dengan gaya dan budaya orang-orang kafir. Siapa lagi yang menjadi pelopor kepada penganjuran pesta sukan seperti ini kalau bukan orang-orang kafir? Jadi, adakah berbaloi dengan membelanjakan wang rakyat sehingga puluhan juta ringgit semata-mata untuk mengejar nama dalam agenda yang diterajui oleh barat ini. Di samping membelanjakan wang rakyat tanpa mengikut keutamaan keperluan semasa rakyat, persoalan ini juga tidak ada kena-mengena dengan ilmu sains dan teknologi barat yang mana ia boleh diterimapakai. Persoalan ini adalah berkaitan dengan suatu perbuatan atau kegiatan di dalam suatu majlis atau temasya yang berasal daripada satu kepercayaan karut tamadun dahulu dan agenda kuffar barat.
 
Sukan Olimpik tidak termasuk di dalam aktiviti riadah yang dibenarkan oleh Islam kerana ia telah satu pesta yang berasal daripada kepercayaan karut tamadun terdahulu yang dihidupkan semula oleh kuffar Barat dengan agenda mereka  tertentu.
 
Kita dapat lihat dengan jelas berlakunya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, di samping sebahagian besar atlet yang hampir telanjang semasa sesetengah acara dipertandingkan kerana kononnya berpakaian sesuai dengan acara yang diwakilinya. Bukankah ini semua adalah sebahagian daripada gaya dan budaya hidup barat?. Rasulullah SAW bersabda dengan jelas bahawa umat Islam dilarang untuk mengikut jejak kaum Kafir. Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

“Kamu telah mengikuti sunnah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu tetap mengikuti mereka. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani? Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Begitulah perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada mana-mana umat Islam yang mengikut jejak kaum kafir. Maka dengan itu, adalah amat tidak wajar sebahagian umat Islam melibatkan diri di dalam temasya Sukan Olimpik kerana dari segi asas penganjurannya, ia adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia berasal daripada kepercayaan karut tamadun terdahulu dan ia juga adalah perangkap yang disediakan oleh Kuffar Barat untuk kepentingan politik dan ekonomi mereka.
 
Rujukan : Utusan Malaysia 13/8/2012